Wednesday, April 9, 2025

KELAS MENGAJI PAK HAJI SULAIMAN

Waktu mengaji quran di rumah Pak Haji Sulaiman bermula pukul 8.00 malam. Tapi pada pukul 5.00 petang aku dan beberapa orang kawan dah ‘bertolak’ dari rumah untuk pergi ke tempat mengaji di kampung Seberang. Tak jauh pun Kampung Seberang. Hanya ‘sepelaung’. ‘Seberang’ tu bermakna seberang bendang.  Kampung Keroh Hilir itu terbahagi dua; dibahagi oleh sawah padi milik orang kampung. Tak luas pun. ‘Sekankang kera’. Terdapat sebatang jalan kecil (sebenarnya batas bendang dijadikan jalan) menuju ke kampung Seberang. Sebelah kanan jalan, sawah kepunyaan Pakcik Talib . Sebelah kiri jalan pula milik Pak Man Alang Noh.

Lebih kurang pukul 5.15 petang, kami dah pun berada di pertengahan jalan. Di tengah bendang. Ani, Ngah, Mat Ropek, Basir, Toha semuanya dah berada di situ. Itu pun jikalau hari tak hujan. Jikalau hari hujan ataupun mendung, kami terus ke rumah Pak Haji Sulaiman. Tak singgah di tengah bendang dekat dengan pokok Dedalu,berhampiran dengan kolam ikan Pak Ngah Tengin.

Emak tak pernah tanya mengapa aku terlalu awal pergi mengaji di rumah Pak Haji Sulaiman sedangkan emak dan bapak tahu yang waktu mengaji bermula lepas Maghrib. Wan Meriam, emak saudara aku (ibu Ani, Ngah, Mat Ropek) juga tak pernah tanya. Agaknya mereka begitu yakin bahawa apa saja yang berkaitan dengan mengaji quraan ( hal yang berkaitan dengan agama Islam) tak perlu ditanya-tanya. Agaknya ler…

Anak murid Pak Haji Sulaiman agak ramai. Lebih kurang 60 orang. Dari sekecil aku (yang berumur lapan tahun ketika itu) hinggalah Abang Manap (arwah) yang pada ketika itu berumur lingkungan 16 tahun. Pendek kata seluruh kanak-kanak di kampung itu bergurukan Pak Haji Sulaiman. Malah ada yang datang dari Kampung Tanjung dan Kampung Pulau yang lebih kurang 2 kilometer jauhnya dari tempat mengaji. Pak Haji Sulaiman seorang sahaja yang mengajarnya.

ADi tangan Pak Haji Sulaiman sentiasa ada rotan. Sebesar jari kelingking. Gunanya rotan itu untuk merotan kami yang nakal dan juga untuk memberi isyarat. Biasanya isyarat pertama rotan dipukul ke atas lantai ialah untuk memberitahu ‘sesi’ akan bermula. Dan beraturlah kami (bersila) melalui tiga saluran dengan quraan di tangan masing-masing, bersedia untuk membaca dihadapan Pak Haji. Tiga orang membaca sederap. “Triple tasking’ untuk Pak Haji Sulaiman. Rotan akan dipukul ke lantai sebagai isyarat kedua untuk semua pelajar duduk rapat dengan dinding dan bersoal jawab mengenai agama. Rukun Islam, Rukun Iman, hal-hal yang membatalkan sembahayang dan lain-lain.

Tidak ada yuran pengajian dikenakan oleh Pak Haji Sulaiman. Percuma. Tidak sepertimana yang berlaku kini. Para ‘ulamak’ mengenakan bayaran ratusan ringgit untuk satu sesi pengajian. Ditambah pula dengan bayaran penginapan hotel sekiranya seseorang itu perlu bermalam. Dan tentunya hotel bertaraf empat atau lima bintang!...Tetapi Pak Haji Sulaiman tidak mengenakan sebarang bayaran. Sebagai balasan di atas tenaga yang diberikan oleh Pak Haji Sulaiman kepada kami, maka ibu bapa di kampung akan menghulurkan pertolongan kepada beliau dalam hal mengerjakan sawahnya atau apa-apa tugas yang dirasakan beliau memerlukan pertolongan.

Apabila sampai sahaja kami di tengah bendang, berhampiran dengan pokok Dedalu, maka di situlah merupakan stesen perhentian kami. Di situ juga ada sebuah kolam ikan kepunyaan Pak Ngah Tengin. Sambil memerhatikan ikan-ikan berkeliaran di kolam Pak Ngah Tengin, kami juga sedang menghirup bayu petang yang sepoi-sepoi bahasa di tengah sawah yang terbentang itu.

‘Permainan’ yang paling kami sukai ialah memerhatikan awan berarak di langit sambil mebentuk berbagai-bagai bentuk. Ada awan yang merupakan seperti seekor anjing atau harimau atau manusia. Maka ‘berlumba-lumba’lah kami menganalisis bentuk-bentuk yang terbentu di langit itu. Amat menyeronokkan. Dan besar kemungkinannya anak-anak zaman ini tidak faham dan tidak dapat langsung memahami dimana terletakknya ‘keseronokan’ yang aku gambarkan itu. Mereka tidak faham dan tidak akan faham.

Sebenarnya kanak-kanak (seperti aku dan yang sama ‘waktu’ dengan aku) pada ketika itu sentiasa ‘bergelumang’ dengan alam. Kami amat sebati dengan peredaran alam dan seolah-olah alam juga ‘simpati’ dengan keadaan anak-anak pada zaman itu. Hiburan aku pada ketika itu adalah apabila melihat daun kelapa yang melintuk liuk ditiup angin petang; mencium bau jerami padi yang terbakar hasil titik peluh Pak Ngah Manap. Dan hati ini pula akan merasa pilu dan hiba bercampur sayu meilhatkan matahari terbenam menjelang senja. Dan akan menjelma pula perasaan romantis apabila muncul sinaran bulan pada malam ‘bulan empat belas’.

Apabila terdengar saja bunyi kerantung ( ada yang disebut sebagai beduk) dari surau Seberang yang menandakan masuknya waktu Maghrib, maka kami pun sudah bersedia untuk bersama-sama Pak Haji Sulaiman untuk menunaikan fardhu Maghrib bersama beliau.

Aku doakan agar roh Pak Haji Sulaiman ditempatkan dikalangan golongan yang beriman. Amin.


abuhassanadam

9 April 2025


 

Sunday, April 6, 2025

 FITNAH MEMFITNAH HARUS DIHENTIKAN SEGERA

Dalam keadaan kemelut negara yang agak meruncing, kita selalu meletakkan sejuta harapan agar keadaan negara kembali seperti keadaan sedia kala walaupun sudah kelihatan ia akan berubah. Kita mengidamkan ekonomi negara tumbuh dengan segar sepertimana yang dapat kita perhatikan kini. Kita mimpikan keadaan hubungan antara kaum terus menerus dalam keadaan harmoni seperti mana yang pernah kita kecapi dalam tahun-tahun pada suatu ketika dulu - tahun-tahun 80an dan 90an. Kita mengharapkan agar suatu episod dalam sejarah Kesultanan Melaka akan berulang di negara kita yang tercinta ini. 

Hanya pisang yang tidak akan berbuah dua kali. Peristiwa sejarah silam mungkin berulang. Kalaupun tidak sama bentuknya, akan muncul pula dalam bentuk yang mirip-mirip sama. Teringat pula  tentang suatu episod sejarah dalam zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang perlu direnungi, tentang kisah Hang Tuah difitnah kerana  dikatakan berkelakuan sumbang dengan gundik raja. Maka Sultan telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah.

Kitab ‘Salalat al-Salatin’ menceritakan,

“ Maka fikir Seri Nara al-Diraja pada hatinya, ‘belum patut dosanya Hang Tuah ini aku bunuh.’ Maka disuruh sembunyikan oleh Seri Nara al-Diraja pada satu dusun, dipasungnya. Maka dipersembahkannya kepada raja, dikatakannya sudah dibunuh. Maka Sultan Mansur Syah pun diamlah.

Setelah sudah setahun lamanya, maka Hang Kasturi pun berkendak dengan dayang-dayang dipakai raja lagi kesayangan dalam istana. Maka Sultan Mansur Syah dan Raja Perempuan turun dari istana itu, pindah ke istana lain. Maka Hang Kasturi dikepung oranglah. Maka Sultan Mansur Syah pun duduk pada sebuah balai kecil. Maka Bendahara dan Penghulu Bendahari dan segala orang besar-besar dan orang kaya-kaya sekalian hadir mengadap. Maka orang mengepung Hang Kasturi itu penuh berlapis-lapis, seorang pun tiada dapat menaiki Hang Kasturi.

Maka oleh Hang Kasturi semuanya pintu istana dikuncinya, suatu di hadapan Hang Kasturi juga dibukanya. Maka batil, talam kerikal, dulang gangsa sekalian dikaparkannya di lantai. Maka di atas talam batil itu ia berjalan. Maka perempuan gundiknya itu pun dibelahnya mukanya lalu ke perutnya, maka ditelanjangnya. Maka Sultan Mansur Syah pun memberi titah menyuruh menaiki Hang Kasturi. Maka seorang pun tiada bercakap.

“ Pada zaman itu Hang Kasturi bukan barang-barang orang. Maka Sultan Mansur Shah pun mengenang Hang Tuah. Maka titah baginda,’ Sayangnya Si Tuah tiada. Jikalau Si Tuah ada, dapatlah ia menghapuskan kemaluanku.” Maka Seri Nara Diraja diam mendengar titah itu. Setelah dua tiga kali raja mengenang Hang Tuah, maka sembah Seri Nara Diraja, “Tuanku, pada pemandangan patik sangat behena Duli Yang Dipertuan mengenang Hang Tuah. Jikalau sekiranya ada Hang Tuah hidup, adakah ampun Yang Dipertuan akan dia?”

Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘Adakah Si Tuah ditaruh Seri Nara al-Diraja?”

Maka sembah Seri Nara al-Diraja, ‘ Gila apakah patik menaruh dia, dengan titah tuanku menyuruh membuangkan dia? Sudah patik buangnkan.”Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘ Adapun jikalau ada Si Tuah, jikalau seperti bukit sekalipun dosanya nescaya kita ampun juga. Pada bicara hati kita ada juga Si Tuah pada Seri Nara al-Diraja.”

Maka sembah Seri Nara al-Diaraja, “ Sungguh tuanku seperti titah itu. Tetapi titah Tuanku menyuruh membunuh Hang Tuah itu pada fikir patik tiada patut Hang Tuah dibunuh kerana dosanya. Maka oleh patik-patik pasung, kerana Hang Tuah bukan barang-barang hamba, takut ada perkataannya ke bawah duli kemudian hari.

Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar sembah Seri Nara al-Diaraja itu. Maka titah baginda,’ Bahawasanya Seri Nara al-Dirajalah yang sempurna hamba.” Maka Seri Nara al-Diraja dianugerahkan persalin sepertinya. Maka titah Sultan Mansur Syah,’Segera Seri Nara al-Diraja menyuruh membawa Hang Tuah ke mari.”

Maka Seri Nara al-Diraja pun menyuruhkan orangnya memanggil (Hang Tuah). Maka Hang Tuah dibawa oranglah ke hadapan Sultan Mansur Syah.”

Kisah ini berakhir dengan satu trajedi sedih dimana Hang Tuah terpaksa membunuh sahabatnya sendiri demi untuk menyelamtkan negeri Melaka yang huru hara disebabkan tindakan Hang Kasturi ( Hang Jebat – mengikut setengah hikayat lama).

Aku coretkan kisah sejarah ini memandangkan sudah begitu lama kemelut  ( kisah fitnah memfitnah ) yang berlaku di negara kita berlarutan dan sudah sampai masa dan ketikanya memerlukan penyelesaian. Dan ‘ke barat, ke baruh, ke utara, ke selatan’ aku berjumpa dengan rakyat jelata, hampir sepakat mengatakan bahawa kisah fitnah memfitnah ini harus dihentikan.Tanyalah orang Melayu, tanyalah orang Cina atau India atau Iban, Kadazan maka jawapan yang diberikan oleh mereka adalah sama.

abuhassanadam

6 April 2025