Friday, December 26, 2025
Wednesday, December 24, 2025
KE MANA ‘HILANG’NYA KAUM GURUKU SAYANG
Sayup-sayup kedengaran suara dari ‘puncak’ pendidikan negara yang mengatakan bahwa perubahan di arena pendidikan negara merupakan yang amat memberangsangkan. Lebih kurang dapat dirasakan bahawa perubahan yang dibentangkan baru-baru ini merupakan yang terbaik mengikut pandangan perancang pendidikan negara. Mungkin juga. Tetapi bagi aku, rakyat Malaysia jangan harus terlepas pandang kepada Penyata Razak yang dikemukakan pada tahun 1956. Bagi aku itu merupakan dokumen keramat yang sepatutnya diagungkan oleh generasi Malaysia yang tidak mengira bangsa dan keturunan.
Mungkin ramai tokoh-tokoh pendidikan negara kini tidak tahu dan peka tentang apa yang disebutkan sebagai Penyata Razak atau Penyata Rahman Talib.
Untuk meyakinkan apa yang aku fikir, aku merujuk kepada ‘orang lama’ (arwah) yang amat tahu dan mahir dalam perkembangan sejarah pendidikan negara. Cikgu Noordin Mahmood (Dato’), bekas Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat ( KGMMB). Aku tidak tahu berapa puluh tahun beliau menerajui kesatuan berkenaan tetapi bagi aku sumbangannya kepada pendidikan negara adalah amat besar dan sukar ditandingi.
Tentulah aku terfikir juga, apakah peribahasa Melayu yang mengatakan ‘patah tumbuh hilang berganti itu’ sudah tidak wujud lagi dikalangan guru-guru khususnya. Aku berkata begitu kerana selepas Cikgu Noordin meninggalkan KGMMB seolah-olah sudah tidak muncul tokoh muda yang mengambil tempat yang bersikap ‘segarang’ dan ‘sejinak’ beliau. Apakah sudah tidak ada lagi tokoh muda (guru) yang boleh mengambil tempat Siva Subramaniam ( Dato) menerajui NUTP.
Aku bercakap dari segi keliber. Aku tahu tentu ada ‘tokoh’ yang menggantikan Cikgu Noodin dan aku pasti ada juga ‘tokoh’ yang menggantikan tempat Siva Subramaniam. Tetapi aku tidak ‘nampak’ ketokohan mereka. Mungkin aku sudah ketinggalan zaman agaknya. Sudah terpisah agaknya daripada dunia pendidikan yang amat aku sayangi itu. Namun begitu sekiranya ada ‘suara-suara’ mereka, tentulah mustahil aku tidak tahu perkembangannya. Berbanding dengan zaman-zaman Cikgu Noordin dan Siva, seolah-olah mereka lah yang mewarnai 'taman' pendidikan negara.
Mereka adalah ‘mata’ dan ‘ telinga’ kaum guru di Malaysia. Dan mereka jugalah tempat para menteri pendidikan 'menumpang kasih'. Namun begitu mereka jugalah sebagai ‘ racun’ dan ‘penawar’nya. Maknanya peranan mereka adalah sebagai ‘penjaga’ yang sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan negara. Mereka bukan menentang kerajaan tetapi sebaliknya adalah merupakan penyokong dasar kerajaan yang paling kuat dan kukuh. Dengan syarat sekiranya dasar berkenaan menguntungkan bangsa dan negara. Mereka akan mengeluarkan kenyataan yang ‘berapi-api’ sekiranga sesuatu dasar dikemukakan oleh kerajaan. Mereka sanggup ‘berarak’ ke pejabat Perdana Menteri sekiranya mereka mendapat apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu memberi keuntungan kepada rakyat dan negara. Begitulah hebatnya kesatuan-kesatuan guru zaman dulu-dulu.
Ke manalah hilangnya tokoh-tokoh guru yang sebegini. Maksud aku sudah tidak adakah guru muda yang boleh menggantikan tempat mereka ini. Atau apakah sudah tidak wujud lahi kesatuan guru yang berjuang untuh ahli-ahli mereka? Apakah mereka sudah tidak berani langsung bersuara akibat daripada ‘tekanan’ pegawai-pegawai pendidikan? Apa pasti tidak begitu. Atau apakah sudah tidak ada guru muda yang berani bersuara kerana memikirkan ‘periuk nasi di taburi pasir’?
Atau mungkin agaknya para guru kini sudah begitu ‘kekenyangan’ dsebabkan ‘rezeki’ yang melimpah ruah dicurahkan oleh pihak kerajaan sehinggakan ‘mata’ sentiasa tertutup dan tidak dapat ‘melihat’ apa yang berlaku disekeliling. Ataupun mungkin para pemimpin kesatuan dan persatuan guru kini sedang berangan-angan dan bermimpi untuk ‘menjolok bintang’ …….
Peranan guru dan peranan sasterawan adalah hampir sama. Sasterawan Negara Pak Samad said baru-baru ini ‘bertanya’ tentang kemana perginya para sasterawan tanah air. Sama sahaja bunyinya dengan pertanyaan aku mengenai ‘ke mana hilangnya kaum guru’. Kami bertanya disebabkan antara peranan guru dan sasterawan adalah sama. Zaman tahun-tahun 20an,30an,40an,50an, 60an,70an mereka adalah merupakan wira negara. Dan peranan mereka semakin pudar menjelangnya awal tahun 1980an.
Sepatutnya keadaan tidak begitu.
Aku membaca juga sejarah perkembanagan negara-negara lain di dunia. Ada yang mempunyai ‘trend’ yang sama seperti apa yang dialami oleh negara kita. Namun banyak negara-negara di dunia yang tidak serupa dengan cara kita. Para pendidik dan sasterawan mereka masih menjadi ‘mata dan telinga’ masyarakat. Tugas wartawan/ sasterawan dan guru tidak semestinya menentang kerajaan. Namun begitu pasti ada juga cacat cela sesuatu dasar yang dikemukakan oleh kerajaan. Dan disinilah tugas guru dan sasterawan untuk membetulkannya.
Kadang-kadang aku terfikir juga apakah segala dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan kini kelihatan betul belaka di mata para sasterawan dan guru-guru khususnya. Apakah tidak ada cacat celanya dasar kerajaan itu. Aku pasti kepimpinan negara juga mengharapkan teguran ikhlas dari para guru, sastrawan/wartawan mengenai sesuatu tindakan yang dilakukan oleh mereka. Tetapi malangnya sudah tidak ada langsung suara yang berani menyatakan sesuatu yang betul. Ramai yang sudah menjadi semacam ‘yes-men’.
Amat malang bagi negara. Dan aku menyoal diri aku. Salah siapa?
Biarlah aku lontarkan persoalan ini kepada semua untuk memikirkannya. Kepada siapa yang berpeluang membaca rencana aku yang tidak sepertinya ini tolonglah fikirkan bersama.
Abuhassanadam
25 Disember 2025
Sunday, December 21, 2025
Bagi orang tua, bolehlah tolong tambah mana-mana yang aku ketinggalan ataupun tak berapa betul fakta-fakta yang aku kemukakan. Bagi orang muda tentunya merupakan pengalaman baru, perkara baru yang dijumpai. Tentulah menyeronokkan. Lain dari yang lain. Amat berbeza dengan keadaan yang dilihatnya seperti yang dilihat kini.
Kempen pilihan raya pada ketika itu tidak sesengit seperti kini. Tidak ada kempen melalui blog, facebook, tweeter, sms. Tidak ada. Kerajaan pun tidak menjalankan kempen melalui radio seperti sekarang ni. TV baru ada satu dua saja di seluruh kawasan padang Rengas. . Seingat aku pada tahun 1964 baru ada dua atau tiga peti TV saja di Padang Rengas. Di rumah Cikgu Ibrahim ( bapak Kamiliah ) dan satu lagi di kedai Cina yang menjual radio di pekan Padang Rengas. Di kampung aku ‘meghacun’! (tidak ada satu pun )
Nak cerita sikit fasal peristiwa yang menyayat hati dan juga melucukan berkaitan dengan menonton TV waktu itu. Di kampung aku memang tidak ada siapa yang memiliki TV waktu itu. Semuanya miskin belaka. Tak berduit nak beli TV. Mahal pulak tu. Jadi pada malam-malam tertentu ‘berarak’lah orang kampung aku ke pekan Padang Rengas untuk tengok TV. Orang muda-muda ler. Biasanya hari Jumaat malam Sabtu. Cerita Melayu.
Suatu malam yang ‘malang’ sedang kami berseronok menonton filem “Indera Bangsawan”, tiba-tiba taukeh kedai Cina menutup TV nya. ‘Mahu titun” katanya. Dia nak tidur. Jadi kami yang sedang asyik menonton melalui pintu dan tingkap kedainya ‘melopong’ ler. Nak kata apa. TV dia punya. Dia yang beli. Bila kita nonton TV nya bukan ada bayaran. Free. Jadi ikut suka dialah. Dia nak buka ke atau nak tutup, terpulang pada dia. Jadi kami pun ‘berarak’ pulang. Kecewa betul….‘Siksa’ betul hidup pada waktu itu!
Kerajaan Perikatan (BN) tidak menggunakan saluran radio dan TV untuk berkempen. Tidak seperti sekarang dimana pihak BN menggunakan saluran TV sepenuhnya untuk berkempen. Seolah-olah TV Malaysia sudah semacam TV BN (UMNO). Dan apabila melihat siaran berita pukul 8.00 malam melalui TV 1 atau TV 3, seolah-olah seperti aku berada di Padang Kulup Gagap pada tahun 1964 mendengar orang berkempen. TV1 dan TV3 aku lihat betul-betul berkempen.
Zaman dulu tidak begitu. Zaman Tunku Abdul Rahman jadi Perdana Menteri. Mungkin ada diselit-selitkan elemen berkempen, tetapi tidak secara terang-terangan. Pihak parti pembangkang juga diberikan peluang untuk menyampaikan manifesto parti melalui radio. Sekiranya kerajaan pada ketika itu menggunakan radio sepenuhnya untuk berkempen, tidak juga mendatangkan kesan yang besar keapda masyarakat.
Tidak ramai rakyat Malaysia yang memiliki radio dan TV pada waktu itu. Tambahan pula,lebih 90% kawasan luar bandar belum ada kuasa letrik. Radio dan TV ketika itu menggunakan kuasa battry ( battry kereta seperti sekarang )
Hampir semua orang kampung hadir di majlis kempen parti Perikatan di Padang Kulup Gagap. Tidak dinafikan bahawa ada yang datang untuk mendengar penjelasan (kempen) calon, namun yang selebihnya ( termasuk aku dan kawan-kawan) datang ke majlis itu hanya untuk memenuhi masa lapang. Mencari ‘hiburan’. Pada ketika itu bukan ada Drama Swasta atau “Akademi Fantasia” nak ditonton. TV pun tidak ada. Oleh itu apa saja keramaian yang ada, pasti orang kampung hadir. Bunyi ‘loud speaker’ adalah ibarat kalkatu dapat melihat lampu. Pasti akan berkerumun di situ.
Dalam ucapan calon tidak banyak dia bercakap mengenai hala tuju negara. Mungkin dia pun tak tahu ke mana hala tuju negara. Lulus Darjah Empat sekolah Melayu, manalah nak tahu mengenai hala tuju negara. Yang boleh dia bercakap ialah tentang peribadi calon lawannya. Mengutuk dan mengata. Jikalau pun dia nak bercakap mengenai ‘dasar’ kerajaan, yang boleh dijelaskannya ialah usaha kerajaan nak bina jalan raya, tali air, balai raya, dan lain-lain. Orang kampung akan bertepuk apabila dia berkata yang pembinaan jalan raya, masjid, balai raya akan dibina dengan segera di kampung kami.
Yang aku geli hati sampai kini, ialah orang kampung aku akan terus bertepuk apabila si calon dan kemudiannya menjadi wakil di kawasan aku akan terus mengatakan balai raya, jalan raya, masjid, tali air akan dibina secepat mungkin. Sudah tiga penggal si calon mengucapkan demikian. Namun balai raya, jalan raya, masjid, tali air tidak juga ada di kampung aku. Orang kampung aku terus bertepuk tangan……..Kini sudah terlaksana apa yang dihasratkan oleh orang kampung aku. Setelah hampir dua puluh tahun menunggu!!!…….
Abuhassanadam22 Disember 2025
Monday, December 15, 2025
ORANG MELAYU LAMBAT MEMBUAT KEPUTUSAN PENDIDIKAN
Seingatan dalam pemikiran aku yang cetek ini, orang Melayu yang berada di kampung-kampung (sememangnya orang Melayu tinggal di kampung pada zaman penjajahan British) kebiasaaanya tidak pandai membuat keputusan khususnya yang berkaitan dengan pendidikan anak-anak mereka. Mereka semacam tidak berani membuat keputusan, mengambil sesuatu langkah demi untuk memajukan anak-anak mereka. Lantas kebanyakan anak Melayu tidak ke sekolah dan 'jadilah mereka seperti ibu bapa mereka bekerja di kampung'.
Awal tahun-tahun 1950an pihak British telah mula mendirikan sekolah-sekolah (sekolah orang putih) untuk anak-anak Melayu di kampung dengan bermulanya Specil Malay Class untuk anak-anak Melayu. Dalam daerah Kuala Kangsar ada tiga buah sekolah yang ditubuhkan mengikut sistem sebegini ia itu di Cliford School, Kuala Kangsar, Government English School Padang Assam dan Government English School Kota Lama Kanan.
Yang ingin aku bincangkan dalam episod ini ialah tentang sikap orang Melayu di kampung terhadap penubuhan sekolah Inggeris. Tidak mudah orang Melayu menerima kehadiran sekolah Inggeris. Berbagai bagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan terhadap kehadiran sekolah Inggeris. Tidak kurang maki hamun yang dilemparkan terhadap ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah Inggeris. Ini termasuklah cacian dan herdikan yang diterima oleh 'oarng tua' aku yang menyekolahkan aku dan adik perempuan aku di sekolah Inggeris.
Atas sikap yang sedemian rupa maka ibu bapa Melayu yang tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris terus ketinggalan. Alasan yang digunakan oleh kampung untuk tidak mengantar anak mereka di sekolah Inggeris ialah takut anak-anak mereka 'memeluk agama Kristian'. Itulah rupa propaganda yang dcanangkan oleh orang Melayu yang menyebabkan tdak ramai anak-anak kampung yang belajar di sekolah Inggeris pada ketika itu,
Bagi ibu bapa yang sedar tentang perkembangan pendidikan Inggeris telah menghantar anak-anak mereka di sekolah Inggeris. Kesanya ramailah anak-anak Melayu kampung yang berjaya mendapat pendidikan tinggi dan mendapat jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan. Keadaan sedemikian baru disedari oleh ibu bapa di kampung dan mereka mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris. Namun tindakan mereka sudah agak terlambat.
Pertengahan tahun-tahun 60an, kerajaaan Malaysia sudah mula menitikberatkan pendidikan Sains di sekolah-sekolah. Ramai juga anak-anak Melayu pada ketiaka itu digalakan merebut peluang dalam aliran sains, namun atas berbagai masalah yang dihadapi tidak ramai anak Melayu yang ketinggalan dalam lapangan ini, atas beberapa sebab.
Dalam tulisan yang ringkas ini aku cuba menjelaskan bahawa orang Melayu sentiasa ketinggalan dalam merebut peluang pelajaran.Maksud nya orang Melayu di kampung lambat merebut peluang pelajaran sebagaimana yang diperolehi oleh kaum bukan Melayu yang berada di bandar. Mereka cepat sedar dan sentiasa peka dengan perkembangan di bandar dan lantas mencapai peluang sedemikian.
Diharapkan orang Melayu sedar tentang keadaan sebegini. Orang Melayu seharusnya sedar dan perlu berubah sesuai dengan perkembangan zaman AI yang diusahakan oleh kerajaan kini.
Abuhassanadam
16 Disember 2025
Sunday, December 14, 2025
SIJIL PEPERIKSAAN BERSEPADU (UEC)
Akhbar 'Malaysiakini 'ada melaporkan bahawa Eddin Khoo, yang mempengerusikan pasukan petugas yang mengkaji Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), berkata beliau mencadangkan satu cara ke hadapan dalam laporannya. Katanya daripada "mengiktiraf" peperiksaan, beliau berkata mereka yang lulus UEC boleh diberi elaun tertentu supaya mereka boleh masuk ke universiti awam tempatan dan perkhidmatan awam.
Itu merupakan satu cadangan daripada dia. Dan tentu banyak cadangan lain yang akan dikemukakan. Pun begitu aku tidak akan campur atau 'kacau daun' untuk memberikan cadangan dan pendapat walaupun aku merasakan boleh juga campur berrdasarkan pengalaman yang telah dilalui.
Aku ingin membawa satu keadaan yang agak serupa dengan keadaan yang akan aku perkatakan. Masih berkaitan dengan dasar pendidikan negara. Masih menyentuh isu sensitif yang berkaitan dengan isu kaum dan agama. Namun begttu aku lebih suka mengemukakan pandangan dan pendapat aku yang tidak akan menyentuh tentang senstiviti kaum dan agama.
Kisahnya begini. Seingat aku 'kisah' yang berkait dengan pendidikan di negara kita sememangnya sesuatu yang tidak akan selesai. Maknanya akan adalah isu yang akan timbul dari masa ke masa. Walaupun kadang-kadang rumit untuk diseesaikan tetapi akhirnya dapat juga diselesaikan dengan jayanya. Maknanya apa saja masalah yang timbul dapat diselesaikan. Kadang-kadang semacam tidak akan dapat diselesaikan dan boleh membawa kepada masalah yang lebih besar dan rumit.
Isu yang akan aku kemukakan kini merupakan isu sampingan dan hanya memberikan bayangan kepada isu yang sedang dibincangkan. Sekurang-kurangnya suasana dan perbincangan yang akan dihidangkan dapat menolong menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu, orang Melayu sentiasa dalam 'kacau kena' yang bermakna orang Melayu seolah-olah semacam tidak boleh berfikir dan membuat keputusan sendiri. Mereka sentiasa dalam tidak ketentuan. Dengan sebab itulah pada ketika itu orang Melaya dalam keadaan 'tengelam punca'. Antara isu yang menyebabkan orang Melayu dalam keadaan tenggelam punca ialah yang berkaitan dengan isu pendidikan anak-anak mereka. Orang Melayu tidak boleh membuat keputusan tentang persekolahan anak-anak mereka. Kesannya ramai yang tidak bersekolah dalam zaman pemerintahan British.
Golongan 'bijak pandai' (yang terdiri dari mereka yang berkelulusan sekolah atap) menunjuk pandai dan merupakan suara 'orang kampung' pada ketika itu. Dan golongan inilah yang menjadi tempat tumpuan orang kampung untuk mendapatkan nasihat mengenai persekolahan anak-anak mereka. Dan kadang-kadang nasihat yang disampaikan tidak bersesuaian.
Untuk menjelaskan keadaan yang lebih jelas tentang keadaan ini biar aku jelaskan pengalaman arwah bapa aku yang menghadapi masalah untuk memilih persekolahan.Beliau agak beruntung disebabkan memiliki seorang rakan yang berjaya menjadi seorang guru. Cikgu Mansor Sharif yang merupakan penasihat bapak aku dalam semua hal yang berkaitan dengan kehidupan harian. Cikgu Mansor lah tempat arwah bapak aku mengadu yang berkaitan dengan pelajran.
Isu yang betul-betul menimbulkan masalah kepada orang kampung ialah berkaitan dengan samada anak dihantar ke sekolah Orang Putih atau ke sekolah Arab (agama - AlYahyawiyah) atau pun meneruskan pelajaran di sekolah Melayu (Sekolah Cikgu Mat Yassin di Padang Rengas). Guru Besarnya nama Mat Yassin - tahun 1951). Rakan sebaya aku pada ketika itua ramai yang tidak ke sekolah disebabkan berbagai masalah. Salah satu sebabbya ialah masalah kewangan yang menyebabkan mereka tidak ke sekolah. Faktor yang menyebabkan ramai tidak belajar berpunca daripada masalah kewangan. Lantas berlakulah keciciran anak Melayu dalam pelajaran.
Pertembungan pemikiran dan pendapat yang berbagai bagai menyebabkan anak Melayu tidak ke sekolah dan ketinggalan dalam merebut pelajaran......
Bersambung
Abuhassanadam
15 Disember 2025
Saturday, December 13, 2025
MELIHAT SUMBANGAN TUN M DAN ANWAR IBRAHIM
Ringkasnya dapat aku katakan bahawa sumbangan Tun M kepada Malaysia semacam sudah tidak perlu diperkatakan lagi dan tidak ada sebab mengapa beliau 'semacam berdukacita' sambil merasakan bahawa sumbangannya kepada negara belum cukup untuk memuaskan hatinya. Dan sepatutnya beliau dengan senang (tanpa apa-apa kerisauan) menyerahkan kepimpinan negara kepada Saudara Anwar Ibrahim. Begitulah sepatutnya. Dan terpulanglah kepada Saudara Anwar pula untuk mencorakkan pemerintahan negara yang. tercinta ini.
Sejujurnya aku telah mengikuti dan menjejak secara serious perkembangan pemikiran dan tindak tanduk politik Perdana Menteri Dr. Mahathir bin Mohamed. Minat aku 'tertumpah' kepada 'perjuangan Dr. Mahathir sehinggakan aku 'berani' mengulas tentang tindak tanduk dan perjuangan Dr.Mahathir memerintah Malaysia. Pendek kata sorotan yang aku lakukan bermula dari kemunculan buku 'The Malay Dilemma' lagi. Begitulah keadaannya.
Banyak dasar yang diperkenalkan oleh Tun M yang kadang-kadang merupakn kejutan yang terpaksa juga terpaksa dihazamkan oleh rakyat mengenai sesuatu dasar yang diperkenalkan. Dasar "Pandang ke Timur', 'Buy British Last', pengenalan Punch Card antara dasar-dasar baru yang diperkenalkan pada zaman pentadbirannya. Memuncak daripada pengenalan dasar yang innovatif yang diperkenalkan adalah Wawasan 20-20.
Jika diperhati dan diperhalusi, maka sebenarnya 'Wawasan 20-20' telah pun dirangka lebih awal - mungkin lebih awal daripada kelahiran 'Malay Dilemma'. Kemunculan 'Wawasan 20-20' mungkin merupakan hasrat terpendam yang begitu lama dimana hanya menunggu masa untuk 'diletupkan'. Apa tidaknya Wawasan 20-20 semacam rentetan dan sambungan kepada 'The Malay Dilemma'.
Sesuatu yang agak menarik mengenai 'Wawasan 20-20' ialah persediaan yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan khususnya ketika diterajui oleh YB Saudara Anwar Ibrahim. Pada zaman pentadbiran beliaulah berbagai dasar yang innovatif dikemukakan disamping mengenengahkan berbagai ungkapan seperti 'Falsafah Pendidikan', 'pembakuan bahasa', 'insan kamil' 'pembelajaran bahasa asing' dan lain-lain. Cabaran pendidikan telah memaparkan segala-galanya. Seolah-olah ada semacam satu bentuk persefahaman ketika sesuatu dasar pendidikan diumumkan. Misalnya Falsafah Pendidikan negara adalah merupakan arah tuju kepada tahun 2020.
1990an merupakan zaman emas bagi negara Malaysia dimana kebanyakan dasar-dasar yang diperkenalkan menampakan kejayaan pemerintahan negara Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamed. Justeru tentlah tidak ada sebab mengapa Dr Mahathir tidak berbangga dengan pencapaian berkenaan. Kejayaan yang dicapai pada ketika itu adalah merupakan pencapaian yang dilakukan oleh beliau. Dengan demikian sudah tentulah belaiu berbangga dengan pencapaian sedemkian rupa.
Kini sudah sampai giliran Saudara Anwar Ibrahim pula untuk melakukan sesuatu untuk negara. Dan jelas menunjukkan bahawa Saudara Anwar Ibrahim tidak kurag hebatnya dalam hal mentadbirkan negara tercinta ini. Dalam masa yang agak singkat menampakkan beliau juga seiring atau mungkin lebih berjaya daripada kepimpinan Dr. Mahathir.
Rakyat Malaysia boleh membuat penilaian.
Abuhassanadam
14 Disember 2025
Friday, December 12, 2025
PERJUANGAN KITA MENGUSIR PENJAJAH MEMBANGGAKAN
Aku ingin sedikit menoleh ke belakang menyingkap tentang perjuangan kita menuntut kemerdekaan dan membebaskan tanah air dari penjajah British. Dalam keadaan kita 'bergelumang' dengan konsep ekonomi seperti AI seolah-olah kita dibuaikan dengan keadaan yang boleh melupakan tentang perjuangan kemerdekaan yang dirangka oleh pejuang negara tercinta ini.
Dulu pernah dipersoalkan tentang perjuangan kemerdekaan yang diperolehTanah Melayu.Kononnya kemerdekaan negara kita dihidangkan atas dulang emas. Bermakna amat senang diperolehi. Yakni kemerdekaan dalam bentuk yang murah, tanpa sebarang perjuangan pertumpahan darah sebagaimana yangg dialami oleh negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Vietnam dll.
Lantas terfikir pula di benak aku untuk mempersoalkan apakah setiap kemerdekaan 'tulen' yang diperjuangkan mesti diperolehi dari perjuangan 'tumpah darah'. Apakah apabila beribu rakyat mati dalam peperangan menuntut kemerdekaan maka baru boleh dianggap sebagai kemerdekaan tulen? Jikalau begitulah keadaannya, maka negeri Thai yang tidak menumpahkan darah itu pun belum boleh diiktiraf sebagai merdeka.
Tentu ada pula yang menghujahkan mengatakan bahawa negara Thai memang selama-lamanya merdeka kerana negara Thai tidak pernah dijajah oleh Barat. Negara Thai masih tetap memegang rekod sebagai negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah. Tidak pernah berada di bawah ketiak penjajah. Negara Thai terselamat dari dijajah.
Sebaliknya negara Thai pernah menjadi penjajah pada suatu ketika dahulu. Diantara negeri-negeri yang pernah dijajah oleh negara Thai (Siam) adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. Namun demikian penjajahan oleh Siam tentulah berbeda dengan cara negeri-negeri itu dibawah kuasa Barat.
Jikalau ditelitikan secara halus, negara Thai juga pernah dijajah secara tidak langsung. Keadaan sedemikian mungkin boelh disebabakan kepintaran Raja Siam ataupun keadaan politik di Asia Tenggara pada ketika itu. Pemerintah Tahi samada secara sedar atau tidak telah mengambil satu langkah yang agak bijak atau terkehadapan, apabila Raja Thai mengambil beberapa orang penasihat British unttuk menjalankan pentadbiran di negaranya. Dan terlepasnya negara Thai dari penjajahan Barat adalah disebabkan keadaan sedemikian.
Bersambung
abuhassanadam
12 Disember 2025
Thursday, December 11, 2025
APABILA TIMBUL TEGURAN SULTAN
Tidak keterlaluan. jika dikatakan bahawa seolah-olah masyarakat Malaysia seolah-olah menunggu kritikan dari seorang Sultan (Selangor) yang berkaitan dengan hantaran di sosial media yang menyentuh tentang berbagai isu khususnya yang berkaitan dengan isu bangsa dan agama. Mungkin Baginda Sultan sudah begitu tidak senang hati melihatkan gelagat setengah pihak yang menggunakan sosial media dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan tentang kesan yang akan ditimbulkan dari kegiatan yang melampau batas itu.
Para penulis 'upahan' seolah-olah menggila menggunakan sosial media untuk meluahkan perasaan mereka tanpa memikirkan kesan yang akan muncul akibat dari tindakan sedemikian. Tentulah telah banyak kesan buruk yang. telah ditinggalkan oleh perbuatan sedemkian yang menyebabkan Baginda Sultan terpaksa 'campor tangan' untuk meredakan keadaan sedemikian.
Sebenarnya telah begitu banyak kesan yang agak negatif yang ditinggalkan hasil penggunaan sosial media itu. Tanyalah siapa pun akan memberi jawapan bahawa, jika tidak dibendung dengan berkesan besar kemungkinana akan berhadapan dengan keadaan msayarakat di Malaysia dengan lebihh teruk lagi. Penglibatan masyarakt dalam media sosial di Malaysia adalah dalam keadaan luar biasa. Walaupun sehingga kini tidak ada lagi kajian yang boleh menunjukkan statistik 'keruntuhan' msayarakt Malaysia ekoran dari 'bencana' yang ditimbulkann oleh media cukup rasanya kita nampak kesan yang jelas yang ditimbulkan.
Menentang penggunaan media sosial bukan pula bererti bahawa ia menelurkan satu keadaan yang serba buruk, yang tidak harus digunakan. Yang harus dilakukan oleh pihak kerajaan ialah penentuan kawalan yang boleh mengawal keadaaan masyarakat ke arah kebaikan. Penggunaan media sosial oleh pelajar-pelajar sepertimana yang dilakukan pada keadaan merebaknya penyakita Covid dulu adalah sesuau yang amat berguna. Tetapi masalahnya ialah apakah dia dapat digunakan dengan berkesan secara menyeluruh.
Menggunakan media sosial dengan berkesan memrlukan satu tindakan pihak berwajib yang bukan mudah. Kesan penggunaannya amat positif kepada si pengguna namun untuk merealisasikan kesan positif tentulah sesuatu yang bukan mudah juga. Amat enteng bunyi tindakan menggunakan komputer dalam pembelajaran namun untuk mendatangkan kesan yang positif kepada anak-anak kita tentunya memerlukan pengorbanan yang bukan kecil.
Apa yang dikata dan nasihat oleh Baginda Sultan Selangot itu amat tepat sekali. Biar aku turunkan kenyataan baginda bagi menampakkan kerisauan yang jeas bagi baginda khususnya yang berkaitan dengan isu yang berkaitan dengan isu kaum dan agama.
"The Selangor ruler, Sultan Sharafuddin Idris Shah, has expressed deep concern over the many hate postings and comments on social media, saying he is disturbed over the rising tide of issues of race and religion, as well as fake news."Petikan Malaysiakini'
Yang agak menyedihkan ialah apabila ahli parlimen (segelintir) menunjukkan 'kehebatan' mereka kepada anak-anak yang hadir untuk memerhatikan mereka 'beraksi' dalam perbahasan. Mungkin anak-anak itu merasa cukup hairan melihat perangai dan kelakuan pemimpin mereka yang bersikap sedemikian.Tentulah ada ibu bapa yang kurang berkenan untuk membenarkan anak mereka hadir di parlimen semata-mata untuk melihat kelakuan wakil yang berperangai demikian.
Keadaan sedemikian juga seharusnya mendapat teguran dari baginda Sultan Selangor. Mungkin juga para wakil parlimen 'menunggu' teguran dari pihak Baginda Sultan untuk mereka mematuhi cara mereka apabila berada di Parlimen khususnya apabila berhadapan dengan anak-anak pelajar.
Mungkinkah mereka menunggu teguran dari Baginda Sultan Perak pula?
abuhassanadam
12 Disember 2025
Wednesday, December 10, 2025
TAKUT PANAS TAK SAMPAI KE PETANG......
Sejujurnya dapat aku katakan bahawa sepanjang 'pencarian' aku di negara ini tidak terdapat seseorang yang boleh mnenanandingi kelibat Saudara Anwar Ibrahim. Maknanya tidak ada siapa yang boleh menandingi kehebatan beliau. Semenjak dari zaman persekolahan , zaman mudanya dan sehinggalah beliau menjadi seorang dewasa yang memimpin negara kita Malaysia.
Aku mencari dan terus mencari seseorang yang boleh menggantikan Saudara Anwar Ibrahim. Maksud ku yang boleh menyamakan kehebatan beliau. Tidak ada dan tidak berjumpa. Dengann sebab itulah agaknya anak-anak muda kini tidak mengenali Anwar Ibrahim sebenarnya. Mungkin mereka mengenali Anwar Ibrahim ketika beliau menghadapi tuduhan yang 'tidak masuk akal' yang diketengahkann oleh kepimpinan negara terdahulu.
Anak muda kini tidak pernah terjumpa 'manusia' seperti Anwar Ibrhaim. Lantas disebabkan mereka tidak pernah 'terjumpa' dengan Anwar Ibrahim maka tidak timbul perasaan hormat terhadap beliau. Aku berkata demikian kerana kerap kali 'terjumpa' anak muda yang tidak menunjukkan rasa hormat kepada beliau disebabkan anak muda kini tidak tahu tentang sumbangan Anwar Ibrahim kepada negara. Apa tidaknya. Bagi anak muda yang lahir pada tahun 2000, mereka tidak berpeluang melihat bagaimana kegiatan Reformasi yang berlaku.Mereka tidak tahun tentang perjuangan 'abang-abang' mereka 'mengharungi' kegiatan reformasi.
Anak muda di Malaysia kini perlu diketengahkan perjuangan reformasi yang dilancarkan oleh anak muda (kini sudah ramai yang tidak berada di dunia) pada ketika itu. Mereka tidak merasakan perjuangan pahit getir menentang pemerintahan yang agak kejam pada ketika itu. Anak muda yang mengelarkan diri anak muda tidak tahu tentang perjuangan anak muda pada awal tahun-tahun 1990an dan awal 20an.
Kadang-kadang kita merasa hairan tentang bagaimana orang muda (atau pun pemimpin muda kini) tidak menunjukkan rasa hormat kepada Saudara Anwar Ibrahim berbanding dengan layanan yang diberikan oleh anak muda zaman reformasi. Satu peristiwa 'sedih' yang berlaku di parlimen dimana berlaku pertikaman lidah antara Saudara Anwar (sebagai Perdana Menteri) dengan salah seorang pembangkang. Kelihatan wakil pembangkang yang mana telah 'mempamerkan' satu keadaan yang agak jelek dimana si pembangkang tidak langsung menunjukkan rasa hormatnya kepada Perdana Menteri. Apakah sudah begitu menurun taraf seorang wakil rakyat yang langsung tidak menunjukkan rasa hormatnya kepada Perdana Menteri. Apakah sikap sedemikian dibenarkan yang tidak langsung menampakan rasa hormat kepada 'orang tua' yang juga Perdana Menteri.
Berdasarkan kepada keadaan yangg sedemikianlah, kita amat bimbang dengan apakah yang akn terjadi kepada negara ini apabila melihat keadaan sikap anak muda yang sudah agak jauh menyimpang daripada keadaan yang sepatutnya. Kita bimbang dengan keadaan anak muda yang sudah 'mampu' merangka pentadbiran negara akan datang khususnya dalam PRU ke 16.
Persoalan yang berada di hadapan kita ialah mengenai hala tuju yang hendak dibawa oleh golongan anak muda yang boleh menentukan masa depan negara pada masa akan datang. Keputusan PRU15 telah menampakkan kepada kita hala tuju yang hendak dibawa oleh para pengundi muda di sebelah Pantai Timur. Apakah kita merelakan perubahan yang hendak dilakukan berwajah demikian. Dan apakah masyarakat di Sabah dan Sarawak begitu yakin dengan perubahan-perubahan yang bakal dilaahirkan disana sesuai dengan keputusan pilihanraya yang diadakan baru-baru ini.
TAKUT PANAS TAK SAMPAI KE PETANG......
Friday, November 7, 2025
'FLASHBACK'
Puas aku mencari tajuk yang sesuai untuk artikel ini. Tajuk ini akan digunakan untuk artikel yang akan menjelang. Bahan-bahan yang akan diketengahkan adalah bahan-bahan yang biasa didedah dan di ketengahkan. Tidak ada yang luar biasa. Cuma yang cuba dicungkil adalah bahan-bahan yang biasa yang setiap pembaca tahu apa yang hendak disampaikan. Cuma yang membezakan adalah' persembahan' sesuatu artikel itu dipersembahkan.
Lantas tajuk 'Flashback' terjelma dalam otak pemikiran aku dan akan digunakan. Untuk mengelak jangan timbul kekeliruan diperturunkan tentang istilah "FLASHBACK".A flashback is a literary device that occurs when an author depicts an event that has taken place
Hari ini adalah hari kelahiran aku dan tentulah tidak ada sambutan hari jadi spertimana yang berlaku kepada anggota masyarakat di bandar. Yang ada hanyalah ucapan dan doa anak-anak . Amat memuaskan hati aku. Dan sejujurnya aku begitu kesunyian setelah 'pemergian' isteri ku beberapa bulan yang lepas.Seolah-olah kehidupan aku hanya lah sebagai menananti sesuatu yang tidak tahu bilakah 'peristiwa' itu akan berlaku. Bermakna aku tak tahu bilakah aku akan mengikut 'jejak langkah' arwah isteriku.Tentulah kehidupan aku seperti tidak ketentuan, bermakna semacam tidak bermatlamat kehidupan.
Dalam suasana sedemikianlah timbul satu perasaan tentang mengapakah aku membiarkan kehidupan ku berlalu dengan begitu sahaja. Maksudnya tentulah berfaedah kepada sesiapa yang ingin mengecapi kehidupan seperti yang aku lalui. Dan apabila aku mahu mula menulis satu perasaan menjelma di kepala ku. "siapalah agaknya yang akan membaca tulisan ku'. Perasaan sedemikian memberhentikan hasrat aku untuk terus menulis walaupun agak ramai juga yang menulis kepada aku meminta supaya aku terus menulis. Ada yang memujuk agar aku terus menulis. Ada yang memujuk aku agar jangan merajuk (bagi yang merasakan aku merajuk disebabkan sesuatu pristiwa).
Sebenarnya ratusan artikel telah aku hasilkan bermula pada tahun 1962 ia itu ketika masih dalam Tingkatan dua sehinggalah pada tah 2017. Menulis artikel sememangnya hobby aku. Rasanya memadailah perjuangan aku dalam lapangan sastera dan perjuangan ini. Tetapi yang menyebabkan aku terdorong untuk meneruskan lapangan yang aku minati ini adalah'gesaan' dan dorongan yang diberikan oleh 'anak-anak' yang sentiasa mengikuti perkembangan kegiatan aku terutama dalam lapangan penulisan.
Sebenarnya aku terpengaruh dan begitu yakin dengan saranan agama Islam yang mengatakan bahawa tiga hal penting yang memberikan manfaat di alam barzakh iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh adalah faktor faktor yang dapat memberikan manfaat dan pertolongan selepas kematian seseorang. Aku amat terpenraruh dengan saranan ini. Aku tidak dapat menyampaikan sedekah jariah kepada yang memerlukan kerana tidak mampu melakukannya. Yang pasti dapat aku lakukan ialah ilmu yang bernafaat.
Cukup sampai di sini.
abuhassanadam
7 Nov 2025
Wednesday, April 9, 2025
KELAS MENGAJI PAK HAJI SULAIMAN
Waktu mengaji quran di rumah Pak Haji Sulaiman bermula pukul 8.00 malam. Tapi pada pukul 5.00 petang aku dan beberapa orang kawan dah ‘bertolak’ dari rumah untuk pergi ke tempat mengaji di kampung Seberang. Tak jauh pun Kampung Seberang. Hanya ‘sepelaung’. ‘Seberang’ tu bermakna seberang bendang. Kampung Keroh Hilir itu terbahagi dua; dibahagi oleh sawah padi milik orang kampung. Tak luas pun. ‘Sekankang kera’. Terdapat sebatang jalan kecil (sebenarnya batas bendang dijadikan jalan) menuju ke kampung Seberang. Sebelah kanan jalan, sawah kepunyaan Pakcik Talib . Sebelah kiri jalan pula milik Pak Man Alang Noh.
Lebih kurang pukul 5.15 petang, kami dah pun berada di pertengahan jalan. Di tengah bendang. Ani, Ngah, Mat Ropek, Basir, Toha semuanya dah berada di situ. Itu pun jikalau hari tak hujan. Jikalau hari hujan ataupun mendung, kami terus ke rumah Pak Haji Sulaiman. Tak singgah di tengah bendang dekat dengan pokok Dedalu,berhampiran dengan kolam ikan Pak Ngah Tengin.
Emak tak pernah tanya mengapa aku terlalu awal pergi mengaji di rumah Pak Haji Sulaiman sedangkan emak dan bapak tahu yang waktu mengaji bermula lepas Maghrib. Wan Meriam, emak saudara aku (ibu Ani, Ngah, Mat Ropek) juga tak pernah tanya. Agaknya mereka begitu yakin bahawa apa saja yang berkaitan dengan mengaji quraan ( hal yang berkaitan dengan agama Islam) tak perlu ditanya-tanya. Agaknya ler…
Anak murid Pak Haji Sulaiman agak ramai. Lebih kurang 60 orang. Dari sekecil aku (yang berumur lapan tahun ketika itu) hinggalah Abang Manap (arwah) yang pada ketika itu berumur lingkungan 16 tahun. Pendek kata seluruh kanak-kanak di kampung itu bergurukan Pak Haji Sulaiman. Malah ada yang datang dari Kampung Tanjung dan Kampung Pulau yang lebih kurang 2 kilometer jauhnya dari tempat mengaji. Pak Haji Sulaiman seorang sahaja yang mengajarnya.
ADi tangan Pak Haji Sulaiman sentiasa ada rotan. Sebesar jari kelingking. Gunanya rotan itu untuk merotan kami yang nakal dan juga untuk memberi isyarat. Biasanya isyarat pertama rotan dipukul ke atas lantai ialah untuk memberitahu ‘sesi’ akan bermula. Dan beraturlah kami (bersila) melalui tiga saluran dengan quraan di tangan masing-masing, bersedia untuk membaca dihadapan Pak Haji. Tiga orang membaca sederap. “Triple tasking’ untuk Pak Haji Sulaiman. Rotan akan dipukul ke lantai sebagai isyarat kedua untuk semua pelajar duduk rapat dengan dinding dan bersoal jawab mengenai agama. Rukun Islam, Rukun Iman, hal-hal yang membatalkan sembahayang dan lain-lain.
Tidak ada yuran pengajian dikenakan oleh Pak Haji Sulaiman. Percuma. Tidak sepertimana yang berlaku kini. Para ‘ulamak’ mengenakan bayaran ratusan ringgit untuk satu sesi pengajian. Ditambah pula dengan bayaran penginapan hotel sekiranya seseorang itu perlu bermalam. Dan tentunya hotel bertaraf empat atau lima bintang!...Tetapi Pak Haji Sulaiman tidak mengenakan sebarang bayaran. Sebagai balasan di atas tenaga yang diberikan oleh Pak Haji Sulaiman kepada kami, maka ibu bapa di kampung akan menghulurkan pertolongan kepada beliau dalam hal mengerjakan sawahnya atau apa-apa tugas yang dirasakan beliau memerlukan pertolongan.
Apabila sampai sahaja kami di tengah bendang, berhampiran dengan pokok Dedalu, maka di situlah merupakan stesen perhentian kami. Di situ juga ada sebuah kolam ikan kepunyaan Pak Ngah Tengin. Sambil memerhatikan ikan-ikan berkeliaran di kolam Pak Ngah Tengin, kami juga sedang menghirup bayu petang yang sepoi-sepoi bahasa di tengah sawah yang terbentang itu.
‘Permainan’ yang paling kami sukai ialah memerhatikan awan berarak di langit sambil mebentuk berbagai-bagai bentuk. Ada awan yang merupakan seperti seekor anjing atau harimau atau manusia. Maka ‘berlumba-lumba’lah kami menganalisis bentuk-bentuk yang terbentu di langit itu. Amat menyeronokkan. Dan besar kemungkinannya anak-anak zaman ini tidak faham dan tidak dapat langsung memahami dimana terletakknya ‘keseronokan’ yang aku gambarkan itu. Mereka tidak faham dan tidak akan faham.
Sebenarnya kanak-kanak (seperti aku dan yang sama ‘waktu’ dengan aku) pada ketika itu sentiasa ‘bergelumang’ dengan alam. Kami amat sebati dengan peredaran alam dan seolah-olah alam juga ‘simpati’ dengan keadaan anak-anak pada zaman itu. Hiburan aku pada ketika itu adalah apabila melihat daun kelapa yang melintuk liuk ditiup angin petang; mencium bau jerami padi yang terbakar hasil titik peluh Pak Ngah Manap. Dan hati ini pula akan merasa pilu dan hiba bercampur sayu meilhatkan matahari terbenam menjelang senja. Dan akan menjelma pula perasaan romantis apabila muncul sinaran bulan pada malam ‘bulan empat belas’.
Apabila terdengar saja bunyi kerantung ( ada yang disebut sebagai beduk) dari surau Seberang yang menandakan masuknya waktu Maghrib, maka kami pun sudah bersedia untuk bersama-sama Pak Haji Sulaiman untuk menunaikan fardhu Maghrib bersama beliau.
Aku doakan agar roh Pak Haji Sulaiman ditempatkan dikalangan golongan yang beriman. Amin.
abuhassanadam
9 April 2025
Sunday, April 6, 2025
FITNAH MEMFITNAH HARUS DIHENTIKAN SEGERA
Dalam keadaan kemelut negara yang agak meruncing, kita selalu meletakkan sejuta harapan agar keadaan negara kembali seperti keadaan sedia kala walaupun sudah kelihatan ia akan berubah. Kita mengidamkan ekonomi negara tumbuh dengan segar sepertimana yang dapat kita perhatikan kini. Kita mimpikan keadaan hubungan antara kaum terus menerus dalam keadaan harmoni seperti mana yang pernah kita kecapi dalam tahun-tahun pada suatu ketika dulu - tahun-tahun 80an dan 90an. Kita mengharapkan agar suatu episod dalam sejarah Kesultanan Melaka akan berulang di negara kita yang tercinta ini.
Hanya pisang yang tidak akan berbuah dua kali. Peristiwa sejarah silam mungkin berulang. Kalaupun tidak sama bentuknya, akan muncul pula dalam bentuk yang mirip-mirip sama. Teringat pula tentang suatu episod sejarah dalam zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang perlu direnungi, tentang kisah Hang Tuah difitnah kerana dikatakan berkelakuan sumbang dengan gundik raja. Maka Sultan telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah.
Kitab ‘Salalat al-Salatin’ menceritakan,
“ Maka fikir Seri Nara al-Diraja pada hatinya, ‘belum patut dosanya Hang Tuah ini aku bunuh.’ Maka disuruh sembunyikan oleh Seri Nara al-Diraja pada satu dusun, dipasungnya. Maka dipersembahkannya kepada raja, dikatakannya sudah dibunuh. Maka Sultan Mansur Syah pun diamlah.
Setelah sudah setahun lamanya, maka Hang Kasturi pun berkendak dengan dayang-dayang dipakai raja lagi kesayangan dalam istana. Maka Sultan Mansur Syah dan Raja Perempuan turun dari istana itu, pindah ke istana lain. Maka Hang Kasturi dikepung oranglah. Maka Sultan Mansur Syah pun duduk pada sebuah balai kecil. Maka Bendahara dan Penghulu Bendahari dan segala orang besar-besar dan orang kaya-kaya sekalian hadir mengadap. Maka orang mengepung Hang Kasturi itu penuh berlapis-lapis, seorang pun tiada dapat menaiki Hang Kasturi.
Maka oleh Hang Kasturi semuanya pintu istana dikuncinya, suatu di hadapan Hang Kasturi juga dibukanya. Maka batil, talam kerikal, dulang gangsa sekalian dikaparkannya di lantai. Maka di atas talam batil itu ia berjalan. Maka perempuan gundiknya itu pun dibelahnya mukanya lalu ke perutnya, maka ditelanjangnya. Maka Sultan Mansur Syah pun memberi titah menyuruh menaiki Hang Kasturi. Maka seorang pun tiada bercakap.
“ Pada zaman itu Hang Kasturi bukan barang-barang orang. Maka Sultan Mansur Shah pun mengenang Hang Tuah. Maka titah baginda,’ Sayangnya Si Tuah tiada. Jikalau Si Tuah ada, dapatlah ia menghapuskan kemaluanku.” Maka Seri Nara Diraja diam mendengar titah itu. Setelah dua tiga kali raja mengenang Hang Tuah, maka sembah Seri Nara Diraja, “Tuanku, pada pemandangan patik sangat behena Duli Yang Dipertuan mengenang Hang Tuah. Jikalau sekiranya ada Hang Tuah hidup, adakah ampun Yang Dipertuan akan dia?”
Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘Adakah Si Tuah ditaruh Seri Nara al-Diraja?”
Maka sembah Seri Nara al-Diraja, ‘ Gila apakah patik menaruh dia, dengan titah tuanku menyuruh membuangkan dia? Sudah patik buangnkan.”Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘ Adapun jikalau ada Si Tuah, jikalau seperti bukit sekalipun dosanya nescaya kita ampun juga. Pada bicara hati kita ada juga Si Tuah pada Seri Nara al-Diraja.”
Maka sembah Seri Nara al-Diaraja, “ Sungguh tuanku seperti titah itu. Tetapi titah Tuanku menyuruh membunuh Hang Tuah itu pada fikir patik tiada patut Hang Tuah dibunuh kerana dosanya. Maka oleh patik-patik pasung, kerana Hang Tuah bukan barang-barang hamba, takut ada perkataannya ke bawah duli kemudian hari.
Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar sembah Seri Nara al-Diaraja itu. Maka titah baginda,’ Bahawasanya Seri Nara al-Dirajalah yang sempurna hamba.” Maka Seri Nara al-Diraja dianugerahkan persalin sepertinya. Maka titah Sultan Mansur Syah,’Segera Seri Nara al-Diraja menyuruh membawa Hang Tuah ke mari.”
Maka Seri Nara al-Diraja pun menyuruhkan orangnya memanggil (Hang Tuah). Maka Hang Tuah dibawa oranglah ke hadapan Sultan Mansur Syah.”
Kisah ini berakhir dengan satu trajedi sedih dimana Hang Tuah terpaksa membunuh sahabatnya sendiri demi untuk menyelamtkan negeri Melaka yang huru hara disebabkan tindakan Hang Kasturi ( Hang Jebat – mengikut setengah hikayat lama).
Aku coretkan kisah sejarah ini memandangkan sudah begitu lama kemelut ( kisah fitnah memfitnah ) yang berlaku di negara kita berlarutan dan sudah sampai masa dan ketikanya memerlukan penyelesaian. Dan ‘ke barat, ke baruh, ke utara, ke selatan’ aku berjumpa dengan rakyat jelata, hampir sepakat mengatakan bahawa kisah fitnah memfitnah ini harus dihentikan.Tanyalah orang Melayu, tanyalah orang Cina atau India atau Iban, Kadazan maka jawapan yang diberikan oleh mereka adalah sama.
abuhassanadam
6 April 2025
Saturday, March 22, 2025
HAJJAH FARIDAH MAT SAMAN
Disebabkan ramai rakan-rakan (kumpulan 60an) minta aku hidangkan semula artikel berkenaan.
Hajjah Faridah Mat Saman pada tahun 1964 lebih kurang sama dengan Sit Nurhaliza. Maksud aku dari segi popularitynya. Hajjah Faridah terkenal dalam lapangan pembacaan Al-Qurannya sedangkan Siti Nurhaliza terkenal dari segi nyanyiannya. Kedua-duanya adalah sebagai bintang yang sentiasa berkerdipan. Mungkin ramai rakyat Malaysia kini tahu siapa dia Siti Nurhaliza tetapi tidak mengenali siapa dia Hajjah Faridah Mat Saman. Jikalau Siti Nurhaliza banyak kali memenangi anugerah yang berbagai-bagai dan Hajjah Faridah juga pernah beberpa kali menjadi juara pertandingan Quran peringkat nasional dan antarabangsa.
Arwah emak aku memang peminat setia Hajjah Faridah. Arwah Wah Beah (emak saudara aku) juga begitu. Mak Cik Jah (Azizah nama sebenarnya), pangkat emak saudara aku ‘tak tidur malam’ mendengar suara hajjah Faridah Mat Saman. Dan kebetulan pula Mak Cik Jah adalah Johan Qariah peringkat daerah pada ketika itu. Sesuai sangatlah beliau meminati Hajjah Faridah untuk dijadikan idolanya. Kesemua mereka sudah arwah dan tiada lagi. Mohon sedekah Al-Fatihah ke atas roh mereka.
Seingat aku Pertandingan Membaca Quran ini telah mula-mula diperkenalkan oleh Tunku Abdul Rahman selepas sahaja negara Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Dan sehingga kini semacam ‘tidak boleh tidak’ pertandingan tersebut mesti diteruskan walaupun sambutan yang diberikan kepada upacara sedemikian agak hambar berbanding dengan keadaan pada tahun-tahun 1950an, 1960an dulu. Walaupun namanya bertukar dari Pertandingan membaca Quran kepada Musabaqah Membaca Quran tetapi formatnya tidak banyak berubah. Malah bergerak selangkah lagi dengan mengadakan peringkat antarabangsa dimana qari-qari dari negara Islam lain juga turut sama menjayakannya.
Bagi orang kampung aku di Ekor Dusun, pertandingan Membaca Quran merupakan upacara meriah yang diraikan oleh hampir seluruh penduduk kampung pada ketika itu termasuklah kanak-kanak seperti aku. Sudah menjadi satu kemestian bagi kami untuk berada di sisi radio untuk megikuti pertandingan berkenaan.
Di kampung aku pada ketika itu, hanya terdapat tiga buah radio sahaja. Di rumah Pak Haji Mat Ketua kampung, di rumah Encik Kontak dan di rumah Wah Beah. Dan pada ketika itu TV belum lagi ‘muncul’ di kampung aku. Yang masih aku ingat bahawa TV (hitam putih) hanya dimiliki oleh Cikgu Ibrahim Abdullah, Guru Besar Sekolah Melayu Padang Rengas. Seingat aku itulah TV pertama yang ‘datang’ ke Padang Rengas. Itulah sebuah.
Radio di rumah Wah Beah berjenama ‘Erres’ ( kalau aku tak silap) menggunakan battery ‘bergambar’ no 9 dan gambar kucing di tengah nombor 9. Dan pada malam Pertandingan Membaca Quran hampir separuh orang kampung aku bertumpu di rumah Wah Beah. Macam majlis khenduri selama tiga malam. Selepas sahaja mereka berbuka puasa di rumah masing-masing, mereka bertumpu ke rumah Wah Beah untuk mengikuti pertandingan berkenaan. Wah Beah terpaksa jugalah ‘berkorban’ selama tiga malam melayan dan menyediakan jamuan untuk tetamu yang hadir. Yang hadir itu pun adalah terdiri dari sanak saudara dan kaum kerabat juga. Wan Munah, Wan Meriam, Cik Wa, Pan Cu Lamah…..Makcik Jah tetap hadir.
Masih aku terbayang keadaan ‘pendengar’ yang berkumpul di rumah Wah Beah itu. Mereka betul-betul khusyuk ketika bacaan diperdengarkan. Semua senyap memberikan sepenuh tumpuan. Cuma selepas seorang peserta selesai membaca surah yang disediakan barulah ‘pendengar’ di rumah Wah Beah memberikan komen mereka. Mereka mula meramalkan peserta mana yang akan menang dan yang mana yang akan tewas.
Yang menariknya apabila sampai giliran Hajjah Faridah memperdengarkan bacaannya, semua sepi sesepinya. Penuh khusyuk. Makcik Jah terdiam. Maklumlah peminat setia Hajjah Faridah. Sekiranya terjadi keadaan dimana Hajah Faridah tidak dinobatkan sebagai juara aku tak tahulah apa akan terjadi pada Makcik Jah. Idak ler sampai membunuh diri pulak…….
Pada malam-malam pertandingan membaca Quran, solat terawikh ditangguhkan. Maksud aku sehingga selepas selesai pertandingan pada malam berkenaan. Masjid Keroh Hilir lengang buat seketika. Surau Keroh Seberang juga sepi. Surau Kampung Pulau senyap. Surau Ekor Dusun sudah tidak ada berjemaah kerana semua jemaahnya mengikuti pertandingan melalui radio. Pendek kata seluruh penduduk kampung menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada pertandingan membaca al-Quran.
Lebih kurang pukul 12.00 tengah malam barulah selesai pertandingan dan rama-ramai mereka ke surau masing-masing untuk menunaikan solat terawih. Selepas solat terawih kebanyakan penduduk Ekor Dusun terus bersahur sebelum melelapkan mata.
Indahnya suasana dan damainya hati penduduk Ekor Dusun pada waktu itu. Hanya tinggal kenangan.
abuhassanadam
30 Jun 2015
Friday, March 14, 2025
MASIH MENCARI JATI DIRI?
Aku terpanggil untuk memperkatakan isu jati diri Melayu kerana aku sudah agak keliru mengenai orang Melayu itu sendiri. Kadang-kadang aku sendiri ‘keliru’ dan sering menyoal diri aku samada aku masih ‘orang Melayu tulin’ ataupun sudah berubah menjadi ‘orang lain’. Maknanya apakah aku masih merupakan orang Melayu tulin. Apakah aku masih orang Melayu berketurunan ‘sakai’ yang merupakan peribumi sebenar di Tanah Melayu dan bukan golongan pendatang dari Indonesia atau dari India atau dari Pakistan.
Aku juga kerapkali memikirkan bahawa apakah manusia yang menggelarkan dirinya ‘Melayu’ yang berada disekeliling aku masih merupakan orang Melayu tulin ataupun sudah bertukar menjadi ‘orang lain’. Aku sebenarnya amat keliru.
Terlintas aku untuk menjenguk tentang apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Jati diri’. Mengikut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka’ jati diri ialah sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya, atau disebut jua identiti.
Bahasa merupakan teras untuk menunjukkan identiti seseorang itu. Bahasa menunjukkan bangsa seseorang itu. Bahasa jiwa bangsa. Terlalu lunak menyuarakannya tetapi apakah betul-betul dipraktikkan oleh orang Melayu khususnya. Aku perhatikan bahawa Bahasa Melayu yang merupakan teras bangsa Melayu ( bangsa Malaysia) seolah-olah sudah dipandang ringan oleh orang Melayu sendiri. Apatah lagi oleh golongan bukan Melayu walaupun Bahasa Melayu termaktub dalam perlembagaan Malaysia sebagai Bahasa kebangsaan.
Aku tidak menyalahkan orang bukan Melayu yang tidak begitu peduli tentang penggunaan Bahasa Melayu. Yang aku penting dan yang aku agak ‘keliru’ ialah tentang orang Melayu sendiri yang tidak memandang berat terhadap Bahasa Melayu. Ini termasuklah juga pemimpin Melayu yang hanya cakap ‘berdegar-degar’ tetapi sebenarnya ‘cakap tak selupa bikin’. Kononnya untuk mendaulatkan Bahasa Melayu tetapi dari segi praktiknya tidak pun ternampak usaha yang bersungguh-sungguh.Lantas bagaimanakah kita ( orang Melayu) hendak menyuruh orang bukan Melayu menggunakan bahasa Melayu secara meluas sedangkan orang Melayu sendiri tidak mengambil berat tentang kedudukan bahasanya.
Setelah beberapa lama berlalu, Malaysia masih ‘merangkak’ untuk mendaulatkan Bahasa Melayu. Aku masih terbayang tentang usaha gigh pemimpin bahasa yang terdahulu seperti Syed Nasir Ismail, Usman Awang, Keris Mas, Hassan Ahmad yang bersungguh-sungguh benar untuk mendaulatkan Bahasa Melayu. Namun semacam usaha mereka itu seperti mencurahkan air di daun keladi. Kedudukan Bahasa Melayu masih berada di takuk lama. Mati segan hidup tak mahu.
Yang paling mengelirukan aku ialah apabila melihatkan yang orang Melayu yang berkedudukan mengabaikan penggunaan Bahasa Melayu. Lihat sahaja tentang penggunaan bahasa Melayu yang digunakan oleh para pemimpin kita ( termasuklah pemimpin korporat) kita apabila memperkatakan sesuatu di TV. Sembilan puluh peratus dari mereka pasti akan menggunakan bahasa Inggeris. Pasti. Ini yang aku amat keliru dan amat susah untuk aku memahaminya. Dan yang anihnya pula ialah apabila yang menggunakan bahasa Inggeris itu masih ‘tergagap-gagap’ dengan ‘Nahu’ yang lintang pukang tetapi masih mahu menggunakan bahasa Inggeris. Mengapa terjadi begitu?. Aku tak faham….
Apakah pada anggapan golongan elit perniagaan ini bahawa akan menjadi ‘hina’ bagi mereka apabila menggunakan Bahasa Melayu? Apakah begitu pada anggapan mereka. Apakah hanya dengan menggunakan bahasa Inggeris sahaja yang akan menaikkan imej mereka di mata rakan kongsi perniagaan mereka. Apakah begitu pendapat para tokoh korporat Melayu kita?
Berbanding dengan bangsa lain seperti Jepun, Cina, bangsa Thai yang masih teguh berpaut kepada bahasa mereka ketika mengadakan rundingan atau berbicara sesuatu di peringkat antarabangsa. Dan bangsa-bangsa ini masih dihormati dan mereka tetap unggul dalam perniagaan dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia berbanding dengan bangsa Melayu yang kononya amat ‘fasih’ berbahasa Inggeris tetapi masih ketinggalan jauh di arena antarabangsa sekiranya diukur dari segi apa pun.
Mendewa-dewakan bangsa asing (dan bahasa asing) sudah merupakan amalan dan ‘pakaian’ orang Melayu semenjak dari zaman dahulu lagi. ‘Penyakit’ yang dihidapi oleh orang Melayu secara umum ialah terlampau memandang terlalu tinggi kepada bangsa asing. Orang Melayu mendewakan bangsa Arab apabila mereka datang untuk berdagang dan menyebarkan agama Islam ke sini. Orang Melayu merasa megah sekiranya dapat anak dara mereka berkahwin dengan Arab ‘berketurunan Nabi Muhammad’ itu. Orang Melayu mendewakan saudagar dari India sehinggakan dibenarkan memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan Melayu Melaka. Pendek kata orang Melayu sanggup menghambakan diri mereka kepada orang asing.
Tidak usah disebutlah tentang bagaimana orang Melayu mendewakan orang Inggeris. Sehingga kini orang Melayu masih terus mendewa-dewakan orang Inggeris dan bangsa-bangsa asing. Orang Melayu mungkin masih merasakan dirinya masih kerdil berbanding dengan bangsa asing. Jati diri orang Melayu seolah-olah tidak menunjukkan penigkatan yang drastik walaupun telah lama mencapai kemerdekaan.
Kadang-kadang aku terfikir seolah-olah orang Melayu masih mencari-cari identiti diri. Ataupun seolah-olah orang Melayu sedang mengalami kelunturan jati diri. Ataupun lebih parah lagi apakah orang Melayu masih ada jati diri. Tolonglah carikan jawapannya.
abuhassanadam
14 Mac 2025
Wednesday, March 12, 2025
MENIKMATI GRIMIS DI LONDON
Semalam hujan gerimis. Hujan renyai-renyai kata orang kampung aku. Dua hari lepas London diselubungi kabus tebal sehinggakan banyak penerbangan di lapangan terbang Heathrow terpaksa dibatalkan. Jarak penglihatan agaknya tidak sampai pun 100 meter di setengah tempat.
Walaupun ramai juga pengguna jalan raya yang merasa tidak selesa dengan keadaan sedemikian tetapi bagi aku merasa bertuah kali ini kerana dapat ‘menikmati’ suasana kabus pagi yang sudah lama tidak aku ‘nikmati’ di negara kita. Walaupun sejuk dan jarak penglihatan agak dekat namun aku masih merasa bahagia ‘menikmati’nya ketika aku bersiar-siar di kawasan ‘park’ berdekatan dengan rumah anak aku di sini.
Aku teringat suasana sebegini yang aku alami ketika aku masih kanak-kanak, ‘membelah’ kabus pagi ke sekolah bersama dengan rakan-rakan, meniti batas bendang yang menghubungkan kampung aku dengan Kampung Lalang. Dan kadang-kadang basah baju sekolah disebabkan embun dan kabus pagi yang begitu tebal.
Tentulah aku teringat juga tentang beberapa peristiwa lucu yang kami alami ketika masih kecil ketika kabus pagi masih menyelubungi kampung ku. Walaupun kabus di kampung ku dahulu tidak sama dengan keadaan kabus yang menyelubungi England, namun kesannya mendalam dalam perasaan ku. Walaupun kesejukannya tidaklah sebagaimana kesejukan kabus di London, namun sekiranya nafas dihembus keluar akan kelihatanlah juga ‘asap’ yang keluar dari mulut.
Dan kegiatan menghembuskan ‘asap’ keluar dari mulut adalah merupakan amalan dan ‘permainan’ yang dilakukan ketika masih kecil terutama pada waktu kabus pagi. Sepanjang perjalanan ke sekolah kami akan beterusan ‘menghemuskan asap’ keluar dari mulut. Semacam ada satu pertandingan pula. Agak menggelikan hati juga apabila aku lakukan perbuatan sedemikian ketika ‘menikmati’ kabus pagi di London baru-baru ini. Masih keluar lagi asap melalui mulut…..Tentulah aku ketawa bersendirian.
Suasana berkabus tidak muncul lagi di Malaysia. Jangankan di Kuala Lumpur, di kampung-kampung pun sudah tidak kelihatan lagi kabus pagi. Tidak seperti zaman aku kecil-kecil dulu. Aku tidak dapat melukiskan tentang ‘keindahan’ tentang kabus pagi tetapi yang jelasnya aku merasa begitu bahagia dan seronok berada dalam suasana sedemikian.
Kampung aku tahun-tahun 1950an agak berbeza dengan keadaan kini. Walaupun waktu paginya masih sejuk namun kesejukan pada tahun-tahun 1950an adalah amat luar biasa. Terpaksa ‘bergebor’ ( berselimut ) ketika tidur pada waktu malam berbanding dengan keadaan kini yang sentias ‘bolin’ ( tidak berselimut) disebabkan cuaca yang agak panas. Dan sudah ramai penghuni kampung aku yang memasang penghawa dingin di rumah masing-masing kerana kepanasan cuaca, sesuatu yang tidak pernah berlaku tahun-tahun 1950an dahulu.
Sebagaimana aku jelaskan tadi, hujan gerimis turun di London semalam. Hujan di London agak berbeza dengan hujan di Malaysia. Ini tidaklah pula bermakna bahawa air hujan di London datang dari bumi !..Bukan begitu. Hujan tetap hujan dan air hujan datangnya dari langit. Yang aku maksudkan ialah jarang-jarang terdapat hujan lebat sebagaimana yang terdapat di Malaysia dimana akan kelihatan air turun bertali-tali melalui cucuh atap.
Hujan gerimis sedemikian tentulah mengingatkan aku kepada keadaan di kampung juga ketika masih kecil-kecil. Sekiranya berlaku hujan di waktu pagi sedemikian, maka tentulah ramai penduduk kampung ku yang tidak keluar menoreh getah. Dan terbantutlah punca rezeki mereka sekeluarga.
Dalam suasana hujan sebegitu suatu peristiwa yang sukar aku lupakan ialah tentang ‘sarapan’ pagi yang dihidangkan oleh arwah emak. Sarapan’ pagi yang disajikan tentulah jauh berbeza dengan sarapan yang disediakan di rumah keluarga Inggeris di sini. Seperti ‘’antara langit dan bumi’ atau seperti ‘jauh panggang dari api’. Namun bagi aku dari segi ‘kenikmatannya’ adalah sama.
Kebiasaanya arwah emak akan menyediakan ubi atau pisang rebus yang dicecah dengan kelapa yang diparut ataupun akan menyediakan nasi goreng yang digaulkan dengan kelapa. Mungkin ‘Nasi goreng kampung’ ala emak aku dan tidak terdapat lagi resepi sedemikian dimana-mana tempat di Malaysia. Dan sekali sekala emak akan buat nasi lemak atau memasak kuih ‘tuan puteri baju hangus’ atau cucur-kodok.
Menikmati rebus pisang atau rebus ubi kayu dalam suasana hujan di waktu pagi begini adalah sesuatu yang sukar dilupakan terutamanya memakan rebus ubi yang panas-panas.
Sebentar lagi aku akan pergi ke pasar Afrika mencari ubi kayu untuk direbus sebagaimana yang dilakukan oleh arwah ibuku dulu….
abuhassanadam
12 Mac 2025
Tuesday, March 11, 2025
"TERPENGARUH DENGAN 'SERUNAI MALAM'
Secara kebetulan aku bertembung dengan ‘boss’ lama Dato Haji Jumaat Mohd Noor 9pernah menjawat jawatan Pengarah sekolah-sekolah Malaysia) yang sama-sama membelek-belek sayuran di sebuah pasar tani di Kelana Jaya. ‘ Hai dah tak menulis lagi?’ Itulah uacapan pembukaannya. Tak tahu aku menjawabnya bila diketemukan dengan soalan sedemikian oleh seorang yang aku hormati – kini dan selama-lamanya.
Ekoran dari 'teguran' dari Dato Haji Jumaat itu, Lantas aku terpanggil untuk terus menulis disebabkan ‘gesaan’ sedemikian. Apatah lagi oleh seorang yang banyak memberi sumbangan kepada bangsa dan negara. Beliau pernah menjadi guru, Pengarah Pendidikan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, dan banyak lagi laa. Itu tidak termasuk NGO yang disertainya.
Bagi aku ‘sindiran’ Dato Haji Jumaat itu merupakan sindiran seorang ‘guru’ terhadap anak muridnya. Dan artikel yang sedang aku fikirkan kini merupakan artikel pertama setelah buat beberapa ketika aku ‘berehat’. Dan tentulah pembaca yang sudi membaca artikel sebegeni samalah ibaratnya seperti menaiki ‘roller coaster’. Maklumlah sudah lama tidak menulis. Dah berkarat.
Pertama kali aku megenali Dato Haji Jumaat ia itu ketika beliau berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Kedah. Ketika itu aku baru saja ditempatkan mengajar disebuah sekolah menengah di bandar Kulim Kedah selepas tamat pengajian. Tahun 1974. Aku diarahkan berjumpa dengan Tuan Haji Jumaat pada ketika itu kerana ‘ingkar’ perintah jabatan ia itu disebabkan aku enggan untuk mengajar di sekolah di mana aku ditugaskan. Sekolah Menengah St Patrick, Kulim Kedah.
Aku memberanikan diri aku berjumpa dengan ‘orang besar’ pelajaran di negeri Kedah itu. (Mungkin Tuan Haji Jumaat tak ingat pertemuan berkenaan. Biar aku ingatkan semula ). Aku disuruh jelaskan mengapa aku enggan bertugas di sebuah sekolah di tengah-tengah bandar Kulim. ‘Ini sekolah bandar cikgu!’ kata beliau. ‘Bukan di kampung. Ramai lagi yang tidak berpeluang macam cikgu…mengajar disekolah bandar’. Panjanglah penjelasan beliau dan aku hanya mendiamkan diri, menunggu untuk memberikan penjelasan. Akhirnya sampailah giliran aku memberikan penjelasan.
“ Sebenarnya tuan saya memang nak mengajar di kampung’ kataku memulakan hujjah aku pulak. Sememangnya aku berhasrat untuk mengajar di kawasan desa. Malah ketika mengisi borang penempatan mengajar pun aku telah mengisikan dengan ayat ‘di mana-mana saja di Malaysia’. Ramai rakan-rakan yang mengatakan yang aku kurang siuman menulis kenyataan dalam borang penempatan sedemikian. Itu aku tak peduli. Ini cerita benar. Itulah ayat yang aku tuliskan dalam borang penempatan berkenaan. Tidak menjadi halangan pada aku sekiranya aku ditugaskan di pendalaman Sabah atau Sarawak. Tak apa. Sedia berkhidmat asalkan di kampung.
Sememangnya aku nak berkhidmat di kampung. Terus terang aku katakan bahawa aku amat terpengaruh dengan Sandiwara Radio yang disiarkan menerui Radio Malaysia bertajuk ‘Serunai Malam’ hasil tulisan Dato Usman Awang yang dilakonkan oleh Azhar Ahamad dan Adibah Amin. Terus terang aku katakan aku amat terpengaruh dengan drama berkenaan. Dan melalui drama berkenaan juga aku bertekad untuk terus belajar secara bersendirian dan menjejakkan kaki ku di University Malaya pada tahun 1971.
‘Sememangnya saya nak berkhidmat di kampung, tuan. Di mana-mana pun tak apa’ aku ulang lagi kenyataan ku itu. Pada ketika itu ramai guru-guru yang takut bertugas di kampung. Berbagai kemudahan tidak tersedia pada ketika itu berbanding dengan keadaan kini. Contohnya kampung Ulu Mengkuang yang terletak di daerah Selama Perak.
Di kampung inilah aku mula-mula di tempatkan untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang Selama Perak selepas tamat dari Maktab Perguruan pada tahun 1965. Tidak perlulah aku berpanjang lebar menjelaskan keadaan Ulu Mengkuang pada tahun 1965. Tidak perlulah aku jelaskan kesusahan yang dialami ketika mengajar di situ. Namun begitu aku merasa amat bahagia bersama dengan anak-anak di situ dan masyarakatnya yang cukup membahagiakan kehidupanku.
Aku bertekad aku akan berpindah dari Ulu Mengkuang (UM) ke University Malaya (UM). Jarak masa tidak dapat aku tentukan. ‘Pengembaraan’ku itu agak mustahil jika diperhalusi. Bayangkan aku meneroka alam perguruan hanya berbekalkan sijil LCE (Lower Certificate of Education) dan tidak pernah pun menjejakkan kaki di Tingkatan 1V dan jauh panggang dari api di Tingkatan V dan VI. Kini aku mengajar di Ulu Mengkuang dan bertekad untuk pergi ke University Malaya. Tentulah tak masuk akal. Kita hanya merancang dan Tuhan yang menetukan.
Setelah mendengar penjelasan dari aku dan ‘pengalaman’ yang aku lalui, aku nampak Tuan Haji Jumaat sudah amat simpati dengan ‘perjuangan’ ku ia itu ‘menjadikan desa kepada kota’ (ungkapan Dato Usman Awang dalam ‘Serunai Malam’ yang masih terngiang-ngiang ditelinga aku sehingga kini).
‘Kalau saya tempatkan Cikgu di Mahang setuju tak?’ soal Tuan Haji Jumaat.
“Kan saya dah katakan di mana-mana saja Tuan asalkan di kawasan desa, mengajar anak kampung’
“Beginilah… saya tempatkan Cikgu di Serdang, Selatan Kedah. Setuju tak?’ Katanya lagi. ‘Minggu depan. Satu haribulan’ arahannya’
‘Saya akan pergi ke sekolah berkenaan pada hari ini tuan untuk lapor diri’ Kataku sambil tersenyum.
Agak lama juga aku tidak berjumpa dengan Tuan Haji Jumaat sehinggalah aku juga bertugas di Kementerian Pendidikan pada suatu ketika selepas itu. Dan pagi tadi berjumpa semula dengan Dato Haji Jumaat bin Mohad Noor. Masih sihat.
abuhassanadam
11 Mac 2025
Monday, March 10, 2025
BERHIJRAH BUKAN PILIHANNYA
Semalam seorang kawan baik aku menelipon aku mengatakan ia telah membuat keputusan yang mungkin memeranjatkan. “ Aku nak pindah ke London. Ikut anak aku’. Duduk dengan dia di sana, katanya. Memang aku terkejut mendengar berita demikian. Aku tak tahu nak kata apa. Aku terdiam membisu. Nak kata ‘eloklah’ pun tak kena, nak kata ‘ fikirlah dulu..’ pun tak kena juga, dan nak kata tak usahlah’ pun tak kena.
Dia memanggil aku bukan untuk mendapatkan nasihat tetapi memberitahu aku keputusan yang telah dia ambil. Semacam muktamad. Dan seolah-olah keputusan yang dia ambilnya itu telah difikirkannya buat beberapa lama. Seolah-olah keputusan yang diambilnya itu telah dibincangkan dengan ramai orang, ahli keluarganya dan mereka telah memberikan kata setuju dengan hasratnya itu.
“ Dah habih fikir ke? “ tanya aku menggunakan loghat Perak. Intonasi suara aku masih lagi dalam bentuk bergurau.
“ Habih….’ jawabnya. Kemudian dia menyambung ‘ Berapa kali aku dah cakap dengan kamu, aku rasa cukup tak selesa duduk di ‘Malaya’ ( dia selalu menyebut Malaysia sebagai Malaya). Macam tak ‘civilize’. Orang buat lain, kita buat lain…” Keadaan yang aku ceritakan ini adalah keadaan dalam keadaaan negara yang ditadbirkan oleh puak-puak yang mungkin kurang perhatian terhadap memajukan negara. Tidak seperti harapan di bawah pemerintahan DS Anwar Ibrahim.
Mungkin kawan ku ini terbawa-bawa terpengaruh dengan 'cakap-cakap' yang sentiasa menabur fitnah tentang pemerintahan Saudara Anwar. Mungkin itu yang menyebabkan beliau hendak 'lari' meninggalkan Malaysia. Sudah puas aku menjelaskan kepada beliau bahawa negara sudah tidak seperti di bawah pemerintahan terdahulu. Dia setuju apa yang aku katakan tetapi masih mahu meneruskan keputusannya untuk berhijrah.
Aku terperanjat dengan kenyataan kawan aku kerana setahu aku dia adalah merupakan seorang pejuang Melayu tulin. Kalah aku. Kami mempunyai banyak persamaan. Aku anak kampung tulin, dia pun begitu. Emak bapak dia pun orang kampung yang miskin melarat, suatu ketika dulu. Emak bapak aku pun sama. Dia berjaya dalam pelajaran kerana usahanya yang gigih sampai ke peringkat yang paling tinggi. Dan aku tidak sehebat dia, namun ‘ ada sikit bawah’. Dari segi ‘empathy’ terhadap orang lain, jangan persoalkan. Asalkan ‘orang susah’ dia tak kira Melayu ke, Cina ke, India ke, Kulit Hitam ke, Kulit Putih ke. Bagi dia sama saja layanan yang diberikan.
Inilah ‘rupa’ manusia yang akan meninggalkan negara ini dan akan terus berada di London untuk selama-lamanya. Berdasarkan dari segi usia, sememangnya kami tidak akan berada lebih lama lagi di dunia. 60an. Dan mengikut apa yang dikatakannya pada aku mungkin dia tidak akan pulang ke Malaysia. “Dan mungkin anak aku saja yang menguruskan mayat aku nanti untuk dihantar pulang ke tanah air tempat tumpah darahku – Malaysia’ katanya.
Aku tak tahu sebab yang sahih mengapa dia begitu kecewa ketika itu, dan mengambil keputusan sedemikian. Aku belum pernah melihat dia berkeadaan begitu. Merajuk hati. Beliau adalah seorang yang amat kuat mengahadapi apa juga cabaran dalam kehidupan. Aku tahu dan aku faham kehidupan yang dilaluinya. Penuh dengan onak dan duri. Namun dia tidak pernah ‘tewas’ dan tidak pernah merajuk mengahadpi dugaan dan cabaran sedemikian. Mengapa kini beliau tewas dan merajuk.
Atas sebab-sebab inilah agaknya kawan aku amat sedih dan merajuk membawa diri menumpang kasih di negara lain….walaupun di rantau orang……..
Aku hanya mampu berdoa…dan terus memujuk agar dia memikirkan semula rancangannya itu.
Abuhassanadam
10 Mac 2025