Sunday, June 10, 2018

SUDAH SEKIAN LAMA PELAJAR DILETAK ‘ DI BAWAH TEMPURUNG’

                  Pengumuman Menteri Pendidikan (atau Menteri Pelajaran!) yang baru, saudara Maszlee Malik mengenai kebebasan bersuara di pusat pengajian tinggi di Malaysia merupakan sebagai turunnya setitik embun di tengah –tengah padang pasir yang tandus. Apa tidaknya. Sudah sekian lama keadaan sebegini dinanti dan ditunggu-tunggu oleh pelajar kita dan selama menanti dan menunggu itulah seolah-olah para pelajar kita telah ‘dibawah tempurungkan’.

                  Aku sering juga didatangi oleh pelajar-pelajar yang meminta diceritakan tentang keadaan campus dan kegiatan pelajar pada awal-awal tahun 1970an yang sentiasa didengar oleh mereka sebagai zaman yang begitu ‘colourful’ sekali dengan peranan yang dimainkan oleh “Speaker’s Corner’nya. Aku hanya dapat menceritakan tentang keadaan di University Malaya pada ketika itu yang sentiasa ‘dihidupkan’ dengan keadiran ‘manusia’ yang bernama Anwar Ibrahim.

                  Mungkin ada lagi saki baki pemimpin yang ‘bermazhab’ mengatakan bahawa pelajar harus menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran di university dan melupakan penglibatan mereka sama ada dalam kegiatan politik atau kegiatan lain. Dan mengikut pemahaman golongan yang ‘bermazhab’ sebegini, pelajar hanya terlibat dalam politik setelah mereka lulus dan mendapat ijazah.

                  Bagi aku tindakan yang dilakukan oleh Saudara Maszlee ini merupakan langkah tepat yang perlu dilakukan serta merta. Sekiranya perlu, jangan ‘sesaat’ pun terlewat dari usaha untuk melaksanakannya. Sudah begitu banyak ‘masa terbuang’ yang seharusnya dimanfaatkan oleh anak-anak kita yang berada di university. Seolah-olah kita telah kehilangan ‘satu generasi’ekoran daripada tindakan yang dilakukan oleh kepimpinan negara yang yang samar-sama hala tuju untuk membawa anak-anak muda ke mercu kejayaan.

                  Membiarkan kebebasan bersuara diamalkan di pusat-pusat pengajian tinggi sebebnarnya memberikan peluang yang seluas-luasnya kepada anak muda untuk menyuarakan pendapat dan pandangan disamping mengenal pasti bakat-bakat anak muda yang bakal menjadi pemimpin negara pada suatu ketika nanti. ‘Speakers Corner’ yang terletak dihadapan Perpustakaan University Malaya (kini sudah dihilang dan ditiadakan) sebenarnya menelurkan ramai pemimpin negara. Di situlah mereka mengasah bakat mereka dalam berpidato dan memberikan ucapan. Di situlah mereka melatih diri mereka untuk menjadi pemimpin.

                  Di situ jugalah sebagai tempat mendapatkan ‘hiburan’mendengar ucapan-ucapan dari para pemimpin pelajar yang ramai diantaranya menjadi pemimpin peringkat kebangsaan, negeri dan daerah misalnya. Semacam kewujudan ‘Speakers Corner’ itu sebagai satu kemestian bagi melahirkan pemimpin pada akan datang.

                  Dulu, Minggu Orientasi pelajar (yang merupakan program menyambut kedatangan pelajar baru) diisi dengan berbagai forum dan ceramah yang diadakan. Para penceramah terdiri mereka yang mahir dalam lapangan-lapangan tertentu dengan tidak mengira anutan fahaman politik mereka. Di situlah pelajar-pelajar baru dapat mengenali apa sebenarnya bentuk pelajaran yang mereka akan perolhi. Melalui forum dan debat itu juga para pelajar telah didedahkan dengan ‘pedoman’, ke arah persiapan untuk menjadikan diri mereka sebagai seorang pelajar di pusat pengajian tinggi. Di dedahkan juga bahawa mereka bukan lagi penuntut sekolah menengah tetapi berada disebuah kampus untuk menimba berbagai ilmu.

                  Kesimpulannya sekiranya diadakan forum dan bahas dan dihidupkan semula tradisi lama di university-university tempatan (khususnya di University Malaya), aku yakin dan peracaya, majlis yang sedemikian bukan sahaja dihadiri oleh para pelajar di university berkenaan, tetapi akan dikunjungi juga oleh ‘orang lama’ yang amat merindui suasana sedemikian. Jangan dilengahkan lagi.

abuhassanadam
10 Jun 2018

                 






                 







Wednesday, June 6, 2018

WAWASAN 2020 HAMPIR ‘BERKECAI’

                  Aku masih ingat lagi pada suatu makan malam anjuran The Harvard Club di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada tahun 1992, Dr. Mahathir Mohamed menyampaikan satu ucapan agung yang berjodol  ‘The Way Formard’. Idea dalam ‘The Way Formard’ itu telah ‘diterjemahkan’ sebagai ‘Wawasan 2020’. Dan semenjak dari saat itu ‘Wawasan 2020’ sentiasa bermain di bibir rakyat Malaysia.

                  Harapan menggunung bagi rakyat Malaysia yang ingin melihat agar Malaysia menjadi sebuah negara maju setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Sekurang-kurangnya buat sementara waktu Malaysia ingin berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan masyarakat di Singapura, Jepun, Korea, Hong Kong. Bangsa Malaysia pada ketika itu seolah-olah begitu yakin yang rakyat Malaysia juga boleh melakukan apa yang telah dilakukan oleh masyarakat lain yang telah menempa kejayaan.

                  Cogan kata dan lagu ‘Malaysia Boleh’ menjadi ‘laungan’ dan nyanyian anak muda pada ketika itu. Falsafah ‘memandang ke timur’ sebagaimana yang dipantakkan oleh Dr. Mahathir ke dalam benak rakyat Malaysia seolah-olah menjadi kenyataan apabila seluruh jentera kerajaan bergerak sederap untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mencontohi apa yang telah dilakukan oleh negara Jepun dan Korea Selatan. Bangsa Malaysia seolah-olah tidak mahu menoleh ke belakang pada ketika itu dan begitu yakin dengan hasrat yang terpancar dalam ‘Wawasan 2020’ itu. Ringkasnya kepimpinan negara yang diketuai oleh Dr. Mahathir dan digandingi oleh Saudara Anwar Ibrahim mahu menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dalam semua lapangan. Namun kemajuan yang kita capai seharusnya tidak mengorbankan nilai-nilai murni yang sepatutnya dihayati oleh bangsa Malaysia.

                  Satu hakikat yang jelas mengenai harapan untuk merealisasikan ‘Wawasan 2020’ ini ialah tentang keyakinan rakyat Malaysia. Hampir tidak ada yang meragui tentang pencapaiannya, walaupun ada yang merasakan bahawa tahun 2020 itu merupakan terlalu awal tentang tarikh pencapaiannya. Namun masih tidak berganjak tentang pencapaiannya walaupun ‘diganggu’ oleh keadaan kemelesetan dunia pada pertengahan tahun-tahun 1990an.

                  Rupanya ‘panas tidak sampai ke petang. Hujan pula di tengah hari’. Pelaksanaan ‘wawasan 2020’ terencat apabila negara berpindah pentadbiran dari Dr Mahathir kepada Tun  Abdullah Badawi dan seterusnya apabila dipimpin oleh DS Najib Tun Abdul Razak. Seolah-olah hasrat ‘Wawasan 2020’ terus dikesampingkan. Seolah-olah apa yang dihasratkan oleh Dr. Mahathir itu tidak perlu diteruskan. Seolah-olah ‘Wawasan 2020’ semacam dilupakan dan tidak lagi menjadi ‘siulan dan dendangan’ rakyat.

                  ‘Wawasan 2020’ seolah-olah terus dilenyapkan zaman pentadbiran DS Mohd Najib. Malah beliau memperkenalkan pula TN50 satu-satunya hasrat kerajaan yang hampir serupa dengan ‘Wawasan 2020’ yang ditunda tarikhnya. Hasrat untuk menjadikan bangsa Malaysia sebuah bangsa dan negara yang modern terus disebut dan dicanangkan oleh pemimpin zaman ini tetapi tidak dihayati tentang apa yang diucapkan. Usaha sebenar ke arah merealisasikannya semacam dijalankan sambil lewa. Kepimpinan negara pada ketika itu seolah-olah telah menggantikan ‘Wawasan 2020’ dengan slogan ‘Cash is King’. Kepimpinan UMNO di semua peringkat sudah hampir melupakan ‘Wawasan 2020’ dan hanya mementingkan perjuangan memenuhi matlamat ‘Cash is king’.

                  Lantas isu IMDB merupakan isu yang cukup penting yang telah ‘mewarnai’ kehidupan segelinitr masyarakat Malaysia pre-PRU14.  Usaha menjadikan bangsa Malaysia sebagai sebuah bangsa maju seperti yang terkandung dalam ‘Wawasan 2020’ terus dikesampingkan. Sememangnya usaha kepimpinan negara adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat. ‘Cash is King’ masih lagi merupakan intipati perjuangan pada ketika itu.

                  Dan bermulalah satu era baru dalam sejarah bangsa Malaysia yang seolah-olah meletakkan ‘wang’ sebagai ‘Raja’ segala-galanya. Budi bahasa, moral  diketepikan. Yang penting ialah bagaimana untuk mendapatkan wang sebanyak mungkin demi untuk terus hidup di negara Malaysia yang maju. Lantas dapat diperhatikan kegiatan rasuah terus menerus bermaharaja-lela bukan sahaja dari kalangan ahli politik kerajaan tetapi juga dikalangan setengah pegawai tinggi kerajaan yang merasakan bahawa  melakukan rasuah sudah merupakan satu budaya masyarakat Malaysia Pra-PRU14.

                  Apa yang dikatakan di atas mungkin dapat dibuktikan oleh SPRM pada hari-hari muka yang dapat kita perhatikan sekiranya mereka betul-betul mahu bertindak membersihkan negara ini dari segala gejala negatif yang telah menular merosakkan peribadi bangsa Malaysia zaman Pra-PRU14.

                  ‘Wawasan 2020’ hampir ‘berkecai’. Tidak dapat dipastikan apakah Tun Mahathir mahu terus merealisasikan wawasan yang murni itu. Sama-sama kita tunggu.

abuhassanadam

6 Jun 2018

Tuesday, June 5, 2018

JANGAN DIRAGUKAN KERJASAMA MAHATHIR-ANWAR

                  Walaupun sudah beberapa kali dijelaskan bahawa tidak ada perselisihan faham antara Tun Dr Mahathir dan DS Anwar kini, namun masih ada pihak-pihak tertentu yang terus menerus cuba melaga-lagakan kedua-dua pemimpin ini. Dan yang menyedihkan ialah peristiwa sebegini berlaku dalam suasana negara sedang dalam merangka satu Malaysia baru sebagaimana yang diidamkan oleh rakyat ekoran daripada keputusan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam PRU14 yang baru lalu.

                  Kadang-kadang hasutan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Saudara Anwar agak membimbangkan walauun harus ‘dicampakkan’ sahaja ke tepi. Namun mungkin disebabkan dilakukan berulang-ulang yang mungkin juga ‘termakan’ oleh pihak-pihak tertentu yang mudah percaya kepada fitnah dan hasutan. Begitulah keadaannya pada penghujung tahun-tahun 1990an dahulu yang menyebabkan berlaku satu peristiwa pahit dalam sejarah Malaysia dimana Saudara Anwar difitnah dan seterusnya dipenjarakan. Mungkin peranan pemfitnah yang sebeginilah yang menyebabkan beliau merengkok dalam penjara dan kesan yang paling ketara ialah bangsa Malaysia kehilangan tokoh yang boleh membawa gah kepada dunia.

                  Mungkin ramai yang tidak tahu tentang ikatan persahabatan akrab antara Dr. Mahathir dan Saudara Anwar Ibrahim. Pertama kali aku melihat gandingan mereka berdua ialah ketika menghadiri satu seminar di bilik Kuliah F University Malaya pada tahun 1972 dimana pada ketika itu Saudara Anwar yang merupakan pemimpin muda yang sedang meningkat naik telah digandingkan dengan Dr Mahathir yang merupakan ‘orang buangan’ dalam arus negara yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman.

                  Dan aku terbaca juga tentang penglibatan Saudara Anwar dalam satu forum di Singapura ( pada tahun 1971 sekiranya tidak tersilap) yang juga dihadiri oleh Dr. Mahathir dan Saudara Lee Kuan Yew yang merupakan Perdana Menteri Singapura pada ketika itu. Berasaskan beberapa peristiwa ini menggambarkan tentang berputiknya persahabatan yang akrab antara Dr. Mahathir dan Anwar sehinggakan pada tahun 1982 Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) telah ‘memujuk’ Saudara Anwar untuk menyertai UMNO dan seterus bertanding di Parlimen Permatang Pauh untuk menentang Tuan Haji Zabidi dari PAS.

                  Sememangnya hasrat Dr Mahathir ‘memujuk’ Anwar adalah untuk ‘melarikan’ Anwar dari genggaman PAS yang kelihatan pada ketika itu amat condong kepada perjuangan PAS  yang pada ketika itu dipimpin oleh Dr Fadhil Noor yang merupakan sahabat karib beliau. Pujukan Dr Mahathir menelurkan kejayaan dan seterusnya diberikan kepercayaan untuk bertanding dalam PRU pada ketika itu untuk menentang calon PAS.

                  Permatang Pauh adalah merupakan kawasan pengaruh PAS. Majority yang diperolehi calon PAS dalam PRU sebelumnya adalah dalam lingkungan belasan ribu. Namun disebabkan pengaruh dan kredibility Saudara Anwar telah dapat menewaskan calon PAS (Tuan Haji Zabidi) dengan majority yang agak besar juga. Lantas Saudara Anwar dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Menteri Pendidikan beberaa tahun selepas itu.

                  ‘Biduk lalu kiambang bertaut’. Tepat peribahasa Melayu ini. Walaupun terdapat ‘titik hitam’ dalam melakar  perjuangan membina bangsa dan negara namun keyakinan kepada ‘silver lining’ itu terpancar juga. Kini dua orang tokoh yang disayangi oleh rakyat Malaysia ini sudah berada di persada perjuangan yang sama. Dan kelebihannya ialah kedua-duanya merupakan tokoh yang sudah ‘tepu’ dengan pengalaman dan sudah bersedia untuk melakukan dan menyudahkan ‘agenda’ yang belum selesai.
                  Antara ‘assignment’ yang telah diberikan (mungkin) oleh Tun Mahathir kepada Saudara Anwar ialah untuk meyakinkan YDP Agung dan Majlis Raja-Raja Melayu tentang pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara. “Tugas saya sebagai orang awam dengan sedikit pengaruh adalah untuk membincangkan (dengan Raja-raja Melayu) dan menyakinkan baginda.Apa yang saya sampaikan kepada baginda adalah: Dalam tempoh 60 tahun, keluarga diraja bekerjasama dengan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN).Sekarang situasi sudah berubah. Tetapi Perlembagaan tidak berubah. Status Raja-raja Melayu tidak berubah. Hal (seperti pelantikan peguam negara) boleh dibincangkan difahami,” kata Anwar seperti dilapor The Malaysian Insight.
                  Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. “Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
                  Jangan dipersoalkan sumbangan siapa yang lebih besar dalam menjayakan persetujuan dan perkenan dari YDP Agung ini.  Lagi pun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz jelas mengatakan bahawa perkenan YDP Agung itu adalah ‘atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Agong telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan”
                  Yang pentingnya ialah ‘kayu tidak patah, tanah tidak lebam dan ular dapat dibunuh’. Peristiwa sebegini juga yang selalu disebut-sebut oleh datuk nenek kita dahulu ‘seperti mengambil rambut dalam tepung – rambut dapat diambil dan tepung tidak berserak’.
abuhassanadam
5 Jun 2018


                 



Monday, June 4, 2018

MENYAMBUT ‘KEMERDEKAAN’ KALI KEDUA

            Pada malam kemerdekaan 31 Ogos 1957, aku dapat merasakan suasana menyambut kemerdekaan ketika Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimah ‘kemerdekaan’ dan diikuti penurunana bendera ‘Union Jack’. Pada ketika itu aku tak tahu dan tidak dapat merasakan apakah yang diertikan dengan kemerdekaan.

            British tidak menekan rakyat Tanah Melayu sebagaimana pemerintah Belanda memperkenalkan ‘Culture System’ di Indonesia dan bagaimana rakyat Filipina ditindas melalui Sistem Polonya. Tetapi bagi rakyat Tanah Melayu tidaklah ada penindasan yang sedemikian. Dengan demikian tidak hairanlah jikalau ramai orang Melayu pada ketika itu tidak begitu mementingkan sangat samada negara ini mencapai kemerdekaan atau tidak.

            Apa tidaknya. Bagi aku tidak ada apa yang berubah di kampung aku selepas menyambut kemerdekaan. Bapak aku terus ke sawah sepertimana orang kampung  lain juga. Mereka masih lagi mencari rezeki, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ramai kawan-kawan aku yang tidak pergi sekolah atas berbagai sebab terutamanya berkait dengan masalah kemiskinan yang dideritai oleh ibu bapa pada ketika itu.

            Cuma yang berubah tentunya pentadbiran negara pada ketika itu. Jikalau sebelum kemerdekaan, pentadbiran dijalankan oleh pihak British, maka slepas meredeka telah diserahkan kepada penduduk Tanah Melayu. Cuma yang nampak jelas ialah tentang Pengetua di sekolah tempat aku belajar. Clifford School Kuala Kangsar. Sebelum merdeka Pengetuanya ialah Mr Potter yang kemudiannya Mr Bunford. Dan selepas itu digantikan oleh Mr Karam Singh.

            Banyak lah perubahan-perubahan yang berlaku selepas itu. Yang aku nak kisahkan dalam coretan kali ini ialah suasana selepas sahaja negara mencapai  kemerdekaan. Memang tidak terasa perbezaan antara sebelum dan selepas merdeka. Malah ramai juga rakyat, terutama  yang berada di kampung-kampung merasakan bahawa seolah-olah mereka tidak memerlukan kemerdekaan dari British. Bagi mereka tidak banyak bezanya kehidupan mereka samada sebelum atau selepas kemerdekaan. Ada yang merasakan lebih baik berada dibawah British.

            Suasana di Malaysia pada akhir-akhir ini, sebelum PRU 14 agak berbeza. Kadang-kadang kita merasa takut dan ‘ngeri’ untuk menghadapi hari-hari muka dengan keadaan dalam negara. Ada masa dan ketikanya kita merasa amat cemas sekiranya kerjaan BN terus memerintah negara Malaysia yang tercinta ini. Dan rakyat amat bersyukur kerana PRU14 telah mengubah segala-galanya. Dan yang penting sekali telah memberikan satu harapan kepada rakyat Malaysia bahawa masih ada ‘masa hadapan’ dan peluang rakyat di negara ini untuk menikmati kehidupan seperti rakyat di negara-negara lain.

            Keperitan hidup yang dilalui oleh rakyat dibawah pemerintahan BN bukan kepalang. Berbagai kebimbangan telah melanda pemikiran rakyat terutama ‘bergelut’ dengan cukai GST yang terpaksa dihadapi disamping ‘rompakan’ yang dilakukan melalui IMDB. Rakyat cukup merasa gusar dengan keadaan sedemikian tetapi malangnya rakyat tidak dapat melakukan apa-apa disebabkan ‘dikawal’ dengan ketat oleh ‘jentera’ kerajaan. Tidak pula rakyat negara ini memilih untuk melakukan pemberontakan seperti setengah negara lain kerana perbuaatan sedemikian belum lagi merupakan budaya bangsa Malaysia. Mereka hanya menunjuk perasaan sepertimana yang dilakukan oleh pertubuhan ‘Bersih’. Itu pun tidak dipedulikan oleh pemerintah. Mungkin pada petika para pemimpin kerajaan mengatakan, ‘ biarkan anjing menyalak gunung’.

            Rakyat hanya mengeluh dan mengeluh mengenangkan nasib yang menimpa. Rakyat hampir hilang keyakinan untuk terus hidup di bumi bertuah ini. Ramai yang merasakan bahawa terlalu tipis peluang untuk membetulkan keadaan dalam negara ini. Rakyat hampir tidak yakin yang pilihanraya boleh mengubah nasib rakyat di negara disebabkan berbagai tindakan yang dilakukan demi mengawal dan mengongkong pemikiran rakyat untuk bertindak.

            Satu keadaan yang betul-betul membingungkan rakyat Malaysia ialah penafian yang dibuat oleh Peguam Negara yang mernagatakan bahawa tidak ada kes yang berkaitan dengan IMDB sedangkan seluruh dunia sudah ‘berketak’ dan ‘berkokok’ mengatakan ada yang tidak kena mengenai IMDB. Rakyat marah tetapi ke manalah kemarahan itu ditujukan. Rakyat menyimpan perasaan yang memberontak tetapi ke manalah hendak mengadu.

            Yang menyedihkan pula ialah terdapat sekumpulan rakyat yang bersukaria dan bergembira menikmati berbagai habuan yang disediakan oleh parti pemerintah. Bagi mereka tidak kelihatan langsung kesusahan yang dialami oleh rakyat. Mereka dengan senang dapat menikmati hidup tanpa bersusah payah untuk mendapatkannya berbanding dengan rakyat lain yang terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkannya.

            PRU14 bukan sahaja kemenangan kepada Pakatan Harapan tetapi kemenangan itu merangkumi berbagai segi. Boleh juga dikatakan bahawa PRU14 itu merupaka satu ‘watershed’ yang membahagikan zaman sebelum dan selepas. Pendek kata boleh juga diibaratkan bahawa kenikmatan yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia kini adalah seperti menikmati ‘kemerdekaan’ negar bagi kali kedua.

abuhassanadam
4 Jun 2018