Sunday, June 14, 2015

PAK SAMAD SAID MENGORAK LANGAH

            Kemasukan Pak Samad menyertai DAP bukan kecil erti dan kesannya. Bagi yang memahami dan mendalami perkembangan politik negara, ‘trend’ yang telah diperkenalkan oleh Pak Samad ini merupakan satu ‘watershed’ dalam sejarah perkembangan politik tanah air, sesuatu yang belum pernah dialami. Dan kebiasaannya sesuatu perubahan yang besar itu pastinya dilakukan oleh tokoh-tokoh berjiwa besar yang yakin kepada perjuangannya.

            Rakyat yang matang cara berfikirnya akan dapat melihat tentang perbezaan antara tindakan yang dilakukan oleh DAP jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh PAS. Ramai yang mengatakan bahawa PAS kelihatan ‘undur’ ke belakang sedangkan DAP bergerak menuju kehadapan. Ramai juga yang menyesali melihat tindakan PAS yang sudah agak terkehadapan pada suatu ketika dahulu tetapi dengan keputusan muktamar yang baru diadakan baru-baru ini seolah-olah PAS mahu ‘menyekat’ perkembangan demikian dan masih mahu undur kebelakang. Dan tindakans sedemikian merupakan keyakinan dan peganngan kebanyakan ahlinya, mungkin.

            Banyak perkara yang boleh diperkatakan apabila DAP sanggup menerima Pak Samad ke dalam organisasinya dan kesanggupan dan kerelaan Pak Samad pula untuk menyertai parti berkenaan yang sudah sekian lama dikategorikan sebagai parti ‘milik’ orang Cina.

            Pak Samad telah menunjuk jalan bahawa Malaysia seharusnya ‘menamatkan’ perjuangan politik di Malaysia ini berasaskan bangsa. Sudah sampai masanya bangsa Malaysia menentukan arah tuju bukan lagi berasaskan bangsa dan ras. DAP sudah sekian lama ditonjolkan sebagai parti kaum Cina dan DAP sudah puas menjelaskan kepada rakyat mengatakan bahawa sebenarnya DAP bukan parti Cina seperti MCA. Namun disebabkan propaganda yang begitu kuat dijalankan oleh pihak Barisan Nasional menggunakan ‘lidah rasmi’ mereka seperti TV dan akhbar arus perdana telah menyebabkan orang Melayu menjauhkan diri dari parti ini.

            Keadaan kini nampak berubah dan perubahan ini agak mengejutkan juga. Mungkin kehadiran media sosial yang menyebabkan perkembangan ini tidak dapat ‘diempang dan disekat’. Tidak berapa lama dulu Dyana Sofia telah menyertai DAP dan terus diberikan peluang bertanding dalam PRK di Teluk Intan. Walaupun kalah dengan  beberapa undi sahaja telah menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia telah menerima kemasukan Dyana dalam DAP. Kaum Cina yang majoritinya menganggotai DAP telah menerima perubahan yang sedemikian.

            ‘Timing’ Pak Samad ‘menyerahkan’ dirinya kepada DAP menjadi persoalan juga kepada masyarakat Malaysia kini. Apakah yang mendorong  beliau menjadi ahli DAP pada saat dan ketika ini? Apakah ada pertalian dan hubungannya dengan keputusan yang dibuat oleh ahli PAS dalam muktamar yang diadakan baru-baru ini yang terlah mengenepikan golongan profesioanl dalam majlis pimpinan. Atau apakah ada rasa ‘kekecewaan’ di hati Sasterawan Negara ini dengan sikap ahli PAS yang mengambil keputusan sebulat suara tanpa bahas memutuskan hubungan dengan DAP. Apakah betul begitu anggapan setengah masyarakat Malaysia?

            Tindakan Pak Samad ini juga boleh dianggap sebagai ‘testing the market’, menguji dimanakah kecondongan cara berfikir masyarakat Malaysia kini. Keputusan PRU 13 yang lepas telah menunjukkan dengan jelas bahawa sebahagian besar masyarakat Malaysia telah dapat melupakan isu perkauman dalam memilih calon untuk mewakili mereka. Hakikat itulah yang merupakan sumbangan dan kejayaan besar Pakatan Rakyat dalam arena politik di Malaysia ia itu dapat menyatukan kaum-kaum di Malaysia yang lantas membuat keputusan politik yang tidak lagi berlandaskan kaum dilihat kepada keputusan PRU 13 berkenaan. Sebagai contoh, sekiranya pengundi di Temerloh mengundi berasakan kaum maka besar kemungkinan calon PAS tidak akan berjaya memenangi kerusi di Temerloh dalam PRU berkenaan.

            Pak Samad dan beberapa orang pemimpin Melayu lain yang berhasrat dan sedang berkira-kira untuk memasuki DAP mengharapkan suasana seperti yang terdapat dalam PRU 13 yang lalu berterusan. Tetapi malangnya suasana sedemikian telah semacam ‘dicemari’ oleh tindakan PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP. Namun begitu adalah menjadi harapan agar anak-anak muda yang berfikiran terbuka dan progresif akan bergerak ke arah mengembalikan semula ‘keagungan’ sebagaimana yang telah tercipta pada PRU 13 yang lalu.

            Mungkin ‘target group’ yang sedang diusahakan oleh DAP dan juga PKR ialah untuk menawan hati anak-anak muda progresif Malaysia dari berbagai keturunan untuk terus-menerus memberikan sokongan kepada parti yang dianggap mewakili bangsa Malaysia sebenarnya demi menyelamatkan bangsa Malaysia yang tercinta.

            Mungkin langkah Pak Samad it sebagai langkah permulaan. Langkah seorang pahlawan.

abuhassanadam
14 Jun 2015


            

2 comments: