Tuesday, December 17, 2024

 MAHASITUA (4)

Memang tidak salah lagi tentang ungkapan yang selalu diungkapkan ia itu'anak muda menanggung rindu'.

Begitulah keadaan yang aku alami di kampung Ulu Mengkuang apabila malam menjelang tiba. Pukul 10.00 sudah boleh dikira sebagai 'larut malam'. Dan tentulah membingungkan juga apabila mengenangkan apakah yang akan dilakukan 'sepanjang malam' dari pukul 10.00 sehingga menjelang subuh. Namun begitu ada terdapat juga 'hiburan' dari rumah Pak Teh Deranai berhadapan dengan tempat kami tinggal kerana pada hampir setiap malam anak dara dari kampung itu berkumpul d rumah Pak Teh belajar berlagu dan 'bernasyid'. Sekurang-kurangnya ada jugalah hidburan untuk aku, dan Cikgu Jaafar anak muda yang kehausan hiburan.

Apa lagi kegiatan yang boleh aku lakukan pada waktu malam di kampung Ulu Mengkuang. Mana ada TV pada waktu itu. Kawan aku Jaafar (arwah) ada memiliki radio transistor tetapi tidak boleh digunakan.Mungkin agaknya Ulu Mengkuang ni begitu jauh dipendalaman lantas kami habiskan masa kami berbual. Ada juga ketikanya rumah kami dikunjungi oleh pemuda kampung untuk berbual kosong.

Dari kampung Ulu Mengkuang dan dari Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuanglah bercambahnya minat aku untuk menjadi seorang penulis. Bukan penulis terkenal pun! Sememangnya aku amat berminat dalam bidang berkenaan. Seingat aku ketika berada di Tingkatan Tiga lagi sudah ada rencana aku tersiar dalam akhbar Utsan Malaysia. Antara yang masih segar dalam ingatan ku ialah sebuah rencana mengenai 'Kuda Emas di Gunung Pondok' kisah dongeng yang berlaku di Gunung Pondok, gunung yang tersergam indah di Padang Rengas. Aku memang suka membaca. Sepanjang remaja aku dihabiskan dengan membaca.

Ketika berada di Ulu Mengkuang, tentulah banyak aku menghabiskan masa membaca cerpen dan rencana dari akhbar-akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia. Sememangnya masa yang terluang diisi dengan membaca dan menulis. Tidak siapa yang mendorong aku melakukan demikian melainkan minat dan kecenderungan aku ke arah itu. Apatah lagi apabila sudah berada dalam suasana yang amat memerlukan diisi dengan pembacaan. 

Perlu diketahui oleh anak muda kini bahawa para penulis Malaysia banyak memberikan galakan kepada anak-anak muda menceburkan diri dalam penulisan. Para penulis dan pengarang seperti Usman Awang, Keris Mas, Samad Ismai, A.Samad Said bertanggung jawab meniupkan semangat anak muda ke arah penambahan ilmu. Golongan penulis inilah yang meniupkan semangat memajukan diri dikalangan anak muda. Mereka juga bertanggung jawab untuk meniupkan semangat pengisian kemerdekaan dikalangan anak muda khususnya guru-guru muda. Golongan ini adalah sebagai lilin yang membakar diri menerangi orang lain berbanding dengan diri mereka yang tidak seberapa.

Untuk murid-murid ku, aku mengisi masa lapang aku dengan mengadakan kelas-kelas bimbingan kepada anak mereka. Percuma. Tidak satu sen pun aku kenakan sebagai bayaran yuran mereka mengkuti kelas-kelas yang aku adakan. Tidak sampai hati aku untuk mengenakan bayaran memandangkan kepada pendapatan ibu bapa mereka yang amat tidak patut aku mengenakan bayaran. Lagipun aku amat seronok bergaul rapat dengan murid-murid ku. Sekurang-kurangnya dapat 'menampung' perasaan rindu kepada kampung halaman ku juga.

Pekan  (ataupun kedai) tempat aku berbelanja untuk membeli barang keperluan dapur adalah Rantau Panjang (bukan Rantau Panjang di Kelantan!). Hanya sebuah pekan kecil yang dapat juga menampung keperluan harian aku dan Jaafar. Lebih kurang empat kilometer dari Kampung Ulu Mengkuabg melalui jalan kampung yang tidak bertar. Melalui kawasan sawah padi dan kebun getah untuk sampai ke sekolah (pada ketika itu). Apabila sampai musim tengkujuh, terpaksalah mengharungi air banjir. Walaupun menyusahkan namun mengkayakan pengalaman.

Walaupun keadaan sebagaimana yang aku gambarkan itu sebagai satu keadaan yang amat susah (berbanding dengan keadaan Ulu Mengkuang kini) namun entah macam mana aku merasa cukup bahagia dan seronok terlibat dalam masyarakat Ulu Mengkuang (sehingga kini). Mungkin layanan yang diberikan oleh penduduk Ulu Mengkuang begitu mesra menyebabkan aku tidak terasa bahawa aku berada di rantau orang dan bukan di kampungku sendiri. Hubungan rapat aku dengan penduduk Ulu Mengkuang terutamanya dengan bekas anak muridku terjalin sampai kini. Aku tidak tahu apakah hubungan jalinan yang menyebabkan keadaan menjadi sebgitu rupa. Tidak pula wujud keadaan 'ada udang di sebalik batu' sehingga sekarang. Sehingga kini persahabatan itu adalah ikhlas dan tulin. Aku rasakan itulah cara yang perlu dilakukan demi untuk mewujudkan suasana pendidikan yang mantap.

Kasih dan sayangku kepada anak murid di Ulu Mengkuang bukan sebagai lakonan. Dapat aku katakan bahawa sampai kini (setelah 50 tahun) hubungan yang terjalin masih erat walaupun ramai juga antara anak muridku sudah tiada lagi. Aku masih amat rindui keadaan semasa aku berada di Ulu Mengkuang.

Hanya tinggal kenangan.


abuhassanadam

18 Disember 2024

No comments:

Post a Comment