Wednesday, June 25, 2014

APAKAH BEGITU SIFAT SEBENAR ORANG MELAYU?

Beberapa tindakan yang dilakukan oleh beberapa NGO di negara ini pada akhir-akhir ini seolah-olah menampakkan semacam orang Melayu tergugat kedudukannya. Semacam orang Melayu yang beragama Islam terancam kedudukannya. Apakah betul anggapan sedemikian?. Dan sekiranya diteliti dan diperinci, tidak menampakkan langsung bahawa orang Melayu di negara ini tergugat. Golongan yang merasakan bahawa bangsa Melayu dan agama Islam sedang digugat adalah sama seperti takutkan  bayang-bayang yang diciptakan untuk ‘menakutkan’.

Mungkin pihak-pihak tertentu di negara ini mempunyai agenda tertentu yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian. Agenda mereka yang tersendiri yang direka dan dicipta oleh mereka sendiri. Aku tentulah tidak dapat memahami tindakan pihak-pihak tertentu yang terpaksa ‘mencipta’ sesuatu isu demi untuk menonjolkan diri mereka sebagai ‘hero’ memperjuangkan sesuatu isu yang berkaitan dengan agama. Terpaksa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang hebat bagi menunjukkan bahawa mereka berbuat sesuatu untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Hanya mereka sendiri yang tahu dan faham apa yang mereka lakukan.

Aku tidak faham dengan keadaan dan situasi yang berlaku kini. Semenjak zaman berzaman aku tidak pernah lagi melihat suasana dan ‘kelakuan’ yang sebegini yang dilakukan oleh rakyat Malaysia  berketurunan Melayu dan beragama Islam. Mungkin ada. Hanya aku yang tidak perasan perkara seperti itu berlaku. Semenjak zaman berzaman orang Melayu memang terkenal dengan bangsa yang bersopan santunnya, sehinggakan kita (orang Melayu termasuk aku) sangat dihormati oleh bangsa lain di negara ini. Orang Melayu sememangnya bersifat lemah lembut dan bersopan santun.

Aku turunkan beberapa baris dari sajak dari sastrawan negara Dato’ Usman Awang berjodol “Melayu”.

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Beberapa tindakan NGO yang kononnya memperjuangkan agama dan bangsa Melayu seolah-olah amat jauh menyimpang dari cara dan adat orang Melayu. Dengan sebab itulah segala tindakan mereka itu bukan sahaja tidak disukai oleh golongan bukan Melayu tetapi juga tidak langsung direstui oleh kebanyakan orang Melayu yang beragama Islam. Mungkin yang merestui akan tindakan yang sedemikian adalah golongan yang sudah lupa dan menyimpang agak jauh dari peradaban dan tata susila orang Melayu.Mungkin…

Kata SN Usman Awang, “bahawa Melayu itu orang yang bijaksana” yang membawa erti bahawa segala tindak-tanduknya tentulah menampakkan sebagai seorang yang cerdik dan pandai dan berhemah dalam melakukan sesuatu tindakan. Dan pastinya memikirkan kesan dan akibat daripada tindakan yang dilakukan. Lantas berfikir dua kali dan beberapa kali sebelum melakukan apa saja tindakan. Itu yang dimaksudkan dengan bijaksana dan tidak hanya memikirkan tentang mencari ‘sesuap nasi’ untuk menyarai keluarga tercinta.

“Kurang ajarnya tetap santun”

Maknanya orang Melayu tidak akan bersikap kurang ajar. Pada pemerhatian aku bahawa sejarah kewujudan orang Melayu jarang sangat disebutkan bahawa orang Melayu sebagai bangsa yang sentiasa kurang ajar. Mungkin mereka bersikap kurang ajar tetapi disebabkan ‘bersantun’nya kurang ajar mereka itu sehinggakan tidak kelihatan dan terjelma sikap kurang ajarnya. Itulah dia orang Melayu.

Ini bermakana bahawa orang Melayu sentiasa memendam kemarahan mereka sekiranya mereka memarahi sesuatu. Orang Melayu akan ‘mengamuk’ sekiranya kemarahan mereka sampai ke kemuncaknya. Amuk atau mengamuk hanya sifat yang dimiliki oleh orang Melayu sahaja di dunia ini walaupun berbagai kamus antarabangsa telah mentafsirkan perkataan amuk dalam situasi yang berlainan dan berlaku kepada bangsa-bangsa lain juga di dunia. Apakah tindakan NGO-NGO yang  ada di Malaysia kini yang  kononnya memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam itu sudah lupa atau melupakan budaya dan adat santun orang Melayu itu?

Dan perlu diingat juga bahawa Islam itu menganjurkan perdamaian bukan sahaja antara penganutnya tetapi juga dengan penganut-penganut agama lain. Dan jikalau ditinjau sejarah perjuangan rakyat Malayisa yang terdiri dari berbilang kaum pun, tetap mengutamakan rundingan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Perdamaian. Ketiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang terdiri dari Melayu, Cina dan India berjaya mencapai kemerdekaan negara bertunjangkan pakatan antara kaum yang mereka usahakan sehinggakan British tidak ada alasan lagi untuk menidakkan kemerdekaan negara kita.

Cara pemimpin negara dan Sultan-sultan menyelesaikan masalah kerakyatan di negara ini juga adalah melalui tolak ansur politik. Lantas prinsip yang berasaskan perundingan harus diteruskan bagi menjamin negara Malaysia yang aman damai. Tindakan kekerasan ataupun kurang sopan pastinya tidak mendapat restu rakyat terbanyak. Sebab sifat orang Melayu adalah lemah lembut dan sentiasa memikirkan tentang perdamaian.

abuhassanadam

25 Jun 2014

5 comments:

  1. Tn Abu Hassan,
    Daripada sumbangan komen dahulu saya tuan dapat tahu bahawa saya bukan seorang Melayu. Oleh itu pandangan saya adalah drpd perspektif seorang rakyat negara ini yang berbangsa lain drpd orang Melayu. Saya anggap diri saya seorang rakyat yang "tulin" kerana saya berpegang kepada tanggungjawab penuh saya sebagai seorang warganegara, dan inilah negara saya, bukan negara nenek moyang saya; di mana saya dilahirkan, dan sinilah saya akan ditanam atau dibakar.

    Saya tidak suka kalau saya dipanggil bangsa asing, sebab saya bangsa Malaysia. Saya berasa tidak berapa adil jika seorang yang baharu datang daripada negara jiran memperoleh status lebih tinggi drpd saya dalam sekelip mata, kerana dia beragama sama seperti kaum majoriti di negara ini. Kalau dikira, saya adalah generasi keempat sebelah ibu saya. Saya patuh pada undang-undang dan menghormati raja dan rukun negara. Saya sentiasa mengganggap orang Melayu sebagai kaum pribumi, tetapi tidak berapa suka orang yang menganut agama Islam menjadikan mereka orang Melayu dalam sekelip mata. Kalau dia hendak menganut agama Islam dan menjadikan dia seorang Melayu dalam sekelip mata (inilah keunikan Perlembagaan kita), dia punya hal... tetapi jangan sampai dok jadi "hero" setiap minggu memanggil kaum "ori" nya dengan kata-kata yang menjijikkan seperti "ultrakiasu". Saya pun tahu, saya boleh terasa, mungkin kawan kita yang bermata sepet itu yang tidak lama lagi akan memakai gelaran "Dato"...cukup marah dengan orang-orang Cina di negara ini yang tidak bertanggungjawab; tidak melaksanakan tugas sepenuhnya sebagai warganegara, tidak mahu mengakui bahawa orang Melayu ialah kaum asal di sini; masih tidak mahu mengikiskan sifat dan sikap ekslusiviti mereka, yakni masih berasa bongkak dan tidak mahu diasimilasikan (sepertinya!).
    Baik, saya sentiasa beranggapan bahawa orang Melayu suatu bangsa yang pelembut dan rasional. Pernah saya dengar komen daripada seorang "bangsa asing" suatu ketika dahulu bahawa kalau orang Melayu bukan kaum pelembut, "bangsa-bangsa asing" sememangnya tiada peluang mencari makan di negara ini. Bagi saya orang Melayu cukup sensitif dengan agama mereka. "Bangsa asing" seperti yang sangat suka akan duit ringgit tidaklah kisah sangat tentang agama; kepercayaan lebih pada budaya. Payah nak pisahkan agama drpd budaya dan sebaliknya.
    Persoalannya, apakah orang Melayu terancam sehinggakan perlunya ditubuhkan NGOs? yang sememangnya membuatkan saya keliru? Sehinggakan kaum "asing" yang mereka anggap mereka warganegara yang sah, yang memegang kad pengenalan biru merasakan bahawa mereka bukan warganegara yang sah lagi; bahawa mereka tidak ada hak! apa yang mereka buat akan dikutuk oleh puak-puak NGOs yang manjadi pembela bangsa Melayu...kononnya bangsa majoriti terancam atau telah dihina. Sikit-sikit bawa masuk agama dan raja. Saya kira puak-puak NGO Melayu yang asyik menjadi pembela orang Melayu berperanan sebagai "pembuli". sebab kaum lain penakut.

    ReplyDelete
  2. Saudara,
    Sebenarnya orang Melayu yang sudah hilang sifat kemelayuannya tidak ramai. Majority Melayu di Malaysia masih lagi rasional. Berperibadi Melayu dan berpegang teguh kepada prinsip Bangsa Malaysia tulin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tn Abu Hassan,
      Betul yang disebut. Melayu tulin dengan sifat kelembutannya masih dalam majoriti. Saya mengakui.

      Tetapi saya kurang memahami munculnya kumpulan yang bersifat "ekstrimis" seperti Perkasa, dan baharu-baharu ini Isma (atau lebih menjadi kumpulan pendesak Hudud) yang telah menjadikan negara ini sebuah negara yang seolah-olah sudah hilang sasaranya. Saya berasa kemungkinan puak-puak NGO politk Melayu ada tempatnya kerana ada di kalangan orang Melayu yang berasa kuasa politik orang Melayu sudah pudar, dengan munculnya parti PKR yang kononnya didalangi DAP. Dan juga suara DAP yang lebih mendapat sokongan pemuda-pemudi Cina vis-a-vis MCA yang lebih di lihat "terlalu lembut" (mild). Populariti DAP sejak 2008 dilihat sebagai ancaman kepada politik orang Melayu. Itulah persepsi ramai.

      Dan dengan kemasukan balik MCA dan Gerakan (wakil-wakilnya) ke kabinet hari ini, apakah persepsi positif kaum Cina terhadap BN? Apakah sokongan kaum CIna pada BN akan tambah pada masa akan datang? Boleh kita lihat. Tetapi tidak akan berlaku apa-apa pada masa terdekat. Ramai orang Cina terus akan menyokong PKR (atau DAP). Tidaklah mudah bagi MCA balik ke zaman kegemilangannya. Kecuali ia boleh (dan berani) mengasah taringnya (kalau ada) jika berdepan dengan "big brother" iaitu UMNO. Itulah "expectation" orang-orang Cina di Malaysia hari ini. Selagi mereka merasakan MCA lemah, mereka akan menyokong DAP.

      Delete
  3. Dear Mr. Yukon,

    I assume u are a gentleman based on my limited ability to determine gender from names alone. My apology is you are of the opposite sex.

    Firstly, my compliments for your ability to converse so well in the malay language despite not being a malay. I have long discarded my "kamus dewan bahasa and pustaka" the moment I passed my SPM.

    For me, it is embedded in the human psyche and their biological nature to bond among each other with similar attributes. Malays are very similar to Indons hence the ease in assimilation whereas the other races can't blend in so easily. 2nd ( a very very contention point)...is that from a civilization point of view, the races in other regions are much more developed than those in SEA hence the bitterness/jealousy/fear. Given the opportunity, these people will always thrive economically in which ever country in SEA that they settled down. Google the richest people in these countries: Thailand, Philippines, Indonesia, Cambodia, Vietnam, Malaysia. They are not natives of such country. but you hardly see these people being as successful (i.e. multi billionaires) in developed countries in which they do not originate from.

    This disparity was prevalent a few decades back but I feel the gap has now closed or even on level playing field. However, the perception remains so and the few unscrupulous and malicious are taking advantage of the majority's ignorance...

    Just imagine... if all the people in Msia other than Malays are the poorest lot and always have been so and that ALL wealth has always been concentrated in the hands of the Malays (not that it is already not so), ceteris paribus, would the above as described by Encik Abu Hassan still happen ?.

    end of day...to me the blame lies squarely with the current government and the previous long serving PM for all this fiasco...

    ReplyDelete
  4. Saudara Tsksing,

    Tkasih atas komen saudara. Sebenarnya matlamat saya 'mengorbankan diri' mengendalikan blog ini adalah untuk menyediakan tapak yang sesuai bagi anak-anak muda seperti saudara-saudari berbincang dan berbahas tentang isu negara. Matlamat akhirnya yang boleh dimanfaatkan semua.

    Selamat maju jaya.

    Pak Abu

    ReplyDelete