Monday, February 29, 2016

HARGA SATU KILO GETAH HANYA BOLEH BELI SEEKOR IKAN KEMBUNG

            Hampir aku menitiskan air mata apabila mendengar rintihan seorang penoreh getah dari Baling Kedah yang mengatakan bahawa harga sekilogram getah torehannya hanya mampu untuk membeli seekor ikan kembung. Ada lojiknya kenyataan yang diberikan itu. Jikalau  sekilogram getah berharga lebih kurang satu ringgit sedangkan harga sekilogram ikan kembung berharga RM RM18.00, maka amat tepatlah apabila dikatakan yang satu kilogram getah hanya dapat membeli seekor ikan kembung.

            Terfikir pula aku. Dari mana pula wang yang hendak diperolehi si penoreh ini untuk membeli beras, garam, gula, kopi dan keperluan asas lain. Bagaimana pula perbelanjaannya untuk anaknya ke sekolah. Berapa sen agaknya wang saku untuk anaknya ke sekolah. Jiaklau si bapa hanya mampu untuk menyediakan perbelanjaan 50 sen untuk anaknya ke sekolah, apakah jenis makanan yang dapat dibeli oleh si anak yang malang itu. Apakah masih ada lagikah harga sebungkus nasi lemak yang berharga 50sen di sekolah-sekolah di Malaysia. Bertualah si anak itu sekiranya masih ada lagi nasi lemak yang berharga sedemikian.

            Soalnya mampukah si bapa memberikan wang saku sebanyak 50 sen itu kepada anaknya sedangkan untuk perbelanjaan membeli keperluan dapur pun dia mengalami masalah, tentulah sukar juga baginya untuk menyediakan perbelanjaan sekolah untuk anaknya. Itupun kalau sekiranya untuk seorang anak yang ke sekolah. Bagaimana pula dengan keluarga yang mempunyai dua atau tiga orang anak bersekolah.

            Dapat aku bayangkan bagaimana anak-anak berkenaan berulang  alik ke sekolah. Tidak akan termampu seorang ayah untuk membayar tambang bas untuk anaknya kesekolah sekiranya harga satu kilogram getahnya hanya termampu untuk membeli seekor ikan kembung. Tidak akan termampu seorang ayah yang berkeadaan sedemikian untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anaknya dengan sempurna sekiranya harga satu kilogram getahnya hanya termampu untuk membeli seekor ikan kembung.

            Artikel ini aku tulis dengan penuh simpati dan ‘empathy’.
             Aku adalah anak seorang penoreh getah yang kehidupannya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi kehidupan yang aku lalui (ketika zaman kanak-kanak dulu) tidak seteruk dan sesusah sebagaimana yang diagambarkan oleh siayah yang harga satu kilogram getahnya hanya mampu untuk membeli seekor ikan kembung.

            Aku sentiasa memikirkan tentang keadaan orang kampung. Aku kadang-kadang membayangkan keadaan orang kampung yang senag lenang dan tidak sepertimana yang aku alami pada ketika zaman penjajahan. Rupa-rupanya keadaan kini, dalam zaman kemerdekaan yang kononya penuh dengan kemewahan, masih ada lagi ‘suku-sakat’ aku yang mungkin terpaksa mengikat perut disebabkan harga satu kilogram getahnya hanya dapat membeli seekor ikan kembung sahaja.

            Walaupun aku sentiasa bersyukur dengan kesenangan yang diberikan kepada aku dan keluargaku kini, namun apalah makna kesenangan dan kebahgiaan yang sedemikian sekiranya kita masih lagi mendengar rintihan dan linangan air mata penduduk kampung yang terpaksa melalui derita dalam negara yang dikatakan amat kaya ini. Apalah maknanya…

            Aku sudah merasai dan mengalami keadaan sedemikian di mana pada ketika itu harga sekati getah hanya 45 sen dan harga sekati gula juga adalah 45 sen. Dan harga satu kati getah pada ketika itu hanya dapat membeli sekati gula. Namun pada ketika itu harga sekati ikan kembung hanya 30 sen. Maknyanya sekati getah dapat membeli 11/2 kati ikan kembung! Dan harga segantang beras hanya lebih kurang RM1.60 sen. Maknanya walaupun begitu terhimpit keadaan pada ketika itu, namun tidak sesempit yang dialami oleh masyarakat yang malang kini.

            Mungkin para pemimpin kita tahu dan sedar tentang keadaan yang menimpa rakyat miskin kini. Mungkin wakil rakyat tahu tentang keadaan yang menimpa kini tetapi tentulah wakil rakyat lebih memikirkan tentang kereta baru yang hendak dibelinya ataupun sedang menilik-nilik memikirkan tentang destinasi percutian bersama keluarganya yang hendak ditujunya. Lagi pun pilihan raya lambat lagi dan apa perlunya diambil perhatian tentang orang kampung yang menjadi pengundinya.

            Golongan manalah agaknya yang akan memberikan perhatian kepada golongan penoreh getah yang hanya mampu untuk membeli seekor ikan kembung dengan satu kilogram yang ditorehnya itu.

            Aku tidak tahu apa jawapannya memandangkan keadaan negara kini.

abuhassanadam
29 Februari 2016



No comments:

Post a Comment