Sunday, December 4, 2022

MENUNGGU REDANYA PAHAT BERBUNYI

MENUNGGU REDANYA PAHAT BERBUNYI


Rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi.

Ini merupakan gambaran yang dipaparkan yang mirip keadaan politik yang berlaku di negara ini setelah 'dihidangkan' dengan kabinet yang berperanan menjalankan pentadbiran negara. Dirasakan amat sesuai tokoh-tokoh yang diketengahkan untuk menjalankan pentadbiran negara demikian. Namun masih ada lagi kedengaran disana sini tentang ketidak puasan hati setengah pihak terhadap lantikan dan pemilihan yang diketengahkan.

Kita faham dengan keadaan yang tidak memuaskan hati setengah pihak. Lumrah alam sememangnya begitu. Ada yang gembira dengan keadaan yang sesuai dengan hati dan perasaan mereka dan ada juga yang merasa amat dukacita. Namun walau dalam keadaan macam mana sekali pun perlu ada titik noktah dan terhentinya perasaan ketidak puasan hati itu.

Samada suatu pujian ataupun kritikan perlu datang dan lahirnya dari perasaan penuh ikhlas. Dalam hal ini perlu diletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya. Sememangnya pentadbiran negara memerlukan pengkritik yang boleh membantu untuk memaju dan memantapkan terus pentadbiran negara. Hanya dengan adanya pembangkang yang kuat ( dan ikhlas dalam melakukan kritikan) sahaja yang boleh meneraju keberkesanan sesbuah negara.

Adalah diyakini bahawa YAB Dato Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri telah sehabis fikir dan timbang dalam pemilihan untuk menentukan calon menteri yang paling sesuai untuk kabinet yang dipimpinnya. Pastilah tidak dapat memuaskan hati semua orang. Namun sekurang-kurangnya dapat meyakinkan rakyat terbanyak tentang keputusan yang dibuatnya.

Yang menghairankan kita juga ialah bahawa terdapat sekumpulan dalam masyarakat di Malaysia kini yang masih tidak mahu memahami dan mengerti dan semacam tidak mahu bertolak ansur dengan keputusan mereka.Masih ada sekumpulan yang masih merasakan bahawa mereka layak menerajui negara ini walaupun telah diputuskan oleh Seri Paduka Baginda YDP. Mereka seolah-olah 'meroyan' ( menggunakan istilah yang selalu dipakai oleh anak muda kini).

Telah berapa kali dijelaskan bahawa ' sudah-sudahlah' dan eloklah kita bergerak kehadapan. Kita maju kehadapan terus setelah kita sudah agak juah ketinggalan. Bukan sahaja pemimpin yang melafazkan kata-kata sedemikian, malah YDPA dan Raja-Raja Melayu juga turut membuat seruan sedemikian. Masih tidak mahu dipedulikan oleh golongan yang kelihatan dengan jelas akan ketamakan kuasa. Sepatutnya golongan sebegini harus sedr tentang 'malapetaka' yang dilalui negara ketika negara dibawah pentadbiran mereka. Sepatutnya mereka sedar dan insaf bahawa negara kini berada dalam tangan pemimpin yang betul-betul mahu membawa negara ini ke suatu tahap yang boleh dibanggakan.

Masih ada dikalangan pemimpin di negara ini ayng tidak rasional dalam mempertimbangkan sesuatu keadaan. Sebagai contoh isu Perdana Menteri yang juga berperanan sebagai Menteri Kewangan telah digembar-gemburkan seolah-olah tidak ada hari esok untuk meleraikan isu ini. Golongan ini mempersoalkan tentang mengapa YAB PM sanggup membelakangkan keputusan yang telah dibuatnya berhubung dengan isu pelantikan ini.

Yang anihnya mengapa tidak disoal tentang mengapa YAB PM tidak dapat 'melarikan diri' dari melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan sedangkan kita yakin bahawa beliau amat faham tentang kesan dariapda tindakan yang sedemikian. Tentulah ada sesuatu yang amat mendesak yang menyebabkan beliau terpaksa 'berkorban' demi menyelamat sesuatu keadaan. Dan hakikat ini dan rasional ini yang tidak dapat diterima oleh kebanyakan pemimpin apatah lagi pemimpin parti pembangkang.

Dalam keadaan dan kemelut yang sebegini pastinya YAB DSAI amat faham tentang situasi sedemikian. Bukankah beliau pernah menjadi Menteri Kewangan ketika negara sedang bergelora pada tahun-tahun 1990an. Dan beliau juga amat tahu dan faham sekiranya Menteri Kewangan dipegang oleh Perdana Menteri sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini. DSAI tahu hal sedemikian.

Tetapi mengapa berlaku juga?

Ini lah yang dikatakan pada awal tadi bahawa rakyat terbanyak perlu berfikiran rasional dalam meneliti keputusan yang terpaksa diambil oleh DSAI. Tidak mudah baginya mengambil keputusan sedemikian rupa. Mungkin beliau sudah terhimpit dengan peribahasa, 'ditelan mati emak dan diluah mati bapak'. Mungkin begitu keadaaanya. Walau bagaimana pun keadaan kemelut sebegini pasti akan dapat diatasinya.

Aku faham benar dan yakin benar dengan kebolehan seorang wira negara yang bernama Anwar Ibrahim.


Abu Hassan Adam

4 Disember 2022



No comments:

Post a Comment