Sunday, March 30, 2014

BALINGIAN: KEJAYAAN PEMIMPIN BN SARAWAK “MEMPERBODOHKAN” PENGUNDI BALINGIAN

Tajuk di atas agak ‘keras’ bunyinya kerana aku melihat suasana yang menyelubungi PRK Balingian itu sedemikian rupanya. Namum tidak pula aku mengatakan bahawa semua pemimpin Sarawak berkeadaan demikian dan tidak juga semua pengundi balingian dapat diperbodohkan. Jika dilihat melalui kacamata seorang pengamal demokrasi tulin jelas menunjukkan bahawa apa yang diamalkan oleh pemimpin Sarawak itu amat bertentangan dengan prinsip demokrasi berkenaan.

Apa tidaknya?

Antara inti pati Perjanjian Malaysia 1963 ialah negeri Sabah dan sarawak diberikan kuasa mengawal hal ehwal imigresen dan perkhidmatan awam. Dan kuasa untuk mengawal hal ehwal imigresen ini telah dipergunakan sepenuhnya untuk tujuan menyekat kemasukan maklumat dari Semenanjung yang boleh menyedarkan pengundi Balingian khususnya. Aku tidak nampak rasional mengapa pemimpin di Sarawak terpaksa bertindak sedemikian rupa. Apakah mereka begitu bimbang dengan kedatangan Saifuddin Abdullah, Rafizi Ramli, Tien Chua sehinggakan pemimpin Sarawak ini sanggup ‘merendahkan’ taraf pemikiran mereka kepada dunia luar.

Sekiranya pemimpin di sana merasakan bahawa dengan kedatangan para pemimpin Semenanjung akan berperanan untuk memecah-belahkan rakyat, bukankan ada berbagai-bagai undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa mereka. Dengan menghalang mereka untuk menyampaikan penerangan kepada pengundi Balingian memberikan gambaran kepada rakyat di Semenanjung khususnya dan dunia luar umumnya bahawa masih ada lagi saki baki cara berfikir yang diwarisi oleh anak negeri sarawak daripada Raja Brooke dulu. Mungkin….

Sekiranya disusur-galur kisah perjuangan rakyat Sarawak menentang keluarga Brooke, maka hampir tidak percaya aku bahawa anak cucu pejuang-pejuang lampau seperti Rosli Dhobi, sanggup mengainaya saudara serumpun nya dari Semenanjung dengan ‘menghalau’ pulang ‘mentah’mentah’ kedatangan mereka ke bumi Kenyalang ini. Adat Melayu tidak akan berbuat begitu sekiranya tujuan kedatangannya itu dengan niat baik. Orang Melayu biasanya tidak akan ‘menghalau’ tetamu yang datang ke rumahnya. Dibenarkannya masuk ke rumah terlebih dahulu. Diberinya makan. Dan sekiranya tujuan kedatangan tetamu itu tidak baik maka barulah dihalaunya. Itupun dengan cara yang paling bersopan.

Pernah suatu ketika dahulu YB Nurul Izzah tidak dibenarkan menjejakkan kaki di bumi Sabah. Aku merasakan bahawa hanya segelintir rakyat Malaysia sahaja yang menyetujui dengan tindakan pegawai berkuasa Sabah itu. Selainnya akan merasa jelek dengan tindakan sedemikian apatah lagi apabila mengenangkan tindakan pemimpin yang dengan ‘kemurahan’ hati merelakan kemasukan ribuan pendatang haram yang kemudianya diiktiraf sebagai rakyat Malaysia. Ini yang dikatakan ‘anak kera dihutan disusui sedangkan anak sendiri kelaparan’.

Pemimpin Sarawak dari Barisan Nasional bukan sahaja berjaya menang dalam PRK Balingian tetapi juga berjaya ‘memperbodohkan’ sebahagian pengundi Balingian. Aku tidak sekali-kali memperkecilkan kemampuan pengundi Balingian untuk membuat pertimbangan tentang parti mana yang hendak dipilih oleh mereka. Tetapi sekurang-kurangnya mereka diberikan peluang seluas-luasnya untuk membuat pertimbangan. Diberikan peluang seluas-luasnya untuk mendengar pandangan dan pendapat dari kedua-dua belah pihak, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Dengan menutup peluang untuk mendengar dari pihak Pakatan Rakyat seolah-olah pemerintah di Sarawak menjalankan pemerintahan Diktator.

Bukan hasrat aku untuk mengulas tentang keputusan PRK Balingian. Yang ingin aku sampaikan ialah tentang kekesalan aku tentang sikap setengah pemimpin Sarawak yang tidak merasa segan dan silu melakukan sesuatu yang tidak sepatutya dilakukan oleh pemimpin pada Kurun ke 21. Jika ditinjua sejarah perjuangan anak Sarawak menentang keluarga Brooke dan kemudian penjajhan British dapat dilihat tentang kehebatan mereka itu.

·      Penentangan Datu Patinggi Abang Haji Abdillah selaku Ketua Masyarakat Melayu Sarawak terhadap tindakan Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British yang pada pendapatnya bertentangan dengan Perlembagaan 1941, harus dipuji.
·      Perana kaum ibu Sarawak dalam PKMS (Persatuan Kebangsaan Melayu sarawak) juga tidak kurang hebatnya dalam usaha mereka menentang British. Kaum Ibu turut membantah dengan berdemonstrasi dan menghantar surat bantahan kepada kerajaan Britsih.
·      Keberanian seramai 338 orang kakitangan awam meletakan jawatan sebagai tanda bantahan terhadap British yang mengeluarkan Surat Pekeliling Bil 9 yang memberikan amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap kakitangan kerajaan yang terlibat dalam demonstrasi.
·      Tindakan anak muda yang bernama Rosli Dhobi yang telah menikam Gabenor Sarawak, Duncan Stewart pada 3 Disember 1949. Walaupun beliau dihukum gantung kemudiannya tetapi keberanaiannya sepatutnya dijadikan contoh oleh anak muda Malaysia dan anak muda Sarawak khususnya.

Dan keberanian pemimpin sarawak pada tahun 2014 agak berbeza orientasinya. Mereka sepatutnya bukan hanya berani menyekat kemasukan ‘pandangan’ dan ‘buah fikiran’ dari luar, tetapi harus berani berdepan dan ‘berdebat’ membahaskan sesuatu isu.

abuhassanadam
30 Mac 2014




Wednesday, March 26, 2014

EKORAN ISU MH 370 - PEMIMPIN KITA MASIH BERTARAF ‘JAGUH KAMPUNG’

Kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa MH 370 ‘mengakhiri penerbangannya di Selatan Lautan India’ memilukan hati siapa saja yang masih bernafas di atas muka bumi ini. Cukup sedih memikirkan, walaupun bukan sanak saudara dan keluarga kita yang tertimpa nasib malang itu. Namun kesannya amat terasa dan menusuk kalbu. Cuma yang boleh dilakukan ialah agar keluarga yang malang sentiasa bersabar dan menghadapi dugaan Tuhan dengan penuh tabah.

Malaysiakini memetik kenyataan Encik Ong Tee Keat (Mantan Presiden MCA),’ "I believe the government is lucky to have had Hishammuddin as acting transport minister ... who was able to handle the international media and speak well, compared to other potential candidates who likely would have fared far worse and have far poorer communication skills.”

Aku hampir setuju dengan kenyataan di atas. Sekurang-kurangnya DS Hishamuddin Tun Hussein selaku Pemangku Menteri Pengangkutan dapat juga ‘menyelamatkan’ keadaan negara ini dari terus mendapat kutukan antara bangsa. Bak kata pepatah Melayu,’ tiada rotan akar berguna juga’.

Walaupun ada yang simpati dengan ‘nasib’ yang menimpa negara ekoran daripada kehilangan pesawat MH 370 itu, namun ramai juga yang mengkritik cara kita menguruskan krisis ini. Sehingga kini kritikan nampaknya semakin nyaring terutama yang datangnya daripada kaum keluarga yang kehilangan orang yang tersayang dan juga dari wartawan luar yang tidak puas hati dengan cara kita menguruskan krisis berkenaan khususnya cara kita mengendalikan persidangan media berkenaan.

Dan ekoran daripada peristiwa kehilangan pesawat MH 370 ini telah memberikan banyak ‘pengajaran’ yang berguna untuk diperhatikan oleh rakyat Malaysia dari semua aspek. Yang perlu disedari oleh kita ialah bahawa sebenarnya para pemimpin negara kita masih bertaraf jaguh kampung. Seingat aku belum pernah lagi para pemimpin negara kita terlibat secara langsung dengan krisis antarabangsa seperti yang berlaku kini.

Sekiranya tidak ada DS Hishamuddin untuk mengendalikan sidang media (pada setiap hari itu) aku tidak dapat membayangkan tentang menteri kabinet Malaysia lain yang boleh mengambil tempat berkenaan. Cubalah bayangkan sejenak memikirkan menteri atau timbalan menteri manalah agaknya yang boleh berbahasa Inggeris dengan fasih untuk mengendalikan sidang akhbar berkenaan. Yang aku nampak hanya dua orang lain yang boleh menggantikan tempat berkenaan – YB Khairi Jamaluddin dan YB Abdul Rahman Dahlan. Aku amat sangsi dan khuatir dengan kebolehan ‘pemimpin’ lain yang boleh mengendalikan sidang media berkenaan. Ini disebabkan kebanyakannya hanya bertaraf jaguh kampung.

Teringat pula aku tentang persidangan antarabangsa yang sentiasa dihadiri oleh para menteri kita. Sekiranya beginilah keadaan menteri kita yang tidak dapat menyampaikan idea dengan bernas dan berkesan (disebabkan kurangnya penguasaan bahasa Inggeris) apakah manfaat yang boleh diperolehi oleh negara kesan daripada kehadiran mereka itu. Maknanaya pemergian mereka itu hanya sekadar untuk makan angin dan memanaskan kerusi sahaja. Tentulah amat malang bagi rakyat Malaysia sekiranya para menteri kita yang ada kini hanyalah bertaraf ‘jaguh kampung’.

Terlalu banyak perkara yang perlu kita sedari ekoran daripada peristiwa kehilangan pesawat MH 370 ini. Terlalu banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki untuk mencapai taraf negara maju seperti yang diimpikan dalam wawasan 2020. Amat jauh perjalanan yang perlu kita lalui. Aku merasa amat sedih melihatkan para wartawan kita yang ‘terkial-kial’ mengajukan soalan berbanding dengan cara dan tingkah laku wartawan antarabangsa mengemukakan soalan. Dengan penuh yakin dan persediaan fakta yang cukup mereka mengemukakan soalan dan kesannya tentulah pihak yang memberi jawapan pula ‘terkial-kial’ untuk menjawab.

Untuk menempah menjadi sebuah negara maju, rakyatnya harus terdidik untuk melengkapkan diri sebagai sebuah negara maju. Dapat aku perhatikan ‘gesture’ dan ‘body language’ yang ditunjukkan oleh wartawan asing apabila melihatkan gelagat wartawan kita di sesuatu persidangan media. Aku tidak menyalahkan wartawan kita. Mungkin mereka sudah dilengkapkan dengan berbagai ilmu kewartawanan ketika mereka berada di kolej atau di university. Namun disebabkan oleh ‘konkongan’ yang sentiasa diterima oleh mereka oleh pihak-pihak tertentu menyebabkan watawan kita sentiasa ‘takut’ dan berhati-hati. Dan yang amat menyedihkan ialah bahawa para wartawan kita tidak dapat melahirkan fikiran mereka tanpa mengikuti ‘script’ yang telah disediakan, sebagaimana yang sentiasa mereka terima dan amalkan. Maka akhirnya lahir jugalah wartawan yang bertaraf ‘jaguh kampung’.

Namun begitu terfikir juga aku bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang berkebolehan jauh lebih baik daripada pemimpin yang ada sekarang. Tetapi rakyat yang bukan ‘jaguh kampung’ ini tidak berpeluang untuk berada di medan hadapan. Sentiasa dihalang daripada tanpil untuk berada di barisan hadapan. Jikalau dikatakan orang Melayu tidak berkebolehan, dapat aku pastikan bahawa terlalu ramai orang Melayu yang berkebolehan, berkelulusan dari university-university ternama di luar negara. Sekiranya memerlukan tokoh-tokoh yang boleh berbahasa Inggeris dengan fasih, ‘berlambak’ di luar sana tokoh-tokoh Melayu yang boleh berbahasa Inggeris. Malangnya totokh-tokoh ini tidak diberi peluang untuk tampil ‘mempertahankan’ negara. Mungkin juga disebabkan oleh tokoh-tokoh yang bertaraf antarabangsa ini memiliki cara berfikir yang tidak selari dengan cara berfikir kebanyakan pemimpin negara kini.

Ramai rakyat Malaysia yang agak merasa malu apabila mengikuti taklimat yang disampaikan mengenai kehilangan Pesawat MH 370. Bukan sahaja fakta yang bercanggah antara satu ketika dengan ketika yang lain, tetapi cara dan penampilan juga amat meragukan siapa saja yang mengikuti taklimat berkenaan. Seolah-olah si penyampai tidak dilengkapkan dengan data semasa yang meyakinkan. Amat malang sekali mengenangkan keadaan ini. Tidak hairanlah kita mendapat kritikan yang amat pedas sekali dari pengkeritik luar negara tentang cara kita mengendalikan sidang media kita dan cara kita menguruskan krisis ini. Dan amat menyedihkan apabila Perdana Menteri sendiri pada suatu ketika tidak sanggup menjawab soalan-soalan dari wartwan berkaitan dengan kehilangan pesawat berkenaan.

abuhasanadam
26 Mac 2014


Tuesday, March 25, 2014

PRK KAJANG – ‘WATERSHED’ DALAM SEJARAH POLITIK TANAH AIR

PRK kajang akan menjadi ‘watershed’ dalam sejarah politik di Malaysia. Boleh juga dikatakan sebagai pemangkin (catalyst) ke arah mengubah senario politik negara. Jikalau ramai yang mengatakan bahawa langkah Kajang adalah merupakan langkah ke arah Puterajaya, maka aku seakan-akan mahu bersetuju dengan pendapat sedemikian. Apatah lagi apabila memikirkan kata-kata Lao Tzu yang mengatakan bahawa ‘ a journey of one thousand miles begins with a single step’. Dan PRK Kajang bukan merupakan langkah pertama tetapi bagi aku sebagai langkah penyudah. ‘Final touches’ ke arah melengkapkan sesuatu.

Aku mengatakan PRK Kajang sebagai penyudah berasakan pendapat ramai yang mengatakan bahawa ada dua faktor penting yang berlaku dalam PRK ini yang boleh dijadikan sebagai ‘langkah penyudah’

·      Penglibatan golongan muda yang begitu aktif menyokong Pakatan Rakyat dalam PRK Kajang akan menjadi faktor penentu dalam PRU atau PRK yang akan datang.
·      Perubahan cara berfikir yang mendadak dikalanagan pengundi Melayu. Ada beberapa kawasan pengundi Melayu yang dahulunya penyokong kuat UMNO (BN) telah bertukar haluan untuk memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

Jikalau Langkah Kajang sebagai langkah penyudah, maka sudah tentu ada langkah mulanya. Bagi aku langkah pertama bermula pada tahun 1998 apabila rakyat Malaysia khususnya orang Melayu  dikejutkan dengan satu ‘malapetaka’ yang membabitkan pertuduhan liwat ke atas DS Anwar Ibrahim. Orang Melayu dikejutkan juga dengan beberapa tindakan pemimpin UMNO yang sanggup melucutkan jawatan DS Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga sebagai ahli UMNO.

Orang Melayu khususnya ‘terperanjat’ dengan peristiwa demikian. Dan apabila berlakunya Pilihan Raya Umum pada 1999, orang Melayu melahirkan kekecewaan mereka terhadap tindakan kerajaan menganiaya DS Anwar Ibrahim. Orang Melayu merasakan apa yang berlaku ke atas DS Anwar Ibrahim itu tidak sepatutnya berlaku. Ramai yang mengatakan sebagai zalim tindakan pihak tertentu berkenaan. Orang Melayu juga tahu untuk melahirkan penentangan mereka terhadap kerajaan.

Barisan Nasional nyaris tewas dalam PRU 1999 jika tidak diselamatkan oleh kaum Cina dan India. Simpati terhadap DS Anwar Ibrahim  tidak meluas dikalangan kaum bukan Melayu pada ketika itu dan tidak sebagaimana yang berlaku kini. Mungkin juga mereka tidak mendapat penjelasan yang jelas tentang peristiwa berkenaan disebabkan ketiadaan hebahan media sosial seperti sekarang.

Keputusan PRU 1999 memberikan gambaran bahawa negeri-negeri yang majoritinya orang Melayu telah dapat memenangi banyak kerusi Parilemen dan begitu juga kerusi Dewan Undangan Negeri. Maknanya orang Melayu begitu ‘marah’ dengan apa yang telah dilakukan ke atas DS Anwar Ibrahim itu.

Keputusan PRU 12 dan PRU 13 telah memberikan satu gambaran yang agak berlainan sedikit. Walaupun BN tidak dapat mempertahankan kedudukan 2/3 dalam parlimen, namun mereka telah dapat ‘diselamatkan’ oleh orang Melayu. UMNO (BN) telah memberikan tumpuan istemewa kepada orang Melayu pada ketika itu. Isu-isu yang membabitkan soal perkauman dan agama terus menerus dimainkan untuk menambat hati orang Melayu (yang boleh ‘ditambat’ hati mereka). UMNO (BN) agak berjaya  dalam erti kata masih dapat ‘bernafas’ memerintah negara ini walaupun dalam keadaan ‘nyawa-nyawa’ ikan. Orang Melayu (yang masih ‘berselimut’ dan berada ‘di bawah tempurung’) yang menyelematkan keadaan itu.

Kini pemikiran orang Melayu yang berkeadaan demikian sudah hampir lenyap. Hanya orang Melayu yang ‘berkepentingan’ sahaja  yang masih merasakan bahawa UMNO (BN) masih relevan mentadbirkan negara Malaysia sedangkan sudah ramai orang Melayu yang merasakan sebaliknya. PRK Kajang telah memberikan gambaran jelas tentang perubahan sikap pengundi Melayu. Jikalau dalam PRU 13 yang lepas, beberapa kawasan pengundi Melayu telah dimenangi oleh BN, tetapi pada PRK Kajang yang lepas trend ini telah berubah.

Maknanya orang Melayu telah sedar dan faham bahawa pentadbiran kerajaan BN sudah tidak relevan. Sudah tidak dapat menjaga kesejahteraan rakyat dengan kenaikan harga barang dan berbagai penyelewengan yang telah dilakukan. Ekoran dari berbagai-bagai penerangan yang diberikan kepada mereka orang Melayu kini sudah sedar tentang berbagai penyelewengan yang dilakukan. Dan yang paling penting ialah orang Melayu tidak akan membiarkan kezaliman yang berterusan dilakukan ke atas DS Anwar Ibrahim. Orang Melayu patuh kepada keputusan hakim tetapi hati kecil mereka merasakan tidak rela membiarkan ‘orang tua’ yang sudah berumur 68 tahun dipenjarakan  lima tahun di atas ‘kesalahan’ yang mungkin ‘dicipta’ semata-mata untuk ‘menutup mulut’ beliau. Simpati orang Melayu terhadap DS Anwar akan berterusan dan ‘dendam’ ini akan terus ‘merebak’ dalam hati dan perasaan orang Melayu sehinggalah ke suatu ketika apabila ia dapat ‘diubati’.

Dan jangan dilupakan juga bahawa kebangkitan orang muda merupakan satu trend dan ‘watershed’ dalam sejarah politik tanah air. Amat jelas  dilihat pada PRK Kajang. Orang muda sudah betul-betul komited dalam perjuangan untuk menegakkan kebenaran. Penglibatan mereka adalah luar biasa. Dan yang menyokong Pakatan Rakyat adalah golongan belia yang terpelajar yang terdiri dari mahasiswa univeristy yang amat sedar tentang peranan mereka untuk memajukan negara tercinta. Golongan ini sudah tidak dapat ‘digula-gula’ dan tidak mudah disogok lagi.

Ini juga merupakan perkembangan yangl luar biasa berbanding dengan tahun 1999 dulu di mana kaum belia seolah-olah sentiasa berada di zon selesa. Ramai kaum belia yang tidak mahu mengundi memandangkan bahawa negara sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera. Dengan demikian para belia pada ketika itu merasakan bahawa kedudukan mereka tidak akan merobah senario politik tanah air. Seperti melukut ditepi gantang. Kemasukan mereka dalam politik tidak menambah dan tidak pula merugikan sekiranya mereka berada di luar. Keadaan itu sudah berubah kini. Para belia sudah memainkan peranan aktif dan dapat dilihat dengan jelas pada PRK Kajang yang baru lalu.

Lantas lebih meyakinkan aku bahawa PRK kajang adalah merupakan satu ‘watershed’ dalam sejarah perkembangan politik tanah air. Dua perkembangan yang berlaku ia itu kesedaran dikalangan orang Melayu tentang berbagai penyelewengan yang berlaku kini disertai pula dengan penglibatan secara aktif para belia dengan jelas akan membuka ruang yang cukup jelas bagi melangkah ke Putrajaya. Apatah lagi apabila memikirkan yang kaum bukan Melayu (Cina dan India) sudah boleh berganding bahu memikul tanggungjawab bersama sebagai anak Malaysia untuk meneruskan perjuangan ke Putrajaya dan meletakkan negara Malaysia di peta dunia yang boleh dibanggakan semua.

Kita iringi hasrat ini dengan doa.

abuhassanadam
25 Mac 2014




Monday, March 24, 2014

SEMACAM ADA PERSAMAAN ANTARA KISAH  DR.WAN AZIZAH DENGAN  CORAZON AQUINO DARI FILIPINA

Keputusan ‘pungutan suara’ di Kajang memberikan isyarat jelas kepada kerajaan BN bahawa rakyat jelas menolak sebarang bentuk penyelewengan dan pengamalan rasuah dan kronisme yang dilakukan oleh setengah pemimpin kerajaan. Ringkasnya mereka menolak parti Barisan Nasional. Walaupun pungutan suara itu berlaku di Kajang, namun ditinjau dari segi representatif penduduk telah memberikan gambaran sebagai keseluruhan penduduk Malaysia yang mempunyai 48% Melayu, 41% Cina dan 10% India.

Kini DS Dr. Wan Azizah telah ‘tercampak’ semula ke kancah politik tanah air. Mahu tidak mahu beliau terpaksa bergelumang semula secara aktif dengan rakyat Kajang khususnya dan mungkin terlibat secara langsung dengan masyarakat lebih besar ia itu masyarakat Malaysia. Jikalau aku tidak silap, YB Lim Kit Siang telah menyebut dan ‘meramalkan’ yang Dr. Wan Azizah berkemungkinan menjadi Perdama Menteri wanita pertama. Dan disanggah oleh YB DS Zahid Hamidi yang merasakan bahawa YB Lim Kit Siang sedang bermimpi di siang hari. Maknanya bagi DS Zahid yang perkara yang disebut oleh YB Lim Kit Siang itu tidak akan berlaku. Hanya sebagai bermimpi di siang hari!!..

Ini pandangan masing-masing. Yang penting kuasa Allah akan menentukan segala-galanya. Ada dua faktor yang menyebabkan aku terdorong untuk menyentuh  isu ini.

·      Kenyataan ini terkeluar dari mulut YB Lim Kit Siang.
·      Liku-liku kehidupan yang dilalui oleh YB Dr. Wan Azizah adalah lebih kurang sama dengan liku-liku hidup yang dilalui oleh Corazón "Cory" Aquino, Presiden wanita pertama bagi Filipina.

Aku berada di majlis pelancaran Reformasi 2 yang diadakan di Stadium Kajang pada malam 22 Mac 2014 dan aku lihat dan dengar YB Lim Kit Siang menyatakan ‘ramalan’ itu. Sebelum ini belum pernah lagi aku dengar kenyataan yang sedemikian oleh seorang yang setaraf dengan YB Lim Kit Siang. Pernah juga aku dengar ‘usikan-usikan’ yang meramalkan bahawa YB Nurul Izzah akan menjadi Perdama Menteri wanita Malaysia yang pertama. Kenyataan itu banyak kali aku dengar.

Kenyataan yang DS Dr Wan Azizah berkemungkinan menjadi Perdana Menteri Wanita pertama baru pertama kali aku dengar. Dari mulut YB Lim Kit Siang. Bagi aku tidak mudah seorang pemimpin yang berkeliber seperti YB Lim untuk ‘saja-saja’ mengeluarkan kenyataan sedemikian. Beliau adalah merupakan ahli politik ‘veteran’ yang sudah lama bergelumang dan ‘bersepak-terajang’ dalam perjuangan politik tanah air. Tentulah ada ‘kebenaran’ tentang apa yang ‘dilihatnya’. Ini bukan ‘cakap kosong’ setelah difikirkan secara serious. Dan pastinya ramai juga rakyat di Malaysia mula memikirkan tentang kenyataan YB Lim Kit Siang itu.

Dan sekiranya dilihat tentang sejarah kemunculan Corazón Cory Aquino di Filipina maka sejarah politik DS Dr. Wan Azizah adalah lebih kurang sama. Malah aku difahamkan ketika itu mereka sering berhubungan antara satu sama lain pada ketika DS Dr. Wan Azizah mula-mula menerima ‘malapetaka’ ketika DS Anwar Ibrahim difitnah pada tahun 1998. Mereka seolah-olah menerima nasib yang sama. Dan tidak mustahil jejak langkah Corazón Cory Aquino itu juga akan merupakan langkah-langkah yang akan diatur oleh DS Wan Azizah ekoran daripada Langkah Kajang.

Anak-anak muda kini mungkin masih di sekolah rendah apabila peristiwa yang menyayat hati ini berlaku di Filipina pada tahun 1983. Tiga puluh tahun yang lampau. Corazon Aquino ‘terpaksa terjun’ dalam kancah politik setelah suaminya Benigno Aquino, seorang senator di Filipina ditembak mati di Lapangan Antarabangsa Manila pada  21 Ogos 1983 setibanya beliau dari Amerika Syarikat setelah berada dalam buangan selama tiga tahun di sana. Beliau telah ditembak ketika dalam perjalanan menuju ke kereta yang sedang menunggunya.

Lebih kurang sama seperti DS Anwar Ibrahim di Malaysia, Aquino sentiasa menentang dan menyerang pemerintahan kuku besi yang dijalankan oleh Presiden Marcos. Isterinya Imelda Marcos turut bersama-sama membelanjakan wang rakyat, terutama dalam hal memenuhi kehendak hati dan perasaan dengan membeli ratusan pasang kasut dan beg tangan berjenama dari luar negara.

Benigno Aquino telah dipenjarakan atas dasar tuduhan yang direka-reka ( sama seperti yang dialami oleh DS Anwar Ibrahim). In 1980, he suffered a heart attack in prison and was allowed to leave the country two months later by Marcos's wife, Imelda (Wikipedia). Setelah tiga tahun berada dalam buangan, beliau berhasrat untuk pulang ke Filipina di mana beliau ditembak selepas sahaja sampai di Lapangan Terbang Manila.

Keadaan sedemikianlah yang ‘memaksa’ Corazon Aquino untuk tampil berkecimpung dalam arena politik tanah airnya. Beliau menwarkan dirinya untuk bertanding jawatan Presiden dalam pilihanraya pada tahun 1986. Marcos telah diisytiharkan sebagai menang dalam pilihan raya berkenaan. Namun rakyat Filipina merasakan bahawa kemenangannya itu adalah melalui penipuan dan penyelewengan.

Rakyat bangun menentang penyelewengan berkenaan. Keadaan sedemikian telah mencetuskan People Power Revolution. Maknanya rakyat sudah tidak tahan lagi dengan penipuan dan kezaliman yang dilakukan oleh Marcos. Rakyat turun beramai-ramai ke jalan raya dan kesannya ialah Marcos terpaksa melarikan diri kelaur dari Filipina. Dan Corazon Aquino telah dilantik sebagai Presiden Filipina.

abuhassanadam
24 Mac 2014