MAHASITUA (2)
Setahun sudah aku berada di Kampung Ulu Mengkuang.
Mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Bagi rakan-rakan guru sentiasa bertanya tentang keadaan di Ulu Mengkuang. Bagi mereka tentulah keadaan kampung itu terlalu 'ulu'. Terlalu sukar bagi aku untuk meyakinkan mereka bahawa di tempat seperti di Ulu Mengkuang itulah sepatutnya mencurahkan bakti memajukan anak bangsa. Di situlah sepatutnya tumpuan para guru (muda) memajukann anak bangsanya.
Aku bertanya juga diriku. Apakah kesudahan aku. Apakah berpuas hati dengan gelaran cikgu yang hanya berkelulusan LCE (Lower Certificate of Education). Apakah berpuas hati dengan gaji bulanan yang diterima sebanyak RM 210.00. Tidakkah ada hasrat untuk menyambung pelajaran demi untuk memajukan diri, bisik hati kecilku.
Tidak banyak beza antara aku dan penduduk asal kampung Ulu Mengkuang setelah setahun aku 'bergelumang' dengan penduduk di sini - dengan orang dewasa, dengan pemudanya dan apatah lagi dengan anak-anak yang sudah cukup rapat pergaulan dengan aku. Sehingga kini hubungan (selepas 50 tahun) aku dengan bekas anak murid aku masih rapat. Aku masih ingat nama-nama anak muridku ketika mereka berada dalam Darjah 1 tahun 1965. Aku masih ingat anak-anak yang bernama Yahaya Hamid, Isa Md Noor, Zainab Pak Su Man, Md Zain Haji Nawi dan ramai lagi. Begitulah keakraban yang terjalin antara aku dengan anak murid aku.
Aku masih ingat juga nama-nama penduduk kampung Ulu Mengkuang (yang sudah tiada lagi) seperti Pk Ngah Ahmad, Pak Teh Derani, Tuan Haji Hassan ketua kampung, Pak Long Noor, Mak Teh Bedah, Md. Noor Haji Hassan (pemimpin belia), Pak Su Man (ketua kampung pada ketika itu) dan ramai lagi.
Masa dan ketika aku berada di Ulu Mengkuang pada tahun 1965 tidak terluang kosong. Hampir setiap petang anak-anak pelajar akan berada di sekolah dengan berbagai kegiatan yang mereka jalankan. Kegiatan permaianan bola sepak (untuk pelajar lelaki) dan Bola Jaring (untuk pelajar perempuan) walaupun gelanggang tempat mereka bermain adalah sangat tidak memuaskan (yang jauh panggang dari api) berbanding dengan court netball di sekolah-sekolah bandar. Namun para pelajar sungguh seronok dan bergembira dengan permainan demikian.
Satu perkara yang betul-betul mengusik perasaan ku adalah tentang sikap anak-anak di kampung ini. Amat luar biasa sikap mereka terhadap pelajaran. Maksud aku adalah kesungguhan mereka mendapatkan pelajaran. Ibu bapa di sini sungguh menunjukkan minat terhadap pelajaran. Mereka mahu anak-anak mereka menjadi orang terpelajar walaupun mereka agak ketinggalan dalam mengejar pendidikan. Sebarang usaha ke arah memajukan pendidikan di sini pasti akan disokong sepenuhnya oleh para ibu bapa disini.
Kehadiran guru terlateh sememangnya dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di Ulu Mengkuang. Cikgu Ismail yang digelar 'PAK DA" sudah telah bertungkus lumus menyesuaikann tugasnya sebagai guru besar dan juga kelas yang bercantum antara Darjah 111 dan Darjah 1V. Keadaan sedemikian pastinya tidak wujud di sekolah-sekolah di bandar. Dan keadaan begitu tidak dapat dielakkan disebabkan kekurangan guru yang terlatih.
Dengan para belia dan tenaga muda tidak aku lepaskan peluang untuk bersama-sama mereka dalam banyak kegiatan (kegiatan pemuda kampung). Tonggak perjuangan belia adalah Persatuan Belia. Hampir setiap pemuda di Ulu Mengkuang menganggotai dan bergiat cerges dalam persatuan Belia. Terus terang aku katakan bahawa aku amat terpengaruh dengan novel "DESA PINGITAN' karangan Ibrahim Omar yang melakarkan kisah-kisah desa dan perjuangan persatun belianya, yang pada pandangan aku amat elok untuk dicontohi (mungkin pada waktu itu).
Kesan perhubungan rapat antara guru-murid ini dapat dirasakan sehingga kini (2024) walaupun bekas murid ku hampir keseluruhannya telah bergelar datuk (bercucu) dan ada juga yang telah meninggal.Dan bagi aku pula tidak pernah terlepas dari memikirkan tentang Kampung Ulu Mengkuang. Walau ke mana saja aku pergi aku tidak pernah terlupa untuk mengenangkan kampung yang banyak memberi erti dalam hidup ku.
Walaupun aku merasa cukup bahagia dan seronok berada di Ulu Mengkuang namun bila aku 'tersedar siapa diriku sebenar' ( seorang guru yang hanya berkelulusan LCE (PMR ketika itu),barulah mula aku memikirkan tentang masa depan ku. Pernah terjadi ketika aku berada di Seoul Korea Selatan aku telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di satu seminar. Kampung Ulu Mengkuang aku singgung dalam ceramah ku itu.
Aku perlu juga mengubah nasib aku dan masa depan aku.
abuhassanadam
16 Disember 2025
No comments:
Post a Comment