NASI MINYAK PAK AJID
Setiap
kali aku menghadapi hidangan berbuka puasa bersama keluarga kini, entah macam
mana tidak akan terlepas ingatan aku kepada keadaan berbuka puasa yang aku
‘nikmati’ ketika aku masih kecil dulu-dulu. Ketika itu sememangnya dalam keadaan
serba kekurangan. Ada makanan tetapi tidaklah seperti yang dinikmati oleh
kebanyakan keluarga kini. Ada kuih tetapi hanya sejenis kuih yang dapat
dihidangkan. Ada lauk untuk ‘menemani’ nasi tetapi mungkin sekadar Gulai Lemak
Ikan Haruan ataupun mungkin Gulai Telur Itik Air yang dibela oleh Opah. Untuk
hidangan waktu Sahur pula mungkin itu jugalah lauknya (sekiranya masih
berlebihan). Jikalau tidak hanya berlaukkan Ikan Belanak yang dibakar.
Rata-rata
itulah keadaan ‘hidangan’ dan makanan yang dinikmati oleh kebanyakan orang
kampung aku pada ketika itu (1950an). Miskin. Namun mungkin ramai kanak-kanak
kini tidak yakin apabila aku katakan bahawa hanya pada bulan Ramadhan sajalah
anak-anak di kampung aku dapat menikmati makanan yang agak mewah. Pada bulan
Ramadhanlah kami berpeluang menikmati jamuan Nasi Beriyani ketika berbuka puasa
di surau kampung kami. Itu pun pada malam 27 Ramdhan atau Tujuh Likor yang
dianggap malam yang agak istemewa. Dan hanya dapat menikmati makan sedemikian
hanya pada bulan Ramadhan yang akan datang. Maknanya sepanjang tahun kami tidak
berpeluang menikmati makanan-makanan yang sedemikian.
Berbanding
dengan kanak-kanak zaman ini yang sudah ‘muak’ dan jemu memikmati makanan
sedemikian. Setiap majlis khenduri
kahwin samada di kampung atau di bandar pastinya nasi minyak atau nasi beriyani
yang dihidangkan. Berbanding dengan zaman dahulu adalah terlalu ‘glamorous’
jika berpeluag menikmati makanan berlaukan daging ayam atau daging lembu. Hanya
pada hari-hari kebesaran seperti Hari Raya saja yang kami berpeluang menikmati
makanan sedemikian.
Pada
majlis berbuka puasa di surau pada malam-malam biasa, hidangannya adalah
‘Kanji’ atau Bubur Lambuk yang dimasak oleh Pak Daman dan kemudiannya diambil
alih oleh Pak Ajid setelah Pak Daman meninggal dunia. Dan kebiasaannya ‘Kanji’
di surau Ekor Dusun dimakan dengan Kerabu atau ‘Pencuk’. Samada Kerabu Pucuk
Paku atau Kerabu Taugeh ataupun Kerabu Nangka Muda. Bagi yang agak berada
tentulah kerabu yang dihidangkan adalah Kerabu Taugeh.
Suatu
hal yang kadang menyebabkan air mataku mengalir kini ialah apabila aku
menikmati buah kurma. Amat jauh bezanya buah kurma yang biasa aku makan ketika
berbuka di surau Ekor Dusun dulu. Kini baru aku terfikir bahawa kualiti buah
Kurma yang aku dan kawan-kawan makan pada ketika itu adalah dari kualiti yang
amat rendah. Mungkin buah Kurma yang aku makan itu adalah buah kurma yang sudah
tidak berguna lagi. Aku katakan begitu kerana pada buah kurma yang kami makan
pada ketika berbuka puasa di surau Ekor Dusun dulu perlu dibasuh terlebih
dahulu untuk menghilangan pasir-pasir yang melekat pada buah kurma berkenaan.
Dengan sebab ltulah kuat aku mengatakan buah kurma yang dimakan oleh anak-anak
kampung (yang miskin) pada ketika itu adalah buah kurma yang sudah jatuh ke
bumi yang sudah ‘bertaraf’ untuk dibuang sahaja.
Keadaan
makan kurma yang sebegini ada kaitannya dengan pengalaman aku dan anak-anak
mengutip Apple dan Pear di ladang Apple di Wenatchee Valley, USA yang mendapat
jolokan ‘Apple Capital of The World’ pada suatu ketika dahulu. Kami dijemput
untuk melawat ladang seorang kawan yang dipenuhi dengan pokok Apple dan Pear
yang pada ketika itu sedang berbuah ranum dan hanya menunggu masa untuk
dipetik. Melihatkan ‘pemandangan’ yang tidak pernah kelihatan sedemikian di
negara kita, anak-anak aku ‘menggila’ memetik apple dari pokoknya lantas
‘memandang sebelah mata’ buah-buah apple yang ‘berlambak’ di atas tanah
sedangkan apple-apple berkenaanlah yang mungkin dihantar ke negara kita
Malaysia. Buah apple yang berlambak itulah yang dimakan oleh rakyat Malaysia,
fikir aku.
Jadi
buah kurma yang terbuanglah yang jadi makanan aku dan anak-anak kampung lain
ketika berbuka puasa. Tidak pernah aku terjumpa buah Kurma seperti yang aku
nikmati sekarang samada di kedai Moh Khaw atau Barakath Store di Padang Rengas
pada ketika itu. ‘Meghacun..’ kata orang Perak.
Seperti
yang aku jelaskan awal-awal tadi, Nasi Minyak atau Nasi Briyani hanya dapat
dinikmtai pada Malam 27 atau Malam Tujuh Likor. Malam berkenaan dianggap malam
istimewa bagi penduduk Ekor Dusun. Untuk mengadakan jamuan berkenaan, penduduk
kampung membuat kutipan dalam bentuk wang untuk menjayakannya. Dan untuk
menyediakan makanan berkenaan dijalankan secara bergotong royong pula. Pak Ajidlah
sebagai ketuanya. Dan Pak Ajid sememangnya ‘pakar’ dalam hal memasak nasi
minyak. Diwarisi dari ayahnya, Tok Aki Pandak Osman ( To Aki aku juga tu). Dan
aku tidak pasti siapa pula yang akan mewarisi kepakaran Pak Ajid untuk
menyediakan nasi minyak di kampung apabila Pak Ajid sudah tidak ada nanti.
Kisah
nasi minyak malam 27 sudah mula diwar-warkan pada awal Ramadhan lagi.
Menunjukkan begitu ghairahnya anak kampung pada ketika itu untuk menikmati nasi
minyak. Semacam ada ‘count-down’ pula. Dan apabila sampai MALAM 27, semua orang
kampung berbuka puasa di surau Ekor Dusun. Mungkin untuk memeriahkan Malam 27
ataupun untuk menikmati Nasi Minyak Pak Ajid…..
Setahun
sekali……..
abuhassanadam
22 Jun 2015
Assalamualaikum Pak Abu.. saya dah lama baca penulisan Pak Abu dan yg paling saya kagum,Pak Abu masih mampu mengingati nama nama orang kampung Pak Abu hingga sekarang.
ReplyDeleteNeff,
ReplyDeleteNama-nama itu adalah nama sebenar. Ceritanya pun bukan rekaan. Sebenarnya apa yang saya tuliskan merupakan 'social history'.
Pak Abu
Assalam... saya amat tertarik dengan 'social history' yang dah banyak saudara catatkan. Memang tersentuh hati. Apa yang saudara kisahkan itu, banyak bersamaan dengan kehidupan saya di zaman kanak2 dulu, tahun 60an. Kehidupan kampung yang serba kekurangan... bezanya saya di perkampungan nelayan...
ReplyDeleteShukri,
ReplyDeleteWaalaikumsalam.
Abadikan kisah-kisah di kampung nelayan saudara itu ketika usia masih mampu melakukannya.
Pak Abu
Salam Pak Abu
ReplyDeleteTersentuh hati membaca nukilan Pak Abu kali ini. Ada persamaan dengan diri ini. Membesar di kg melayu di pinggir KL.
Innoza,
ReplyDeleteSalam kembali.
Apa yang saya nukilkan adalah kisah derita hidup orang Melayu sebenarnya. Anak-anak yang punya kesedaran harus berusaha membela nasib orang Melayu ( dengan tidak memusuhi golongan bukan Melayu) dengan cara yang tersendiri.
Pak Abu
T kasih ayahanda kerana mengabadikan ayah mertua saya di sini...'pak ajid'...
ReplyDeleteAzilah,
ReplyDeleteMasih segar dalam ingatan. Kadang-kadang mengalir juga setitik dua air mata.....Salam saya kepada Pak Ajid. Dah agak lama tak berjumpa.
Pak Abu