Sunday, January 24, 2021

 DERITANYA PELAJAR ON-LINE

Aku terpanggil untuk sama-sama merasakan penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh ’anak-anak internet’ yang sedang ’bertungkus lumus’ berjuang untuk menghadapi peperiksaan SPM dalam suasana ’pembelajaran on-line’ yang sedang dihadapi oleh mereka.

Ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu dan tidak mengerti kesusahan yang sedang mereka hadapi khsusnya  anak-anak dari kawasan luar bandar yang baru sahaja menyedari tentang adanya ’jembalang’ yang bernama internet. Itu pun mungkin disebabkan merebaknya penyakit ’Covid 19’ yang menyerang seluruh dunia kini.

Aku amat simpati dengan keadaan yang dihadapi oleh anak-anak ( dari luar bandar khususnya) dan hampir mengalirkan air mata mengenangkan nasib yang dialami oleh anak-anak yang  menghadapi peperiksaan kerajaan dalam suasana yang sebegini. Tambah menyusahkan keadaan lagi ialah bagi mereka yang terpaksa menghadapi pepriksaan dalam keadaan suasana banjir.

Suasan sedih begini membawa kepada suasana aku mengenangkan keadaan dan nasib yang menimpa kami (anak-anak merdeka tahun 1950an dan 1960an). Tentulah berbeza derita dan suasana yang aku alami pada zaman sebelum dan selepas merdeka namun ia tetap merupakan suatu keadaan yang sama dan serupa ia itu ’kesusahan dan derita’. Walaupun tidak sama dan serupa tentang derita yang kami alami, namun ia masih tetap merupakan satu peristiwa yang menyayat hati.

Apa tidaknya. Aku baca kisah anak-anak yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang jelas demi pelajarannya. Aku terbaca juga anak-anak yang terpaksa menumpang di rumah kawan untuk ’menumpang’ mendapatkan capaian internet demi pembelajaran ’on-line’ mereka. Yang paling menyedihkan aku dan terus menitiskan air mata ialah tentang kisah yang digambarkan tentang seorang anak yang sedang menunggu rakanya mengadakan pembelajaran on-line sedangkan beliau tidak ada telefon pintar apatah lagi komputer riba.

Maka menunggulah dia rakan-rakannya yang sedang on-line sambil dia membetulkan tali pelitup mukanya yang sudah hampir putus (akibat lanjutan usia mungkin!)

Aku langsung tidak menyedari tentang air mataku terus menitis. Cuma yang aku sedari bahawa kisah anak itu adalah kisah aku 60 tahun yang lampau, duduk ditangga sekolah menunggu rakanku Chan Foo Chow dan Chan Siew yang sedang menghadiri kelas Tuisyen di rumah masing-masing sedangkan aku tidak ada kelas  tuisyen yang mampu dibayar oleh bapak. Aku hanya mampu bersyukr dapat belajar di sekolah Inggeris bersama mereka yang berada.

Itulah rupa suasana yang kami  ( anak kampung) hadapi selepas sahaja negara mencapai kemerdekaan. Amat kaya dengan kemiskinan. Dan disebabkan kegigihan kami itu jugalah kam telah berjaya ’menebus’ segala kemiskinan yang dialami dan boleh duduk sama tegaK dan berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Yang menyedihkan aku ialah apabila aku memikirkan tentang keadaan ’malap’ yang dilalui oleh anak-anak malang yang terpaksa menderita disebabkan serangan Covid 19 yang menyebabkan mereka terpaksa belajar secara on-line. Bagi anak-anak yang tidak ada peralatan on-line, aku tidak dapat bayangkan derita dan sengsara yang terpaksa dilalui. Pilunya hati ibu bapa yang melihat anak-anak dalam kesusahan dan hampir tidak dapat menyelamatkan keadaan sedemikian disebabkan tekanan kemiskinan.

Dalam hal sebegini aku terpaksa juga menyentuh tentang kealpaan pihak berwajib yang semacam tidak dapat menduga keadaan sebegini yang bakal melanda kehidupan anak-anak kita yang malang, anak-anak dari kawasan luar bandar. Apakah ikhtiar yang mampu dilalui oleh mereka selain dari menyerahkan nasib keapada takdir. 

Sepatutnya pihak berwajib sudah dapat memikirkan keadaan sebegini yang akan berlaku. Memang tidak dapat diduga. Betul. Tetapi sekurang-kurangnya sudah kedengaran tindakan sebelumnya tentang bagaimana menghadapi keadaan sedemikian sekiranya berlaku. Aku terpaksa juga ’angkat topi’ kepada Syed Saddiq (yang selalu digembar-gemburkan sebagai ’budak-budak’) tentang tindakan terpujinya mengusahan pemberian laptop kepada anak-anak di kawasan jagaannya. Dan tidak pula aku dengar ada wakil rakyat ( yang waras dan diwasa dari kalangan dewasa) dari kawasan lain yang melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Syed Saddiq. Syabas dan tahniah!

Sampai bilalah agaknya  kerajaan dan wakil rakyat kita benar-benar dapat menjaga hal kesejahteraan anak buahnya. Rakyat nampak apa yang mereka lakukan. Memang tepatlah slogan ’KITA JAGA KITA” yang diamalkan sekarang. Seolah-olah kita terpaksa jaga diri sendiri dan jauh sekali mengharapkan pertolongan dan bantuan dari pihak yang sepatutnya memberi bantuan.

Sudah puluhan tahun kita merdeka tetapi masih berada di takuk lama juga.


Abuhassanadam

24 Januari 2021


No comments:

Post a Comment