Thursday, December 31, 2015

BEG MENGKUANG DAN PAPAN BATU

            Aku masih ingat lagi suasana satu hari sebelum mula penggal persekolahan Darjah 1 di Malay Boys School, Padang Rengas, Perak pada tahun 1951, zaman penjajahan British, setahun sebelum Queen Elizabeth ditabalkan menjadi Queen OF England. Aku ingat benar tarikh Queen Elizabeth ditabalkan disebabkan ‘Hari Corronation’ berkenaan, aku mengambil bahagian dalam perbarisan disekolah merayakan hari yang bersejarah berkenaan sama dengan perayaan yang diraikan oleh kanak-kanak di sekolah Great Britain. Begitulah hebatnya zaman penjajahan!.....

            Debaran untuk masuk sekolah Darjah 1 lebih kurang sama dengan debaran yang aku hadapi ketika menjelangnya hari khenduri ‘masuk jawi’. Sama lebih kurang. Satu kampung tahu yang aku dan beberapa orang anak kampung lain yang sebaya seperti Ngah, Isa akan memulakan persekolahan Darjah 1. Dan sememangnya budaya orang kampung aku pada ketika itu untuk menakut-nakutkan anak-anak yang mahu memulakan persekolahan. Ada anak-anak yang langsung tidak mahu pergi ke sekolah disebabkan ‘ancaman’ dan ‘tekanan’ yang disampaikan oleh ‘pemberi maklumat’ yang salah.

            Selama satu minggu sebelum penggal persekolahan dibuka sudah kedengaran ‘suara-suara sumbang’ yang ‘menasihati’ aku supaya tidak ke sekolah. “Guru-guru garang…jangan main’ antara ‘nasihat’ yang disampaikan kepada aku. Memang pada ketika itu guru-guru sekolah kebanyakannya garang-garang, boleh menggunakan rotan dan ‘tangan’ untuk mendenda murid-murid. Namun begitu tidaklah ada pula yang cedera disebabkan denda yang dikenakan. Segarang-garang Cikgu Samad tidak pernah aku dengar ada anak muridnya yang luka berdarah ‘dikerjakannya’. Malah ramai anak muridnya kini yang masih sayang kepadanya walaupun beliau sudah tidak ada lagi di dunia ini.

            Setiap kali aku pergi ke kedai Pak Alang Brahim, ada saja ‘komen’ dan pertanyaan yang berbentuk ‘nasihat’ yang diberikan oleh mereka. Bukan aku seorang yang mengalami keadaan demikian. Ngah, Isa pun begitu juga. Malah Khalid langsung tidak ke sekolah sepanjang hayatnya. Mungkin disebabkan ‘nasihat’ yang diterima di kedai Pak Alang Ibrahim ataupun disebabkan oleh faktor-faktor lain. Tapi yang jelasnya, Khalid sampai tua tidak ke sekolah. Akhirnya beliau bekerja sebagai pemecah batu di kilang pemecah batu di kaki Gunung Pondok.

            Bukan Khalid seorang dari kampung aku yang mengalami keadaan demikian. Ramai lagi. Hanya beberapa orang sahaja yang berpeluang menikmati alam persekolahan. Berbagai sebab dan alasan diketengahkan. Yang jelasnya pada ketika itu kesedaran terhadap kepentingan pendidikan belum wujud dan kebanyakan ibu bapa hanya mementingkan agar anak-anak mereka dapat menolong mereka di sawah ataupun menoreh getah.

            Setiap kali aku ke kedai Pak Alang Brahim, pasti aku akan menerima berbagai ‘nasihat’ daripada para pengunjung yang berada di kedai Pak Alang Brahim berkaitan dengan alam persekolahan yang akan aku tempuhi itu. Soalan yang pasti aku terima ialah samada tangan kanan aku sudah cukup panjang untuk menjangkau telinga kiri melalui bubun kepala. Jikalau belum boleh berbuat demikian, maka belum ‘layak’ lagi untuk memasuki Darjah Satu. Semacam itu syaratnya untuk memasukki Darjah Satu dan bukan usia. Kami anak-anak percaya dengan ‘syarat’ demikian.

            Aku teryakin dengan ‘syarat’ itu kerana kebanyakan rakan-rakan aku yang berada dalam Darjah Satu kesemuanya sudah dapat memenuhi ‘syarat’ berkenaan. Dapat menjangkau telinga kiri dengan menggunakan tangan kana. Hanya beberapa orang saja dalam kelas Darjah Satu ketika itu yang berumur enam tahun. Lebih separuh yang berumur melebihi enam tahun. Dan mungkin ada yang menjangkau usia sepuluh atau dua belas tahun. Dan penjajah British memang ‘baik hati’ membenarkan juga kanak-kanak (Melayu) yang terlebih umur untuk memasukki Darjah Satu dan memulakan persekolahan. Walaubagaimana pun tujuan British memberikan peluang kepada anak-anak Melayu mendapat pelajaran hanyalah ‘untuk menjadikan mereka petani yang baik daripada ibu bapa mereka’. Itu kata R.O Wintedt, pegawai British yang pernah bertugas dalam zaman penjajahan.

            Sebenarnya tidak ada pun persediaan persekolahan yang perlu disediakan pada ketika itu. Yang pentingnya arwah emak dan bapak aku sentiasa memberikan keyakinan kepada aku seolah-olah cuba memberi rangsangan kepada aku dan menafikan ‘nasihat-nasihat’ yang diberikan oleh para ‘penasihat’ yang sentiasa berada kedai Pak Alang Brahim. Kadang-kadang aku juga merasa hairan mengapalah orang Melayu selalu memainkan peranan melemahkan semangat seseorang, terutama dalam usaha untuk membawa kebaikan. Ini dapat diperhatikan dalam kebanyakan lapangan yang ingin diceburi oleh orang Melayu. Lebih banyak yang melemahkan berbanding dengan galakan yang memberikan semangat.

            Jikalau tidak kuat semangat yang diberikan oleh arwah emak, bapak, Atuk, Opah mungkin aku juga sama seperti Khalid yang tidak ke sekolah dan berakhir dengan bekerja di kilang Pecah Batu di kaki Gunung Pondok. Nasib baiklah arwah emak dan bapak tidak pernah berganjak walau seinci sekali pun daripada hasrat dan cita-cita untuk memberi pelajaran kepada aku.

            Yang perlu aku bawa ke sekolah ialah sekeping papan batu dan dan sebatang kalam ia itu bahan tulis yang diperbuat daripada batu juga. Itu saja. Tidak ada buku tulis ataupun buku teks. Tidak ada. Dan sumbangan Opah untuk persediaan persekolahan aku ialah sebuah ‘beg’ yang diperbuat daripada mengkuang yang dianyamnya sendiri. Itulah merupakan beg sekolah aku sehingga berada dalam darjah Tiga. Setiap tahun Opah akan menyediakan beg mengkuang yang baru dianyamnya.

            Deraian kokok ayam membangunkan kami sekeluarga. Dan ‘berarak’lah aku bersama Opah menuju ke telaga yang terletak tidak berapa jauh dari rumah kami, untuk mandi pagi. Setelah selesai minum pagi bersarapankan rebus ubi, bertolaklah aku ‘membelah’ kabus pagi bersama bapak, menempuh alam baru –alam persekolahan.

abuhassanadam
31 Disember 2015








1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete