Tuesday, April 23, 2013

APAKAH NURUL AKAN MUNCUL SELEPAS ANWAR?


APAKAH NURUL AKAN MUNCUL SELEPAS ANWAR?

Aku telah buat keputusan parti mana yang aku nak undi. Tapi tak mungkin lah aku beritahu parti mana yang akan aku pilih. Undi itu rahsia. Hanya aku seorang saja yang tahu. Cuma yang aku bimbang ialah kalau-kalau terpangkah  di tempat lain. Maklumlah kuasa Allah. Niat dihati lain, dipangkah kat lain.

Yang aku runsing sekarang ialah tentang calon. Pertamanya siapa yang akan bertanding di kawasan pilihanraya tempat aku. Keduanya siapakah calon-calon yang akan bertanding dalam pilihanraya ini secara umum. Bukanlah aku nak memilih sangat. Tapi aku rasa kita terpaksa mencari dan memilih calon-calon yang boleh mewakili negara kita untuk melonjak ke dunia global Kurun ke 21. Kebanyakan wakil-wakil yang telah kita pilih sepanjang 2008- 2013 adalah ‘jaguh kampung’ saja tarafnya. Hanya berani berkokok di laman sendiri. Tak nampak pun kebolehan mereka untuk ‘bersepak terajang’ diarena antarabangsa. Malang sungguh nasib bangsaku.

Bangsa kita bukannya tidak ada pemimpin yang ber ‘calibre’. Ada. Semenjak zaman menentang penjajahan Inggeris kita ada Dato Onn bin Jaafar, Zainal Abidin bin Ahmad ( ZAABA ) , Dr. Burhanuddin dan lain-lain. Ketokohan mereka amat meneyerlah. Berani mengemukakan hujah, berdebat dengan pegawai-pegawai British. Tidak menikus seperti setengah pemimpin kini. Yang lebih penting mereka mementingkan bangsa dan negara lebih daripada mementingkan diri sendiri. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Dato Onn Jaafar. Sanggup keluar dari UMNO semata-mata memperjuangkan prinsip dan keyakinannya. Menubuhkan parti bari , Independence Malaya Parti ( IMP ). Tidak mendapat sambutan dari orang bukan Melayu. Tidak apa. Terus berjuang dan berjuang. Pada aku ini yang dikatakan pemimpin tulin.

Zaman awal kemerdekaan pula terdapat ramai pemimpin berwibawa yang selepas mencapai kemerdekaan terus menjadi menteri bagi negara merdeka. Bangsa kita bertuah memiliki Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Sambanthan, dan lain-lain. Kehebatan kumpulan ini mendapatkan kemerdekaan negara patut dipuji, walaupun ada yang meragukan cara kita mendapatkan kemerdekaan. Kehebatan Tunku sebagai diplomat dan kehebatan ‘team’nya mengemukakan hujah-hujah mengenai kemerdekaan Tanah Melayu akan sentiasa diingati oleh generasi yang akan datang. Kehebatannya menyatukan tiga kaum terbesar di Tanah Melayu mengkagumkan pihak British yang bagi mereka adalah merupakan sesuatu yang mustahil. Lantas kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu.

Memerintah dan mentadbirkan tanah air yang merdeka bukan suatu perkara mudah. Bangsa kita bertuah kerana pemimpin-pemimpin agung ini terus menerus mentadbirkan negara dengan bijak tanpa memikirkan soal kekayaan diri dan anak-anak mereka. Apabila Tunku Abdul Rahman meninggal, tidak banyak harta yang dikumpulkannya untuk ditinggalkannya kepada anak-anak dan keluarganya. Tetapi mereka meninggal, meninggalkan negara yang telah meredeka kepada anak cucu mereka.

Jangan dilupakan juga bahawa mereka berjaya memerintah negara kerana mereka menghormati demokrasi dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Pihak pembangkang di parlimen diberikan kebebasan seluas-luasnya untuk mengkeritik dan memberikan pandangan diatas apa juga dasar yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan. Dalam hal ini negara tentu tidak melupakan peranan  Ustaz Zulkifli Muhammad ( dari PAS  yang meninggal akibat kemalangan jalan raya ) D.R dan D.S Seenivasagam  misalnya yang sentiasa memberikan pandangan mereka mengenai sesuatu tindakan yang hendak dijalankan oleh kerajaan.

Zaman pemerintahan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri muncul pula tokoh-tokoh seperti Dr. Mahathir Muhammad,  Musa Hitam, Ghazali Shafie, Harun Idris dan beberapa orang tokoh lain yang mewarnai pentadbiran negara. Jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh yang ada kini, maka perbandingan aku adalah seperti ‘ antara langit dan bumi’. Mereka hebat kerana mereka berani menyatakan sesuatu pandangann yang bernas, tidak takut kepada kesan daripada tindakan mereka itu.

Zaman kepimpinan Dr. Mahathir Mohammed adalah zaman aku benar-benar ‘wujud’. Aku melihat kehebatannya. Aku kagum dengan keberaniannya mengemukakan dasar-dasar ‘ Pandang ke Timur’, ‘ Buy British Last’ ‘ Dasar Penswastaan’ dan banyak lagi. Keberaniannya menguji pemikiran orang Melayu ialah apabila dia menunjukkan keberaniannya ‘ memutar jarum jam satu jam  kebelakang. Satu tindakan yang belum pernah dilakukan  oleh pemimpin-pemimpin sebelumnya.

Dan apabila Dr. Mahathir membawa masuk Saudara Anwar Ibrahim untuk bersamanya, rakyat melonjak gembira.  Seluruh dunia menyambut baik tindakan itu. Anwar Ibrahim seorang anak muda yang sudah terkenal di seluruh dunia kerana kehebatannya yang boleh bersepak terajang dan berpecak di pentas dunia, kini telah diberikan peranan oleh kepimpinan negara. Siapa yang tidak gembira.

Pada tahun 1973, Saudara Anwar Ibrahim telah pun berperanan di Pertubuhan Banagsa-Bangsa .Lihat petikan di bawah,

Pada tahu 1989, Saudara Anwar Ibrahim telah dipilih sebagai Presiden UNESCO  yang berpusat di Paris. Beliau memegang jawatan selama dua tahun. Banyak lagi peranan yang dimainkannya di pentas dunia yan boleh dibanggakan oleh bangsa dan negara.

Ramai kawan-kawan ( ada yang bergelar Tan Sri dan Dato’-dato’) mengatakan bahawa kebanyakan pemimpin sekarang ialah yang bertaraf ‘jaguh kampung’ yang ‘ pandai bercakap berdegar-degar….’ Yang selalu bercakap fasal ‘ kontrek’ dan ‘ business’.  Tugas membangun dan memertabatkan negara hanya sebagaai ‘melepaskan batuk ditangga’ sahaja. Menunjukkan ‘hebat’ hanya di persidangan-persidangan yang kebanyakan perwakilan boleh ‘dicucuk hidung’. Di persidangan demikianlah para ‘pemimpin’ ini mempamerkan ‘lawak bodoh’nya untuk menarik perhatian perwakilan sedangkan isu yang diperbincangkan ada lah mengenai isu ‘survival’ bangsa dan negara. Inilah rupa dan gelagat pemimpin yang kita masih ‘ simpan’ di negara yang kononnya sedang menuju negara maju 2020.


Abuhassanadam
23 APRIL 2013

2 comments:

  1. Tidak boleh dinafikan kemungkinan itu Tuan ,Alasanya mudah. bagaimana , dimana ,dan bila Nurul di lahir dan besarkan..! meskipun baru seumur jagung ibarat nya budak baru bertatih untuk belajar berjalan dalam politik,tapi Nurul telah melalui berbagai bagai ujian yang tiada dalam mana mana ahli politik kebanyakan..dan secara keturunan Beliau mewarisi ketokohan yang ada pada bapa nya serta di sokong oleh iklim politik semasa ,maka lagi mempercepat kematangan nya dalam Politik dan cepat terserlah ketokohan nya.

    ReplyDelete
  2. Salam Pak AHA.

    Selain jadi 'Jaguh Kampung',depa ni pun jaguh tepuk meja bila berada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

    ReplyDelete