Sunday, June 30, 2013

TAMBANG BAS NAIK – FIKIRKAN SEMULA….

TAMBANG BAS NAIK – FIKIRKAN SEMULA….

Baru-baru ini aku dengar tambang bas akan dinaikkan 30%. Aku mendongak ke langit seketika, mengenangkan kesan daripada kenaikan itu. Berbagai-bagai. Aku terfikir tentang tambahan 30% daripada tambang biasa. Katakanlah, tambang bas biasa ke sesuatu destinasi itu RM 20.00. Dengan kenaikan tambang bas yang baru seseorang akan mengeluarkan RM26.00. Seorang. Jikalau lima orang ( Suami, isteri dan tiga orang anak) si penumpang  terpaksa membelanjakan tambahan RM 30.00 daripada biasa.

RM30.00 bagi seorang pekerja bergaji sederhana agak besar. Dan biasanya yang menggunakan perhidmatan awam ialah yang bergaji kecil dan sederhana. Bagi mereka yang berpendapatan lumayan pastinya memiliki kenderaan sendiri. Tak perlu naik bas atau keretapi. Mungkin mereka menaiki kapalterbang untuk mengelakkan kesesakan dan untuk menjimatkan masa di perjalananan.

Balik mesti balik. Itu pasti. Tambang naik ke atau tambang tak naik ke, itu ‘belakang kira’. Lambaian dari kampung amat kuat untuk ‘memujuk’ dan ‘memaksa’ anak rantau pulang ke kampung. Dengan apa cara sekalipun mereka akan pulang ke kampung. Keadaan yang sebeginilah yang menyebabkan perantau terpaksa menyediakan wang ( dengan apa cara sekalipun) sebagai persediaan balik ke kampung.

Aku amat faham perasaan anak perantau ketika menjelangnya Hari Raya. Aku pernah mengalaminya.

Awal 1970an. Masih student. Miskin dan hanya mengharapkan wang dermasiswa kerajaan untuk hidup. Dengan wang dermasiswa itulah untuk membiayai yuran university dan daripada wang demasiswa itu jugalah untuk perbelanjaan harian. Makan minum. ‘Memang tak cukup punya’. Namun begitu pandai-pandailah berjimat dan hiduplah dengan cara yang paling sederhana.

Bila sampai menjelangnya Hari Raya pastinya balik kampung. Bujang. Apa erinya Hari Raya sekiranya tidak pulang ke kampung. Bukan ada sanak saudara yang tinggal di Kuala Lumpur. Jikalau pun mereka tinggal di Kuala Lumpur, pastinya mereka juga akan pulang ke kampung semasa Hari Raya Aidilfitri.

Ada dua peristiwa yang aku alami ketika pulang ke kampung waktu menjelangnya Hari Raya. Tahun Pertama di university aku pulang ke kampung dengan menaiki lori membawa surat khabar ‘The Straits Time’dan pada tahun berikutnya menaiki keretapi ( berdiri sepanjang jalan selama tujuh jam). Inilah dua peristiwa yang tidak dapat aku lupakan sampai ke hari ini. Dan selalu pula aku menceritakan kepada anak-anak yang biasa dengan kesenangan supaya mereka dapat merasakan ‘penderitaan’ sebagaimana yang aku dan kawan-kawan yang senasib dengan aku mengalaminya.
Tambang keretapi dari Kuala Lumpur ke Padang Rengas pada ketika itu ialah RM8.05. ‘Tambang’ menaiki lori surat akhbar ‘The Starits Time’ atau ‘Utusan Melayu’ hanyalah disekitar RM 4.00 atau RM 5.00. Itu pun kadang-kadang dapat menaiki dengan percuma. Terpulanglah kepada pemandu lori berkenaan. Kadang-kadang ada pemandu yang baik hati dan tidak pun mengenakan sebarang ‘tambang’ kepada ‘penumpang’ seperti kami.

Pada ketika itu masalah yang dihadapi oleh perantau yang hendak pulang ke kampung sewaktu menjelang Hari Raya adalah lebih kurang sama dengan keadaan yang dihadapi sekarang. Tidak cukup kenderaan. Terpaksa menempah tiket bas lebih awal. Dan bilangan bas penumpang yang ada pada ketika itu amat berkurangan berbanding dengan kini.

Masalah yang aku dan rakan-rakan hadapi adalah lain daripada yang lain. Bukan tidak boleh menempah tiket bas dari awal tetapi adalah untuk penjimatan. Duit tak cukup. RM 5.00 yang dapat dijimatkan dengan menaiki lori adalah amat bermakna untuk perbelanjaan Hari Raya. Oleh itu ramai kawan-kawan yang mengambil langkah sedemikian, walaupun amat tidak selesa berbanding dengan menaiki bas atau keretapi. Terpaksa bersempit-sempit dicelah-celah bungkusan surat khabar.

Pengalaman yang kedua yang pernah aku alami ialah dengan menaiki keretapi secara percuma tetapi terpaksa berdiri sepanjang perjalanan selama tujuh jam. Walaupun ‘menderita’ mengalaminya tapi ia merupakan pengalaman yang amat berguna untuk diceritakan kepada anak cucu kemudian hari.

Aku telah mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung pada tahun itu. Ini disebabkan ‘assignment’ yang bertimbun-timbun yang perlu disiapkan. Lagipun peperiksaan akhir sudah hampir benar menjelang. Banyak lagi yang perlu dibaca dan diselidiki sebelum boleh menduduki peperiksaan. Dengan demikian aku bertekad untuk tidak pulang ke kampung berhari raya pada tahun berkenaan. Aku tabahkan hati. Aku sudah beritahu kepada emak dan bapak yang aku tak balik. Banyak kerja. Mereka faham.

Dua hari sebelum Hari Raya, sudah mula perantau yang tinggal di Kuala Lumpur bergerak pulang ke kampung. Jalan-jalan raya di Kuala Lumpur mulai lengang. Jalan Bangsar, satu-satunya jalan yang menghubungkan bandar Kuala Lumpur dengan University Malaya pada ketika itu, sudah mulai lengang juga. Di Campus, yang biasanya sibuk dan ceria sudah mulai lengang. Pelajar-pelajar Melayu sudah mulai meninggalkan Campus untuk berhari raya di kampung. Tidak ramai lagi yang berada di Campus. Agak lengang.

Aku masih bertahan. Aku tabahkan hati aku. Masih ke Perpustakaan. Membuat kerja-kerja yang sepatutnya aku lakukan. Di bahagian ‘Red Spot’ pun sudah tidak susah mendapatkan buku-buku penting yang diperlukan. Sudah tidak ramai pelajar yang menggunakan perkhidmatan berkenaan. Dah pulang ke  kampung. Sudah hampir tidak ada rakan-rakan yang rapat berada di Campus. Sudah bergembira dan bersuka ria di kampung bersama sanak saudara menyambut hari raya agaknya.

Pukul 5.00 petang sehari sebelum Raya, aku sudah tidak boleh ‘bertahan’ lagi.  Satu perasaan yang ‘bergolodak’ menyuruh aku pulang. Bukan sedih. Kecewa pun tidak. Semacam tidak tertahan lagi perasaan mendengar lagu ‘Dendang Perantau’ nyanyian P.Ramlee. Itu belum lagi mendengar takbir HariRaya. Sememangnya tak tahan. Aku ‘tewas’ juga akhirnya. Dan terus ke stesen keretapi Kuala Lumpur. Menaiki keretapi dengan tidak payah membeli tiket kerana tiket dah habis. Aku memberanikan diri aku menaiki keretapi tanpa tiket.

Apa nak jadi, jadilah. Aku nekad.

Perassan sedemikianlah juga yang dirasai oleh para perantau yang akan pulang berhari raya ke kampung pada Syawal ini. Walaupun tambang bas dinaikkan 30%, mereka akan pulang……..

Jikalau dinaikkan 50% pun…mungkin mereka akan pulang juga….

Abuhassanadam
30 Jun 2013.


Friday, June 28, 2013

SEMACAM TAK SERONOK TINGGAL DI MALAYSIA

SEMACAM TAK SERONOK TINGGAL DI MALAYSIA

Semalam seorang kawan baik aku menelipon aku mengatakan ia telah membuat keputusan yang mungkin memeranjatkan. “ Aku nak pindah ke London. Ikut anak aku’ katanya. Memang aku terkejut mendengar berita demikian. Aku tak tahu nak kata apa. Aku terdiam membisu. Nak kata ‘eloklah’ pun tak kena, nak kata ‘ fikirlah dulu..’ pun tak kena dan nak kata
‘ tak usahlah’ pun tak kena.

Dia  memanggil aku bukan untuk mendapatkan nasihat tetapi memberitahu aku keputusan yang telah dia ambil. Semacam muktamad. Dan seolah-olah keputusan yang dia ambilnya itu telah difikirkannya buat beberapa lama. Seolah-olah keputusan yang diambilnya itu telah dibincangkan dengan ramai orang, ahli keluarganya dan mereka telah memberikan kata setuju dengan hasratnya itu.

“ Dah habih fikir ke? “ tanya aku menggunakan loghat Perak. Intonasi suara aku masih lagi dalam bentuk bergurau.

 Habih….’ jawabnya. Kemudian dia menyambung ‘ Berapa kali aku dah cakap dengan kamu, aku rasa cukup tak selesa duduk di ‘Malaya’ ( dia selalu menyebut Malaysia sebagai Malaya). Macam tak ‘civilize’. Orang buat lain, kita buat lain…”

Aku terperanjat dengan kenyataan kawan aku kerana setahu aku dia adalah merupakan seorang pejuang Melayu tulin. Kalah aku. Kami mempunyai banyak persamaan. Aku anak kampung tulin, dia pun begitu. Emak bapak dia pun orang kampung yang miskin melarat, emak bapak aku pun sama. Dia berjaya dalam pelajaran kerana usahanya yang gigih sampai ke peringkat yang paling tinggi. Dan aku tidak sehebat dia, namun ‘ ada sikit bawah’. Dari segi ‘empathy’ terhadap orang lain, jangan persoalkan. Asalkan ‘orang susah’ dia tak kira Melayu ke, Cina ke, India ke, Kulit Hitam ke, Kulit Putih ke. Bagi dia sama saja  layanan yang diberikan.

Inilah ‘rupa’ manusia yang akan meninggalkan negara ini dan akan terus berada di London untuk selama-lamanya. Berdasarkan dari segi usia, sememangnya kami tidak akan berada lebih lama  lagi  di dunia. 60an. Dan mengikut apa yang dikatakannya pada aku mungkin dia tidak akan pulang ke Malaysia. “Dan mungkin anak aku saja yang menguruskan mayat aku nanti untuk dihantar pulang ke tanah air tempat tumpah darahku – Malaysia’ katanya.

Aku tak tahu sebab yang sahih mengapa dia begitu kecewa dan mengambil keputusan sedemikian. Aku belum pernah melihat dia berkeadaan begitu. Merajuk hati. Beliau adalah seorang yang amat kuat mengahadapi apa juga cabaran dalam kehidupan. Aku tahu dan aku faham kehidupan yang dilaluinya. Penuh dengan onak dan duri. Namun dia tidak pernah ‘tewas’ dan tidak pernah merajuk mengahadpi dugaan dan cabaran sedemikian. Mengapa kini beliau tewas dan merajuk.
Kawan aku ini sentiasa mengadu dan menceritakan kepada aku tentang kegusaran dan kekecewaannya melihat keadaan negara kini. ‘Kelam-kabut’ katanya. Beliau mempersoalkan mengenai kepimpinan negara ini yang pada pendapatnya amat jauh bezanya dengan kepimpinan negara-negara maju yang lain. Beliau sentiasa menyebutkan kepada aku tentang hal rasuah yang berleluasa, kronisme, penipuan, pembohongan, pecah amanah. Dalam bahasa yang kasar beliau pernah mengatakan pada aku bahawa, “ dema ingat negara ini macam emak bapak dema yang punya. Dema buat rakyat begara ini macam sampah…… Dema ingat rakyat ni bodoh belaka….”

Aku agak masalah penyelewengan SPR merupakan ,’ the straw that broke the camel’s back’. Apatah lagi apabila mendengar jawapan  YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri di parlimen baru-baru ini mengatakan bahawa dakwat kekal yang digunakan dalam PRU 13 itu sebenarnya tidak kekal. Dia marah betul. Dia merasakan yang SPR ‘tidak berhati perut’ dalam menangani isu ini. Kepimpinan SPR jelas menampakkkan sentiasa berdalih, menegakkan benang basah. Tidak tahu malu. Majoriti rakyat jelas mempersoalkan kewibawaan mereka namun masih ‘berpaut’ pada benang yang basah itu.

Inilah agaknya antara sebab yang kuat kawan aku akan meninggalkan negara ini.

Kemudian timbul pula isu Kevin Rudd yang kembali memimpin Australia selepas jawatannya diabil alih oleh  Julia Gillard tiga tahun yang lampau. Itulah cara kepimpinan negara yang mengamalkan demokrasi yang tulin. Tidak ada gaduh, tidak ada permusuhan. Semua berjalan dengan lancar. Kesemuanya bergantung kepada sistem yang dilaksanakan. Rakyat yang menentukan segala-galanya. Rakya yang membuat keputusan, memilih siapa yang rakyat mahukan.

Dan pada pandangan kawan aku, tentulah apa yang berlaku di Australia itu amat berbeza dengan apa yang diamalkan di negara kita. Kisah pelantikan Speaker di Dewan Parlimen baru-baru ini sudah jelas bertentangan dengan peraturan di parlimen. Sepatutnya diikutilah sebagaimana peraturan demi untuk memuaskan semua pihak. Ini tidak. Seolah-olah sesuatu pihak memberitahu rakyat bahwa, ‘ kami berkuasa…..ikut suka kami lah…’

Masalah jerebu juga mungkin telah membuat kawan aku ini hilang sabar untuk tinggal di negara yang tercinta ini. Apatah lagi beliau seorang pengidap penyakit lelah dan memang ‘siksa’ baginya tinggal dalam negara yang berjerebu. Alangkah bahagianya beliau jika berada di negara yang sentiasa menjaga alam sekitar.

Sikap pihak pemerintah dalam menangani jerebu baru-baru ini juga amat ‘menyakitkan hati’ berbanding dengan negara jiran, Singapura yang begitu perihatin dengan keadaan rakyat dan negara yang ditimpa jerebu. Kita dapat merasakan kepekaan pemerintah Singapura kepada rakyatnya apabila jerebu melanda negara itu yang dikhuatiri akan melumpuhkan ekonomi negara itu. Berbanding dengan keadaan di Malaysia seolah-olah pak menteri yang bertanggungjawab dengan alam sekitar masih ‘berehat’ dan ‘bersantai’ menikmati alam Malaysia yang dipenuhi jerebu tanpa memikirkan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat terbanyak.

Atas sebab-sebab inilah agaknya kawan aku amat sedih dan merajuk membawa diri menumpang kasih di negara lain….walaupun di rantau orang……..

Aku hanya mampu berdoa…

Abuhassanadam
28 Jun 2013


Thursday, June 27, 2013

SOTONG BAKAR DAN BULAN PUASA

SOTONG BAKAR DAN BULAN PUASA

Lagi dua minggu kita berpuasa semula. Pak Haji Sulaiman (yang mengajar aku sedikit sebanyak hal-hal  agama ) mengatakan bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-natikan oleh umat Islam. Bulan yang mulia. Siangnya kita berpuasa dan sebelah malamnya kita mengerjakan solat sunnat terawikh. Sekiranya dilakukan dengan sempurna, berganda-ganda pahala yang boleh kita perolehi. Lebih kurang begitulah kata Pak Haji Sulaiman pada anak-anak muridnya ( termasuklah aku).

Masih terdengar kata-kata Pak Haji Sulaiman, walaupun sudah 50 tahun berlalu.  Aku masih terbayang muka Pak Haji ketika menyampaikan ‘amanat’ itu. Dia bersandar di tiang seri di rumah tempat kami mengaji itu. Pak Haji tak pakai baju. Berkain sarung dan memakai ketayap. Masih aku ternampak tompok-tompok panau di badan Pak Haji. Itu tidak menghairankan sebab ramai orang kampung aku memang berpanau di badan masing-masing. Dan jarang memakai baju pulak. Panas agaknya. Ataupun mungkin tidak ada baju untuk dipakai. Baju hanya dipakai untuk hadir di majlis-majlis tertentu sahaja agaknya. Kini Pak Haji sudah tidak ada. Bangunan tempat mengaji itupun juga sudah tidak ada lagi…

Bulan puasa dah nak tiba. Kini kedatangan bulan Ramadhan tidak banyak memberikan makna kepada aku. Orang bandar la katakan. Keseronokannya tidak seperti aku menghadapi bulan Ramadhan 50 tahun yang lampau. Masa itu masih kanak-kanak. Aku tak tahu pulak bagaimana rasa anak-anak aku dan anak-anak orang bandar yang lain ketika menghadapi bulan Ramadhan.

Kebiasaannya beberapa hari sebelum bermulanya Ramadhan, orang kampung aku – Kampung Ekor Dusun, Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas, Perak, Malaysia – akan membersihkan surau dan kawasannya. Bergotong royong. Paling menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak macam aku. Dapat makan bubur kacang dan ‘roti kapal’ selepas selesai kerja membersihkan surau. ‘Roti kapal’ akan dicelupkan dalam bubur kacang sebelum dimakan. Memang enak.

Surau kampung Ekor Dusun sudah tidak ada lagi. Setiap kali aku balik ke kampung, akan ku lawati bekas tapak surau berkenaan. Tak jauh dari jalan kampung aku. Dan surau itu dirobohkan kerana untuk memberikan laluan kepada pemnbinaan jalan kampung aku. Surau itu terletak berhampirann dengan sawah padi. Memang nyaman berada di kawasan surau  terutama pada waktu petang. Angin yang datang dari Gunung Pondok sentiasa bertiup memberikan suasana nyaman yang amat sukar dicari di tempat lain, walaupun berada di Hawaii.

Pada setiap bulan Ramadhan, kawasan surau berkenaan menjadi tempat tumpuan. Bermula daripada pukul 3.00 petang sehinggalah subuh keesokannya, surau tidak akan sunyi. Ceria selalu. Seolah-olah orang kampung aku sedang berpesta bersuka-sukaan, walaupun dalam kelaparan berpuasa. ‘Acara’ di surau bermula pada pukul 3.00 petang apabila arwah Pak Dahaman ( tukang masak handal di kampung kami)  memulakan tugasnya memasak kanji (bubur lambuk) untuk berbuka puasa. Sememangnya dialah yang mendapat ‘kontrek’ memasak kanji pada tiap-tiap tahun. Upahnya hanyalah RM 1.00 sehari. Jadi untuk sebulan puasa, upah yang diterima oleh pak Dahaman ialah RM 30.00 ( penghujung tahun 1950an). Dia amat bahagia menjalankan tugas berkenaan.

Penduduk di kawasan kampung Ekor Dusun tak ramai. Ada 26 buah rumah sahaja. Jumlah ini aku dasarkan kepada jumlah peserta Moreh di surau kampung Ekor Dusun. Sumbangan Moreh hanya sehingga Malam 26 Ramadhan sahaja, mengambil kira sebuah keluarga akan memberikan sumbangan Moreh untuk satu malam.

Pada kebiasaannya, jamuan yang dihidangkan untuk majlis berbuka puasa ialah kanji bersama kerabu pucuk paku, taugeh. Hanya satu malam yang dianggap malam istimewa dimana dihidangkan nasi minyak berlaukkan kurma kambing. Hanya semalam. Rata-rata penduduk kampung Ekor Dusun tidak mampu membiayai perbelanjaan menyediakan nasi minyak. Dan pada malam berkenaan sudah pastilah seluruh ahli kariah Ekor Dusun ( lelaki sahaja) akan berbuka puasa di surau. Peluang untuk menikmati nasi minyak. Sekali dalam setahun!

Ada satu lagi perkara yang menyeronokkan kami setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan. Dapat makan sotong bakar pada  selepas berbuka puasa. Namun begitu kami terpaksa menjalankan tugas membasuh pinggan dan mangkuk surau sebelum diberikan upah sotong. Seekor sotong setiap seorang dan dibiayai oleh ‘sponsor’ yang mengadakan Moreh pada malam berkenaan. Seronok betul apabila mendapat seekor sotong, walaupun harga sesekor sotong pada ketika itu hanyalah 10 sen.

Kami akan beredar ke kawasan dapur Pak Dahaman untuk membakar sotong. Majlis ‘Barbecue’. Kadang-kadang sotong-sotong itu terus dibakar tanpa dibasuh atau dibersihkan. Sedap. Dan tidak pula terdengar kanak-kanak di kampung Ekor Dusun yang sakit perut disebabkan memakan sotong yang tidak dibasuh terlebih dahulu sebelum dibakar.

Majlis ‘Barbecue’ akan berakhir setelah Abang Zaidun  ( arwah) memulakan azan Isyak. Kami akan ‘berarak’ pula ke Sungai Sauk yang tidak berapa jauh dari surau berkenaan, ( amat jernih airnya pada ketika itu. Amat berbeza dengan keadaan kini dimana airnya berlodak dan tidak sejernih dahulu lagi) untuk mandi manda dan mengambil wuduk. Kami akan bersama-sama seluruh penduduk kampung Ekor Dusun menunaikan Solat Isya dan Solat Terwaih.

Alangkah bahgianya rasa hati berada pada bulan Ramdhan di Kampung Ekor Dusun.

Aku sentiasa mengimpikan keadaan sedemikian. Pastinya tidak berulang….

Abuhassanadam
27 Jun 2013






Wednesday, June 26, 2013

MENYESAL atau BERUNTUNG MENJADI ORANG MELAYU!

MENYESAL atau BERUNTUNG MENJADI ORANG MELAYU!

Aku baca saranan dan cadangan ahli bijak pandai negara tentang cara bagaimana untuk memajukan orang Melayu dalam lapangan pendidikan. Pandangan mereka itu tentunya bernas belaka apatah lagi datangnya dari tokoh-tokoh pendidikan negara seperti Bekas Ketua pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu shah, Bekas Pengarah UITM, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Dr. Zainal Kling.

Selepas aku tilik dan aku pandang, aku rasa pandangan dan saranan yang dikemukakan itu saolah-olah ditujukan kepada masyarakat Melayu sekitar tahun 1940an atau 1950an. Dan jikalau tak silap aku saranan dan pandangan sedemikian sentiasa dilaungkan oleh tokoh-tokoh-tokoh seperti Zaaba, Aminuddin Baki, Ungku Umar dan beberapa orang lain yang seangkatan dengan mereka. Dan tidak harus diperkecilkan juga peranan guru-guru Melayu lepasan SITC Tanjung Malim yang sentiasa memperkatakan isu-isu berkenaan – mencelikkan orang Melayu.

Semakin lama aku baca pandangan yang dikemukakan itu lagi banyak persoalan yang ‘menendang’ benak aku.

·      Apakah orang Melayu masih mundur kini yang memerlukan mereka  diberikan ‘tongkat semambu’ untuk mereka berdiri teguh?
·      Apakah tokoh-tokoh ini cuba untuk menidakkan usaha kerajaan dalam memajukan pendidikan di negara ini?
·      Apakah puluhan, ataupun mungkin ratusan sekolah berasrama penuh dan MRSM yang ditubuhkan oleh kerajaan itu tidak memberi manfaat kepada orang Melayu. Dan orang Melayu masih tidak maju.
·      Apakah orang Melayu dikampung-kampung masih miskin sepertimana keadaan masyarakat Melayu ketika dalam zaman penjajahan dulu? Apakah tidak ada langsung pembangunan infrastruktur yang dilakukan oleh kerajaan di kawasan kampung-kampung di Malaysia?
·      Apakah DEB yang diperkenalkan pada tahun 1970 itu tidak memberikan  manfaat kepada orang Melayu?
·      Apakah orang Melayu sebgitu bodoh dan lemah sehingga tidak boleh berdiri sama tegak dengan kaum lain?
·      Aapakah orang Melayu tidak ada sifat  bertanding dengan bangsa lain di dunia dan hanya mahu bertanding dikalangan orang Melayu sahaja?
·      Apakah orang Melayu sudah meletakkan dirinya sebegitu lemah sehinggakan minta dirinya dikeluarkan dari arus globalisasi.
·      Apakah orang Melayu begitu lemah sehinggakan seniasa mengaku kalah apa bila bertanding dengan kaum lain.

Aku selalu juga mengikuti persidangan agung UMNO semenjak dulu lagi. Aku berasa lega apabila mendengar ucapan-ucapan yang disampaikan oleh pemimpin-pemimpin yang mengatakan bahawa orang Melayu sudah maju, sudah berjaya, sudah mampu berkecimpung dalam era globalisasi, sudah boleh bertanding dengan bangsa-bangsa lain di duinia. Pendek kata orang Melayu sudah berubah menjadi orang Melayu baru, mengikut apa yang dikatakan oleh pemimpimpin UMNO yang menyampaikan ucapan yang berapi-api itu.  Orang Melayu sudah maju dalam serba serbinya.

Tetapi apabila aku baca semula pandangan dan saranan yang dikemukakan oleh para bijak pandai negara itu, maka telah menyebabkan aku tersentak. Aku, sebagai orang Melayu tulin ( yang berasal dari kampung ) mula merasa tidak ada keyakinan untuk menempuh zaman yang penuh dengan panca roba ini. Aku ingat aku sudah cukup hebat, anak kampung yang hanya mendapat pendidikan formal hanya setakat Tingkatan Tiga ( LCE ) dapat memperolehi ijazah Sarjana dari  University Stanford, Amerika Syarikat. Aku lakukan semua itu semata-mata untuk menyahut cabaran pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu yang seringkali membakar semangat agar berjaya dalam pelajaran sampai ke peringkat paling tingggi.

Para cerdik pandai ini mungkin tidak sedar dan lupa bahawa ramai anak Melayu yang mendapat keputusan cemerlang di pusat pengajian tinggi di luar negara samada di USA, UK atau di Australia. Aku tidak dapat  menyatakan dengan tepat tentang pencapaian pelajar di USA dan di Australia, tetapi aku dapat mengesahkan dalam masa empat tahun aku ‘menjaga’ pelajar-pelajar di United Kingdom, ramai di antara mereka yang memperolehi keputusan cemerlang – dalam ertikata dapat mengalahkan pelajar-pelajar dari negara lain. Dan ada juga anak Melayu yang memecah beberapa rekod cemerlang di University Cambridge.
Apakah ini bukan kejayaan namanya. Apakah masih kita tidak mahu mengakui tentang kebolehan dan kejayaan anak Melayu ( dari kampung kebanyakannya). Aku mearasa hairan apabila ada dinyatakan oleh Datuk Dr. Zainal Kling bahawa sistem meritokrasi hanya perlu diamalkan dalam kumpulan dan bukan secara menyeluruh seperti diamalkan sekarang."Maksudnya hanya amalkan meritokrasi dalam kalangan pelajar Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina, India dengan India dan bukan secara menyeluruh,"
Aku sungguh tak faham dengan kenyataan ini. Telah aku tegaskan sebentar tadi bahawa anak Melayu bukan setakat boleh bertanding dengan pelajar Cina dan India di Malaysia sahaja, malah mereka boleh menewaskan pelajar-pelajar dari bahagian dunia yang lain. Boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi sekiranya diberikan peluang seluas-luasnya.
Kenyataan dan saranan para bijak pandai berkenaan sebenarnya mencabar kewibawaan tokoh-tokoh seperti Tan Sri Awang Had Salleh, Prof Atan Long dan anak kampung lain yang berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang begitu tinggi dengan hanya berbekalkan pendidikan Melayu yang diterima di sekolah Melayu. Namun dengan kegigihan dan kerajinan mereka telah dapat membuktikan bahawa anak Melayu tidak kurang hebatnya berbanding dengan bangsa lain di dunia. Mereka bukan sahaja boleh duduk sama tinggi dengan orang Melayu yang seangkatan dengan mereka tetapi mereka boleh ‘bersepak terajang’ di arena antarabangsa sebagaimana yang dilakukan oleh orang lain juga.

Masalah yang ada sekarang dan perlu diselesaikan segera ialah adanya golongan berada yang menggunakan kedudukan mereka mengambil segala peluang yang sepatutnya dinikmati oleh anak-anak kampung yang kurang berada.  Ringkasnya golongan berada ini telah ‘merampas’ dan ‘ merompak’ segala peluang yang seharusnya dinikmati oleh golongan yang tidak berada di kampung-kampung. Kegiatan sebeginilah yang harus dhentikan dan bukan menyekat kemajuan anak-anak Cina dan India di negara ini. Sekiranya betul mereka lebih hebat daripada pelajar Melayu, jadikan mereka sebagai ‘benchmark’ untuk pelajar Melayu mengejar kemajuan.

Tugas yang ada dihadapan kita kini ialah untuk terus memajukan anak Melayu. Ini tidak pula bermakna yang kita harus menafikan peluang kaum lain di Malaysia. Pelajar Melayu harus digerakkan agar setanding dengan pelajar Cina atau India. Jikala pelajar Cina dan India boleh belajar sepuluh jam sehari, maka pelajar Melayu juga seharusnya berbuat demikian.

Adalah menjadi tugas bijak pandai untuk merangkakan satu pelan tindakan bagi menggerakkan pelajar Melayu supaya seganding dengan pelajar Cina dan India di negara yang tercinta ini.

Bijak pandai Melayu harus begerak dan bertindak. Bukan hanya sekadar memberikan pandangan dan saranan.


Abuhassanadam
26 Jun 2013