Tuesday, June 30, 2015

PENANGAN’ HAJJAH FARIDAH MAT SAMAN

            Hajjah Faridah Mat Saman pada tahun 1964 lebih kurang sama dengan Sit Nurhaliza. Maksud aku dari segi popularnya. Hajjah Faridah terkenal dalam lapangan pembacaan Al-Qurannya sedangkan Siti Nurhaliza terkenal dari segi nyanyiannya. Kedua-duanya adalah sebagai bintang yang sentiasa berkerdipan. Mungkin ramai rakyat Malaysia kini tahu siapa dia Siti Nurhaliza tetapi tidak mengenali siapa dia Hajjah Faridah Mat Saman. Jikalau Siti Nurhaliza banyak kali memenangi anugerah yang berbagai-bagai dan Hajjah Faridah juga pernah beberpa kali menjadi juara pertandingan Quran peringkat nasional dan antarabangsa.

            Arwah emak aku memang peminat setia Hajjah Faridah. Arwah Wah Beah (emak saudara aku) juga begitu. Mak Cik Jah (Azizah nama sebenarnya), pangkat emak saudara aku ‘tak tidur malam’ mendengar suara hajjah Faridah Mat Saman. Dan kebetulan pula Mak Cik Jah adalah Johan Qariah peringkat daerah pada ketika itu. Sesuai sangatlah beliau meminati Hajjah Faridah untuk dijadikan idolanya.

            Seingat aku Pertandingan Membaca Quran ini telah mula-mula diperkenalkan oleh Tunku Abdul Rahman selepas sahaja negara Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Dan sehingga kini semacam ‘tidak boleh tidak’ pertandingan tersebut mesti diteruskan walaupun sambutan yang diberikan kepada upacara sedemikian agak hambar berbanding dengan keadaan pada tahun-tahun 1950an, 1960an dulu. Walaupun namanya bertukar dari Pertandingan membaca Quran kepada Musabaqah Membaca Quran tetapi formatnya tidak banyak berubah. Malah bergerak selangkah lagi dengan mengadakan peringkat antarabangsa dimana qari-qari dari negara Islam lain juga turut sama menjayakannya.

            Bagi orang kampung aku di Ekor Dusun, pertandingan Membaca Quran merupakan upacara meriah yang diraikan oleh hampir seluruh penduduk kampung pada ketika itu termasuklah kanak-kanak seperti aku. Sudah menjadi satu kemestian bagi kami untuk berada di sisi radio untuk megikuti pertandingan berkenaan.

            Di kampung aku pada ketika itu, hanya terdapat tiga buah radio sahaja. Di rumah Pak Haji Mat Ketua kampung, di rumah Encik Kontak dan di rumah Wah Beah. Dan pada ketika itu TV belum lagi ‘muncul’ di kampung aku. Yang masih aku ingat bahawa TV (hitam putih) hanya dimiliki oleh Cikgu Ibrahim Abdullah, Guru Besar Sekolah Melayu Padang Rengas. Seingat aku itulah TV pertama yang ‘datang’ ke Padang Rengas. Itulah sebuah.

            Radio di rumah Wah Beah berjenama ‘Erres’ ( kalau aku tak silap) menggunakan battery ‘bergambar’ no 9 dan gambar kucing di tengah nombor 9. Dan pada malam Pertandingan Membaca Quran hampir separuh orang kampung aku bertumpu di rumah Wah Beah. Macam majlis khenduri selama tiga malam. Selepas sahaja mereka berbuka puasa di rumah masing-masing, mereka bertumpu ke rumah Wah Beah untuk mengikuti pertandingan berkenaan. Wah Beah terpaksa jugalah ‘berkorban’ selama tiga malam melayan dan menyediakan jamuan untuk tetamu yang hadir. Yang hadir itu pun adalah terdiri dari sanak saudara dan kaum kerabat juga. Wan Munah, Wan Meriam, Cik Wa, Pan Cu Lamah…..Makcik Jah tetap hadir.

            Masih aku terbayang keadaan ‘pendengar’ yang berkumpul di rumah Wah Beah itu. Mereka betul-betul khusyuk ketika bacaan diperdengarkan. Semua senyap memberikan sepenuh tumpuan. Cuma selepas seorang peserta selesai membaca surah yang disediakan barulah ‘pendengar’ di rumah Wah Beah memberikan komen mereka. Mereka mula meramalkan peserta mana yang akan menang dan yang mana yang akan tewas.

            Yang menariknya apabila sampai giliran Hajjah Faridah memperdengarkan bacaannya, semua sepi sesepinya. Penuh khusyuk. Makcik Jah terdiam. Maklumlah peminat setia Hajjah Faridah. Sekiranya terjadi keadaan dimana Hajah Faridah tidak dinobatkan sebagai juara aku tak tahulah apa akan terjadi pada Makcik Jah. Idak ler sampai membunuh diri pulak…….

            Pada malam-malam pertandingan membaca Quran, solat terawikh ditangguhkan. Maksud aku sehingga selepas selesai pertandingan pada malam berkenaan. Masjid Keroh Hilir lengang buat seketika. Surau Keroh Seberang juga sepi. Surau Kampung Pulau senyap. Surau Ekor Dusun sudah tidak ada berjemaah kerana semua jemaahnya mengikuti pertandingan melalui radio. Pendek kata seluruh penduduk kampung menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada pertandingan membaca al-Quran.

            Lebih kurang pukul 12.00 tengah malam barulah selesai pertandingan dan rama-ramai mereka ke surau masing-masing untuk menunaikan solat terawih. Selepas solat terawih kebanyakan penduduk Ekor Dusun terus bersahur sebelum melelapkan mata.

            Indahnya suasana dan damainya hati penduduk Ekor Dusun pada waktu itu. Hanya tinggal kenangan.

abuhassanadam

30 Jun 2015

10 comments:

  1. Saya dapat bayangkan keadaan pada masa tue ..beruntung Pak Abu dapat merasai suasana yg tak semua orang lain rasa Walau Pak Abu mash kecil

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mhaneffs neff,

      Terima kasih atas perhatian saudara. Disebabkan saya memikirkan ramai yang tidak begitu peka tentang suasana sedemikian, maka saya dengan sedaya upaya, disamping mengenangkan usia yang masih berbaki akan menuliskan detik-detik manis itu untuk dikongsi oleh anak-anak sekalian.

      Pak Abu

      Delete
  2. Amat surprise sekali yg sdr Abu Hassan menulis mengenai qariah Hjj Faridah, betapa merdu dan sebutan ayat2 yg dibaca. Kebetulan saya memang dah lama nak cari jika masih terdapat lagi rakaman beliau. Puas saya mencari di banyak kedai dan tiada lagi ada kaset atau pita rakaman bacaan Hjj Faridah dan juga rakaman oleh Ustaz Hassan Azari, kerana bagi saya kedua2 adalah pembaca ayat2 Quran yg paling merdu dan sempurna. Meskipun saya tak tahu langsung erti apa yg dibaca saya hanya tertawan dengan keindahan bacaan mereka, begitu cool dan menawan, menusuk audio dan hati saya. Satu ketika saya kenal suara Hjj Faridah tatkala mendengar melalui radio sebelum dihebahkan waktu masuk magrib, bukan dari upacara musabaqah.
    Jadi saya pohon jika Sdr Abu yg budiman ada kaset rakaman khasnya Hjj Faridah boleh tak dibuat salinan dan kirimkan kepada saya. Semua lagu yg saya minati dapat dapat saya retrieve kecuali suara Hjj Faridah dan Ustaz Hassan Azari. Tk.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Uncle Ramli..dalam youtube ada Video hajah faridah mat saman..

      Delete
    2. Saudara Ramli,

      Sudah agak lama tidak kelihatan komen saudara. Didoakan sihat selalu.

      Amat dukacita yang saya juga tidak menyimpan rakaman beliau. Tidak dapat saya memenuhi harapan saudara. Terima kasih.

      Pak Abu

      Delete
    3. Sdr mhaneffs, tk kerana memberi jalan nak dapat mendengar suara hjj faridah melalui utube.

      Delete
    4. Sdr mhaneffs, tk kerana memberi jalan nak dapat mendengar suara hjj faridah melalui utube.

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Salam Pak Abu

    Fenomena Hajjah Faridah ni seingat saya berlaku awal 70an semasa saya darjah satu. Seluruh kegiatan pada malam beliau bertanding akan terhenti. semua akan tertumpu kat TV dan mcm kat kg Pak Abu di tempat saya jugak (di satu kg melayu di pinggir KL) jugak tak ramai yg ada TV. Cuma di rumah arwah Pak Bidin dan Arwah Haji Harun yg pada masa tu kerja "gomen".
    Di rumah2 mereka ni la ramai2 kitorang melangut sampai pertandingan habis. Tapi tak la di jamu mcm kat kg Pak Abu he he

    ReplyDelete
  5. Innoza,

    Maknanya dalam tahun 70an masih ramai lagi orang KL belum ada TV.

    Pak Abu

    ReplyDelete