Friday, January 31, 2014

‘KEBIMBANGAN’ SETIAP KALI MENJELANG TAHUN BARU CINA

Terlebih dulu aku ucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada rakan-rakan rapat aku yang berbangsa Tionghua dan kepada kaum Tionghua umumnya di Malaysia.

Aku tak tahu mengenai ‘cerita’ di tempat lain. Tetapi yang jelasnya di tempat aku (Padang Rengas), penduduk merasa amat bimbang setiap kali menjelangnya Tahun Baru Cina. Hari Raya Cina, panggilan yang diberikan kepada Tahun Baru Cina. Itu dulu. Tahun-tahun 1950an dan 1960an. Sekarang tidaklah sebimbang itu agaknya. Ada juga ‘pertimbangan’ dan ‘perkiraan’ setiap kali menjelangnya Tahun Baru Cina kini tetapi tidaklah sampai membimbangkan sepertimana yang dialami oleh penduduk di sini pada tahun-tahun 1950an dahulu.

Kini lain pula bentuk ‘kebimbangan’ yang ‘menghantui’ pemikiran rakyat Malaysia apabila menjelang Tahun Baru Cina. Kesesakan lalu lintas. Jalan jam. Itulah perkataan yang dilafazkan di mana-mana kita pergi, kecuali bagi penduduk di Lembah Kelang yang amat suka apabila menjelang Tahun Baru Cina atau Hari Raya Aidilfitri. Hanya pada waktu beginilah penduduk Lembah Kelang yang tidak ke mana-mana akan  menikmati suasana aman dan tenteram apabila memandu kereta dipersekitaran Lembah Kelang – di bandaraya Kuala Lumpur terutamanya.

Bagi yang nak balik kampung sememangnya ‘menyumpah’. Terpaksa balik juga kerana inilah masa cuti panjang bagi warga Lembah Kelang. Nak rehat. (Seolah-olah bagi warga Lembah Kelang, tinggal di sini hanya untuk bekerja. Berehat di kampung). Begitulah agaknya. Lega agaknya apabila dapat bercuti di kampung, dapat berjumpa dengan emak ayah ( bagi yang masih beribu dan berayah le ), dapat bergurau senda dengan sanak keluarga dan sahabat handai.

Jadi seolah-olah dua perayaan terbesar ini dirayakan oleh semua kaum. Itulah hebatnya negara kita.  Negara lain di dunia ini tidak terdapat sebagaimana yang kita dapat di Malaysia. Kita kadang-kadang lupa bahawa suasana harmoni yang terdapat di Malaysia ini tidak kita syukuri kerana bagi kita adalah satu perkara biasa. Bukan pelik apabila di tempat-tempat rehat  ( R & R ) disepanjang lebuhraya, kita dapati semua kaum bergaul dengan bebas, tanpa ada perasaan syak wasangka antara satu sama lain. Tidak perlu bimbang kalau-kalau timbul pergaduhan kaum kerana semua kaum yakin yang perkara itu tidak akan berlaku.


Penduduk kampung persekitaran Padang Rengas bimbang tentang ‘kedatangan’ Tahun Baru Cina (TBC) disebabkan akan mendatangkan kesulitan kepada mereka untuk membeli barang-barang runcit. Pada ketika itu kami hanya mengharapkan kedai Kam Cheng, Moh Koh, Ann Tang ( antara kedai Cina yang masih aku ingat yang terdapat di pekan Padang Rengas) untuk membekalkan keperluan harian penduduk di sini.

Ada banyak perbezaan orang Melayu menyambut ( menghadapi ) Raya Cina dulu dan sekarang. Walaupun orang Melayu tidak merayakan hari berkenaan sepertimana yang disambut oleh kaum Tionghua, namun di Malaysia setiap perayaan disambut oleh semua kaum. Baik Hari Raya Aidilfitri ke, Tahun Baru Cina ke, Deepavali ke akan disambut oleh semua orang.  Di negara lain, tak pulak begitu. Maksudnya tidak nampak penglibatan kerajaan dalam menggalakkan semua kaum merayakan perayaan sesuatu kaum. Tak semacam Malaysia. Unik.

Aku masih ingat,  ‘ kesusahan ‘ dan ‘ kebimbangan’ orang kampung aku ketika orang Tionghua nak menyambut Tahun Baru Cina ( Raya Cina). Dua minggu sebelum berlangsungnya Raya Cina, orang kampung aku dah tahu, ‘Slogan’ yang mengatakan ‘Raya Cina dah dekat’ sentiasa dilaungkan untuk mengingatkan antara satu sama lain. Supaya bersedia menghadapi keadaan itu. Mereka amat bimbang disebabkan pada musim Raya Cina kedai di Padang Rengas akan tutup buat beberapa lama. Mungkin seminggu. Mungkin dua minggu. Dan jikalau perniagaan mereka makmur sepanjang tahun, mungkin akan tutup selama tiga minggu.

Ini yang menyebabkan orang kampung aku runsing dan bimbang. Nak beli barang dapur kat mana. Nak beli ikan, pasar tutup. Kalau basikal pecah tayar pun kena tunggu lepas Raya Cina. Nak baiki di mana. Kedai basikal yang ada ialah kedai ‘Gemuk’ dan kedai ‘ Kecik ‘ ( nama panggilan orang kampung aku pada pemilik kedai membaiki basikal di situ. Nama sebenarnya aku tak tahu. Oleh kerana badannya gemuk dan gempal, dipanggil mereka ‘ Gemuk’. Dan oleh kerana tubuh badannya kecil, maka dipanggil mereka ‘ kecik’. Yang anihnya kedua-dua mereka ini ‘ akur ‘ dengan panggilan itu. Tak marah pun. ‘Mereka pun nak hidup’ agaknya. 

Semua peniaga kedai runcit di pekan Padang Rengas dipunyai kaum Tionghua. Hanya ada seorang pekedai Melayu. Pak Mail
( Ismail ) namanya. Orang kampung panggil “ Mail Kedai’. Tak besar pun kedainya. Kecil. Tak banyak barang runcit dijual. Dan tak ramai orang kampung pergi membeli belah di kedai Pak Mail. Aku tak tahu apa sebabnya. Sebab orang kampung aku sudah lebih awal mengamalkan konsep  1 Malaysia agaknya!.

Kedai Pak Mail pun tutup juga pada hari Raya Cina. Sebab kalau dia buka kedai dan stoknya kehabisan, dari mana pula dia nak mendapatkan stok baru. Oleh itu dia tutup juga. Pendek kata pada hari Raya Cina, kedai Kim Cheng tutup, kedai Moh Koh tutup, kedai Ah Soon tutup, Kedai Ah Yu tutup, kedai Ah Su tutup, kedai Mah Hing ( kedai ubat ) tutup, kedai Asia Tailor juga tutup ( tempat buat seluar baju). Pendek kata semua kedai di Padang Rengas tutup kecuali Barakath Stor. Satu kedai sahaja buka pada hari Raya Cina. Takkanlah boleh Barakth Store nak menampung keperluan penduduk seluruh Padang Rengas.

Sebab itulah apabila menjelang hari Raya Cina, orang kampung aku bimbang. Susah hati. Jadi terpaksalah mereka bersiap sedia dengan barang keperluan untuk ‘menyambut’ hari Raya Cina. Gula, kopi, minyak gas ( minyak tanah untuk pelita. Masa itu mana ada letrik ) dan lain-lain keperluan asas terpaksa dibeli. Kelapa, sayur-sayur pucuk paku, keladi, salang bolehlah dipetik secara percuma. Mujur jugalah keperluan orang kampung pada ketika itu sangat terhad.

Orang kampung pada ketika tidak ‘ kenal ‘ apa itu jam, butter, susu segar. Tahu sebut saja. Tak pernah menikmatinya. Itu makanan orang bandar. Orang kaya-kaya. Kami makan ‘Roti Menggali’ saja. Cicah dalam air kopi ‘ O ‘. Kami tak minum susu. Yang minum susu tin, pada ketika itu adalah bayi-bayi saja. Orang dewasa tidak minum susu. Muntah!!!... kalau minum susu. Oleh itu walaupun keperluan tidak seberapa, namun jikalau semua kedai Cina di Padang Rengas itu tutup pada Hari Raya Cina, tentunya menyulitkan juga orang persekitaran pekan Padang Rengas.

Kini sudah hilang kebimbangan itu apabila menjelangnya Tahun Baru Cina. Orang Melayu di kawasan ini sudah ‘pandai’ ke pasaraya. Mereka tidak lagi mengharapkan kedai di Padang Rengas untuk membeli belah keperluan harian. Mereka ke Kuala Kangsar atau ke Taiping mendapatkan keperluan mereka. Kebanyakannya sudah ada kereta berbanding dengan zaman dulu-dulu yang hanya mengharapkan basikal sahaja.

abuhassanadam
31 Januari 2014




Thursday, January 30, 2014

'ANAK MELAYU, ANAK CINA, ANAK INDIA DLL ADALAH ANAK KITA' KATA DS ANWAR IBRAHIM

DS Anwar Ibrahim bimbang melihatkan perkembangan perhubungan antara kaum di Malaysia kini yang dilihat sebagai amat rapuh ketika ini. Amat membimbangkan. Seolah-olah sudah hampir menyerupai suasana yang memungkinkan berulangnya berlakunya peristiwa pahit 13 Mei 1969. Justeru mengesyorkan kepada pihak kerajaan agar diadakan satu perbincangan bagi menangani keadaan yang membimbangkan ini..

Walaupun ada tanda-tanda yang memungkinkan berlaku semula peristiwa sedemikian, namun aku masih yakin bahawa peristiwa hitam tidak akan berulang lagi di Malaysia. Aku amat optimis tentang hal ini. Namun kerisauan tetap ada. Dan eloklah para pemimpin negara berwaspada dan bertindak sebelum berlakunya peristiwa yang tidak diingini itu.

Sebetulnya perpaduan antara rakyat Malaysia sudah begitu mentap menjelangnya PRU 13 yang lalu.Ikhlas aku katakan yang aku tidak pernah lagi melihat perpaduan yang sebegitu dikalangan rakyat Malaysia. Melayu, Cina, India dan jikalau di Sabah dan Sarawak pula tentulah ditambah dengan Iban, Kadazan, Bidayuh dll. Pendek kata ternampak sesuatu yang cukup meyakinkan kita bahawa sebenarnya Bangsa Malaysia telah wujud. Bukanlah hanya cakap-cakap kosong yang selalu kita dengar yang mengatakan tentang eratnya perpaduan antara kaum-kaum di negara ini.

Aku tertarik dengan kenyataan daripada J. Steen dari Blog Anilneeto.com  bertarikh 17 Mei 2013 . Aku sertakan petikannya,

“ I was at the JB rally. The atmosphere was simply incredible. This rally witnessed the true spirit of one Malaysia in action. I have never seen a more rousing rendition of our national anthem than the one sung at the end of this rally. People of all races, young and old, drenched, some perched on rooftops and trees singing loudly in unison. The incessant blare of the vuvuzelas is still ringing in my ears. Blackout tee shirts were being sold like hot cakes from the 25 plus stalls……..”

Maknanya suasana yang wujud di Perhimpunan ‘Black 505’ sungguh hebat dari banyak segi. Telah wujud semangat satu Malaysia dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Bukan hanya slogan dan ‘rhetoric’. J.Steen begitu kagum dengan gelagat hadirin pada malam itu apabila melihatkan mereka menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negara ku’. Yang menyebabkan beliau kagum ialah apabila melihatkan hadirin dari berbagai kaum, yang basah kuyup dan yang bukan sahaja berada di jalan-jalan raya tetapi yang berada di atas atap rumah, yang berada di atas pokok ( disebabkan kawasan terlalu padat sehingga ramai yang terpaksa berada di atas pokok untuk bersama-sama di majlis berkenaan) beramai-ramai menyanyikan lagu Negara ku. Menyanyikan dengan kuat dan penuh semangat.

Menyanyikan lagu ‘Negara-ku” dengan cara sedemikian betul-betul menunjukkan penghormatan yang tinggi dan ketaatan yang bukan kepalang terhadap negara ini. Pernah kita melihat rakyat Malaysia menyanyikan Negara-ku di majlis-majlis rasmi. Namun apa yang kita perhataikan ialah mereka yang menyanyikan lagu kebangsaan semacam ‘ hendak tak hendak’ sahaja menyanyikannya. Seolah-olah ‘terpaksa’. Berbanding dengan majlis perhimpunan ‘Black 505’ ini samada di Kelana Jaya atau di Batu Kawan atau di Pahang, ternampak jelas semangat satu Malaysia di hati hadrin. Aku rasa ini satu pencapaian Pakatan Rakyat yang cukup membanggakan. Tercipta Bangsa Malaysia sebenar-benarnya.

Tetapi mengapa semangat perpaduan yang erat antara kaum itu tidak berterusan?. Mungkin agak keterlaluan aku mempersoalkan hakikat sedemikian. Mungkin perpaduan kaum dalam negara pada keseluruhannya memuaskan. Namun berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin kita menampakkan ada sesautu yang tidak kena yang berlaku dalam negara kita. Kenyataan DS Anwar Ibrahim yang merasa bimbang dengan keadaan perpaduan kaum dan kenyataan DS Mohd Najib yang sentiasa meyeru ‘agar rakyat bertenang’ memberikan sesuatu gambaran yang keadaan negara tidak begitu ‘tenang’.

Sebenarnya berlakunya sesuatu yang dianggap tidak tenang itu adalah berpunca daripada segelintir manusia yang sentiasa menimbulkan kekacauan dalam negara. Kumpulan sedemikian seolah-olah merupakan ‘profession’ mereka untuk menganggu gugat ketenteraman awam dengan tindakan mereka yang kadang-kadang dilihat sebagai diluar batas manusia yang mempunyai peradaban. Mereka seolah-olah berbangga berbuat demikian. Dan kadang-kadang terfikir juga aku bahawa apakah mereka diberi upah untuk melakukan kegiatan sedemikian rupa. Yang anihnya kumpulan ini tidaklah seramai mana. Boleh dibilang dengan jari.

Tindakan provokasi yang mereka lakukan itu tidak mendapat perhatian kumpulan sasaran mereka. Mungkin ada yang ‘tercuit’ dengan tindakan mereka itu. Namun bagi sebahagian besar masyarakat merasakan bahawa tindakan sedemikian adalah merupakan tindakan kebudak-budakan dan memalukan kaum itu sendiri.Yang malangnya kumpulan ini kebiasaannya menggunakan nama ‘Melayu’ sedangkan sebahgian besar orang Melayu tulin di negara ini tidak sebegitu sikapnya. Malah sebahagian besar orang Melayu menentang tindakan kumpulan yang menggunakan nama ‘Melayu’ memperjuangkan agama Islam dan bangsa Melayu itu. Bukan cara manusia yang bertamadun.

Perjuangan orang yang beradab tidak begitu caranya.

Pepraduan kaum adalah ‘asam-garam’ kempen Pakatan Rakyat samada dari PKR atau PAS mahupu DAP dalam menghadapi PRU 13 yang lalu. Walaupun agak sukar pemimpin ketiga-tiga parti ini untuk menaja sesuatu yang amat sukar itu, namun disebabkan perasaan keikhlasan tulin agaknya, yang mahu melihat perpaduan bangsa Malasyia yang sejati, maka telah menghasilkan sesuatu yang agak konkrit.

Perkara-perkara yang selalu ditekankan oleh DS Anwar Ibrahim dalam ucapannya adalah seperti,

·      Anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Iban adalah anak saya……..anak rakyat Malaysia…..
·      PR bukan sahaja akan memberikan pertolongan kepada orang Melayu tetapi juga kepada orang Cina, orang India, orang Iban…..tidak kira bangsa dan kaum…..Kita akan bantu siapa sahaja yang memerlukan bantuan…..
·      Soal Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipertikaikan. Apa saja yang tercatat dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia tidak harus dipertikaikan.

Nampaknya rakyat Malaysia boleh terima. Menerimanya dengan sepenuh hati. Buktinya dapat dilihat dalam kempen-kempen PRU 13 dan sambutan-sambutan yang diberikan oleh rakyat apabila diadakan kempen PR dan juga apabila diadakan Perhimpunan ‘BLCK 505’ yang diadakan di merata-rata tempat di seluruh Malaysia.

DS Anwar Ibrahim boleh meneruskan semula kempen menyatukan kaum ini terutama semasa berkempen dalam PRK Kajang yang akan diadakan tidak lama lagi. Dan sekiranya dizinkan Allah boleh terus menjadikan negeri Selangor sebagai negeri contoh yang memacu hasrat menyatupadukan kaum-kaum dalam ertikata yang sebenarnya.

Biarlah Selangor sebagai penunjuk jalan ke arah perpaduan yang sebenar.

Abuhassanadam

30 Januari 2014

Wednesday, January 29, 2014

ANWAR MENERUSKAN PERJUANGAN MEMBELA RAKYAT

Aku tidak terkejut dengan perkembangan politik yang berlaku di Selangor kini berkaitan dengan kesediaan DS Anwar untuk bertanding di DUN Kajang, walaupun ramai yang merasa terkejut dengan perkembangan sedemikian. Seeingat aku sememangnya ‘amalan’ DS Anwar untuk ‘mengejutkan’ rakyat dengan beberapa tindakannya sebelum ini.

Ekoran dari perkembangan ini ramai juga yang merasakan bahawa TS Khalid Ibrahim tidak sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. Sememangnya rakyat Selangor sudah ‘jatuh hati’ dengan beberapa tindakan yang dilakukan oleh TS Khalid yang pada penglihatann rakyat Selangor sudah melakukan yang terbaik bagi rakyat berbanding dengan pemerintahan Barisan Nasional sebelum ini. Ini telah diakui bukan sahaja oleh penyokong Pakatan Rakyat tetapi juga penyokong Barisan Nasional sendiri.

Ramai juga yang merasakan bahawa ‘ If it's not broken, why fix it’. Maknanya sekiranya TS Khalid sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat, mengapa pula perlunya beliau diganti?

Aku pun berpendapat sedemikian selari dengan pemikiran kebanyakan rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. Namun setelah aku renung dan fikirkan beberapa kali bertemulah aku dengan beberpa jawapan. Mungkinlah apa yang dilakukan oleh TS Khalid itu amat sesuai dengan sebuah badan korporat dan (mungkin) kurang sesuai untuk pengendalian sebuah kerajaan negeri. Mungkin. Pihak pengurusan tertinggi Parti Keadilan rakyat mungkin merasakan bahawa perlu ada sesuatu langkah yang lebih berkesan lagi yang perlu dilaksanakan demi untuk memajukan negeri Selangor. Dan tidak pula pihak pengurusan tertinggi menafikan tentang kemajuan yang telah dilakukan oleh TS Khalid Ibrahim.

Itu hanya merupakan satu andaian sebab-musabab sekiranya jawatan TS Khalid diganti. Namun sehingga saat rencana ini ditulis belum ada lagi kenyataan tegas yang mengatakan bahawa perkhidmatan TS Khalid akan ditamatkan. Maknanya apa yang diramalkan oleh masyarakat kini belum tentu lagi akan berlaku.

Inilah yang dinamakan ‘kejutan’ DS Anwar Ibrahim. Ini merupakan kehebatan beliau sebagai ‘political animal’ yang sentiasa melakukan ‘paradigm shift’ mengikut keadaan. Namun begitu yang jelas bagi aku ialah bahawa tokoh ini sentiasa memikirkan kepentingan rakyat. Sememangnya rakyat diutamakannya dalam apa keadaan sekalipun. Boleh aku katakan telah dibuktikan dalam banyak keadaan bahawa rakyat lebih utama daripada dirinya.

Dan kesediaan beliau untuk ‘mencemar duli’ bertanding untuk DUN Kajang ini juga merupakan satu tindakan yang diluar dugaan sesiapa sekalipun. Dalam suasana ‘perkiraan’ yang biasa DS Anwar tentu sekali tidak akan melakukan tindakan sedemikian. Namun disebabkan pertimbangan ‘untuk kepentingan rakyat’ maka beliau sanggup bertindak sedemikian rupa. Rakyat Malaysia pastinya agak ‘pening’ melihatkan ‘pilitical manoeuvring’ yang sedemikian rupa, terutamanya bagi golongan politikus yang hanya terlibat dalam kancah politik Kurun ke 20. Mungkin mereka agak bingung melihatkan percaturan yang sedemikian rupa.

DS Anwar Ibrahim pastinya tidak bimbang walau sedikitpun tentang kekaburan yang dialami oleh rakyat tentang tindakan yang luar biasa ini kerana ‘senjata’ yang dikurniakan oleh Allah kepadanya ialah kebolehan dan kemampuan luar biasa untuk menjelaskan sesuatu. Tentunya beliau amat yakin bahawa rakyat pasti akan menerima saranan beliau tentang mengapa beliau perlu bertindak sedemikian rupa.

Matlamat akhirnya ialah untuk terus membela dan memajukan rakyat Selangor khususnya.

Sebagai seorang pejuang yang matang, aku tidak pernah bimbang dengan tindakan yang dilakukan oleh beliau. Seeingat aku perjuangan dan ‘sepak terajangnya’ sudah menjangkaui setengah abad. Bermula dari zaman persekolahan sehinggalah kini, perjuangannya dan idealisme yang diperjuangkannnya tidak pernah padam. Slogan, ‘the conscience of the majority’ merupakan pedoman penunjuk  jalan yang hendak dituju.

Membela rakyat.

abuhassanadam
29 Januari 2014



Wednesday, January 22, 2014

KEMELUT DI SWEDEN: SERAHKAN SAJA KEPADA DUTA KITA DI STOCKHOLM

Membaca kisah yang berlaku di Sweden menyebabkan fikiran aku ‘berkecamuk’. Menyebabkan fikiran aku agak kacau memikirkannya. Tentulah aku simpati dengan keadaan yang menimpa keluarga Encik Azizul Raheem Awalludindan dan isterinya, Shalwati Norshal, yang malang itu. Namun yang menyebabkan aku agak hairan ialah terlalu banyak golongan ‘yang menyibuk’ atau pun pura-pura sibuk untuk ‘menyelesaikan’ kemelut yang berlaku itu
Yang menghairankan aku ialah ‘kesibukan’ luar biasa yang ditunjukkan oleh pihak-pihak tertentu di negara ini. Pemuda UMNO sibuk mahu ‘menolong’. Wanita UMNO juga ghairah untuk ‘menolong’. Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM)  dan Malaysia Muslim Chamber of Economic and Social Affairs (DESMMA) juga telah menghantar memo protes kepada Embassy Sweden di Kuala Lumpur. Ramai lagi pihak-pihak yang ‘bersungguh-sungguh’ benar untuk membantu keluarga yang malang ini. Memanglah merupakan sesuatu yang menjadi kebanggan kita apabila rakyat begitu perihatin menghadapi golongan yang mengalami kesusahan.

Melihatkan ‘kesibukan’ yang luar biasa yang ditunjukkan oleh pihak tertentu di Malaysia membuat aku tertanya-tanya tentang mengapa mereka tidak menyerahkan kes sedemikian kepada  Embassy Malaysia di Stockholm sahaja, khususnya Datuk Badruddin Ab Rahman. Dengan ‘kesibukan’ yang ditunjukkan seolah-olah duta kita sudah tidak berfungsi lagi sehinggakan memerlukan pertolongan dari Malaysia untuk menyelesaikan isu sebegitu. Bukankah antara tugas yang sepatutnya dilakukan oleh embassy kita di luar negara untuk mengendalikan kes-kes yang sebegini. Dan pastinya pegawai kita di sana tahu dan mahir dalam menyelesaikan yang sedemikian.

Dan aku yakin bahawa pegawai kita di Stockholm adalah lebih arif dan lebih bijak lagi menyelesaikan isu ini berbanding dengan para ‘pakar’ yang akan dihantar ke sana. Isu yang berlaku kini adalah isu yang berkaitan dengan isu ‘ when you are in Rome do what the Romans do’. Peribahasa Melayu juga ada menyatakan bahawa ‘ masuk ke kandang kambing hendaklah mengembik dan masuk kandang kerbau hendaklah menguak…’ Dan aku merasakan bahawa duta kita di Stockholm lebih arif ‘mengembik’ berbanding dengan pegawai yang akan dihantar.

Rakyat terbanyak pasti tidak nampak keperluan negara menghantar para ‘pakar’ undang-undang kita ke sana selain dari ‘menghabiskan beras’.Apakah pihak kerajaan sudah tidak ada  ikhtiar atau jalan lain yang boleh menjimatkan wang rakyat selain daripada mengantar ‘pakar’ dari negara kita. Apakah sudah tidak ada pegawai kita yang berkelayakan untuk menyelesaikan isu ini yang terdapat di Stockholm. Dan sekiranya tidak terdapat walau seorang pun pegawai yang berkelayakan di Stockholm, apakah kita tidak boleh meminta bantuan daripada Emabassy kita di Paris atau di London atau di mana-mana saja di Eropah. Apakah merupakan satu kemestian yang pegawai yang akan menyelesaikan isu ini mesti didatangkan dari Malaysia. Seolah-olah orang dari Malaysia saja yang dapat menyelesaikan isu ini.

Satu persoalan lain yang menerpa kepala aku. Apakah ada jaminan bahawa pegawai yang dihantar ke Sweden nanti dapat menyelesaikan kes berkenaan dan dapat menyelamatkan semua keadaan. Ini berbalik kepada persoalan,’ bila masuk kandang kambing mengembik dan masuk kandang kerbau ( atau LEMBU) menguak. Ini ada kaitan dengan undang-undang dalam negara Sweden. Mereka yang menetapkan undang-undang berkenaan dan mesti dipatuhi. Samalah seperti kita menetapkan undang-undang di negara kita yang berkaitan dengan pemilikan dadah yang membawa hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Negara luar merasakan hukuman yang kita kenakan kepada pengedar dadah adalah terlalu berat, tetapi bagi kita di Malaysia itulah merupakan hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada pelaku yang melakukan kesalahan sedemikian. Begitu jugalah undang-undang yang telah ditetapkan di Sweden dan di negara-negara lain juga yang mempunyai undang-undang yang tersendiri.

Aku lebih yakin sekirannya kita memilih saluran diplomatik untuk menyelesaikan isu yang sebegini dan bukan dengan cara menghantar ‘pakar’ undang-undang dari negara kita. Sekiranya penyelesaian melalui saluran undang-undang, maka undang-undang jugalah yang digunakan oleh pemerintah Sweden untuk menyelesaikan isu berkenaan. Dan apabila undang-undang dijadikan sandaran maka undang-undang jugalah jalan penyelesaiannya.

Berbeza dengan tindakan melalui saluran diplomatik yang mana duta kita amat faham dengan selok belok dan cara yang diamalkan di Sweden. Pastinya Pak Duta di Sweden tahu dan kenal dengan rakan-rakan diplomat di Sweden yang boleh membantu menyelesaikan kes-kes yang sebegini. Bersandarkan perasaan hormat-menghrmati antara kawan dan rakan, dan berasaskan pula kepada pertimbangan kemanusiaan, maka isu ini pati dapat diselesaikan dengan cara ‘ menarik benang dalam tepung’. Benang dapat ditarik dan tepung tidak berselerak.

Berbanding dengan menghantar para ‘pakar’ undang-undang ke sana yang memungkinkan tepung akan berselerak dan benang masih tidak dapat ditarik keluar.

abuhassanadam

22 Januari 2014