Monday, January 1, 2018

ORANG MELAYU MUDAH PERCAYA DAN SENANG DITIPU

            Bagi aku terdapat sikap dan amalan orang Melayu yang amat sukar difahami oleh orang bukan Melayu, malah amat sukar juga difahami oleh orang Melayu sendiri. Mudah percaya dan senang ditipu. Dan biar aku tambah satu lagi ia itu malas berfikir. Dan yang tambah ‘memberatkan’ lagi ialah malas membaca. Bagi aku inilah yang menyebabkan masyarakat Melayu seolah-olah masih berada di takuk lama seperti dalam keadaan ketika Abdullah Munshi melawat Kelantan dan Terengganu pada awal Kurun ke 19. Ataupun jika dibandingkan dengan keadaan ketika James Birch menandatangani Perjanjian Pangkor di Perak (1874)  pada suatu ketika dahulu, memang tak banyak berubah.

            Penenkanan rencana ini adalah mengenai sikap kebanyakan orang Melayu. Tentulah dalam aspek-aspek lain sudah banyak kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu. Memang besar jasa dan sumbangan kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan telah menyediakan jalan raya, telaga raya, lembu raya, bangunan sekolah, hospital, klinik, balai raya diserata ceruk rantau. Pendek kata dalam hal bina membina dan menyediakan projek-projek yang boleh mendatangkan keuntungan kepada pihak tertentu, maka kerajaan Barisan Nasional amat terkehadapan berbanding dengan kerajaan lain di dunia.

            Aapabila membicarakan tentang sikap, maka dalam hal tertentu orang Melayu tidak banyak berubah. Dengan sebab itulah agaknya keadaan majoriti orang Melayu berada di takuk lama. Aku terpanggil untuk menyentuh satu aspek amalan orang Melayu yang sudah turun temurun diamalkan. Dan amalan sedemikian ada kaitanya dengan sikap orang Melayu yang amat mudah percaya dan amat senang dipengaruhi.

            Sejak pertengahan abad ke 20 lagi sehingga kini, cara pengajaran dan pembelajaran agama Islam tidak banyak berubah. Aku tidak menafikan tentang adanya pembesar suara yang digunakan oleh para penceramah untuk menyampaikan kuliahnya. Dan kuliah-kuliah agama disampaikan dalam masjid atau surau yang berhawa dingin. Dan bayaran sagu hati yang diberikan kepada penceramah agama juga bukan lagi puluh ringgit tetapi ada yang mencecah ribuan rnggit. Itu perubahan yang amat ketara.

            Yang ingin dipersoalkan ialah cara penyampaian dan isi ceramah yang disampaikan oleh penceramah agama tidak banyak berubah seperti mana yang pernah aku ikuti ketika aku mengikuti ‘kuliah’ Ustaz Zain dan Ustaz Jidin bersama dengan bapak aku di surau Ekor Dusun pada tahun-tahun 1950an dulu. Tak banyak berubah. Para pendengar akan mengangguk-anggukkan kepala ketika Ustaz Jidin menyampaikan ceramah tanda setuju seratus peratus apa yang dikatakan oleh Ustaz Jidin. Tidak ada soal jawab kerana ada pula ‘doktrin’ yang mengatakan bahawa ‘Tok Guru jangan disoal…berdosa!’ Lantas semacam tidak berani para pendengar untuk menyoal tok guru.

            Menjelang tahun 2018 keadaan pengajaran dan pembelajaran agama di masjid dan surau tidak banyak berubah. Macam takuk lama juga. Hampir setiap minggu diadakan ceramah. Bukan satu dan bukan dua ceramah yang diadakan. Dan setiap selepas ceramah akan disediakan pula jamuan yang enak.

            Isi ceramah hampir sama. Dan penceramah akan menyelitkan unsur jenaka untuk mencelikkan mata pendengar yang mula tertutup (kuliah subuh). Dan kebiasaannya jenakanya diselitkan dengan unsur seks (semacam amat disukai oleh tuan-tuan guru). Sebagai mukkadimah, si penceramah akan membaca ‘citation’ dalam bahasa Arab (mungkin selama tiga hingga lima minit) dan para pendengar akan mendengar dengan penuh ‘kusyuk’ dan tidak faham apa maknanya (dan mungkin tuan gguru juga tidak faham apa maksudnya). Selepas itu ‘pengenalan’ lagi. Mungkin selama sepuluh minit. Dan isi ceramah yang sebenar mungkin boleh disampaikan dalam masa 15 minit (ditolak segala cerita dan bualan si penceramah)

            Si pendengar tidak pula berminat untuk menyoal tuan guru. Mungkin ada yang ingin menyoal tetapi ‘bimbang’ takut-takut dituduh golongan ‘wahabi’ pula atau pun dituduh anti kerajaan. Maka begitulah berakhirnya sesuatu ceramah agama yang diadakan semenjak dari zaman dahulu hinggalah sekarang.

            Sebenarnya banyak perkara dalam pengajaran agama Islam boleh dipersoalkan disebabkan cara penyampaian seseorang  tuan guru itu agak mengelirukan, dan tidak sekali-kali agama Islam itu yang mengelirukan. Pernah seorang Tok Guru di kampung aku pada suatu ketika dahlu (tahun 1950an) mengatakan bahawa “ Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu, tetapi mestilah ilmu agama sahaja”

            Mahu rasanya aku menyoal tuan guru pada ketika itu tentang keadaan aku yang pada ketika itu sedang belajar disekolah Inggeris. Apakah aku akan ‘dihumban’ ke neraka disebabkan belajar disekolah Inggeris. Para pendengar pada ketika itu menganggukan kepala mereka (tanda setuju agaknya)  kecualilah arwah bapak aku!. Ada yang memandang ke arah arwah bapa aku, seolah-olah kenyataan itu ditujukan kepadanya.

            ‘Mangsa’ (mungkin!) ekoran daripada kenyataan tuan guru itu ialah rakan baik aku yang sama-sama belajar di Clifford School diberhentikan sekolah oleh ayahnya kerana beliau tidak lancar membaca ‘Al-Fatihah’. Aku amat sedih sekali pada ketika itu dan sehingga kini kesedihan itu masih ada. Dan selalu aku menceritakan kisah ini kepada rakan-rakan tentang ‘blunder’ yang menimpa rakan ku itu , yang dilakukan oleh setengah tuan guru yang semacam berperanan menyekat kemajuan orang Melayu. Dan yang lebih penting lagi mereka tidak menggalakkan langsung supaya orang Melayu berfikir.

            Setengah tok guru hanya menganggap bahawa seolah-olah mereka sahaja golongan yang direstui oleh Allah untuk ke syurga. Tidak hairanlah ada diantara mereka yang sentiasa menyalahkan orang lain sedangkan mereka tidak pun berusaha untuk membetulkan keadaan sedemikian. Maka dengan sikap dan cara sedemikian, maka orang Melayu akan terus ketinggalan dalam keadaan tidak mahu berfikir, tidak mahu membaca, mudah percaya kepada apa sahaja yang diperkatakan dan kesannya amat senang ditipu.

Apakah kenyataan Hang Tuah yang mengatakan, ‘Takkan hilang Melayu di dunia’ itu ‘relevant’?

abuhassanadam
1 Disember 2018


No comments:

Post a Comment