Saturday, December 14, 2024

 MAHASITUA (1)

Aku amat berbangga bergelar seorang 'Mahasitua'.

Sudah agak lama tidak kedengaran perkataan 'keramat' ini diungkapkan samada oleh 'yang empunyai diri' ataupun bagi sesiapa ingin memberikan ulasan berkaitan dengan 'MAHASITUA'.Tahun-tahun awal 70an, perkataan 'mahasitua' memang selalu 'didendangkan' bagi menggambarkan satu kumpulan manusia yang ingin 'menebus' kegagalan mereka kerana tidak berpeluang mendapat pendidikan tinggi yang sempurna sepertimana yang dinikmati oleh sekumpulan mahasiswa yang beruntung dan bernasib baik.

3 hb Januari 1965 adalah juga merupakan tarikh keramat dalam diari hidupku kerana tarikh itu merupakann hari aku melaporkan diri sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang Selama, Perak. Ramai kawan-kawan dikalangan guru amat bimbang untuk dihantar bertugas di Ulu Mengkuang disebabkan kedudukan pingitan yang terletak di sebuah kawasan pendalaman. Aku juga berasa enggan pada mulanya untuk bertugas di sini tetapi disebabkan sudah diarahkan maka aku terpaksa patuh kepada arahan kerajaan.

Sebenarnya tidak ada sebab yang ditakuti untuk berkhidmat di sini. Malah selepas lima tahun 'bergelumang' dengan anak-anak di sini aku merasa cukup selesa dan berbangga kerana dapat berkhidmat dengan anak-anak kampung (serupa keadaan aku juga sebagai anak akmpung). Lima tahun aku curahkan khidmat aku di SK Ulu Mengkuang yang berakhir dengan satu keadaan yang cukup manis apabila selepas lima tahun di Ulu Mengkuang aku 'berhijrah' menyambung kerjaya aku di University Malaya  Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Ulu Mengkuang pada tahun 1965 adalah amat berbeza dengan Ulu Mengkuang tahun 2024. Bagi aku tidak ada cacat celanya kampung Ulu Mengkuang malah bagi aku boleh dianggap sebagai sebuah kampung contoh dengan keadaan masyarakat yang hampir sama dengan kampung-kampung lain di negara ini. Cuma pada ketika itu, Ulu Kampung adalahh dalam serba kekurangan. Maklumlah baru sahaja mencapai kemerdekaan dan dapat dianggap bahawa Ulu Mengkuang baru 'bangun dari tidurnya' yang pada anggapan aku sama seperti kampung-kampung lain juga pada ketika itu.

Aku merasa cukup bangga menjadi guru di Ulu Mengkuang . Ditinjau dari dikalangan saudara mara aku hanya aku yang dapat menjadi seorang guru berbanding dengan yang lain yang hanya sebagai penoreh getah atau pun berbendang. Oleh itu percampuran aku dengan orang kampung di Ulu Mengkuang memang tidak banyak perbezaan. Amat sesuai bagi aku bergaul dengan mereka. Anak kampung.

Aku mengambil masa yang cukup singkat bagi menyesuaikan diri aku dengan masyarakat di kampung Ulu Mengkuang. Begitu juga dengan penyesuaian aku dengan anak-anak di sini. Hanya mengambil masa yang begitu singkat untuk mereka bersama aku.

Kehadiran aku dan seorang guru lain (Jaafar bin Sidin) sememangnya di nantikan oleh anak-anak di sini dan yang lebih membanggakan dinantikan juga oleh para ibu bapa di sini. Susana penantian para ibu bapa itu tidak akan dapat dirasai oleh guru-guru yang mengajar di kawasan bandar misalnya. Sehingga kini hubungan aku dengan orang kampung Ulu Mengkuang masih erat dan berkekalan apatah lagi dengan anak-anak murid sekolah berkenaan yang ada diantara mereka sudah berjaya dalam pendidikan mereka.

Aku amat bangga dengan kejayaan mereka. Akan aku susuli dengan penceritaan aku di Kampung Ulu Mengkuang sektar tahun-tahun 1965-1970.

abuhassanadam

14 Disember 2024

No comments:

Post a Comment