Tuesday, September 15, 2015

PERPADUAN KAUM- JANGAN RETAK MENUNGGU BELAH

            Tajuk yang aku berikan ini mungkin keterlaluan bunyinya. Namun sekiranya tidak dibendung dan ‘disekat’ tidak mustahil ia kan berlaku memandangkan kepada ‘keghairahan’ setengah pihak yang cuba mengadu-domba dan mengapi-apikan antara satu kaum dengan kaum yang lain. Dan kadang-kadang kelihatan juga seolah-olah kumpulan yang tidak bertanggungjawab itu semacam sengaja mahu memecah-belahkan kaum-kaum di Malaysia yang telah terbina sekian lama.

            Perpaduan kaum di Malaysia nampak ‘keretakkannya’. Tentulah peristiwa sebegini dirasakan amat malang terutama bagi ‘orang tua’ seperti aku yang telah sekian lama melihat bagaimana perpaduan kaum itu terbina. Dan bukan satu perkara yang mudah dan enteng membina perpaduan kaum di negara ini. Namun berkat hasil usaha para pemimpin kita yang terdahulu, maka akhirnya terjelma satu masyarakat Malaysia yang agak padu di negara yang tercinta ini.

            Kini kelihatan bahawa perpaduan yang agak utuh itu cuba diruntuhkan oleh ‘tangan-tangan ghaib’ yang tidak bertanggung jawab. Golongan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengguna dan ‘memperdagangkan’ orang Melayu demi mencapai agenda mereka yang tersembunyi. Aku yakin bahawa bukan Komunis yang menjadi dalang untuk merosakkan perpaduan kaum di Malaysia kini. Dan aku yakin juga bahawa bukannya puak Yahudi yang berada di belakang untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di negara kita. Aku amat yakin ‘usaha’ memecah-belahkan perpaduan kaum di Malaysia berpunca daripada ‘usaha’ segelintir manusia yang mahu meneruskan penguasaan mereka terhadap negara ini.

            Rakyat Malaysia dari semua kaum, khususnya orang Melayu harus sedar tentang agenda tersembunyi golongan tertentu ini yang semata-mata menggunakan sentimen perkauman demi mencapai cita-cita mereka. Orang Melayu harus sedar bahawa mereka kadang-kadang tidak sedar yang mereka telah dipergunakan bersendikan slogan-slogan yang menyentuh dan ‘menghiris’ perasaan orang Melayu. Orang Melayu yang hidup dalam Kurun ke 21 harus memahami hakikat sedemikian. Anak-anak muda yang ‘bergelumang’ dalam dunia arus globalisasi harus sedar tentang peranan mereka kepada bangsa dan negara dan tidak harus mudah ‘digula-gula’.

            Sejarah telah membuktikan bahawa proses pembentukan perpaduan kaum di Malaysia mengambil masa yang agak panjang. Peristiwa perbalahan kaum 13 Mei 1969 seolah-olah telah menyedarkan kaum-kaum di Malaysia bahawa sebenarnya pada ketika itu hubungan kaum di negara ini amat rapuh. Orang Melayu, Cina, India amat sedar tentang perkara itu dan lantas berusaha dengan gigih untuk memupuk perpaduan sedemikian.

            Kita tahu dari mana puncanya tentang tidak wujudnya perpaduan kaum yang mantap sebelum Peritiwa 13 Mei 1969. Kita ‘sepakat’ meletakkan kesalahan kepada pihak penjajah yang sengaja membahagikan kaum-kaum di negara ini. Kita tahu tentang hakikat bahawa British menjalankan dasar ‘pecah dan perintahnya’ yang membawa kepada perpecahan kaum yang cukup parah. Walaupun berada dalam keadaan sedemikian dapat juga pemimpin kita meyakinkan pihak British bahawa sebenarnya rakyat negara ini ‘bersatu hati’ dalam soal menuntut kemerdekaan negara. Ketokohan dan keikhlasan Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, Sambanthan ( pemimpin tiga kaum terbesar pada ketika itu) telah dapat menebus kemerdekaan negara dari pihak British.
           
            Selepas mencapai kemerdekaan, seolah-olah pemimpin negara berada dalam zon selesa dengan tidak menyedari bahawa ‘api sedang merebak dalam sekam’. Rupa-rupanya isu perpaduan kaum tidak ditangani dengan berkesan oleh pemimpin-pemimpin kita pada ketika itu. Persoalan ‘orang Melayu tinggal di kampung’, ‘orang Cina tinggal di bandar dan lombong’ dan ‘orang India tinggal di estet’ tidak ditangani dengan berkesan. Malah dianggap sebagai isu enteng yang tidak perlu diambil perhatian segera.

            Lantas tercetuslah peristiwa perbalahan kaum pada 13 Mei 1969. Dan selepas teretus peristiwa itu telah betul-betul menyedarkan rakyat dan pemimpin tentang pentingnya perpaduan kaum di negara demi untuk kemajuan bangsa dan negara yang tercinta ini. Berbagai usaha dilaksanakan ke arah pemupukan kaum itu.

            1970an, 1980an dan 1990an merupakan usha yang begitu gigih dilakukan oleh kepimpinan negara untuk mengkuhkan perpaduan kaum di negara ini. Jelas terbukti bahawa kaum-kaum di Malaysia sememangnya mahu bekerjasama demi pembangunan bangsa Malaysia. Satu contoh yang amat membanggakan ialah dengan keikhlasan dan kerelaan hati kaum bukan Melayu menerima dan menyokong pelaksanaan Dasar Ekonomi  Baru yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1970. Menampakkan dengan jelas bahawa kaum bukan Melayu menyedari tentang kelemahan orang Melayu dalam berbagai bidang dan semacam dipersetujui bahawa DEB lah ubatnya untuk memajukan orang Melayu.

            Tiga puluh tahun selepas Peristiwa 13 Mei 1969  memperlihatkan satu keadaan ‘zaman emas’ di negara ini dari sudut perpaduan kaum. Dan dapat dirasakan bahawa usaha pemimpin yang terdahulu sedikit sebanyak membuahkan hasil dalam melahirkan satu bangsa Malaysia yang betul-betul utuh dan kukuh. Bangsa Malaysia telah mula ‘disebut’ dan ‘diperkatakan’ di mana saja kita berada. Rakyat Malaysia begitu bangga sekali ketika berada di luar negara kerana ‘semerbaknya’ keharuman bangsa Malaysia di mata dunia.

            Malangnya kini semacam sudah ada usaha untuk meruntuhkan terus bangsa Malaysia. Bibit keruntuhan sudah terbayang yang semacam menunggu masa untuk ‘menjelma’. Ibarat kata peribahasa Melayu, sudah nampak keretakkannya dan hanya menunggu belah’. Diharapkan anak-anak bangsa Malaysia terus selamatkan keadaan negara ini dari perpecahan. Di tangan anak-anak mudalah diserahkan nasib bangsa Malaysia.

            Dan orang Melayu janganlah terlalu mudah ‘diperdagangkan’!!

abuhassanadam
15 September 2015
( Diambang kemerdekaan Malaysia)



1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete