Friday, March 29, 2019

PARLIMEN MALAYSIA MACAM CIRCUS – KATA SEORANG KAWAN

                  Seorang kawan ku baru saja pulang dari luar negara setelah beberapa tahun tinggal di London. Setelah dua minggu berada di Malaysia, dalam satu perbualan santai di sebuah warong aku bertanya dia apa pandangannya mengenai negara Malaysia kini. Jawabnya ringkas, ‘Parlimen Malaysia macam circus’. Kami sama-sama tertawa terbahak-bahak. Berair mata. Bukanlah semua ahli parlimen yang berlagak seperti itu, katanya mengendurkan sedikit kenyataannya yang agak keras itu.

                  Melihat gelagat setengah ahli parlimen  samada dari pihak kerajaan atau pembangkang, aku semacam nak bersetuju dengan kenyataan kawanku itu apatah lagi jikalau dibandingkan perwatakan ahli parlimen di Parlimen Britain dengan ahli parlimen kita di Malaysia. Terlalu jauh bezanya. Sekiranya untuk dilemparkan keritikan terhadap ahli parlimen kita, tentulah terlalu banyak contoh untuk diketengahkan dan terlalu banyak juga hal-hal untuk diperkatakan.

                  Yang agak menghairankan aku ialah tentang ketidak-pedulian setengah ahli parlimen tentang kehadiran anak-anak sekolah yang menyaksikan persidangan di Parlimen kita. Apakah mereka tidak merasa malu terhadap anak-anak yang memerhatikan gelagat mereka ketika berada di dewan yang mulia ini. Dan kadang-kadang kelihatan seola-olah mereka berbangga dengan sikap yang cuba ditunjukkan oleh mereka ketika membahaskan sesuatu. Terpekik dan terlolong bagaikan kera di hutan belantara Afrika.

                  Apakah mereka lupa diri bahawa apa yang dilihat oleh anak-anak sekolah ini akan ‘dibawa pulang’ dan akan ‘disebarkan’ kepada orang kampung tentang sikap dan perangai mereka ketika berada di parlimen. Ada juga segelintir wakil rakyat yang cuba ‘menunjuk-nunjuk’ akan ‘perangai’ mereka ketika berada di Lobby parlimen seolah-olah memberitahu kepada anak-anak, ‘ lihatlah..inilah keadaan wakil rakyat di sini’.

                  Tentulah rencana ini tidak dapat memuatkan berbagai kritikan yang boleh dilemparkan terhadap wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat itu. Aku merasa sungguh jelek apabila melihatkan gelagat ahli parlimen yang semacam langsung tidak mempedulikan arahan Speaker Dewan rakyat apatah lagi menghormati kedudukannya sebagai Speaker. Ada terdapat wakil parlimen yang langsung tidak mempedulikan arahan Speaker apabila diperintahkan duduk. Mereka terus menerus bersikap degil seolah-olah hati kecil mereka berkata,’ persetankan arahan speaker..’

                  Sekali lagi mereka lupa bahawa tindakan dan kelakuan mereka membelakngkan arahan speaker itu diperhatikan oleh rakyat Malaysia dan bukan sahaja anak-anak sekolah yang mengikuti rombongan melawat parlimen. Sebenarnya seolah-olah ahli parlimen berkenaan ‘mengajar’ anak-anak sekolah supaya bersikap biadap kepada pengerusi mesyuarat. Dan tidak hairanlah kalau akan muncul dan ada anak-anak di sekolah yang bersikap berani menentang pengerusi pertubuhan/ persatuan disekolah dalam satu mesyuarat yang mereka adakan nanti. Jangan salahkan mereka disebabkan ada ‘cikgu’ di parlimen yang mengajar mereka berbuat demikian.

                  Agak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada diantara ahli parlimen samada dari pihak kerajaan ataupun dari pihak pembangkang datang ke parlimen semata-mata untuk ‘memanaskan’ kerusi. Apa tidaknya. Dapat diperhatikan bahawa isi persoalan dan perbincangan di parlimen itu agak dangkal dan ramai ahli parlimen yang amat berminat untuk ‘menjerit dan melolong’. Dan diperhatikan juga masa yang berguna seharusnya membincangkan sesuatu yang bermakna kepada negara dihabiskan hanya untuk menyelesaikan ‘pertelagahan’ yang tidak bermakna antara waklil kerajaan dan pembangkang. Seolah-olah wakil parlimen kita berbangga menunjukkan aksi sedemikian.

                  Jelas menunjukkan bahawa ada diantara mereka yang menghadirkan diri di parlimen hanya semata-mata untuk ‘memanaskan’ kerusi dan menuntut ‘habuan-habuan’ yang disediakan dan langsung tidak membuat persediaan tentang isu yang sepatutnya dibangkitkan. Lantas apabila diadakan perbahasan, jelas menampakkan kedangkalan ilmu ketika berhujah.  Mereka lupa bahawa di parlimen bukanlah tempat pertandingan dimana siapa yang mempunyai suara yang kuat dan petah untuk ‘mencarut’ mendapat pujian rakyat. Tidak begitu.

                  Tentulah ramai rakyat Malaysia kini merindui zaman emas Parlimen Malaysia dimana wakil-wakil rakyat seperti Tunku Abdul Rahman, Zulkifli Muhammad, Dr Ismail Abdul Rahman, Tan Chee Khoon berdebat dan mempamerkan kecemerlangan mereka sebagai wakil rakyat yang benar-benar menepati ertikata yang sebenarnya.

abuhassanadam

29 Mac 2019

No comments:

Post a Comment