MAHASITUA (5)
Entah macam mana pada pagi itu (awal tahun 1966) seolah-olah semacam ada sesuatu yang mengejutkan aku untuk melakukan perubahan pada diri ku.
Aku tidak tahu dari mana datangnya. Sambil memerhatikan deretan muridku ke sekolah aku terus menerus memikirkan 'nasib' mereka sekiranya aku mengambil keputusan untuk meneruskan perancangan aku. Mengambil Peperiksaan SPM dan HSC dan terus memasuki University. Itu hanya merupakan 'angan-angan Mat Jenin'. Aku senyum sendirian mengenangkan 'angan-angan' ku itu. Alangkah bahagianya jikalau apa yang aku impikan itu menjadi kenyataan.
'Perjalanan' yang aku sedang fikirkan dan yang aku rangka adalah terlalu jauh dan tidak mungkin tercapai. Mungkin 'buang masa' saja aku memikirkan hal itu. Lebih baiklah aku tumpukan kegiatan ku kepada anak murid yang berderetan di depan rumah ku. Majukan pelajaran mereka. Didik mereka dengan cara yang betul. Moga-moga sumbangan kita direstui Allah dan amat dikenang oleh anak didik yang sedang aku didik itu.
Tapi persoalan yang aku hadapi adalah apakah aku berpuas hati dengan kejayaan yang aku capai (jikalau disifatkan sebagai kejayaan!). Hanya dengan sijil LCE, bolehkah aku berjaya melayari hidupku dengan sempurna. Mungkin pada tahun-tahun awal 1960an aku boleh berpuas hati dengan keputusan peperiksaan LCE. Bagaimana pula halnya aku mahu menempuh zaman-zaman yang pastinya mencabar selepas itu.
Cita-citaku menggunung tetapi bolehkah dicapai. Tanyalah siapapun pasti jawapannya tidak akan tercapai. Aku sendiri merasakan tidak akan tercapai berdasarkan berbagai 'halangan' yang berada di hadapanku. Tidak mudah untuk lulus Sijil Pelajaran Malaysia, jikalau tidak 'berguru'.Maksudnya perlu ada bimbingan daripada guru jikalau mahu lulus peperiksaan berkenaan. Mesti 'berguru'.
Seluruh kampung Ulu Mengkuang pada ketika itu tidak 'memiliki' walau seorang yang boleh dipanggil guru, yang lulus SPM. Tidak ada. Lantas tentulah tidak mungkin aku mengharapkan seorang guru untuk membimbing aku menempuh peperiksaan SPM. Bukan sahaja ketiadaan guru untuk membimbing aku, malah kedai buku pun aku terpaksa pergi ke pekan Selama untuk mendapatkan buku. Itu pun kalau ada buku yang berkaitan dengan peperiksaan SPM. Dan untuk pergi ke pekan Selama aku terpaksa berbasikal dari Kampung Ulu Mengkuang ke pekan Rantau Panjang. Dari Rantau Panjang menaiki bas ke Selama lebih kurang lima kilometer. Dan sekiranya aku memerlukan buku SPM yang memenuhi syarat SPM terpaksalah ke Taiping, lima puluh KM dari Selama.
Hampir aku 'tewas' dalam perancangan ini. Lebih banyak yang negatif daripada positif. Hampir tidak dapat dilakukan. Namun sekiranya aku 'tewas' sebelum 'berperang' maka apa akan terjadi dengan kehidupan aku. Maksudnya masa hadapan ku. Apakh mahu terus menerus dan berpuas hati dengan keputusan LCE yang aku 'gendung'. Di kampung Ulu Mengkuang aku sudah boleh berbangga dengan sijil LCE tetapi tentunya bukan selama-lamanya aku berada di Ulu Mengkuang. Pastinya aku akan ditukarkan juga ke tempat lain. Untuk kenaikan pangkat...? Tentunya tidak mungkin sekiranya aku masih berada di 'takuk' lama.
Lantas aku seharusnya memajukan diriku dengan cara memperbaharui keputusan peperiksaan ku, Lagi pun ada galakan yang diberikan oleh kerajaan bagi pegawai yang lulus peperiksaan SPM berbanding dengan yang hanya lulus LCE. Yang lulus SPM menerima gaji sebanyak RM265.00 (jikalau aku tak silap) berbanding yang aku terima ketika itu sebanyak RM210.00. Itu juga merupakan dorongan bagi aku untuk meneroka cabaran baru. Mengambil peperiksaan SPM dan lulus.
Persoalan yang berada dihadapan ku adalah apakah mungkin aku lulus memandangkan berbagai masalah yang berada dihadapan ku.
Belum cuba belum tahu.....
abuhassanadam
19 Disember 2024
No comments:
Post a Comment