Monday, June 8, 2015

GEMPA BUMI SABAH : PM SINGAPURA HARUS DICONTOHI

            Bernama melaporkan bahawa Perdana Menteri Singapura telah mengarahkan agar bendera Singapura digantung separuh tiang di semua bangunan kerajaan sebagai menghormati mangsa rakyat Singapura yang terkorban dalam nahas gempa bumi di Gunung Kinabalu Sabah.

            Sebelum itu Channel News Asia melaporkan tentang keperihatinan kerajaan Singapura terhadap kemalangan yang menimpa rakyat Singapura yang sebahagian besarnya terdiri dari kanak-kanak sekolah. Dilaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri pada 6 Jun 2015 (sehari selepas malapetaka itu berlaku) telah menghantar ibu bapa kanak-kanak malang itu ke Kota Kinabalu dengan menaiki Republic of Singapore Air Force. Menggambarkan tentang kepekaan kerajaan Singapura terhadap rakyat yang ditimpa kesusahan. Bermakna rakyat didahulukan menepati ertikata yang sebenar-benarnya.

            Aku pernah mengalami keadaan sebegini ia itu ketika anak aku terlibat dalam gempa bumi di Katmandu baru-baru ini. Tidak dapat dibayangkan ‘kerisauan’ yang aku alami ketika beliau berada di tengah-tengah malapetaka yang berlaku di situ dan ketika menunggu bantuan dari negara sendiri (Malaysia).

            Yang agak menyedihkan (mengikut cerita anak aku) ketika beliau berada di lapangan terbang Kathmandu, menunggu bantuan dari negara kita yang tercinta Malaysia, satu demi satu bantuan sampai ke lapangan terbang berkenaan dari negara-negara luar yang agak perihatin tentang rakyat mereka yang malang. Tetapi bukan dari negara kita. Negara-negara lain datang dan pergi sedangkan bantuan dari negara Malaysia belum juga sampai. Dari India, Australia, Thailand dan negara-negara lain yang perihatin.

Dan yang sentiasa diperkatakan dan mendapat pujian ialah keperihatinan negara Singapura yang sanggup menghantar kapal terbang ke Kathmandu untuk menyelamatkan rakyatnya, walaupun bilangan rakyatnya yang terlibat tidak ramai. Ada yang mengatakan bahawa Singapura sanggup menghantar sebuah kapal terbang demi menyelamatkan seorang rakyatnya yang terkandas. Kini dalam usaha menyelamatkan rakyatnya yang terkandas di Sabah, Singapura sekali lagi menunjukkan keperihatinannya. Syabas!

Berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh anak aku itu, aku teryakin bahawa sememangnya kerajaan Malaysia agak lambat bertindak untuk menyelamatkan rakyat yang terkandas di Kathmandu. Hal ini aku dasarkan kepada pengalaman seorang rakyat Malaysia yang terpaksa menempah tiket Thai Airways untuk pulang ke Malaysia melalui Thailand disebabkan kegagalannya mendapatkan penerbangan ke Malaysia dengan menggunakan pesawat MAS. Tentulah agak menyedihkan mendengar cerita sedemikian.

Anak aku terpaksa menunggu ‘penyelamat’ dari Malaysia selama empat hari sebelum beliau boleh ‘diselamatkan’. Dan selama itulah aku dan keluarga turut menderita mengenangkan nasib yang menimpa. Dan ‘penderitaan’ yang aku alami tentulah tidak sama dengan derita yang menimpa keluarga MH 370 yang terpaksa dengan penuh debaran sentiasa menunggu berita daripada pihak berwajib tentang ‘nasib’ MH 370. Aku tidak dapat membayangkan ‘derita’ yang mereka rasakan apabila aku sendiri telah merasakan ‘derita’ menanti ketibaan anak dari Kathmandu. Dan sekurang-kurangnya derita aku ‘terubat’ apabila anak aku pulang ke pangkuan aku berbanding dengan derita kaum keluarga yang menunggu kaum keluarga MH 370 dan MH 17 yang tidak akan pulang. Kini aku boleh bayangkan derita mereka kerana aku juga telah mengalami derita hampir sedemikian.

            Aku mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab hulurkanlah pertolongan dan simpati sepenuhnya dalam menguruskan mangsa malapetaka sebegini. Dan kepada pemimpin negara diharapkan ikutilah contoh teladan yang ditunjukkan oleh kerajaan Singapura ( terutama Perdana Menteri ) yang menampakkan keikhlasan bersungguh-sungguh untuk mengambil berat tentang rakyatnya.

            Yang agak menghairankan juga ialah ‘ke mana perginya’ pihak-pihak yang sering membantu dan menolong kesengsaraan yang berlaku di negara lain. Aku sering juga mendengar kisah bantuan dan pertolongan diberikan oleh ‘sukarelawan’ Malaysia kepada rakyat Palestin, Acheh (ketika Tsunami) dan lain-lain. Apakah rakyat Sabah yang ditimpa kemalangan itu tidak perlu diberikan pertolongan? Aku rasa di Sabah juga ada TV3 dan RTM untuk melaporkan ‘kegiatan’ saudara-saudara semua. Dan berkemungkinan juga wajah saudara dapat disiarkan melalui TV berkenaan.

            Betul juga peribahasa yang mengatakan, “ kera dihutan disusui, anak sendiri kelaparan’….

abuhassanadam
8 Jun 2015



1 comment: