Friday, November 1, 2013

USAH PERSOALKAN KERAKYATAN KAUM CINA DAN INDIA

USAH PERSOALKAN KERAKYATAN KAUM CINA DAN INDIA

Aku ( orang Melayu totok ) memang tidak setuju dengan tindakan setengah pihak di Malaysia yang sentiasa mempersoalkan tentang kedudukan kaum Cina dan India di negara ini sedangkan sudah jelas termaktub dalam perlembagaan yang menjelaskan bahawa Melayu, Cina dan India adalah rakyat Malaysia. Tidak wujud perbezaan. Perlembagaan ‘mengatakan’ begitu. Dengan demkian apabila ada diantara kita yang mempersoalkan tentang kedudukan kaum Cina dan India ini seolah-olah hanya mahu menyinggung perasaan kaum berkenaan. Sememangnya tidak elok berkelakuan sedemikian. Bukan amalan rakyat Malaysia secara umum. Hanya segelintir yang bersikap begitu.

Apakah ini caranya untuk kita mewujudkan bangsa Malaysia?. Apakah kita merasa megah dengan tindakan sedemikian yang pada pandangan kita boleh ‘mempamerkan’ kepada dunia luar tentang kehebatan kita menjalinkan hubungan antara kaum? Apakah begitu? Ini yang aku tidak berapa faham tentang pemikiran setegah pihak dalam negara kita yang seolah-olah lebih mementingkan ‘pertentangan’ dan ‘pergaduhan’ daripada ‘berbaik-baik’. Memang suka bergaduh……Seolah-olah kewujudannya adalah semata-mata untuk menuju ke arah pertentangan. Aku betul-betul tak faham dengan keadaan yang sebegini.

Ini Kurun ke 21. Zaman ini zaman dunia tanpa sempadan. Masyarakat yang boleh wujud dalam negara kini adalah yang berasaskan kepada ilmu pengetahuan. Golongan ini kata yang  mereka faham tetapi tindakan yang dilakukan oleh mereka amat bertentangan dengan peradaban yang diamalkan pada Kurun ke21. Semacam tidak mengikuti perkembangan zaman……

Orang Cina dan India sudah berada di negara ini ( kawasan Nusantara ) semenjak zaman berzaman. Malah semenjak sebelum Kurun ke 15 lagi ( sebelum pembukaan negeri Melaka). Telah mula berdagang dengan aman dengan saudagar-saudagar Melayu di kawasan Nusantara. Tak pernah timbul pergaduhan besar. Pergaduhan hanya timbul apabila datangnya kuasa barat ( Portugis, Belanda  dan Inggeris kemudiannya). Sebleum kedatangan kuasa Barat, telah terwujud satu keadaan yang cukup aman di kawasan Nusantara yang dicetuskan oleh saudagar-saudagar Arab, Cina dan India. Apakah salahnya kita ulangi sejarah sedemikian – mengulangi sejarah aman sedemikian pada Kurun ke 21 di Malaysia.

Kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu bukanlah kehendak mereka ( generasi yang ada sekarang). Mereka berada di sini disebabkan mereka lahir di sini. Ke mana lagi mereka mahu pergi. Takkanlah mereka nak menyalahkan ibu yang mengandung. Lagi pun mereka sudah merasakan bahawa Malaysialah sebagai tempat tumpah darah mereka.

Seingat akulah, hubungan antara kaum ini memang telah cukup subur pada tahun-tahun 1980an dan 1990an dan agak mula renggang pada awal Kurun ke 21. Semua kaum ( Melayu, Cina, India) amat sedar tentang akibat buruk yang dicetuskan oleh Peristiwa 13 Mei 1969. Perbalahan kaum itu menelurkan satu keadaan yang amat memilukan bagi semua kaum. Ini yang dikatakan menang jadi ibu , kalah jadi arang.

Disedari oleh semua kaum bahawa untuk Malaysia mencapai satu keadaan aman dan harmoni jangan ada perbezaan yang besar antara perkembangan kaum-kaum di Malasyia. Maknanya sekiranya orang Cina dapat menikmati kekayaan di negara ini seeloknya orang Meayu juga mesti menikmati kekayaan bersama. Lantas diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru. Satu dasar untuk memajukan orang Melayu supaya setanding dan boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain. Dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1970 ini agak berjaya.

Dan yang hebatnya ialah kaum Cina dan India tidak langsung menentang dasar DEB yang bertujuan untuk memajukan Melayu ini. Tidak ada penentangan. Semua kaum akur. Dan menampakkan bahawa rancangan kerajaan itu berjaya, walaupun kejayaan yang dicapai oleh orang Melayu tidak sebagaimana yang disasarkan. Bukanlah pula salah kaum Cina yang menyebabkan sasaran itu tidak tercapai. Disinilah letaknya keikhlasan kaum Melayu supaya menyedari hakikat bahawa kita tidak seharusnya sentiasa menyalahkan orang lain yang menyebabkan kegagalan kita. Aku rasa ramai orang Melayu yang rasional pemikirannya bersetuju bahawa kegagalan orang Melayu mencapai sasaran DEB adalh berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri. Bukan disebabkan oleh orang lain.

Oleh itu penyelesaian kepada masalah ini bukanlah ‘confrontational’. Maknanya bukanlah menyalahkan orang lain. Bukanlah menuding jari ke arah orang lain. Tidak seharusnya kita marah-marah pada orang lain yang menyebabkan kita gagal. Bukan itu caranya.

Aku yakin kaum bukan Melayu akan bersedia untuk bekerjasama secara serious untuk memajukan orang Melayu. Mesti diwujudkan satu formula yang boleh meyakinkan. Kita semestinya mengakui bahawa orang Cina sememangnya mahir dalam selok-belok  perniagaan. Seluruh dunia sudah mengiktirafnya. Ini tidak bermakna bahawa mereka mahir dalam lapangan itu kerana keadaan semula jadi. Tidak. Kajilah sejarah perkembangan masyarakat Cina dan baru kita dapat ketahui mengapa mereka boleh jadi demikian. Sejarah yang mengajar mereka.

Justeru, apalah salahnya sekiranya kerajaan memikirkan sesuatu yang boleh meyakinkan semua kaum bahawa Malaysia boleh dimajukan dengan penglibatan secara serious semua kaum. Aku yakin orang Cina akan bersedia bekerjasama sekiranya betul cara kita gunakan untuk memajukan orang Melayu. Aku yakin.

Bagi membuktikan yang kaum bukan Melayu sanggup bekerjasama untuk memajukan orang Melayu dapat dilihat daripada tindakan Dato Onn Jaafar (UMNO) bersama-sama dengan Tan Cheng Lock (MCA) menubuhkan Communities Liason  Committee (CLC) pada tahun 1949. Antara yang dipersetujui ialah penubuhan RIDA ( Rural Industrial Development Authority) yang bertujuan untuk memajukan ekonomi dan pendidikan masyarakat luar bandar ( orang Melayu ). MCA setuju. Maknanya mereka mengakui kelemahan orang Melayu dalam berbagai-bagai lapangan pada ketika itu. Begitu juga apabila DEB diperkenalkan. Secara umumnya tidak ada bangkangan daripada kaum bukan Melayu.

Jelas menampakkan bahawa sekiranya dibincang dan dirundingkan, kaum-kaum yang terdapat di Malaysia dapat melakukan sesuatu untuk kemakmuran rakyat Malaysia. Telah berapa puluh dan ratusan tahun terbukti yang kaum-kaum ini boleh bekerjasama. Mengapa keadaan sebegini tidak dipergunakan (capitalized) untuk sesuatu yang boleh memberi kebaikan kepada kemajuan bangsa dan negara.

Aku yakin benar bahawa cara yang digunakan oleh setengah pihak di Malaysia, yang sentiasa menyalahkan orang lain tidak akan mendatangkan faedah kepada bangsa Malaysia. Masyarakat Malaysia dalam Kurun ke 21 tidak akan sesuai dengan cara berfikir  demikian.

Malah akan menggugat konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh DS Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia itu.

abuhassanadam
1 November 2013



















No comments:

Post a Comment