DEMI MARUAH – DS NAJIB HARUS MENGUNDUR DIRI BUAT
SEMENTARA
Demi
menjaga maruah keluarga (keluarga Tun Abdul Razak bin Datuk Hussin) bangsa,
negara dan agama, DS Najib harus mengambil tindakan berani dengan mengundur
diri ( buat sementara) dari jawatan Perdana Menteri, bersendikan falsafah
‘berani kerana benar dan takut kerana salah’. DS Najib tidak perlu ragu-ragu
mengambil tindakan sedemikian sekiranya beliau betul-betul tidak melakukan
‘malapetaka’ sepertimana yang didakwa oleh Wall Street Journal itu.
Maruah
rakyat dan negara harus diutamakan oleh DS Perdana Menteri. Sebagaimana yang
dikatakan oleh adiknya sendiri, Dato Nazir Abdul razak di Instagramnya yang
meletakkan rakyat negara ini di atas segala-galanya. Selanjutnya beliau
menyatakan,"They gave their lives so we could build a
nation. In this darkest of political times, we must remember to place the
country and the rakyat first.Not personal interests, nor personal loyalties,
not even party politics,"
Rakyat
Malaysia amat bersetuju agaknya dengan saranan sedemikian dan sememangnya
begitu sifat orang Melayu tulin apabila berhadapan dengan sesuatu kemelut yang
membabitkan diri dan negara yang dipimpinnya. DS Najib harus menonjolkan
dirinya sebagai ‘anak lelaki tulin’ keturunan Tun Abdul Razak Hussin dengan
berbuat sesuatu yang boleh memberikan tanggapan bahawa ‘darah pahlawan’ yang
mengalir dalam dirinya itu terus menerus mengalir.
Tuduhan
yang dilemparkan oleh Wall Street Journal terhadap DS Najib sebagai Perdana
Menteri Malaysia bukan suatu perkara kecil yang boleh dipandang enteng. Jarang
sangat akhbar berkenaan membuat tuduhan sedemikian kecualilah apa yang
dilaporkan oleh mereka itu betul-betul berlaku. Dan sehingga kini DS Najib
belum lagi menyatakan ‘sahih-tidak’nya tuduhan oleh WSJ itu menyebabkan rakyat
seluruh Malaysia dan dunia masih tertanya-tanya walaupun DS Najib ada
membayangkan bahawa apa yang dituduh itu tidak berlaku.
Pengunduran
sebagai Perdana Menteri buat sementara adalah amat penting bagi DS Najib
‘membersihkan’ namanya khususnya dikalangan rakyat Malaysia yang dipimpinnya.
Beliau tidak akan mampu mentadbirkan negara ini sekiranya persepsi rakyat
terhadapnya diselubungi suasana negatif, walaupun beliau kerapkali mengatakan
bahawa beliau dipilih oleh rakyat atas dasar demokratik melalui pilihan raya.
Rakyat akan terus merasa sangsi selagi DS Najib masih berdoalk-dalik dan tidak
berani melakukan tindakan yang boleh meyakinkan kembali keyakinan rakyat
terhadap kepimpinannnya.
DS
Najib akan dilihat sebagai pemimpin yang hebat sekiranya beliau ‘menyerahkan’
diri untuk diadilkan oleh rakyat dan penguasa undang-undang seperti Polis,
SPRM, Bank Negara, dll. Setelah dilakukan penyiasatan yang terperinci dan
didapati ‘bersih-sebersihnya’ barulah imej Perdana Menteri akan terserlah
sebagai pemimpin bangsa yang cukup hebat.
Kini
seolah-olah DS Najib ‘bergantung nyawa’ kepada sokongan-sokongan yang
dilafazkan oleh pihak-pihak tertentu yang kadang-kadang tidak tahu apakah
‘biji-buah’nya perkara yang mereka sokong. DS Najib juga harus sedar bahawa ada
‘sokong yang boleh membawa rebah’ terutama sokongan yang berasaskan kepentingan
diri masing-masing. Golongan yang kononnya menyokong itu akan hanya ‘berdiri di
belakang’ selagi seseorang pemimpin itu berkuasa dan boleh digunakannya untuk
‘berladang di kepala’ si pemimpin itu. Mereka hilang lenyap entah ke mana selepas
seorang itu tidak lagi berkuasa.
Suasana
‘tidak menentu’ di Malaysia kini juga menelurkan suatu suasana yang boleh
menyerlahkan ‘kebodohan’ dan ‘kepandiran’ setengah rakyat Malaysia. Ada
sokongan-sokongan yang diberikan oleh mereka pastinya menampakkan bahawa
sebenarnya mereka tidak arif tentang apa yang berlaku. Mungkin baru kini mereka
mendengar ada akhbar di dunia yang bernama ‘Wall Street Journal’ dan mereka
mengagak bahawa akhbar berkenaan setanding dengan Utusan Malaysia atau Berita
Harian yang dilihat mereka setiap hari. Mungkin begitu.
Biar
aku ulangi penjelasan Dato A.Kadir Jasin mengenai penyiaran berita akhbar
berkenaan. Katanya,“The reporting
rules at newspapers like WSJ and its sister publication, Asian Wall Street
Journal (AWSJ), are very stringent. In cases like 1MDB, reporters’ copies will
be vetted by company lawyers. In most instances the lawyers would insist on
seeing supporting documents and the identities of the reporters’ sources of
information” sebelum sesuatu berita itu disarkan
Maknanya dengan sendirinya memberikan
keyakinan kepada kita bahawa apa yang ditulis oleh WSJ semacam betul dan tepat
dari segi fakta (sehinggalah dibuktikan tidak tepat). Dengan sebab itulah
penafian demi penafian yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu sudah pasti hanya
mengundang cemuhan dan kritikan yang mempersendakan minda pihak yang membuat
penafian. Lagi banyak penafian dibuat maka lagi luaslah publisiti untuk
ditonton oleh seluruh masyarakat dunia yang membayangkan tentang tidak cerdiknya
setengah pemimpin kita.
Namun
begitu bagi menjernihkan nama DS Najib dan maruah negara dan bangsa Malaysia,
DS Najib tidak harus teragak-agak untuk mendakwa akhbar berkenaan dan
seterusnya meletakkan jawatan sementara penyiasatan dijalankan .
Itu
yang merupakan langkah ‘anak jantan’ keturunan pahlawan.
abuhassanadam
6 Julai 2015
No comments:
Post a Comment