Saturday, May 31, 2014

MENANTI KEMENANGAN DYANA SOFEA

Rakyat menunggu dengan penuh debaran. Bukan sahaja rakyat di Teluk Intan tetapi rakyat seluruh Malaysia yang merasakan bahawa PRK Teluk Intan adalah luar biasa. Lain dari yang lain. Dan tentulah kesan daripada keputusannya nanti juga agak berlainaan. Dikatakakan ramai orang bahawa kesan keputusan PRK ini nanti akan mengubah landskap politik di Malaysia.

Semalam YB Tengku Razaleigh menyatakan bahawa DAP bijak mengatur tektik dalam PRK berkenaan dengan mengemukakan calon muda –Dyana Sofea. Dan diperhatikan bahawa terlalu ramai yang bercakap mengatakan bahawa dalam perkembangan politik baru di Malaysia (yang sedang bermula sekarang) orang muda memainkan peranan yang cukup penting. Hanya UMNO(BN) sahaja yang masih menyepi tentang hal ini menampakkan seolah-olah pemimpin UMNO(BN) yang kebanyakannya sudah merangkak ke alam purba masih mahu berpaut kepada cara dan adat lama dengan mengekalkan pemimpin purba dalam struktur parti mereka.

Apakah tindakan sedemikian wajar?

“I have been saying many times in my speeches that Umno has to buck up. They have to start looking into all those reform measures demanded by society…………(They would do it) if they are really listening to the people, especially the youths because they are going to be 60 percent of new voters in the next general election,” kata YB Tengku Razaleigh Hamzah. (Malaysiakini 31 Mei 2014)

Dengan sebab itulah dapat aku katakan bahawa keputusan PRK Teluk Intan ini amat penting untuk menentukan bahawa apakah benar suara orang benar telah ‘kedengaran’. Dalam PRK Kajang yang diadakan baru-baru ini telah nampak jelas bahawa anak muda memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan DS Wan Azizah. Anak muda tidak lagi kelihatan berperanan semata-mata sebagai perayu undi atau pekerja pilihan raya sahaja tetapi telah menampakkan diri mereka penting sebagai penentu kemenangan seseorang calon.

Dalam hal untuk ‘memikat’ orang muda supaya terlibat secara aktif dalam politik ini, nampaknya Pakatan Rakyat telah terkehadapan dalam hal ini berbanding dengan UMNO (BN). Kemunculan tokoh-tokoh muda seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Tony Pua, dan beberapa orang lain telah menampakkkan bahawa Pakatan Rakyat telah sedar tentang peranan orang muda dalam politik  baru di Malaysia. Dan kini dengan kemunculan Dyana Sofea telah merancakkan lagi suasana ‘kemeriahan’ yang sedia ada.

Mungkin Tun Dr Mahathir sudah nampak akan kemungkinan kemunculan politik baru yang didokong oleh orang muda. Dengan sebab itulah awal-awal lagi (semasa pentadbirannya) beliau telah menubuhkan Puteri UMNO dan Putera UMNO. Namun disebabkan ketokohan pemimpin-pemimpinnya maka seolah-olah Puteri UMNO dan Putera UMNO ‘hidup segan mati tak mahu’. Kini kedua-dua cawangan itu masih berfungsi tetapi disebabkan ‘kehebatan’ dan ‘aura’ yang ditonjolkan oleh pemimpin muda dari  Pakatan Rakyat seolah-olah telah menenggelamkan pemimpin muda dari kalangan UMNO.

Dan ‘tenggelamnya’ pemimpin muda dari UMNO bukanlah disebabkan semata-mata oleh ‘aura’ pemimpin muda Pakatan Rakyat seperti Dyana Sofea, tetapi adalah juga disebabkan oleh keadaan anak muda kini yang seolah-olah dahagakan perubahan. Mereka seolah-olah melihat anak muda yang berada dalam UMNO sebagai wakil ‘kaum tua’ yang masih mahu berpegang kepada tradisi lama sedangkan dunia sedang bergerak dengan begitu laju yang menuntut berbagai-bagai perubahan. Dan mereka merasakan bahawa pemimpin muda dalam Pakatan Rakyat adalah serasi dan sesuai dengan perjuangan yang sedang mereka perjuangkan.

Rata-rata anak muda terpelajar tahu tentang penyelewengan yang berbagai-bagai yang sedang berlaku kini. Mereka membaca dan mengetahui berbagai-bagai perkara buruk dan berbagai skandal melalui media sosial yang berlegar dengan pantas. Walaupun ada berbagai usaha untuk menutup berita-berita yang tidak enak didengar dan tak molek dibaca namun dalam zaman ini ‘mulut tempayan tidak akan boleh ditutup dengan adanya media sosial yang pastinya akan menewaskan bila-bila masa sahaja media arus perdana.
PRK Teluk Intan yang sedang berjalan kini pastinya akan memberikan berbagai jawapan dan tafsiran apabila keputusannya diumum dan dianalisis nanti. Pastinya juga akan menimbulkan suasana panik kepada setengah parti politik terutamanya UMNO (BN) apabila keputusan diumumkan.

Ditakdirkan Allah Dyana Sofea menang dalam PRK Teluk Intan ini berbagai persoalan telah terjelma dan terjawab.

  • · Maknanya sekurang-kurangnya Teluk Intan telah dapat memecahkan persoalan Melayu-bukan Melayu apabila kaum Cina beramai-ramai telah menyokong calon Melayu dengan tidak berbelah bagi.

  • ·     Maknanya orang Melayu juga telah rela hati mengundi calon DAP yang semenjak sekian lama dianggap oleh orang Melayu bahawa DAP ini adalah parti yang dimonopoli orang Cina.

  • ·      Maknanya pengundi di Teluk Intan yakin dengan kemampuan calon muda seperti Dyana Sofea.

  • ·      Maknanya PAS, PKR dan DAP sangat akrab dan bekerjasama bersungguh-sungguh memenangkan calon DAP itu.


Dan berbagai-bagai analisis lain yang boleh diketengahkan. Kita tunggu keputusan yang mendebarkan nanti.

Semua persoalan ini pasti terjawab.

abuhassanadam

31 Mei 2014


PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam

1 comment:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete