Saturday, January 18, 2014

DARI TONG-YA-NONG KE UNTA-TIKA

Alkisah maka tersebutlah kisah sebuah negeri yang terletek di sebelah timur. Tong-Ya-Nong namanya. Sehari perjalanan dari Pa-Hoang ke utara arahnya. Dan sehari perjalanan juga ke Ki-Lan-Tan dari Tong-Ya-Nong. Baginda Ah-Mad nama pembesarnya. Tersangatlah elok rupa parasnya seperti bulan gerhana.

Maka gemparlah segala orang di pekan sekiranya melihat baginda lalu. Segala anak bininya orang dan anak dara-dara orang yang taruhan sekaliannya berterpaan hendak melihat Baginda Ah-Mad. Ada yang menengok pada pintu, ada yang menengok pada kisi-kisi, ada yang menengok pada tingkap, ada yang menengok pada atap, ada yang memesok dinding, ada yang memanjat pagar.

Adapun terdengar khabar di seluruh negeri mengatakan yang pembesar negeri ini akan berangkat ke sebuah tempat bernama Unta-Tika. Negeri di bawah angin katanya. Sejuk. Penuh dengan ais dan burung Penguin. Entah apalah gerangan baginda untuk pergi ke sana. Memang pernah disebut berkali-kali oleh Mamak Mendeliar pada zaman dahulu kala bahawa Unta-Tika memang kaya dengan bahan mentah. Katanya macam-macam ada didalam perut bumi Unta-Tika. Emas, perak, besi, uranium dan macam-macam lagi.

Arakian maka disuruhlah oleh hulubalang-hulubalang Tong-Ya-Nong bekerja keras mengumpulkan duit untuk perbelanjaan dan tambang menambang Baginda Ah-Mad untuk ke Unta-Tika itu. Maka bertungkus lumuslah rakyat Tong-Ya-Nong bekerja keras bagi mengumpulkan wang yang diperlukan oleh Baginda Ah-Mad. Dan bukan Bendahara seorang saja yang pergi. Berbelas-belas orang pengikutnya akan ke Unta-Tika. Kesemua tambang menambang mereka akan ditanggung oleh rakyat Tong Ya-Nong.

Adapun Tong-Ya-Nong memang dalam keadaan kesusahan. Nelayan-nelayannya tidak dapat pergi ke laut menangkap ikan kerana angin kencang di laut. Dan di setengah tempat di negeri itu baru saja terlepas dari banjir besar yang menenggelamkan beberapa kawasan di Tong-Ya-Nong. Tambahan pula pada ketika ini harga barang-barang makanan semuanya naik belaka.

Ramai rakyat Tong-Ya-Nong terpinga-pinga apabila diriwayatkan yang Baginda Ah-Mad akan berangkat ke Unta-Tika. Ramai yang tidak pernah dengar tentang negeri yang bernama Unta-Tika. Ramai juga yang bertanya apakah gerangan Baginda hendak berangkat ke Unta-Tika. Untuk berkahwin dengan anak raja Unta-Tika kah yang mendorong Baginda pergi ke sana. Ada yang bertanya begitu.

Dikhabarkan pada sekalian rakyat Tong-Ya-Nong bahawa baginda ke sana adalah untuk meninjau dan mempelajari sesuatu dari negeri yang penuh dengan ais itu dan burung Penguin. Moga-moga apabila baginda dan rombongannya kembali dari melawat Unta-Tika nanti baginda akan dapat membawa kemajuan yang besar kepada negeri Tong-Ya-Nong.

Telah dikhabarkan kepada sekalian rakyat bahawa Baginda amat bimbang sekiranya negeri Tong-Ya-Nong yang terletak berhampiran dengan laut itu akan bertukar menjadi ais sepertimana yang berlaku di Unta-Tika itu. Dengan demikian Baginda bersiap sedia menghadapi kemungkinan Tong-Ya-Nong menjadi negeri yang dipenuhi oleh ais. Baginda akan mempersiapkan rakyatnya bagaimana hendak menghadapi keadaan demikian. Bagaimana rakyat yang menjadi nelayan kini perlu menukarkan pekerjaan mereka kepada penternak penguin supaya pendapatan rakyat negeri itu terjamin.

Baginda Ah-Mad boleh dikira sebagai pemerintah yang ‘far-sighted’ ia itu boleh menduga apa yang akan terjadi kepada negerinya pada masa yang tidak ditentukan. Beliau tidak mahu lagi rakyatnya hanya pandai menjadi nelayan dan petani yang hanya pandai menanam kangkung saja. Beliau mahu rakyatnya berkebolehan dalam semua perkara.

Mungkin juga pada fikiran rakyat di Tong-Ya-Nong bahawa pemimpin mereka pergi ke Unta-Tika untuk menandatangani perjanjian supaya negeri Unta-Tika dapat membekalkan ais untuk keperluan para nelayan membekukan ikan yang ditangkap oleh mereka. Diriwayatkan bahawa ais yang diperolehi dari Unta Tika adalah lebih baik kualitinya daripada ais yang dihasilkan di Tong-Ya- Nong. Dengan demikian Baginda merasakan bahawa lawatannya ke Unta-Tika akan memberi banyak faedah kepada rakyat di negerinya. Oleh itu rakyat tidak perlu mempersoalkan kewajaran Baginda dan rombongannya membelanjakan jutaan ringgit semata-mata untuk membiayai perbelanjaan ‘lawatan’nya ke Unta-Tika itu.

Amin….

abuhassanadam
18 Januari 2014


1 comment:

  1. Ha ha ha! ini Ahmad, orang Teganu kate 'bengong'.

    ReplyDelete