Sunday, March 18, 2018


PAS TERPERANGKAP

         Kepimpinan PAS sentiasa ‘memujuk hati’ mereka dengan mengatakan bahawa PAS masih kukuh dan kuat. Mereka merasakan bahawa ahli PAS masih setia kepada parti yang mereka perjuangkan. Mereka yakin bahawa ahli PAS masih boleh ‘digula-gula’ dan berpegang kepada amalan lama yang ‘mendewakan’ pemimpin secara membabi-buta. Mungkin betul juga anggapan sedemikian untuk setengah ahli PAS yang masih berpegang teguh kepada ‘perjuangan’ PAS kini.

         Suatu fenomena yang mungkin kepimpinan PAS di peringkat pusat tidak sedar ialah bahawa sudah ramai (dan berbondong-bondong) ahli PAS di kampung-kampung yang telah ‘lari’ meninggalkan PAS.  Antara alasan yang diketengahkan mengapa mereka ‘sampai hati’ meninggalkan perjuanga asal mereka ialah bahawa ‘PAS sudah terpesong dan lari dari perjuangan asal’. Dan hujjah yang mereka kemukakan hanyalah setakat ‘‘PAS sudah terpesong dan lari dari perjuangan asal’. Noktah. Tidak ada huraian yang diberikan. Dan mungkin mereka tidak tahu untuk menghuraikannya.

         Namun jika direnung dan ditilik tentulah tidak susah untuk menghujjahkan mengapa ramai ahli PAS meninggalkan parti ‘Tuan Guru Nik Aziz’ ini. Walaupun kepimpinan tertinggi PAS sering mengatakan bahawa mereka tidak langsung terlibat dengan kerjasama dengan UMNO, namaun ‘sekilas ikan di air sudah diketahui jantan betinanya’. ‘Senyuman’ dan ‘kerlingan’ kedua pemimpin PAS dan UMNO sudah cukup untuk membuktikan bahawa mereka sebenarnya sedang ‘berkasih sayang’ apatah lagi dengan berbagai ‘budi’ yang telah ‘termakan’ yang telah dibuktikan. Sehingga kini belum timbul lagi penafian tentang ‘budi’ yang telah dihulurkan oleh pemimpin UMNO kepada pemimpin PAS.

         Jangan dipersoalkan kewarasan fikiran kebanyakan ahli PAS kini. Mereka tidak hanya bergantung kepada RTM atau TV3 atau Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk mendapatkan sumber berita. Merekah sudah pandai menggunakan internet dan setelah dikaji menampakkan bahawa sumber dari media sosial lebih boleh diharap berbanding dengan maklumat dari media milik kerajaan. Lantas mereka berpaut kepada sumber berita dari media sosial. Dari situlah mereka mengetahui bahawa parti kesayangan mereka, PAS (suatu ketika dulu) telah berjinak-jinak dan bermain ‘asmara’ dengan parti UMNO.

         Sejarah telah membuktikan yang babak ‘percintaan’ PAS dan UMNO tidak berkekalan merujuk kepada kemelut politik PAS-UMNO tahun 1977 yang babak ‘drama’nya tercetus di Kelantan. Pada ketika itu telah berlaku kerjasama antara UMNO dan PAS yang membolehkan empat tokoh daripada PAS dilantik menganggotai kabinet kerajaan pusat yang terbentuk pada ketika itu.

         Dalam hal ini tentunya YB Mustafa Ali (bekas Setiausaha PAS) boleh menceritakan dengan detail tentang percaturan UMNO yang menyebabkan empat orang lagi tokoh PAS terpaksa meninggalkan kerjasama demikian ia itu Dato Asri Haji Muda (Menteri Tanah dan Galian), Abu Bakar Umar ( Timbalan Menteri Kesihatan), Abdul Wahab Yunus (Setiusaha Parlimen Kementerian Kewangan dan Zahari Awang (Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan).

         Sepak terajang politik  UMNO-PAS tidak dapat difahami dan diertikan oleh pemimpin PAS kini termasuklah Tuan Guru Haji Abdul Had Awang, Presiden PAS sendiri yang  pada ketika itu masih lagi seperti anak-anak yang sedang ‘berjalan-jatuh’. Mungkin mereka tahu dan dengar tentang peristiwa pahit yang menimpa parti PAS ketika itu tetapi malangnya tidak dapat merasai dan ‘menghayati penderitaan’ yang dialami.

         Oleh kerana Arwah Tuan Guru Nik Aziz berada dalam kemelut sedemikian, maka dengan sebab itulah arwah begitu berkeras menentang sebarang bentuk kerjasama PAS dan UMNO. Kemungkinan juga tidak berlaku ‘keintiman’ PAS-UMNO sekiranya Dato’ Mustafa Ali memegang jawatan sebagai Setiausaha PAS pusat, disebabkan beliau tahu ‘penangan’ dan kesan kerjasama sedemikian kerana beliau sendiri terlibat dalam kemelut pada ketika itu.

         Kini rakyat, khususnya ahli PAS sedang memerhatikan dengan penuh minat ‘percaturan’ dan ‘sepak terajang’ pemimpin muda PAS yang dikatakan amat mahir dalam politik kepartian, apabila mereka begitu ghairah ‘menjalinkan’ kerjasama dengan UMNO (walaupun cuba dinafikan tentang kerjasama sedemikian).

         Mungkin mereka terperangkap juga akhirnya. Pemimpin muda PAS kini seolah-olah berada di persimpangan, ‘ ditelan mati emak dan diluah mati bapak’.

abuhassanadam
18 Mac 2018


No comments:

Post a Comment