SEHINGGA TERLENA......
Sudah
dua kali Ramdhan, masjid di tempat aku menggunakan ‘khidmat’ imam dari Mesir
untuk ‘mengemudikan’ solat terawih. Imam yang sama. Hafiz muda. Memang ‘sedap’
bacaannya. Panjang dan kadang-kadang mungkin ‘terlena’ dibuatnya. Ramai yang
memuji-muji tentang ‘kehebatan’ imam dari Mesir ini terutama dari segi ‘sedap’
bunyi bacaannya. Berlagu dan berirama ‘kemesiran’.
Berbanding
dengan Encik Kontak dan Pak Din Kayat yang menjadi imam solat terawih di surau
Ekor Dusun ( kampung aku), tentulah ibarat seperti malam dengan siang. Jauh
bezanya bacaan mereka dibandingkan dengan bacaan imam dari Mesir di masjid
tempat aku kini. Encik Kontak ‘boleh tahan’ juga berbanding dengan Pak Din
Kayat yang bacaannya agak mendatar tetapi betul tajweednya. Jikalau imam Mesir
ini membaca surah yang tentunya panjang sehingga terlena (kadang-kadang) Encik
Kontak dan Pak Din Kayat hanya membaca ayat-ayat pendek – ayat lazim.
Agak
besar juga perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh masjid di tempat aku
untuk ‘mengimport’ imam Mesir ini. Tambang perjalanan dan elaunnya ketika
berkhidmat di sini selama sebluan agak besar juga, namun disebabkan ‘kemampuan’
penduduk di sini menampung perbelanjaan demikian telah membolehkan imam
berkenaan berkhidmat bagi tahun kedua. Dan aku difahamkan bahawa sebenarnya
telah ada arahan dikeluarkan oleh pihak DYMM Sultan Selangor yang melarang
‘pengimportan’ imam-imam dari luar negara.
Aku
tidak tahu mengapa DYMM Sultan mengarahkan demikian. Mungkin juga agaknya
Baginda Sultan mahukan keseragaman dalam hal-hal pengamalan agama di negeri
Selangor. Baginda mungkin tidak mahu ada semacam perbezaan wujud antara
masjid/surau yang mampu dengan masjid surau orang kurang mampu berbuat demikian.
Mungkin Baginda takut dan bimbang akan timbul ‘perlumbaan’ antara masjid-masjid
di negeri ini untuk ‘mengimport’ para imam dari luar negara khususnya dari
Mesir dan Arab Saudi agaknya. Tetapi agaknya yang lebih dipentingkan oleh DYMM
Sultan ialah supaya tidak berlaku pengabaian para hafiz tempatan yang tidak
kurang juga kepakaran dalam mengendalikan solat terawih.
Melihatkan
keadaan yang berlaku kini terdetik juga difikiran aku untuk mempersoalkan sikap
orang Melayu/ Islam di negara ini yang terlalu menghormati dan menyanjung orang
luar berbading dengan orang tempatan dalam banyak hal. Semenjak zaman berzaman
sikap orang Melayu yang sebegini terus menerus diamalkan dan semacam tidak ada
titik noktahnya. Apa saja yang ‘berbau’ orang luar akan tetap disanjungi dan
yang ‘berbau’ tempatan akan diketepikan. Semacam begitulah.
Dengan
sebab itulah agaknya ramai dikalangan orang Melayu yang kurang ilmu pengetahuan
agamanya mengikut dan mengamalkan ajaran-ajaran sesat yang dibawa oleh ‘orang
luar’. Orang Melayu mudah sangat percaya disamping mudah lupa. Masih ramai lagi
orang Melayu ‘ Islam yang begitu taksub kepada kemampuan orang luar terutama
yang datang dari Timur Tengah, India, Pakistan. Pendek kata golongan yang berjubah, berjanggut
panjang dan bermisai tebal sentiasa mendapat tempat di hati orang Melayu di negara
kita. Pasti orang Melayu akan memberikan penghormatan yang melampau
terhadapnya.
Memang
sedap dan lunak ‘lagu’ bacaan imam yang didatangkan dari Mesir itu.
Kadang-kadang aku terfikir bahawa apakah aku sedang solat terawih ataupun
sedang menikmati lagu Mesir yang didendangkan oleh seorang artis yang
didatangkan dari Mesir. Dan kadang-kadang aku terfikir juga tentang apakah ada
perbezaan antara bacaan imam Mesir ini dengan lagu-lagu Hindi yang dinyanyikan
Muhammad Rafi (penyanyi Hindi sebelum Sharukh Khan). Memanglah ada
perbezaannya. Yang ini solat terawih dan yang satu lagi itu filem ‘Junglee’.
Mungkin tidak sepatutnya aku membuat
perbandingan begitu. Namun hakikatnya begitulah. Disebabkan aku tidak mengtahui
apa ‘biji-buah’ yang dibaca oleh imam berkenaan maka aku merasakan tidak banyak
perbezaan antara apa yang ‘dilagukan’ oleh imam berkenaan dengan lagu Hinidi
yang aku dengar. Salah aku juga kerana tidak mendalami dan memahami isi
Al-Quran.
Terlintas
di kepala aku (bukanlah ketika aku kusyuk solat terawih!!) untuk memikirkan bahawa
sudah sampai masanya DYMM Sultan di setiap negeri yang merupakan Ketua Agama
Islam di negeri-negeri masing-masing mengarahkan agar diberikan tumpuan yang
serious terhadap memahami isi Al-Quran. Maknanya penumpuan ke arah menafsir
ayat-ayat al-Quran mesti dititik beratkan supaya umat Islam di Malaysia bukan
sahaja mahir menghafal Al-Quran tetapi juga memahami sebenar-benarnya apa yang
tertulis dalam Al-Quran.
DYMM
Sultan harus memulakan langkah sedemikian dengan mengarahkan Jabatan Agama Islam
Negeri di Malaysia supaya setiap penceramah yang ingin menyampaikan ceramah
diwajibkan menggunakan Al-Quran sebagai ‘buku teks’. Maknanya setiap ceramah
yang disampaikan seharusnya mendasarkan ceramahnya kepada pentafsiran Al-Quran.
Tauliah untuk menyampaikan ceramah di mana-mana sahaja di negeri-negeri
berkenaan seharusnya diberikan kepada penceramah yang betul-betul berkebolehan
dan berkemampuan menyampaikan ceramah yang bermutu berdasarkan Al-Quran dan
Hadis.
Maksudnya
nanti, Insyallah akan betul-betul melahirkan ulama berkebolehan yang disegani dan
bukan hanya sekadar sebagai ‘ulama kangkung’.
abuhassanadam
26 Jun 2015
No comments:
Post a Comment