Bagi orang tua, bolehlah tolong tambah mana-mana yang aku ketinggalan ataupun tak berapa betul fakta-fakta yang aku kemukakan. Bagi orang muda tentunya merupakan pengalaman baru, perkara baru yang dijumpai. Tentulah menyeronokkan. Lain dari yang lain. Amat berbeza dengan keadaan yang dilihatnya seperti yang dilihat kini.
Kempen pilihan raya pada ketika itu tidak sesengit seperti kini. Tidak ada kempen melalui blog, facebook, tweeter, sms. Tidak ada. Kerajaan pun tidak menjalankan kempen melalui radio seperti sekarang ni. TV baru ada satu dua saja di seluruh kawasan padang Rengas. . Seingat aku pada tahun 1964 baru ada dua atau tiga peti TV saja di Padang Rengas. Di rumah Cikgu Ibrahim ( bapak Kamiliah ) dan satu lagi di kedai Cina yang menjual radio di pekan Padang Rengas. Di kampung aku ‘meghacun’! (tidak ada satu pun )
Nak cerita sikit fasal peristiwa yang menyayat hati dan juga melucukan berkaitan dengan menonton TV waktu itu. Di kampung aku memang tidak ada siapa yang memiliki TV waktu itu. Semuanya miskin belaka. Tak berduit nak beli TV. Mahal pulak tu. Jadi pada malam-malam tertentu ‘berarak’lah orang kampung aku ke pekan Padang Rengas untuk tengok TV. Orang muda-muda ler. Biasanya hari Jumaat malam Sabtu. Cerita Melayu.
Suatu malam yang ‘malang’ sedang kami berseronok menonton filem “Indera Bangsawan”, tiba-tiba taukeh kedai Cina menutup TV nya. ‘Mahu titun” katanya. Dia nak tidur. Jadi kami yang sedang asyik menonton melalui pintu dan tingkap kedainya ‘melopong’ ler. Nak kata apa. TV dia punya. Dia yang beli. Bila kita nonton TV nya bukan ada bayaran. Free. Jadi ikut suka dialah. Dia nak buka ke atau nak tutup, terpulang pada dia. Jadi kami pun ‘berarak’ pulang. Kecewa betul….‘Siksa’ betul hidup pada waktu itu!
Kerajaan Perikatan (BN) tidak menggunakan saluran radio dan TV untuk berkempen. Tidak seperti sekarang dimana pihak BN menggunakan saluran TV sepenuhnya untuk berkempen. Seolah-olah TV Malaysia sudah semacam TV BN (UMNO). Dan apabila melihat siaran berita pukul 8.00 malam melalui TV 1 atau TV 3, seolah-olah seperti aku berada di Padang Kulup Gagap pada tahun 1964 mendengar orang berkempen. TV1 dan TV3 aku lihat betul-betul berkempen.
Zaman dulu tidak begitu. Zaman Tunku Abdul Rahman jadi Perdana Menteri. Mungkin ada diselit-selitkan elemen berkempen, tetapi tidak secara terang-terangan. Pihak parti pembangkang juga diberikan peluang untuk menyampaikan manifesto parti melalui radio. Sekiranya kerajaan pada ketika itu menggunakan radio sepenuhnya untuk berkempen, tidak juga mendatangkan kesan yang besar keapda masyarakat.
Tidak ramai rakyat Malaysia yang memiliki radio dan TV pada waktu itu. Tambahan pula,lebih 90% kawasan luar bandar belum ada kuasa letrik. Radio dan TV ketika itu menggunakan kuasa battry ( battry kereta seperti sekarang )
Hampir semua orang kampung hadir di majlis kempen parti Perikatan di Padang Kulup Gagap. Tidak dinafikan bahawa ada yang datang untuk mendengar penjelasan (kempen) calon, namun yang selebihnya ( termasuk aku dan kawan-kawan) datang ke majlis itu hanya untuk memenuhi masa lapang. Mencari ‘hiburan’. Pada ketika itu bukan ada Drama Swasta atau “Akademi Fantasia” nak ditonton. TV pun tidak ada. Oleh itu apa saja keramaian yang ada, pasti orang kampung hadir. Bunyi ‘loud speaker’ adalah ibarat kalkatu dapat melihat lampu. Pasti akan berkerumun di situ.
No comments:
Post a Comment