Friday, June 15, 2018

YEO BEE YIN DAN IMAM BAHARUDDI JONO

            Kisahnya menarik perhatian. Bukan cerita seram dan bukan juga cerita luarbiasa. Dan cerita yang biasa-biasa pun bukan juga. Banyak yang boleh ‘dilihat’ dan dipelajari dari kisah ini.

            Kisah seorang orang tua dari kampung Parit Sakai di Muar yang telah mendermakan wang RM 500 kepada bakal YB Yeo Bee Yin bagi Bakri ( pada ketika itu). Ini kisah ‘ a man in need is a friend indeed’. Imam Baharuddin tidak pasti yang YB Yeoh akan menang atau tidak dalam PRU14. Kebanyakan orang akan menderma dan memberikan pertolongan kepada seseorang apabila dirasakan akan mendapat ‘balasan’ pada suatu ketika apabila menang dalam PRU14.

            Tetapi ini tidak diamalkan oleh Imam Baharuddin. Agak pelik juga keadaan sebegini. Seorang berketurunan Melayu yang kuat pegangan agamanya ( Imam!) sanggup menderma kepada seorang calon (yang bukan Islam), dari parti DAP ( yang sering dikaitkan dengan parti yang anti Melayu dan anti Islam oleh pemimpin dan pengikut UMNO) yang jikalau mengiktu pengamatan ahli UMNO akan menentang  orang Melayu dan agama Islam khususnya di negeri Johor ( yang sememangnya kubu kuat UMNO sebelum PRU14).

            Banyak persoalan yang tidak terjawab.
·      Apakah hasrat sebenar Imam Baharuddin memberikan sumbangan kepada Yeo Bee Yin?
·      Mengapa kepada Yeo Bee Yin (calon DAP yang berketurunan Cina)
·      Apakah marah benar Imam Baharuddin kepada calon BN yang ditentang oleh Yeo Bee Yin itu?
·      Apakah Imam Baharuddin benar-benar inginkan satu pembaharuan dan sudah betul-betul ‘muak dan jelak’ dengan kerenah dan pentadbiran yang dijalankan oleh Barisan Nasional dan UMNO?

            Banyak sangat persoalan yang perlu dijawab dan yang perlu diselidiki. Mari kita lihat kepada sesuatu yang positif. Ringkasnya kisah ‘hero’ dan ‘heroin’ ini merupakan kisah yang harus diteladani oleh rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda. Dan bagi YB Yeo Bee Yin, kisah ini akan tersemat dan terpahat dalam sanubarinya sampai bila-bila, selagi hayat dikandung badan. Mungkin beliau tidak terfikir (mungkin!) bahawa ada insan yang bernama Melayu yang sanggup mendermakan wang ‘simpanan’nya (berdasarkan kenyataan Yeo yang mengatakan bahawa wang yang didermakan kepadanya itu bukan baru dikeluarkan dari ATM) kepada seorang ‘anak Cina’yang bertanding dalam PRU14.

            Pastinya YEO Bee Yin akan terus menerus menggunakan kisah ini untuk terus menerus ‘mendendangkan’ kisah ini agar dapat difahami dan dihayati oleh anak-anak muda yang belum begitu mengerti tentang kisah hubungan ras di negara tercinta ini. YB Yeo harus menerajui usaha pemufukan kaum ini disamping menerajui portfolio yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

            Sebenarnya kisah murni dan harmoni perhubungan kaum di Malaysia bukan cerita baru. Cuma baru ‘dikeruhkan’ oleh setengah ahli politik yang cuba mengadu-domba antara kaum-kaum di Malaysia demi untuk mencapai cita-cita politik sesuatu parti berkenaan. Walaupun ‘kesalahan’ besar harus diletakkan kepada penjajah British yang menjalankan dasar ‘Divide and Rule’ pada zaman penjajahan, namun sebelum PRU14, isu perkauman terus menerus ‘dinyalakan’ agar memberikan keuntungan kepada sesuatu parti.

            Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, sebenarnya semua kaum di Malaysia amat sedar bahawa tidak ada gunanya isu perbalahan antara kaum diapi-apikan. Ibarat kata peribahasa Melayu, ‘ menang jadi abu dan alah jadi arang’. Lantas tidak terdengar sebarang perbalahan kaum selepas peristiwa pahit 1969 itu. Sepanjang empat dekad ( 1970an-2000an) bangsa Malaysia menikmati suatu keadaan yang sungguh menyeronokkan, sehinggalah selepas itu suasana aman dan tenang itu cuba ‘dirungkaikan’.

            Awal tahun-tahun 2000an isu perkauman cuba ditimbulkan semula. Isu sedemikian amat ‘subur’ apabila digunakan untuk ‘membaja’ perasaan orang Melayu menjelang sesuatu pilihanraya. Masih ada golongan Melayu yang ‘termakan’ dengan umpanan atau ‘dedak’ sedemikian. Namun ramai orang Melayu dan golongan lain juga sedar bahawa isu sedemikian dipermainkan hanyalah untuk memberi keuntungan kepada golongan yang mengamalkan pemahaman sempit. Lantas keputusan PRU14 sebagai jawapan kepada usaha ‘buruk’ parti-parti tertentu untuk merosakkan keharmonian di Malaysia.

            Peristiwa yang terjalin antara YB Yeo Bee Yin dan Imam Baharuddin Jono boleh dijadikan langkah permulaan untuk mengukuhkan lagi pemahaman mewujdukan satu bangsa Malaysia untuk negara Malaysia tercinta.

abuhassanadam
15 Jun 2018
I Syawal - Aidifitri


No comments:

Post a Comment