Saturday, December 17, 2016

DANGAU TEPI BENDANG PAK NGAH TENGIN

         Setiap kali menjelangnya bulan Disember aku merasa hiba. Bulan Disember memanglah bulan cuti. Cuti sekolah. Ibu bapa juga merancang berbagai destinasi untuk membawa  keluarga mereka bercuti. Itulah ‘trend’ zaman in.

         Yang aku nak ‘bercerita’ dan yang aku nak ‘curahkan fikrian dan perasaan’ aku ialah mengenai keadaan musim cuti pada tahun-tahun 1950an dan awal 1960an. Pada ketika itu yang dinamakan ‘cuti panjang’ ialah pada bulan Puasa ( bulan Ramdhan). Satu bulan cuti bagi ‘Sekolah Melayu’. Maknanya sepanjang bulan Ramdhan, sekolah Melayu akan bercuti.

         ‘Bijak’ betul penjajah untuk ‘mengambil hati’ orang Melayu. Seolah-olah penjajah British ketika itu menghormati bulan Ramdhan. Sekolah Melayu ‘dicutikan’nya. Sekurang-kurangnya ‘terubat’ juga hati dan perasaan orang Melayu. Dan ramai juga yang mengatakan pada ketika itu bahawa British amat bijak mentadbirkan negara ini.

         Sekolah Orang Putih tidak pula bercuti pada bulan Ramdhan. Malah ada ketikanya sekolah Inggeris berjalan seperti biasa pada hari raya Korban. Tidak dibenarkan bercuti. Dan aku pernah mengalami keadaan ini apabila sekolah dibuka seperti biasa pada hari raya korban. Tidak pula ada tentangan kepada pentadbiran sekolah.

         Cuti panjang bagi sekolah Inggeris ialah pada bulan Disember. Macam sekarang. Pada bulan Ramadhan, terpaksa bersekolah seperti biasa. Maklumlah tidak ramai anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris pada ketika itu. Mungkinlah disebabkan keadaan sedemikian maka sekolah Inggeris berjalan seperti biasa pada bulan Ramadhan. Dan seingat aku di sekolah Clifford Kuala Kangsar hanya terdapat seorang guru Melayu pada ketika itu. Tahun 1959. Tuan Syed Jaafar namanya. Hanya seorang.

         Bagi aku sekolah cuti dengan sekolah tak cuti sama saja. Bezanya apabila sekolah tak cuti, terpaksalah pergi sekolah. Dan apabila musim cuti sekolah maka tak perlulah pergi sekolah. Amat berbeza dengan keadaan kini dimana pada musim cuti, ibu bapa sedaya upaya membawa anak-anak pergi bercuti. Sekurang-kurangnya bercuti dalam negara. Dan sudah ramai juga yang mampu membawa anak-anak bercuti ke luar negara.

         Cuti bagi aku pada ketika itu adalah ‘tidak pergi sekolah’. Setiap pagi, apabila mata hari mula memancar aku dan kawan-kawan akan ‘bermesyuarat’ di dangau tepi bendang Pak Ngah Tengin, ‘merangka dan merancang program’ pada hari berkenaan. Samada untuk melastik burung di pohon Dedalu kepala bendang Seman Alang Noh ataupun mengutip buah Konam atau pun ‘mengintai’ pokok Mempelam Semik Pandak Leman.

         Pada petangnya kami akan berkumpul di halaman rumah Pan Anjang Judah untuk bermain gasing ataupun di halaman rumah Wan Munah untuk bermain guli. Laman Pan Anjang Judah amat sesuai untuk bermain gasing disebabkan tanahnya yang keras, memudahkan gasing berpusing. Lagipun di situ ada pokok jambu yang sedia memberikan ‘refreshment’ pada kami apabila dahaga.

         Sekiranya kami mahu bermain ‘Porok’ maka ‘venue’ yang paling sesuai ialah depan kedai Tokki Jawi. Kawsan di situ agak lapang untuk membolehkan kami begitu selesa bermain di situ.
Samada Pan Anjang Judah ataupun Wan Munah ataupun Tokki Jawi tak pernah marah kami bermain di halaman rumah mereka. Malah kadang-kadang merka juga terhibur melihat gelagat kami bermain di situ.

         Pukul 5.00 petang kami berpindah pula ke “Padang mereng’ untuk bermain bola. Aku tak tahu mengapa dipanggil sedemikian. Yang aku tahu padang itu tidak rata dan tidak luas pun kawasan lapang di situ. Jadi kami terpaksalah bermain bola di celah-celah pokok getah yang ada di situ.

         Menjelang waktu Maghrib kami ‘berarak’ ke rumah Pak Haji Sulaiman untuk mengaji di sana sehinggalah pukul 10.00 malam. Begitulah jadual aku setiap hari sepanjang cuti sekolah.

         Apabila penggal persekolahan bermula pada bulan Januari, maka guru Bahasa Inggeris pastinya meminta pelajar menuliskan essei tentang apa yang dilakukan pada masa cuti. Keadaan yang sebeginilah yang amat menyedihkan aku. Kebanyakan pelajar (bukan Melayu) menghabiskan cuti mereka melancong bersama keluarga mereka. Oleh itu dapatlah mereka menuliskan pengalaman mereka ketika bercuti dengan ibu bapa mereka, sedangkan aku tidak ada apa yang hendak aku tuliskan. Tentulah aku malu juga untuk menceritakan pengalaman aku main gasing, main guli, menimba kolam pada rakan-rakan yang lain. Aku merasa amat terhina.

         Ada kawan baik aku. Wahid namanya. Dia anak guru besar sebuah sekolah di daerah ini. Wahid membertahu aku yang dia baru saja pulang dari Pantai Timur bersama keluarganya. Tentulah essei Wahid begitu hebat sekali apabila dibacakan di depan kelas nanti.

         Aku betul-betul dalam dilemma. Hendak rasanya aku menipu, mengatakan aku juga pergi melancong bersama keluarga aku. Tetapi ke mana? Nanti apabila tersilap tulis nanti bukankah susah jadinya.

         Aku mengambil keputusan untuk bercakap benar. Aku akan tuliskan pengalaman aku sebagai anak kampung yang miskin dan bagaimana aku menghabiskan masa cuti aku. Dan tentunya amat berbeza dengan rakan-rakan aku yang lain menghabiskan masa cuti mereka. Walaupun perasaan malu agak menebal juga menyelubungi perasaan aku ketika menuliskan essei berkenaan, namun tetap memberanikan diri untuk menyatakan sesuatu yang benar.

         Dengan izin Allah, Mr Walter telah begitu tertarik dengan eseei yang aku tulis dan meminta aku membacakannya di hadapan kelas. Tajuk eseei aku berjodol, “A Small Hut in The Rice Fields’., menceritakan bagaimana aku menghabiskan masa cuti aku sebagi anak kampung yang miskin.

abuhassanadam

17 Disember 2016

1 comment: