Thursday, February 13, 2025

 PENGGUNAAN ‘BENCHMARK’ YANG SILAP

Antara punca yang menyebabkan orang Melayu terus mundur hingga ke hari ini mungkin berpunca daripada kaedah yang digunakan oleh kebanyakan orang Melayu ia itu menggunakan ‘benchmark’ yang silap. Tentulah banyak lagi faktor-faktor lain yang membawa kepada kemunduran sedemikian, namun disebabkan oleh orang Melayu masih dianggap mundur walaupun setelah setengah abad merdeka.

Aku merasakan bahawa ada para pemimpin negara sedar bahawa orang Melayu masih mundur tetapi demi kelangsungan kuasa politik mereka, maka orang Melayu semacam terus menerus dibiarkan hanyut. Mungkin. Orang Melayu terus menerus didendangkan dengan ‘lagu-lagu’ merdu yang mengkhayalkan orang Melayu seolah-olah 'orang Melayu tidak akan hilang di dunia'.

Para pemimpin negara samada di peringkat pusat ataupun peringkat negeri ataupun di peringkat akar umbi sentiasa memberikan gambaran bahawa orang Melayu sudah maju, sudah setanding dengan pencapaian kaum dan bangsa lain di dunia. Orang Melayu dikhayalkan dengan cerita-cerita lunak yang menyenangkan hati dan telinga orang Melayu mendengarnya.

Cerita zaman pemerintahan Jepun dan zaman Darurat sentiasa diketengahkan untuk membezakan bahawa keadaan di negara kita telah berubah. Dipaparkan kisah zaman Jepun yang penuh dengan derita dan kesusahan. Diceritakan juga tentang zaman Darurat pula untuk menunjukkan tentang ketakutan dan ancaman daripada pihak penjahat Komunis ketika itu. Dibandingkan pula dengan keadaan setelah negara mencapai kemerdekaan, yang kononnya penuh dengan keriangan dan kebahagiaan. Yang anihnya ialah walaupun orang Melayu kebanyakannya merasai kesempitan yang dideritai sedemikian, namun mereka ‘merelakan diri’ untuk tidak mempercayai apa yang mereka rasai. Ini merupakan satu kepelikan dan penyakit orang Melayu.

Pencapaian orang Melayu dalam pelajaran dan pendidikan seolah-olah tidak digambarkan dengan keadaan yang sebenarnya. Orang Melayu tidak tahu dan tidak sedar bahawa pencapaian kaum lain, Cina dan India dalam pelajaran jauh lebih maju daripada apa yang dicapai oleh orang Melayu. Itu keadaan di Malaysia. Belum lagi  jika dibandingkan dengan pencapaian bangsa lain di kawasan Asia Tenggara. Mungkin dengan Vietnam pun pencapaian kita agak keterkebelakang. Mungkin.

Baru kini keadaan masyarakat kita yang ketinggalan agak jauh dari segi penguasaan bahasa Inggeris diketengahkan oleh Perdana Menteri sendiri. Dengan demikian merupakan satu kejutan kepada rakyat Malaysia supaya bergerak untuk membetulkan keadaan  sedemikian walaupun sudah dikira agak terlambat berbanding dengan negara-negara lain yang dianggap agak terkebelakang.

Ibu bapa yang tinggal di kawasan luar bandar atau di kawasan FELDA mungkin tidak tahu betapa terkebelakangnya pelajar-pelajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan berbanding dengan pelajar-pelajar yang belajar di sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa. Mungkin para guru juga tidak tahu betapa terkehadapannya pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan. Dan yang menyedihkan kita ialah bahawa para pemimpin politik ataupun pemimpin tinggi kerajaan (sebelum ini ) tentu tahu tentang keadaan sedemikian berlaku. Tetapi semacam tidak bersungguh-sungguh mahu ambil peduli tentang hal yang berlaku sedemikian. Mereka tahu hal sedemikian berlaku. Menyedari hal sedemikianlah agaknya menyebabkan ibu bapa yang berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke sekolah persendirian,  menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah antarabangsa dan sekolah swasta dengan bayaran yang mahal.

Memang betul sekolah-sekolah berkenaan hanya untuk anak-anak yang ibu bapanya berkemampuan. Dengan sebab itulah hanya anak-anak menteri (bukan semua) dan ahli politik dan golongan berada sahaja yang mampu menghantar anak-anak mereka  ke situ. Lantas bagi golongan yang tidak berada akan terus ketinggalan. Dan golongan yang tidak berada itu adalah terdiri orang Melayu yang kebanyakannya masih tinggal di kawasan luar bandar. Dan masih ramai juga yang tinggal di kawasan bandar. Amat menyedihkan.

Apakah keadaan sebegini ( cara berfikir orang Melayu yang agak jauh ketinggalan) sememangnya diperlukan oleh pemimpin politik demi kelangsungan penguasaan politik mereka. Apakah mereka sengaja mahukan agar orang Melayu terus mundur supaya senang diekslpoitasi. 

‘Jeritan’ demi ‘jeritan’ didengar yang mengatakan bahawa punca yang menyebabkan orang Melayu sukar diterima untuk bekerja di sektor-sektor swasta adalah disebabkan kurang kemahiran dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Disamping itu kedengaran juga para pemimpin negara kita ‘menjerit’ agar penggunaan Bahasa Melayu diperkuatkan. Mungkin para pemimpin menyeru agar kedua-dua bahasa berkenaan diperkukuhkan, namun bagi orang Melayu sentiasa mengambil jalan pintas dengan menguatkan penggunaan Bahasa Melayu dan mensampingkan penggunaan Bahasa Inggeris. Kesannya orang Melayu juga yang ketinggalan kerana tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Langkah yang diambil oleh kepimpinan negara di bawah pentadbiran PMX seharusnya tidak diharus dipersoalkan lagi oleh rakyat terbanyak. Sekiranya ada terdengar suara-suara sumbang dari kalangan pembangkang, harus dibiarkan sahaja. 

Biarkan mereka 'menyalak'. 


abuhassanadam

13 Februari 2025


No comments:

Post a Comment