8 +3…CUKUP
Sebenarnya
kebanyakan kanak-kanak yang pergi menunaikan solat terawih di surau Ekor Dusun
bukanlah untuk mendapatkan pahala tetapi sebenarnya hanya untuk menikmati juadah
kuih-muih selepas solat terawih. Ini termasuklah aku juga. Disamping untuk
menikmati juadah kuih muih, boleh juga dijadikan alasan yang cukup kuat untuk
keluar dari rumah. Opah mesti tidak melarang sekiranya alasannya untuk pergi
solat terawih di surau.
Biasanya
kami memulakan solat terawih setelah Imam Encik Kontak atau Pak Din sudah
‘separuh jalan’. Maknanya sudah selesai lapan rakaat. Sebelum itu kami ‘ronda’
bersama-sama rakan-rakan lain, Ani (arwah), Ngah (arwah), Basir, Toha, Mat Gedi
dan lain-lain. Sengaja berbuat demikian kerana untuk mengelakkan keadaan yang
terlalu lama berada di surau. Jemu. ‘Boring’ kata anak-anak sekarang. Yang kami
penting pada ketika itu ialah jamuan ‘moreh’. Itu yang penting.
Kami
terpaksa menunggu sampai selesai 21 rakaat dan diikuti dengan bacaan ‘ya
latiffff…..” diikuti oleh tahlil pula…diikuti oleh doa Encik Kontak yang
panjang pulak…..Boring betul……Lepas itu baru boleh makan kuih, setelah perut
‘bernyanyi’ dan ‘berlagu’.
Tidak
ramai anak muda yang bersolat terawih di surau Ekor Dusun. Dan hampir tidak
seorang pun kanak-kanak yang sebaya dengan aku yang mengikuti solat terwaih
dari awal hingga akhir. Salah satu sebab yang terjadi demikian adalah
disebabkan solat terawih yang terlalu panjang. 21 Rakaat sedangkan boleh
disingkatkan kepada lapan rakaat sahaja dan dicampur dengan sembahayang witir
tiga rakaat. Jadi sebelas. Cukup. Dengan berbuat begitu mungkin ramai anak muda
dan kanak-kanak yang mahu menyempurnakan sembahayang terawihnya. Itulah
pandangan ‘sebulat surara’ kanak-kanak di kariah Ekor Dusun ketika itu.
Dan
apbila aku dilantik sebagai wakil orang muda menganggotai Jawatankuasa Masjid
Kampung Keroh Hilir ( apabila aku sudah layak digelar sebagai orang muda) ramai
yang minta aku menyuarakan pada Pak Ngah Hussein (Pengerusi) dan Pak Haji Osman
( Imam) supaya solat terawih dikurangkan kepada lapan rakaat sahaja dan
ditambah solat Witir tiga rakaat lagi. Mungkin dengan berbuat demikian akan
ramai lagi anak muda ‘memeriahkan’ masjid.
Aku
rasa cadangan mereka tu patut dibawa kepada pengetahuan pihak Jawatankuasa
Masjid terutamanya Pak Ngah Hussein yang juga merupakan Imam solat terawih.
Tetapi aku ‘takut’ untuk mengemukakan cadangan orang muda ini kepada Pak Ngah
Hussein. Nanti apa kata Pak Ngah Hussein pulak. Dan mungkin Pak Ngah Hussein
berbincang pula dengan bapak aku ( Bendahari masjid). Nanti apa kata bapak
pula. Disebabkan banyak sangat ‘persoalan’ yang perlu aku fikirkan, akhirnya
cadangan dan ‘rintihan’ anak muda itu tidak aku panjangkan. Maknanya aku boleh
dianggap tidak ‘bertanggungjawab’ dalam hal ini. Namun hasrat anak muda kampung
aku ini aku pendam dalam perasaan sehinggalah ‘meletup’ apabila aku diberi
peluang mengetuai Jabatan Penuntut Malaysia (Malaysian Students Department
–MSD) di London pada tahun 1995.
Antara
langkah aku untuk menarik lebih ramai pelajar (disekitar kota London)
sembahayang terawih di Malaysia Hall ialah dengan merealisasikan hasrat ‘anak
muda’ Kampung Keroh Hilir dua puluh tahun sebelumnya. Oleh kerana aku
‘berkuasa’ dan segala keputusan yang aku buat diikuti, maka aku telah
menetapkan solat terawih di Malaysia Hall hanya 8+3. Cukup. Lapan rakaat campur
tiga rakaat solat witir. Lagi pun aku memikirkan bahawa sekiranya terlalu
banyak masa untuk digunakan solat terawih, maka tentulah menganggu juga pelajaran
pelajar yang sepatutnya belajar dan mentelaah. Lantas aku tetapkan 8+3…cukup.
Dan satu lagi tarikan yang aku lakukan ialah dengan
mengadakan jamuan ‘moreh’ selepas solat terawih dengan kerjasama pengusaha
kantin Malaysia Hall ketika itu – Azhar (‘ad) dan Ani (isteri Azhar). Jamuan
Moreh yang merupakan hidangan Nasi Briyani dapat diadakan terus menerus
sepanjang satu bulan dengan sumbangan yang mencurah-curah dari para dermawan
Malaysia. Dengan adanya jamuan sedemikian telah dapat menjimatkan perbelanjaan
makan para pelajar yang datang untuk solat terwaih di Malaysia Hall. Lantas
‘melimpah ruah’ lah tempat solat di Malaysia Hall itu sehinggakan pernah
mencecah sehingga 300 orang jemaah pada satu-satu malam.
Kegiatan
sedemikian dapat aku lakukan sehingga tahun 1998 dan berkemungkinan kegiatan
sedemikian berterusan dan diteruskan oleh pihak yang bertanggungjawab
seterusnya untuk menjaga hal ehwal pelajar di UK dan Eire sehingga kini.
Dan
kalau boleh biarlah ditetapkan 8+3 sahaja. Orang muda tak suka lama-lama berada
di surau. Taklah semuanya begitu…..
abuhassanadam
23 Jun 2015
No comments:
Post a Comment