Thursday, June 18, 2015

SIKAP PEMIMPIN TAK BERMORAL – APAKAH GURU PATUT DIPERSALAHKAN

            Sikap dan perangai yang sedang ditonjolkan oleh setengah ‘pemimpin’ (belum pasti dapat memenuhi kriteria seorang pemimpin) di negara ini sedang diperhatikan dengan penuh minat oleh rakyat Malaysia khusunya anak-anak. Mungkin mereka hairan melihat gelagat setengah ahli Parlimen atau Menteri misalnya yang berperangai dan bersikap bertentangan dengan apa yang sedang dipelajari oleh mereka di sekolah seperti mana yang diajar oleh guru-guru mereka.

            Di sekolah para guru mengajar anak-anak supaya berbudi bahasa, menghormati orang tua-tua, beradab ketika berhubung dengan orang lain dan berbagai-bagai nasihat yang disampaikan oleh guru agar anak-anak yang didiik menjadi manusia yang berguna apabila dia besar nanti. Itulah merupakan ajaran yang disampaikan oleh guru. Tak tahulah pulak jikalau ada guru yang mengajar sebaliknya.

            Dan apabila melihatkan gelagat dan perangai setengah pemimpin negara (wakil rakyat dan menteri adalah diketgorikan sebagai pemimpin negara) maka apakah kita mahu menyalahkan guru-guru mereka yang mendidik mereka yang menyebabkan mereka berkelakuan sedemikian. Atau pun mungkinkah disebabkan latarbelakang kehidupan mereka yang menyebabkan mereka bertindak ‘seliar’ demikian. Atau pun mungkinkah ibu bapa mereka tidak mengajar mereka supaya berkelakuan seperti mana yang diharapkan oleh masyarakat. Ataupun mungkin keturunan mereka yang mengajar dan ‘mendidik’ mereka supaya mereka berkelakuan sedemikian.

            Anak-anak kita terdedah dengan berbagai maklumat yang dipaparkan oleh media (cetak atau elektronik) dan yang memperluaskan lagi sebaran maklumat ini adalah melalui media sosial yang tidak dapat dibendung dan disekat. Lantas apa saja yang dirakam dan disebarkan akan menjadi tontonan semua lapisan masyarakat. Dan tentulah tidak terkecuali tentang pendedahan perangai dan tindakan setengah ahli parlimen kita samada di dalam parlimen atau di luar parlimen yang dianggap amat ‘hodoh dan ‘jelek’ yang sepatutnya tidak ‘dimiliki’ oleh seseorang pemimpin yang menepati ertikata sebenarnya.

            ‘Mencarut’ atau mengeluarkan kata-kata kesat yang sepatutnya tidak layak diucapkan oleh seorang ahli parlimen sudah merupakan amalan biasa di parlimen Malaysia kini. Kadang-kadang terfikir juga kita bahawa apakah ‘mencarut’ dan mengeluarkan kata-kata kesat itu sudah merupakan budaya baru dalam parlimen di Malaysia? Dan yang menghairnkan ialah ada ahli parlimen itu semacam berasa bangga dan megah apabila dapat berucap dengan menyelitkan kata-kata yang berunsur ‘mencarut’. Tambah ‘memeningkan’ rakyat ialah apabila si ‘penceramah carut’ itu mendapat sokongan dan tepukan  daripada rakan-rakannya di parlimen. Dan mungkin sudah ada gelaran yang diletakkan kepada ahli parlimen yang berperangai sedemikain. “MP Seks’ misalnya. Mungkin juga ada yang berbangga mendapat gelaran sedemikian. Mungkin. Ini yang betul-betul menghairankan kita.

            Keadaan sedemikian pernah berlaku juga di parlimen-parlimen dari negara lain. Malah ada terdapat ahli parlimen yang membaling buku dan kerusi antara satu sama lain. Membayanagkan tentang ‘liar’nya perangai pemimpin di negara tersebut. Tetapi apakah perangai sedemikian perlu dicontohi oleh ahli parlimen di negara kita? Mengapa tidak kita contohi perangai dan tindakan ahli parlimen British atau negara-negara lain yang betul-betul beradab? Sepanjang penelitian aku tentang perjalanan parlimen Britain ( yang dijalankan secara langsung) tidak terdapat langsung ahli-ahli parlimen mereka mengeluarkan perkataan kesat dalam menyampikan hujah-hujah mereka.

            Secara kebetulan, aku pernah mengikuti ucapan YBM Tengku Razaleigh Hamzah di parlimen baru-baru ini. Memerhatikan penyampaian hujahnya yang dilengkapi dengan berbagai fakta dan hujah yang kental barulah aku terasa bahawa sebenarnya di parlimen kita masih ada lagi rupanya ahli parlimen yang masih mengamalkan istilah ‘berperadaban’ yang betul-betul menepati erti kata ahli parlimen yang sebenarnya. Ucapannya tidak perlu terjerit dan terlolong, tidak perlu memekik-melalak dan yang paling terpuji ialah tidak terdapat langsung unsur ‘mencarut’ seperti yang diamalkan oleh setengah ahli parlimen Malaysia kini.

            Diharapkan ahli parlimen kita memikirkan juga perasaan anak-anak yang ada juga mengikuti perbahasan di parlimen melalui TV di rumah atau di sekolah. Ahli parlimen dianggap sebagai pemimpin dan sepatutnya kepimpinan melalui teladan.

abuhassanadam
18 Jun 2015  


            

No comments:

Post a Comment