Thursday, February 14, 2013

BETULKAH MELAYU TIDAK MENGENANG BUDI?




BETULKAH MELAYU KINI TIDAK MENGENANG BUDI?


Ada yang bertanya aku betulkah Melayu Kurun ke 21 sudah tidak mengenang budi?

Aku jawab “ YA” jikalau orang yang berbudi itu tidak ikhlas. Kalau orang yang berbudi itu mempunyai tujuan-tujuan tertentu yang menyebabkan dia sangggup berbudi. Bak kata orang tua-tua, “ ada udang disebalik batu’. Dalam cerita “ Madu Tiga’ arahan P. Ramlee, aku tertarik dengan satu dialog yang diucapkan oleh ‘ ayah ‘ kepada seniwati Sarimah yang memuji-memuja Haron ( P.Ramlee ) dengan kata-katanya, “ baik…..ada makna tu…… ( lebih kurang begitulah).

Tujuan  Haron berbudi ( tidak mengambil sewa rumah untuk beberapa bulan ) adalah kerana Haron sudah berminat kepada ‘Sarimah ‘ dan bercadang hendak memperisterikannya. Isteri ketiga. Pemberian dan perbuatan yang sedemikian yang orang Melayu tidak boleh terima. Memang orang Melayu tidak mengenang budi jika diukur dari segi tindakan sedemikian.

Namun demikian orang Melayulah yang masih tebal dengan sikap mengenang budinya sekiranya budi yang dihulurkan itu ikhlas, dari hati yang suci, ‘ tidak ada udang disebalik batu’, tidak mempunyai hasrat dan niat yang terselindung , tidak mengarapkan balasan kepada budi yang dihulurkan. Jikalau begitu keadaannya budi yang diberikan itu akan dikenangnya sampai mati. Itulah orang Melayu tulin. Pantun Melayu ada mengatakan,

Pisang emas bawa belayar
Masak sebiji di atas peti’
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.

Aku kerap kali pulang ke kampung. Bercuti ataupun apabila ada majlis khenduri atau kematian di kampung. Sedaya upaya aku cuba balik kampung. Kalau aku balik berkereta, pasti apabila aku pulang dari kampung akan dibekalkan dengan barang-barang hasil kampung – pisang, jantung pisang, sayuran-sayuran kampung yang lain. Yang aku nak cerita ialah tentang ‘perangai’ pelik orang kampung aku. Bukanlah semua. Ramai yang bersikap demikian.

Mereka tidak memberitahu aku identiti sipemberi sayur-sayuran atau buah-buahan. Mereka menyembunyikan dentiti mereka. Mereka tidak mahu aku tahu yang si anu memberi atau si polan yang memberi durian. Kadang –kadang aku tak sedar yang buah-buahan seperti rambutan atau durian sudah berada ditepi kereta aku. Aku faham yang buah-buahan itu untuk diberikan kepada aku untuk dibawa pulang. Aku faham kerana sememangnya begitu ‘perangai’ kawan-kawan rapat aku di kampung itu.Aku boleh agak siapa yang memberinya. Aku tidak mengucapkan terima kasih dengan serta merta.

Kemesraan yang terjalinlah ialah apabila aku membelikan mereka ‘satay’ dan menghantarkan ke rumah mereka yang kebiasaannya tiga atau empat bulan kemudian. Bila aku pulang ke kamung. Bila aku menghantarkan pemberian aku itu ke rumah mereka aku akan iringkan dengan kata-kata, “ harga durian dan rambutan lebih mahal dari harga satay ni…’. Pastinya akan diikuti dengan deraian ketawa. Sehingga sekarang masih ada lagi kawan-kawanku di kampung yang bersikap sedemikian.

Aku akan mengenang budi kawan-kawan ku ini samapi ke liang lahat. Sebab pemberiannya disampaikan dengan ikhlas. Agama ada mengajar kita bahawa sekiranya tangan kanan yang memberi tangan kiri tidak tahu yang tangan kanan yang memberi. Agaknya ajaran itulah yang diamalkan oleh kebanyakan orang kampung ku. Tidak dihebahkannya pemberiannya. Tidak pula dia memberitahu ‘ seluruh alam’ yang dia yang memberikan durian berkenaan.

Berbeza benar dengan keadaan yang ada sekarang. Setiap pemberian mesti dihebahkan. Walaupun pemberian itu tidak sebesar mana. Perlu disiarkan dalam akhbar. Perlu diceritakan melalui radio. Dan jikalau boleh ditunjukkan peristiwa penyerahan pemberian itu melalui TV supaya dapat ditonton oleh manusia ‘ seentero dunia’. Mesti dijelaskan dengan sejelas-jelasnya, si anu  atau sipolan yang memberikan sumbangan itu.

Pemberian sebeginilah yang dikatakan tidak ikhlas. Ada mempunyai motif-motif tertentu. Walaupun ‘ sudah berbuih mulut’ si pemberi mengatakan yang pemberiannya itu iikhlas, namun orang masih boleh menilai yang pemberian itu tidak ikhlas. Maka selagi itulah segala pemberian itu adalah ibarat ‘ mencurah air ke daun keladi’. Tidak akan dikenang. Malah akan mendapt cemuhan dan cerca. Akan diperkatakan mengenai pemberian seseorang yang tidak ikhlas. Dan kesannya tidak sampai ke mana.

Apabila orang Melayu bersikap demikian akan di labelkan pula yang orang Melayu tidak mengenag budi……

Orang Melayu masih tebal dengan sifat mengenang budinya walaupun sudah lama tinggal dibandar. Ada yang mengatakan orang Melayu bandar sudah tidak pandai mengenang budi. Bukan semua. Masih ramai yang tahu mengenang budi orang lain. Yang tidak tahu mengenang budi boleh ditakrifkan sebagai sudah ‘ murtad’ dan ‘ sudah meletakkan jawatan’ sebagai  orang Melayu. Kebiasaanya manusia yang bernama Melayu tahu mengenang budi orang.

Kerana orang Melayu terlampau berbudilah, hampir tergadai ‘body’.
Kerana orang Melayu terlampau berbudilah samapai sekarang negara ini menjadi ‘ syurga’ yang dinikmati oleh orang luar.
Kerana orang Melayu berbudi bahasalah kadang-kadang orang yang menumpang negara kita bersikap biadap dengan orang Melayu itu sendiri walaupun kadang-kadang tidak sampai setahun menumpang tinggal di negara ini.
Oleh kerana orang Melayu terlampau berbudi bahasalah menyebabkan ramai orang asing diberikan taraf kerakyatan di negara ini dengan senang.


Abuhassanadam
15 Februari 2013




No comments:

Post a Comment

Post a Comment