KERAJAAN SEMACAM TAK PEKA DERITA RAKYAT
Kerajaan
Malaysia tentulah ada sebab-sebab tertentu mengapa mereka menaikkan harga
minyak. Ron 95 naik 10 sen. Ron 97 naik 20 sen. Dan tentulah pihak kerajaan
telah begitu bersedia dengan berbagai alasan untuk menaikkan harga minyak.
Samada alasan itu alasan yang munasabah atau tidak, kelihatan semacam tidak
dipedulikan. Yang pentingnya harga minyak perlu dinaikkan demi untuk
‘kepentingan negara’.
Rakyat
Malaysia terpaksa akhur dengan keputusan berkenaan walaupun jauh di sudut hati
seluruh rakyat Malaysia merasakan bahawa pemimpin kerjaan kini semacam tidak
bertimbangrasa atas nasib yang dideritai oleh rakyat ekoran kenaikan harga
minyak ini. Hendak disuarakan penderitaan itu, tentulah tidak ada siapa yang
ingin mendengarnya. Tambahan pula ‘siapa kita’ yang boleh mengubah pendirian
kerajaan Malaysia yang telah begitu yakin dengan tindakan mereka bahawa
kedudukan mereka tidak akan tergugat, walau dengan apa cara sekali pun.
Para
pemimpin negara seolah-olah memejamkan mata dan memekakkan telinga apabila
muncul suara-suara rakyat yang mengatakan penderitaan rakyat sudah semacam
sampai hampir ke kemuncaknya. Rakyat Malaysia yang sentiasa bersabar ini pasti
akan terus tersenyum lebar apabila ditanyakan oleh TV atau akhbar dari media
perdana tentang kehidupan mereka dengan pengenalan GST. Dan pastinya jawapan
dan ‘senyuman’ mereka adalah sama sekiranya ditanyakan tentang kenaikan harga
minyak.
Rakyat
Malaysia sememangnya ‘hebat’ dari segi menyembunyikan perasaan mereka. Orang
Melayu khususnya akan tetap tersenyum walaupun dalam derita. Pergilah ke
kampung-kampung masih akan terdengar lagi hilai dan gelak ketawa orang Melayu
miskin walaupun sebenarnya mereka hidup seperti ayam kais pagi makan pagi dan
kais petang makan petang. Para pemimpin negara tahu yang orang Melayu di
kampung dan di kawasan Felda tidak akan menentang kerajaan kerana para pemimpin
negara kita tahu tentang ‘ubat dan tonik’ yang hendak diberi sekiranya berlaku
keadaan demikian.
Bukan
sahaja BRIM yang boleh dijadikan ubat dan tonik untuk mententeramkan orang
Melayu di kampung ( dan di bandar juga) tetapi kata-kata penawar yang boleh
‘menyejukkan’ hati golongan sedemikian. Bandingkan sahaja penderitaan yang
dideritai hari ini dengan keadaan derita orang Melayu pada zaman pemerintahan
Jepun misalnya. Pasti hati orang Melayu akan terubat apabila diberikan
‘penawar’ sedemikian. Pasti orang Melayu akan bersetuji yang kerajaan hari ini
adalah lebih baik berbanding dengan zaman pemerintahan Jepun.
Sebenarnya
keadaan negara kita kini dalam keadaan yang amat ‘perit’. Mungkin para pemimpin
negara kita hanya mendengar tentang keperitan yang dialami oleh rakyat kini
tetapi tidak merasai dan mengalami sendiri apakah yang sebenarnya erti
‘keperitan’ itu. Maknanya mereka tidak faham erti keperitan dan kesusahan yang
dialami oleh rakyat. Mereka hanya pandai menyebut perkataan ‘derita rakyat’
tetapi tidak berusaha untuk mengubahkan keadaan yang menyebabkan rakyat derita.
Derita
rakyat belum begitu reda ekoran daripada pengenalan GST, dan kini telah
‘diketemukan’ pula dengan kenaikan harga petrol pula. Hanya kenaikan 10 sen.
Betul. Tetapi para peniaga hanya menunggu peluang sebegini untuk mencarikan
alasan menaikkan harga barang. Tidak ramai para peniaga yang ikhlas yang tidak
mengambil peluang menggunakan kesempatan ini. Pergilah ke kedai menjual ayam,
harga ayam akan naik disebabkan harga petrol naik. Pergilah ke kedai menjual
sayur, harga sayur akan naik disebabkan harga petrol naik. Malah peniaga di
Pasar Ramdhan pun akan menaikkan harga disebabkan harga petrol sudah naik.
Dan
biasanya ekoran daripada kenaikan harga petrol ini, Menteri berkaitan akan
memberi amaran kepada peniaga supaya jangan menaikkan harga barang dan
sekiranya dilakukan juga tindakan sewajarnya akan diambi. Rakyat semacam sudah
jemu untuk mendengar kenyataan-kenyataan sedemikian. Dan jikalau pihak
kementerian berkenaan ikhlas dalam menjalankan tugasnya, tentulah sudah ramai
para peniaga yang tidak bertanggungjawab itu dihadapkan ke mahkamah. Malangnya
sehingga kini hampir tidak kedengaran tindakan yang dijalankan oleh pihak
berkenaan.
Akir-akhir
ini kelihatan bahawa pihak kerajaan semacam tidak begitu ambil peduli tentang
derita rakyat. Rakyat semacam dianggap seperti anjing yang menyalak gunung. Bukan
sahaja cerita GST dan kenaikan harga petrol tetapi berbagai penyelewengan lain
yang dilakukan seolah-olah menepati apa yang dikatakan seperti ‘pat pat siku
lipat’. Siapa cepat dia dapat. Sebagaimana yang didakwa oleh pihak-pihak
tertentu penyelewengan dalam IMDB belum selesai. Penyelewengan yang dilakukan
oleh Lembaga Tabung Haji juga belum selesai. Penyelewengan dalam Felda terus
menerus. Kini telah muncul pula kisah penyelewengan yang dilakukan oleh MARA.
Sekiranya
betullah apa yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu itu, maka jelaslah bahawa
para pemimpin kita samada pemimpin politik ataupun pemimpin organisasi memang tidak ambil peduli tentang derita dan
perasaan rakyat. Yang boleh ‘mencuri’ akan terus mencuri dan yang berpeluang
menjalankan ‘rompakan’ akan terus merompak tanpa titik noktah.
Malangnya
nasib negara ku. Harap-harap janganlah kita senasib dengan Greece.
abuhassanadam
1 Julai 2015
No comments:
Post a Comment