Tuesday, June 16, 2015

MENJELANG RAMADHAN

            Tak lama lagi umat Islam akan berpuasa. Seluruh dunia, umat Islam akan berpuasa. Di bandar-bandar seperti di Kuala Lumpur suasana menyambut bulan Ramadhan tidak semeriah suasana di kampung ketika menyambut Ramadhan. Dan suasana menyambut Ramadhan pada awal Kurun ke 21 tentunya amat berbeza dengan suasana menyambut Ramadhan pada tahun-tahun 1950an.

            Untuk ‘mengembirakan’ hati yang ‘duka lara’ menyambut Ramadhan kini ( di Kuala Lumpur), aku sentiasa mengenangkan kembali suasana menyambut Ramadhan ketika di kampung dalam tahun-tahun 1950an. Dan aku yakin juga bahawa rakan-rakan yang ‘sewaktu’ dengan aku pasti mengalami perasaan sedemikian juga. Amat seronok mengenangkan peristiwa silam menyambut Ramadhan. Nostalgia…..

            Surau Ekor Dusun mesti dibersihkan sebelum menyambut Ramadhan. Walaupun ahli kariah Ekor Dusun hanya terdiri daripada 30 keluarga, namun kita menyambut Ramadhan dengan penuh meriah sekali. Satu hari suntuk diperuntukan untuk membersihkan kawasan surau berkenaan. Kecil besar tua muda akan bersama-sama bergotong royong, membasuh lantai, membuang rumput-rumput yang tumbuh di sekeliling surau. Pendek kata surau pada bulan Ramadhan mesti menampakkan suasana yang cukup ceria. Amat menyeronokkan.

            Walaupun akan menempuh bulan ‘berlapar’ namun bagi anak kampung dan semua orang berasa cukup gembira menyambut Ramadhan. Ia merupakan satu bulan yang penuh dengan ‘temasya’ yang amat susah dimengertikan oleh sesiapa sahaja yang tidak dapat memahami budaya Melayu kampung menyambut Ramadhan. Kebanyakan orang kampung aku akan ‘bercuti’ dan ‘berehat’ pada bulan Ramadhan. Bermakna bahawa mereka sudh cukup bersedia dengan ‘simpanan’ untuk menghadapi bulan Ramadhan.

            Suasana malam bulan Ramadhan tentunya amat berbeza dengan malam-malam biasa. Riang dan ceria. Setiap surau dan masjid di kampung-kampung berdekatan akan ‘riuh-rendah’ dengan suara jemaah bersembahayang terawih yang tentunya akan diikuti dengan jamuan Moreh. Berbagai jenis kuih yang akan dihidangkan bertukar ganti sepanjang Ramadhan. Pastinya yang dihidangkan bukannya ‘Fried Chicken’ atau ‘Macdonald’ atau ‘Pizza’ atau ‘Nasi Arab’. Jauh panggang dari api. Masih ‘terlior’ rasanya untuk menikmati kembali kuih ‘Dokok-Dokok’ Wan Timah Pak Ajid, kuih ‘Anak Dara Dua Sebilik’ Wan Pesah Pak Alang Ibrahim, kuih ‘Badak Berendam’ Mak Cik Jah Pak Cik Samad, kuih ‘Puteri Mandi’ Pan Ngah Sepiah, kuih ‘Lepat Pisang’ Wan Meriam. Masih terasa kini keenakan kuih-kuih berkenaan yang diperbuat daripada bahan-bahan yang betul-betul asli dari kampung.

            Kebiasaannya Opah aku hanya menyediakan bubur kacang apabila sampai giliranya untuk mengadakan Moreh. Senang dan ringkas. Maklumlah orang tua. Dan orang kampung aku sudah dapat menduga apakah yang akan dihidangkan oleh Atuk dan Opah apabila sampai waktu Moreh kami. Mesti bubur kacang punya…..

            Aku sekeluarga berpeluang juga menikmati suasana menyambut Ramadhan di negara orang. Di Amerika Syarikat ia itu ketika aku menuntut di Stanford University, di Palo Alto California. Pada ketika itu kebetulan bulan Ramadhan jatuh pada musim Summer. Terpaksa berpuasa selama 17 jam ia itu bermula daripada pukul 3.45 pagi (Imsak) dan berbuka pada 8,45 malam. Walaupun dalam keadaan berlapar begitu, namun anak-anak aku Farid, Faizul (berumur lingkungan 9 dan 12 tahun) tetap berpuasa. Firdaus dan Fazlin masih kecil lagi ketika itu. Faisal belum ada lagi. Kadang-kadang aku dan isteri merasa amat sedih melihat ‘kesengsaraan’ yang mereka lalui ketika berpuasa. Namun mereka tetap berpuasa. Syukur.

            Pernah seorang rakan (orang putih) memberikan komen yang agak melucukan apabila melihat anak-anak aku berpuasa. “its killing’ katanya. Masih teringat dan terbayang muka rakan ‘mat salleh’ aku itu ketika memberikan komen berkenaan.

            Dan ketika aku bertugas di London pula selama empat tahun (1995-1998) aku telah ‘dikurniakan’ oleh Allah bahawa bulan Ramadhan jatuh pada musim Winter. Memang semacam tidak berpuasa. Imsak pukul 6.30 pagi dan berbuka puasa 3.45 petang. Isyak dan Terawih pukul 5.00 petang.

            Walaupun berpuasa dan berada pada bulan Ramadhan, di negara orang, namun suasana bulan Ramdhan itu tidak dapat dinikmati sebagaimana yang pernah kita lalui ketika berada di kampung. Tidak terdapat suasana bertukar-tukar kuih antara jiran-jira ketika menjelangnya waktu berbuka puasa. Tidak terdengar suara Bakri menjerit melaungkan ‘ais. ais’ ketika menjual air batunya (dalam tahun-tahun 1950an ketika kuasa letrik belum ada lagi di kampung aku). Dan pada waktu bangun sahur pula akan kedengaran ketukan beduk (kerantung) dari surau Ekor Dusun untuk mengejutkan penduduk kampung yang masih lena.

            Semua ini tidak terdapat di Palo Alto, California ataupun di  Hendon London. Suasana sedemikian hanya akan dapat dinikmati di Kampung Keroh Hilir, padang Rengas Perak. Untuk lebih spesifik lagi ialah di Kampung Ekor Dusun, kampung kelahiran ku.

            Sentiasa terkenang ke kampung.

abuhassanadam

16 Jun 2015

No comments:

Post a Comment