Wednesday, June 6, 2018

WAWASAN 2020 HAMPIR ‘BERKECAI’

                  Aku masih ingat lagi pada suatu makan malam anjuran The Harvard Club di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada tahun 1992, Dr. Mahathir Mohamed menyampaikan satu ucapan agung yang berjodol  ‘The Way Formard’. Idea dalam ‘The Way Formard’ itu telah ‘diterjemahkan’ sebagai ‘Wawasan 2020’. Dan semenjak dari saat itu ‘Wawasan 2020’ sentiasa bermain di bibir rakyat Malaysia.

                  Harapan menggunung bagi rakyat Malaysia yang ingin melihat agar Malaysia menjadi sebuah negara maju setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Sekurang-kurangnya buat sementara waktu Malaysia ingin berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan masyarakat di Singapura, Jepun, Korea, Hong Kong. Bangsa Malaysia pada ketika itu seolah-olah begitu yakin yang rakyat Malaysia juga boleh melakukan apa yang telah dilakukan oleh masyarakat lain yang telah menempa kejayaan.

                  Cogan kata dan lagu ‘Malaysia Boleh’ menjadi ‘laungan’ dan nyanyian anak muda pada ketika itu. Falsafah ‘memandang ke timur’ sebagaimana yang dipantakkan oleh Dr. Mahathir ke dalam benak rakyat Malaysia seolah-olah menjadi kenyataan apabila seluruh jentera kerajaan bergerak sederap untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mencontohi apa yang telah dilakukan oleh negara Jepun dan Korea Selatan. Bangsa Malaysia seolah-olah tidak mahu menoleh ke belakang pada ketika itu dan begitu yakin dengan hasrat yang terpancar dalam ‘Wawasan 2020’ itu. Ringkasnya kepimpinan negara yang diketuai oleh Dr. Mahathir dan digandingi oleh Saudara Anwar Ibrahim mahu menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dalam semua lapangan. Namun kemajuan yang kita capai seharusnya tidak mengorbankan nilai-nilai murni yang sepatutnya dihayati oleh bangsa Malaysia.

                  Satu hakikat yang jelas mengenai harapan untuk merealisasikan ‘Wawasan 2020’ ini ialah tentang keyakinan rakyat Malaysia. Hampir tidak ada yang meragui tentang pencapaiannya, walaupun ada yang merasakan bahawa tahun 2020 itu merupakan terlalu awal tentang tarikh pencapaiannya. Namun masih tidak berganjak tentang pencapaiannya walaupun ‘diganggu’ oleh keadaan kemelesetan dunia pada pertengahan tahun-tahun 1990an.

                  Rupanya ‘panas tidak sampai ke petang. Hujan pula di tengah hari’. Pelaksanaan ‘wawasan 2020’ terencat apabila negara berpindah pentadbiran dari Dr Mahathir kepada Tun  Abdullah Badawi dan seterusnya apabila dipimpin oleh DS Najib Tun Abdul Razak. Seolah-olah hasrat ‘Wawasan 2020’ terus dikesampingkan. Seolah-olah apa yang dihasratkan oleh Dr. Mahathir itu tidak perlu diteruskan. Seolah-olah ‘Wawasan 2020’ semacam dilupakan dan tidak lagi menjadi ‘siulan dan dendangan’ rakyat.

                  ‘Wawasan 2020’ seolah-olah terus dilenyapkan zaman pentadbiran DS Mohd Najib. Malah beliau memperkenalkan pula TN50 satu-satunya hasrat kerajaan yang hampir serupa dengan ‘Wawasan 2020’ yang ditunda tarikhnya. Hasrat untuk menjadikan bangsa Malaysia sebuah bangsa dan negara yang modern terus disebut dan dicanangkan oleh pemimpin zaman ini tetapi tidak dihayati tentang apa yang diucapkan. Usaha sebenar ke arah merealisasikannya semacam dijalankan sambil lewa. Kepimpinan negara pada ketika itu seolah-olah telah menggantikan ‘Wawasan 2020’ dengan slogan ‘Cash is King’. Kepimpinan UMNO di semua peringkat sudah hampir melupakan ‘Wawasan 2020’ dan hanya mementingkan perjuangan memenuhi matlamat ‘Cash is king’.

                  Lantas isu IMDB merupakan isu yang cukup penting yang telah ‘mewarnai’ kehidupan segelinitr masyarakat Malaysia pre-PRU14.  Usaha menjadikan bangsa Malaysia sebagai sebuah bangsa maju seperti yang terkandung dalam ‘Wawasan 2020’ terus dikesampingkan. Sememangnya usaha kepimpinan negara adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat. ‘Cash is King’ masih lagi merupakan intipati perjuangan pada ketika itu.

                  Dan bermulalah satu era baru dalam sejarah bangsa Malaysia yang seolah-olah meletakkan ‘wang’ sebagai ‘Raja’ segala-galanya. Budi bahasa, moral  diketepikan. Yang penting ialah bagaimana untuk mendapatkan wang sebanyak mungkin demi untuk terus hidup di negara Malaysia yang maju. Lantas dapat diperhatikan kegiatan rasuah terus menerus bermaharaja-lela bukan sahaja dari kalangan ahli politik kerajaan tetapi juga dikalangan setengah pegawai tinggi kerajaan yang merasakan bahawa  melakukan rasuah sudah merupakan satu budaya masyarakat Malaysia Pra-PRU14.

                  Apa yang dikatakan di atas mungkin dapat dibuktikan oleh SPRM pada hari-hari muka yang dapat kita perhatikan sekiranya mereka betul-betul mahu bertindak membersihkan negara ini dari segala gejala negatif yang telah menular merosakkan peribadi bangsa Malaysia zaman Pra-PRU14.

                  ‘Wawasan 2020’ hampir ‘berkecai’. Tidak dapat dipastikan apakah Tun Mahathir mahu terus merealisasikan wawasan yang murni itu. Sama-sama kita tunggu.

abuhassanadam

6 Jun 2018

1 comment:

  1. Agen Judi Online Terpercaya Dan Gampang Menangnya Hanya Ada Di Sini Tempatnya Yang Memberikan Bonus "Tersebsar" Di Indonesia.
    agen poker
    agen domino
    domino online
    agen qq
    qq online
    bandarq
    sakong

    ReplyDelete