Thursday, June 12, 2014

SEKIRANYA TUN DR ISMAIL MASIH ADA

Aku teringat pula tentang kisah dalam zaman kerajaan Melayu Melaka apabila Hang Jebat mengamuk disebabkan tindakan Sultan Melaka membunuh Hang Tuah, sahabat karibnya ekoran daripada fitnah yang dilemparkan terhadap Hang Tuah. Hang Jebat begitu marah dengan tindakan Sultan itu lalu mengamuk di istana. Terlalu sukar untuk menewaskan Hang Jebat. Tidak ada hulubalang yang ada di Melaka pada ketika itu yang boleh menewaskan Hang Jebat selain daripada Hang Tuah yang dikatakan menderhaka kepada raja itu. Sehinggalah Baginda Sultan mengeluarkan kata-kata,’ sekiranya Hang Tuah masih hidup……..”

Dan melihatkan kepada berbagai peristiwa yang ‘pelik-pelik’ berlaku di Malaysia kini teringat pula aku kepada Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri. Hati kecil aku berkata, “Sekiranyalah Tun Dr. Ismail masih hidup……….”

Membaca buku ‘Looking Back’ hasil tulisan Tunku Abdul Rahman, terlalu banyak diceritakan oleh Tunku mengenai Tun Dr. Ismail yang merupakan tokoh yang pintar dan ikhlas dalam menjalankan apa tugas yang diserahkan kepadanya. Dan yang paling banyak disentuh ialah mengenai ketegasannya dalam menangani perkara-perkara penting yang diserahkan kepadanya. Pernah diceritakan oleh Tunku tentang pelantikan Tun Dr. Ismail sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan (zaman penjajahan British) yang lebih kurang sama dengan kabinet pada hari ini. Dr. Ismail enggan menerima pelantikan itu, sehingga menyebabkan Tunku ‘memaksa’ beliau menerimanya. Beliau setuju tetapi meletakkan syarat bahawa hanya untuk satu tahun sahaja.

Itulah rupa ‘manusia’ yang bernama Tun Dr. Ismail. Dan aku bandingkan pula dengan keadaan pemimpin masa kini. Ada yang terpaksa ‘menyembah’ dan ‘meminta’ supaya dilantik menjadi menteri, walaupun dari segi kelayakan dan kebolehan amat jauh bezanya berbanding dengan pemimpin-pemimpin pada zaman kempimpinan Tunku Abdul Rahman dahulu. Dan apabila memegang jawatan menteri ramai juga yang tidak dapat memenuhi kehendak jawatan berkenaan. Amat menyedihkan dan berlaku kini.

Tun Ghazali Shafie pernah menjadi Menteri Dalam Negeri Malaysia. Begitu juga Tun Musa Hitam, Tun Mahathir Mohamed dan kemudiannya Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dan ramai yang berpendapat bahawa Tun Dr. Ismail masih diiktiraf sebagai Menteri Dalam Negeri Malaysia yang paling hebat. Banyak faktor yang boleh meletakkan Tun Dr.Ismail di tempat teratas.

Ramai yang berpendapat bahawa kehebatan Tun Dr. Ismail ialah kemampuannya ‘mendamaikan’ kaum-kaum di Malaysia terutama selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Seolah-olah tidak ada tokoh lain di Malaysia pada ketika itu yang boleh ‘mententeramkan’ keadaan di negara ini selain daripada Tun Dr. Ismail. Lantas beliau telah ‘dipelawa’ oleh Tun Abdul Razak untuk menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu.

Tidak syak lagi bahawa beliau telah berjaya mententeramkan suasana di Malaysia. Bukan itu saja malah beliau telah mendapat penghormatan yang begitu tinggi daripada berbagai pihak yang sedar bahawa sebenarnya Tun Dr. Ismail adalah seorang pemimpin yang betul-betul tidak memilih ‘bulu’. “He ordered the arrest of troublemakers with no regard to their race, Malay, Indian or Chinese. And warned Malay ultras to expect no mercy if they agitated. Once he remarked that he would arrest his own mother if she did anything illegal” Malaysian Insider, 15 August 2013. Dan mengikut kata Tun Musa Hitam yang menonton siaran TV berkenaan berkata,’ "……a sense of relief came over us, the sheer force of the man's reputation for fairness was magic".

Sehubungan dengan itu  terlintas juga difikiran aku apabila melihat keadaan hubungan kaum di Malaysia kini. Semakin hari semakin ‘rapuh’. Semakin hari semakin ternampak semacam ada ‘puak-puak’ tertentu yang cuba mengadu-dombakan kaum-kaum di Malaysia. Seolah-olah semacam diada-adakan isu agar dapat ‘menghangatkan’ suasana keharmonian antara kaum di Malaysia. Kadang-kadang semacam isu yang difikirkan remeh tetapi diperbesar-perbesarkan. Ternampak semacam ada usaha untuk mencetuskan keadaan seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu. Namun aku yakin peristiwa sedemikian rupa pastinya tidak akan berlaku walaupun berbagai ‘usaha’ telah dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan.

Justeru aku teringat kepada Tun Dr.Ismail bin Abdul Rahman. Hati kecil aku berkata lagi, ’ sekiranya Tun Dr. Ismail masih hidup…….”

Dan kenangan sedemikian mungkin juga dikongsikan oleh rakyat Malaysia lain yang tahu dan kenal siapa sebenarnya Tun Dr. Ismail. Tengku Razaleigh Hamzah memberikan komen ini, "Ismail was a principled man - and was seen that way by the different races... once he decided on something you could be sure that he had gone through the relevant details and studied them. What is confidence unless it is based on the people's belief in the leader?"

Tan Sri Robert Kuok pula mengatakan bahawa "He was a lovely man with the strength of character, high principles and a great sense of fairness. In my opinion, he was probably the most non-racial, non-racist Malay I have ever met. Doc was a stickler for total fair play, for correctness."
Pemergiannya amat dirasai oleh rakyat Malaysia. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman.

abuhassanadam
12 Jun 2014


1 comment:

  1. Semasa hayat Dr. Ismail dulu, NGO Melayu berhaluan kanan belum wujud sempurna lagi sama juga PM Abdul Razak bolehlah dikira seorang yang pegang pada fahaman sekular. Apabila Madey ambil alih teraju negara maka bermulalah proses yang mana" orang Melayu dilihat sebagai umat Islam yang dikepung oleh hantu Yahudi, peniaga Cina, sedang dirasuki oleh ajaran liar Kristian, DAP nak baham Melayu dan bermacam-macam karut lagi", tapi semua institusi kerajaan dikepalai oleh orang Melayu, baik, Polis, Tentera, Mahkamah, IPTA, JPA, SPRM, Pendidikan dan..............., tetapi orang Melayu majoriti yang dah dapat bantuan masih miskin. Kalu ada Dr. Ismail pada zaman lah ni pasti dia akan dihina, dilihat tak mengenang budi dan tak tahu menilai Ketuanan Melayu UMNO dan mungkin tak laku ciri-ciri kepimpinannya dari kaca elit UMNO.

    ReplyDelete