Sunday, April 20, 2014

MH 370: PERSEPSI RAKYAT TIDAK BOLEH ‘DIPADAM-PADAM’

DS Hishamuddin Tun Hussein Onn menafikan sekeras-kerasnya laporan yang dibuat oleh Merdeka Centre yang mengatakan bahawa majoriti rakyat Malaysia merasakan pihak kerajaan Malaysia menyembunyikan sesuatu berkaitan dengan kehilangan pesawat MH 370. Maknanya kerajaan tidak telus dalam melaksanakan tugasnya.

“He was asked to comment on a survey by the pollster Merdeka Centre, which among others found that 26 percent of respondents believe that the government is being truthful, compared to 54 percent who believe that the government is hiding the truth.”Malaysiakini, 19 April 2014.

Itu merupakan persepsi rakyat Malaysia. Samada sesuatu persepsi itu disokong dengan fakta atau tidak, bukan persoalannya. Yang jelasnya berdasarkan kajian yang dilakukan, bahawa hanya 26 % sahaja rakyat Malaysia yang merasakan bahawa kerajaan menjalankan tugasnya dengan betul, tanpa menyembunyikan apa-apa fakta berbanding dengan 54% lagi yang merasakan ada sesuatu yang cuba disorokkan oleh kerajaan.

Rakyat sebahagiannya tidak pula mengatakan bahawa kerajaan tidak menjalankan tugas dengan betul. Dan tidak juga mempersoalkan tentang pertolongan yang dihulurkan oleh negara-negara yang sudi memberikan bantuan. Kerajaan Australia telah ‘bertungkus lumus’ memberikan bantuan seolah-olah pesawat yang hilang itu bukannya dari syarikat MAS tetapi dari Quantas Australia. Keadaan ini juga boleh menimbulkan persoalan daripada rakyat. Mungkin ada juga yang mempersoalakan mengapa Australia bersungguh–sungguh benar memberikan pertolongan itu. Apakah ‘ada udang disebalik batu’?

Pihak kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat mempersoalkan hakikat demikian, kerana itu merupakan ‘academic exercise’ juga bagi rakyat yang sentiasa berfikir secara kritis dan matang dan yang naluri ingin ahu mereka melampaui baas sepatutnya. Rakyat  merasa hairan juga mengapa seluruh jentera kerajaan Australia ‘turun’ membantu mencari pesawat MH 370. Rakyat tidak pula menunjukkan rasa tidak menghargai dan menyanjung tinggi usaha dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan Australia itu. Yang menjadi tanda tanya dan kemusykilan rakyat ialah ‘pertolongan’ luar biasa yang dberikan oleh Australia itu. Semacam ada satu ‘perjanjian sulit’ yang telah dibuat antara dua buah kerajaan itu. Rakyat hanya takut ‘termakan budi akan tergadai ‘body’. Aku mengharapkan persepsi aku ini salah dan amat  tidak betul……

Pihak kerajaan tidak harus runsing dan bimbang dengan persepsi rakyat. Sememangnya rakyat sentiasa memberikan persepsi yang berlainan dari apa yang difikirkan oleh pihak kerajaan. Rakyat sentiasa memerhati tindak tanduk kerajaan, apatah lagi dalam keadaan dunia yang terdedah dengan berbagai maklumat dan dihubungkan dengan berbagai saluran berasaskan internet.

Pembuktian oleh kerajaan melalui kata-kata atau penjelasan yang berunsur penafian dirasakan tidak begitu berkesan. Ini disebabkan bahawa dalam masyarakat kini rakyat bukan sahaja melihat apa yang tersurat tetapi yang lebih penting lagi mereka ‘mentafsir’ apa yang ‘tersirat’. Rakyat lebih condong melihat tindakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin.  Rakyat ‘membaca’ dan ‘mentafsir’ tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pemimpin itu sendiri. “Rumusan’ rakyat akan dibuat setelah mereka menganalisis secara terperinci tindakan seseoang pemimpin. Misalnya,

  • ·      Keengganan DS Mohd Najib untuk tidak menjawab pertanyaan dari para wartwan memberikan kesan yang agak negatif kepada kerajaan. Rakyat mempersoalkan tentang mengapa DS Najib ‘melarikan’ diri dari menghadapi media asing. Rakyat bertanya apakah yang menyebabkan beliau terlalu ‘takut’ untuk berhadapan dan bersemuka dengan media asing. Bukankah itu merupakan peluang keemasan dan forum yang sesuai untuk menjelaskan sesuatu, disamping menaikkan imej negara di mata dunia.


  • ·      Rakyat sudah mula membuat tanggapan yang berbagai-bagai apabila kononnya peguam negara di hantar ke London untuk merundingkan mengenai Kotak Hitam. Rakyat tahu bahawa dalam Kotak Hitam itulah tersimpannya berbagai ‘khazanah’ yang amat bernilai terutama yang berkaitan dengan penerbangan MH 370 itu. Rakyat sudah mula membuat berbagai-bagai tohmahan terhadap tindakan itu. Mengapakah pihak kerajaan bersungguh benar ingin menyelesaikan isu Kota Hitam sedangkan kehilangan ratusan nyawa belum lagi diselesaikan. Kerajaan harus menjelaskan rasionalnya secara terperinci dan meyakinkan.



  • ·      Pada anggapan rakyat, jawapan yang diberikan oleh Menteri dan pegawai-pegawai dalam taklimat mengenai MH 370 itu, kadang kala kelihatan tidak jelas. Berdolak dalik. Orang Perak kata, ‘surung sentap…..cakap pagi tidak boleh pakai petang….hari ini cakap lain, esok cakap lain pulak…’ Keadaan yang sebeginilah yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan tentang kebenaran dan ketelusan apa yang diperkatakan oleh kerajaan.


Jangan dituduh bahawa rakyat tidak faham tentang prinsip kerahsiaan. Rakyat tahu dan faham. Rakyat juga faham bahawa  bukan semua rahsia kerajaan mesti dedahkan. Itu rakyat tahu dan faham. Ada maklumat yang berbentuk rahsia besar dan ada juga maklumat biasa. Rakyat faham benar hakikat itu. Namun rakyat juga mempersoalkan bahawa apakah semua maklumat merupakan rahsia besar kerajaan dan tidak boleh dijelaskan kepada umum terutama pada kaum keluarga dan sanak saudara yang terlibat dalam kemalangan itu. Mereka ingin tahu perkembangan sebenarnya.

Hanya melalui tindakan yang berkesan dan ikhlas tanpa menampakkan usaha menyembunyikan sebarang fakta saja yang dapat meyakinkan rakyat bahawa sebenarnya kerajaan telus dalam menangani kehilangan pesawat MH 370 itu.

abuhassanadam
20 April 2014

Saturday, April 19, 2014

KARPAL SINGH: MENGAPA PEMERGIANNYA  DITANGISI

Aku teringatkan sajak SN Dato’ Usman Awang berjodol,’ Rekwim untuk Hamdam’. Menceritakan tentang pemergian teman seperjuangannya bernama Hamdam. Antara bait-bait yang ditulisnya,

            Tiada bintang, tiada TV, tiada jua
            upacara pahlawan untuk jenazah dan pusara
            seorang bernama Hamdam, derita sengsaranya siapa      
            pedulikan
            Demikianlah kehidupan memadamkanmu, Hamdam
            bersama padamnya semangat empat puluh enam.

Pak Usman menyampaikan keluhan dan kesedihannya mengenangkan pemergian rakannya yang merupakan seorang pejuang kemerdekaan yang tidak dipedulikan disebabkan rakannya itu tidak memegang jawatan apa-apa dalam politik tanah air. Hanya sekadar seorang wartwan akhbar yang merupakan ‘unsung hero’ yang bukan kecil sumbangannya terhadap memupuk perasaan nasionalisme dikalangan rakyat untuk menuntut kemerdekaan.

Kisah pemergian seorang putera bangsa Ahmad Boestamam dilukiskan oleh Pak Usman Awang begini,

            Pelabuhan sepi keranda sudah bertolak
            sayup-sayup suara pidatonya dilambung ombak
            benarkah pisang emas dibawa belayar
            sungguhkah pulau pandan jauh ketengah?
            Boestamam
            putera besar tanahir
            namamu terpahat digerbang sejarah
            pejuang kemerdekaan dan keadilan
            budayawan dan sasterawan
            ahli fikir dan negarawan.

Malangnya bagi negara, Pak Usman Awang sudah tidak ada lagi untuk melukiskan tentang pemergian YB Karpal Singh. Sekiranya beliau masih ada pasti pemergian ini akan  dilukiskannya dalam bentuk yang cukup menyegarkan tentang sumbangan dan keikhlasan YB Karpal Singah dalam membela rakyat terbanyak. Belum pernah dalam sejarah Malaysia kematian seorang rakyat biasa yang bukan keturunan Melayu beragama Islam ditangisi oleh seluruh rakyat Malaysia yang termasuk juga sebahagian besarnya orang Melayu beragama Islam.

Ini merupakan satu perkembangan baru sejarah tanah air. Seolah-olah sudah mula wujud sebuah bangsa Malaysia yang sebenar di negara kita yang bukan sahaja hanya ‘didendang dan dinyanyikan’ melalui radio dan TV tetapi telah wujud dalam bentuk realiti yang sebenarnya. Rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan keturunan dan tidak juga mengira kedudukan, telah dengan spontan merasakan satu kehilangan yang amat besar dengan pemergian YB Karpal Singh.

YB Karpal Singh bukannya Perdana Menteri atau Menteri. Biasanya kematian seorang ketua negara atau Perdana Menteri sahaja yang diberikan penghormatan sebegini oleh rakyat. Ini merupakan sesuatu yang luar biasa. YB Karpal hanyalah  sekadar Ahli Parlimen biasa mewakili Jelutung. Tetapi mengapakah pemergiannya begitu ditangisi oleh rakyat Malaysia. Dan penghormatan yang diberikan oleh rakyat itu bukan dipaksakan ataupun ‘diarahkan’. Ini merupakan penghormatan spontan oleh rakyat yang lahir dari hati dan perasaan yang cukup ikhlas.

Aku masih kecil ketika aku dibawa oleh bapa untuk menziarahi pengkebumian Allahyarham Dr. Zulkifli Muhammad di Kuala Kangsar. Ketika itu aku tidak tahu mengapa bapa sanggup membawa aku pergi pengkembumian demikian. Selalunya tidak begitu. Bapa tidak menyatakan kepada aku sebabnya. Yang aku masih ingat bahawa lautan manusia ‘menangisi’ pemergian Dr. Zulkifli Muhammad dan isterinya. Dan ‘mereka’ berdua disemadikan di perkarangan rumah Ustza Zulkifli di kampung Kota Lama Kiri, tidak jauh dari bandar diraja Kuala Kangsar.

Kini setelah membaca puluhan artikel mengenai Dr. Zulkifli Muhammad, barulah aku tahu mengapa arwah bapa ku bersungguh benar membawa aku menziarahi pengkebumian Ustaz Zulkifli Muhammad. Dan kesannya terpahat dihati dan perasaan ku kini. Aku tidak mengenali Dr. Zulkifli Muhammad tetapi kesayangan dan kecintaan ku kepadanya sama jugalah bagaimana kesayangan aku kepada arwah bapaku juga.

Secara kebetulan ketika pemergian Nelson Mandela aku berada di London. Selama beberapa hari BBC dan saluran TV di London mengadakan siaran langsung tentang pengkebumian Nelson Mandela di Afrika Selatan. Dan penghormatan yang diberikan oleh warga Britain jkepada beliau juga adalah luar biasa. Mereka tangisi pemergiannya. Mereka lahirkan kesedihan mereka melalui kalungan bunga yang diletakkan di perkarangan ‘rumah Mandela’.

Bukan hasrat aku untuk menyamakan perjuangan Karpal Singah, Zulkifli Muhammad dan Nelson Mandela. Yang ingin aku persoalkan ialah mengapa rakyat dengan spontan menangisi dan memberikan penghormatan terlalu tinggi terhadap pemergian mereka. Dan penghormatan yang diberikan itu bukan diatas dorongan untuk mendapatkan sesuatu. Dan tidak juga dipaksakan atau diarahkan oleh pihak-pihak tertentu.

Betul kata ahli bijak pandai, “ respect must be earned…”

abuhassanadam

19 April 2014

Thursday, April 17, 2014

KEHILANGAN DUA WIRA -
YB KARPAL SINGH DAN  DR ZULKIFLI MUHAMMAD

Aku melihat kehilangan mendiang Karpal Singah seperti juga kehilangan Allah Yarham Zulkifli Muhammad lima puluh tahun yang lampau. Kedua-duanya bertaraf ‘singa’ dan wira rakyat. Cuma bezanya ramai yang tidak tahu mengenai perjuangan Allah Yarham Zulkifli Muhammad berbanding dengan perjuangan mendiang Karpal Singh disebabkan zaman yang memisahkan antara keduanya. Bagi rakyat Malaysia yang cintakan perdamaian, pemergian dua orang wira negara ini pasti ditangisi. Jarak ‘pemergian’ antara kedua tokoh ini adalah 50 tahun. Mendiang Karpal Singah meninggalkan kita pada 17 April 2014 sedangkan Allah Yarham Zulkifli Muhammad pulang ke Rahmatullah pada  6 Mei 1964.

Aku terpanggil untuk menulis tentang kedua-dua tokoh ini kerana ‘nasib’ malang yang menimpa mereka adalah lebih kurang sama. Kemalangan jalan raya. Mendiang Karpal terbabit dengan kemalangan jalan raya  di Lebuhraya Utara-Selatan ketika dalam perjalanan ke Utara. Dikatakan kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian seorang pemandu lori yang menukar haluan tanpa memberikan sebarang isyarat yang menyebabkan malapetaka berlaku.

Dr. Zulkifli Muhammad pula menemui ajalnya juga dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke Perak dari Kelantan, bersama isterinya, Ustazah Asiah kamaruddin yang merupakan Naib Ketua Muslimat PAS pusat pada 6 Mei 1964.

Rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian, ketelusan, keikhlasan pimpinan pastinya akan menangisi pemergian mendiang Karpal dan Dr. Zulkifli. Anak muda kini mungkin tidak kenal dan tahu siapa sebenarnya Dr. Zulkifli Muhammad disebabakan ketokohannya sentiasa ‘disembunyikan’ dan tidak pun tercatat dalam buku sejarah untuk dipelajari oleh anak-anak kemdian hari. Perjuangannya adalah merupakan perjuangan ‘the unsung hero’ yang jasa dan pengorbanannya tidak banyak diketahui. Hendaknya janganlah sejarah perjuangan Karpal Singh juga ditenggelamkan dalam arus sejarah.

Negara harus memberikan ruang secukupnya untuk diabadikan sejarah perjuangan dua orang wira negara ini, walaupun perjuagan politik mereka berbeza dengan fahaman arus perdana.

Tidak banyak yang diketahui oleh anak muda tentang perjuangan Allah Yarham Dr. Zulkifli Muhammad. Pada tahun 1956 beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ketika Dr. Burhanuddin Al Helmy dilantik sebagai Yang Dipertua Agungnya. Beliau merupakan pemidato yang hebat dan disegani oleh kawan dan lawan. Beliau mencipta rekod berucap di parlimen selama 4 jam. Di Parlimen beliau banyak membangkitkan isu-isu berkaitan kerakyatan, cukai, penubuhan koperasi, kepentingan pengetahuan teknikal kepada orang Melayu, perkembangan bahasa Melayu, perlunya pusat latihan guru dan yang paling penting menyeru supaya menghentikan penghantaran guru ke Kirkby dan Brinsford di United Kingdom. (Wikipedia).
Menyentuh tentang kehebatan Dr. Zulkifi Muhammad di Parlimen, izinkan aku memetik kenyataan  dari Blog Chemekmolek yang telah menulis dengan panjang lebar mengenai kegiatan Dr. Zulkifli.
Antaranya,
·     Beliau menggesa Persekutuan Tanah Melayu agar menarik balik pengiktirafan terhadap negara Israel.
·   Pada 19 Ogos 1963, beliau berucap menentang penubuhan Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Ini kerana jika berlaku penubuhan Malaysia, pulau Singapura akan terlepas dari kerajaan.
·   Beliau juga membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malah beliau mengecam awal-awal akta ini sebelum ia diluluskan kerana beliau bimbang akta ini digunakan untuk kepentingan politik.
·       Antara isu yang beliau sentuh pada bulan April 1960 ialah mengenai bahasa Melayu sebagai pengantar, ekonomi orang Melayu termasuk RIDA.
·       Ketika persidangan yang lain dari bulan Ogos hingga Disember 1960 Dr Zulkifli Muhammad mengemukakan persoalan mengenai pendatang haram, orang Melayu luar negeri, Laporan Razak mengenai pelajaran, perlunya Malay Economic Secretariat, ali baba, RIDA, cukai, anti corruption agency, architecture kebangsaan dan perlunya rumah-rumah murah untuk kakitangan kerajaan berpendapatan rendah.
·       Dalam tahun 1961, beliau mengemukakan pendapat mengenai Rancangan Pembangunan Lima Tahun mengenai pelajaran dewasa, penggunaan Bahasa Melayu RIDA, FELDA, Dewan Bahasa dan Pustaka, menentang penubuhan Malaysia, dasar pelajaran dan rasuah. Tahun 1962, mengemukakan perlunya Staff Training Centre, Public Record, Crown Agent, RIDA, kemunduran pelajar Melayu, pengjian Islam, Kolej Islam, penubuhan Tabung Haji, perturan sekolah-sekolah, Kolej Pertanian, Bahasa Kebangsaan, perlunya Secretariat Melayu Kuala Lumpur, bahasa Melayu di mahkamah dan keselamatan jalan raya.
Pemerigian kedua-dua orang tokoh ini sepatutnya dijadikan iktibar oleh ahli-ahli parlimen kita yang seharusnya bersedia untuk belajar dan memapstikan kehadiran mereka di parlimen bukan semata-mata untuk memanaskan kerusi tetapi boleh memberikan sumbangan yang amat bermakna sekiranya dimanfaatkan. Sepanjang berada di parlimen, entah berapa kali mendiang Karpal Singh ‘dihalau’ keluar kerana menimbulkan isu yang bertentangan dengan kehendak dan ‘selera’ pihak kerajaan. Namun disebabkan komitmennya yang begitu tinggi terhadap negara maka beliau berterusan memberikan kritikan membina terhadap dasar kerajaan yang difikirkannya tidak menguntungkan rakyat terbanyak.
Kedua-dua tokoh di atas akan dikenang buat selama-lamanya.
abuhassanadam

17 April 2014

Wednesday, April 16, 2014

PEMIMPIN MALAYSIA SEOLAH-OLAH ‘BERTUHANKAN’  KONSEP ‘REALPOLITIK’

Merenung kembali keadaan pentadbiran dan pemerintahan negara di bawah Barisan Nasional teringat aku kepada beberapa tindakan yang dilakukan oleh setengah pemimpin dunia yang langsung tidak mempedulikan tentang kewujudan undang-undang yang mengawal sesebuah negara itu. Mereka memerintah negara seolah-olah negara itu milik bapak mereka. Mereka tidak mepedulikan apa orang lain kata. Mereka terus menerus memegang fahaman bahawa ‘jika anjing menyalak gunung pastinya gunung tidak runtuh’. Mereka lupa bahawa ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah juga jatuhnya’.

Lantas teringat pula aku kepada konsep Realpolitik. “Realpolitik is distinct from ideological politics in that it is not dictated by a fixed set of rules, but instead tends to be goal-oriented, limited only by practical exigencies. Since Realpolitik is ordered toward the most practical means of securing national interests, it can often entail compromising on ideological principles’ Wikipedia.

 Maknanya konsep Realpolitik itu berpegang kepada ‘matlamat menghalalkan cara’. Ini merupakan amalan politik yang pernah diketengahkan oleh pemikir agung dunia Noccolo Machiavelli melalui bukunya ‘The Prince’. Ringkasnya bahawa Realpolitik adalah apa juga cara yang digunakan,yang boleh mewajarkan apa saja tindakan seperti tipu helah, kekerasan bersenjata dan peperangan untuk mencapai sesuatu matlamat. Tentulah konsep ini ditujukan kepada gelagat atau tindakan setengah pemimpin. Dan amat rapat hubungannya dengan pemerintahan secara diktator.

Sejarah menunjukkan bahawa konsep Realpolitik pernah diamalkan oleh Count Camillo Benson di Cavour untuk menyatukan negeri-negeri di Itali dan Otto Eduard von Bismarck untuk menyatukan negeri-negeri Jerman pada tahun 1871. Bismarck mengambil tindakan-tindakan yang kadang-kadang  terkeluar dari batas kemanusiaan seperti menjalankan tipu helah, pemalsuan dokumen, penipuan dan ugutan ugutan semata-mata untuk mencapai sesuatu matlamat. Matlamat Bismarck adalah untuk  menubuhkan sebuah negara Jerman yang bersatu dengan apa cara yang boleh dan termampu dilakukannya. Akhirnya beliau berjaya mencapai hasrat dan cita-citanya itu.

Amalan Realpoitik ini seolah-olah telah diamalkan juga oleh pemimin-pemimpin di Malaysia. Amat disedari oleh kebanyakan rakyat bahawa seolah-olah apa yang dilakukan oleh pemimpin negara ini adalah merupakan amalan yang pernah dilakukan oleh Bismarck dan tindakan-tindakan pemimpin di Amerika Syarikat juga.

Pengamalan konsep Realpolitik di Amerika Syarikat telah mula diperkenalkan oleh Henry Kissinger pada zaman pentadbiran Richard Nixon. Dasar yang diperkenalkan oleh Nixon (atas dayausaha Kissinger mungkin…) dalam melakukan hubungan dengan negara-negara besar dunia adalah atas dasar yang tidak berlandaskan doktrine politik atau etika. Misalnya hubungan diplomatik dengan Republik China telah dengan jelas mengenepikan fahaman politik anutan Amerika Syarikat yang sentiasa menentang fahaman komunis yang jelas merupakan anutan Republik China. Namun persefahaman tetap diadakan demi untuk mencapai sesuatu matlamat.

Berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh Cavour, Bismark, Henry Kissinger maka aku menoleh pula ke arah pemimpin Malaysia. Apakah bezanya tindakan Bismarck dengan tindakan yang dilakukan oleh pemimpin negara ini. Terlau banyak sekali kita mendengar sungutan-sungutan yang disuarakan oleh rakyat khususnya pihak Pakatan Rakyat mengenai berbagai penyelewengan yang dilakukan oleh pihak tertentu dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum yang lepas.

Ada tuduhan yang mengatakan bahawa pihak Barisan Nasional telah menggunakan secara berleluasa wang untuk memancing undi sedangkan perbuatan sedemikian adalah menyalahi etika pilihan raya. Dan bukan rahsia lagi apabila pihak Barisan Nasional  menggunakan media arus perdana untuk membantu Barisan Nasional menjalankan kempen pilihan raya mereka. RTM yang merupakan milik kerajaan telah digunakan seluas-luasnya oleh pihak Barisan Nasional dalam kempen mereka.Dan keadaan yang sebegini sudah berjalan semenjak beberapa puluh tahun yang lampau.

Ada juga tuduhan yang mengatakan bahawa pihak kerajaan sewenang-wenangnya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini yang bertujuan untuk menahan pihak yang menentang kerajaan. Ramai dikalangan pemimpin pembangkang yang ditahan berlandaskan ISA ini. Dengan demikian apakah bezanya dengan tindakan yang telah dilakukan oleh Bismarck dan Hitler di Germany. Bukankah amalan sedemikian juga yang digunakan oleh pemerintah Malaysia untuk menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.

Kerajaan Barisan Nasional nampaknya amat bimbang dengan kehadiran DS Anwar Ibrahim dalam arena politik di Malaysia. Untuk ‘melenyapkan’ karier politik beliau, pihak kerajaan Barisan Nasional telah dituduh menggunakan mahkamah untuk memanjarakan beliau. Selama tujuh tahun beliau merengkok dalam penjara atas tuduhan yang tidak tentu kesahihahannya yang kemudiannya dibebaskan.

Kini sekali lagi beliau dikenakan hukuman penjara selama lima tahun dan telah ada pula usaha untuk memanjangkan hukuman beliau melebihi lima tahun itu atas kesalahan yang disangsikan oleh ramai rakyat Malaysia. Walaupun para hakim menjatuhkan hukuman sedemikian, namun rakyat masih merasakan bahawa hukuman sedmikian masih tidak adil. Dan rakyat merasakan bahawa keputusan hakim itu adalah didorong oleh ‘arahan’ dari pihak atasan.

Sekiranya begitu keadaannya, apakah tindakan pemimpin Barisan Nasional itu berbeza dengan tindakan yang dilakukan oleh Bismarck atau Hitler atau Cavour. Terlalu banyak contoh-contoh tindakan kerajaan Barisan Nasional yang boleh dipersoalkan kewajaran tindakan itu dan seolah-olah lebih mirip kepada tindakan yang dilakukan oleh setengah pemimpin dunia yang mengamalkan konsep Realpolitik itu.

Dan akhir-akhir ini kerap kali konsep Realpolitik ini seolah-olah digunapakai oleh pemimpin-pemimpin di negara kita. Seolah-olah sudah tidak ada peraturan dan undang-undang untuk mengawal pentadbiran negara. Seolah-olah pemimpin negara ‘beraja di hati dan bersultan di mata’. Seolah-olah sudah tidak ada undang-undang yang boleh mengawalnya. Kadang-kadang dapat dilihat bahawa undang-undang negara seolah-olah digunakan hanya semata-mata untuk mengawal kegiatan pihak pembangkang yang sentiasa menggugat tindakan pemimpin Barisan Nasional yang menyeleweng.

abuhassanadam
16 April 2014