PAS PERLU JAGA ‘AIR MUKA’
PAS
tidak akan undur ke belakang lagi. Sekiranya undur parti PAS tidak akan
dihormati lagi oleh sesiapa pun, walaupun oleh ahli PAS sendiri. Mungkin yang
masih ‘berpaut’ kepada parti ini ialah kumpulan ulama, yang kini merupakan teras parti tersebut sedangkan yang
bukan ulama sudah mula merasakan terpinggir. Dan sudah ada yang merasakan
bahawa golongan bukan ulama dianggap sebagai anak tiri dikalangan ahli PAS.
Kini
PAS akan berpisah dengan DAP. Itu keputusan yang telah dibuat oleh Muktamar
PAS. Tanpa bahas. Muktamad. Yang agak menghairankan ialah mengapa TG Presiden
semacam undur ke belakang apabila beliau mengatakan bahawa keputusan muktamar
itu bukan merupakan keputusan muktamad. Keputusan Syura yang akan menentukan
segala-galanya. Secara kebetulan pula kenyataan TG Presiden ini dilafazkan
setelah ‘mendengar’ yang kerajaan DAP Pulau Pinang mengalu-alukan peletakan
jawatan anggota PAS yang memegang berbagai jawatan dalam agensi kerajaan di
negeri itu. Dan perlu diingat bahawa kesemua jawatan berkenaan adalah merupakan
pelantikan yang ada kaitan dengan parti.
Ini
bermakna sekiranya PAS meneruskan ‘penceraian’nya dengan DAP bermakna kesemua
ahli PAS yang bertugas di berbagai-bagai agensi di Pulau Pinang itu akan
meletakkan jawatan. Terpaksa meletak jawatan disebabkan dasar parti PAS sudah
begitu keadaannya. Ahli PAS perlu taat kepada TG Presiden. Perlu taat kepada
kepimpinan ulama. Kena ikut apa yang telah dilakukan oleh Tuan Haji Mat Sabu
dan YB Mujahid Yusuf Rawa yang awal-awal lagi sudah mengundurkan diri. Mereka
seolah-olah sedar bahawa mereka tidak dianggap sebagai ‘hidung tak mancung pipi
tersorong-sorong’. Mereka lah pejuang sebenar.
Majlis
Syura pastinya membuat keputusan sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Ulama
kerana difahamkan bahawa ramai anggota Majlis Ulama adalah juga ahli Majlis
Syura yang akan membuat keputusan penting. Disebabkan yang mencadangkan agar
PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah datangnya dari Majlis Ulama (sebulat
suara), maka tentunya para ulama yang membuat keputusan dalam Majlis Syura nanti
akan mempertahankan keputusan yang telah termetri. Tentulah ‘hina’ seseorang
ulama itu jika berdoalk-dalik atau ‘surung-sentap’ dalam membuat keputusan.
Lagipun rasionalnya mereka membuat keputusan untuk tidak bersama dengan DAP adalah
sedikit sebanyak menggunakan hujah yang berkaitan dengan agama. Agaknya ler.
Sebenarnya
ekoran daripada tindakan para ulama dalam PAS yang memutuskan hubungan dengan
DAP tanpa bahas itu telah menelurkan rantaian kesan-kesan politik yang bertali
arus. Disebabkan keputusan yang dibuat itu pastinya tidak akan ditarik balik,
maka keadaan politik di Selangor juga akan menimbulkan berbagai masalah. Dan
tentunya ‘memeningkan’ kepala YAB Azmin juga. Beliau akan menghadapi satu
suasana, ‘di telan mati emak dan diluah mati bapak’.
Adalah
dirasakan sudah mula timbul perasaan yang kurang puas hati dari kalangan ahli
PAS sendiri (ulama dan bukan ulama) terhadap keputusan muktamar yang baru lalu.
Sekiranya apa yang berlaku di Pulau Pinang dipraktikan juga di Selangor, maka
ribuan penjawat agensi kerajaan Selangor yang lantikan mereka berkaitan dengan
parti akan terpaksa meletakkan jawatan juga. Mungkin.
Bezanya
di Selangor ialah kedudukan PAS agak kuat ia itu menguasai 15 kerusi Dewan
Undangan Negeri sama banyak denga yang dikuasai oleh ADUN dari DAP. Ini
bermakna kedudukan PAS dan DAP adalah dipersimpangan dan amat meruncing.
Pemimpin PAS (ulama) harus tegas dengan keputusan yang dibuat. Apa yang berlaku
di Pualau Pinang begitu jugalah tindakan kerajaan Selangor. Dan sekiranya ada
pegawai lantikan politik di Kelantan misalnya dari kalangan DAP, maka
seharusnya pegawai DAP berkenaan meletakkan jawatan serta merta. Itu merupakan
prinsip dan harus dipegang sekuat-kuatnya.
PAS
tidak akan undur lagi dengan keputusan yang telah dibuat. Jangan. Malu.
Sepatutnya isu sebegini difikirkan sehalus-halusnya dan semasak-masaknya oleh
ahli Majlis Ulama sebelum dibuat keputusan sebulat suara. Sebulat suara.
Maknanya para ulama dalam Majlis Ulama berkenaan tidak merasa ragu-ragu dengan
keputusan yang telah dibuat. Begitu juga dengan keputusan Muktamar.
Keputusan
itu tidak boleh diundur lagi. Pantang orang Melayu berdolak-dalik. Jaga ‘air
muka’. Jikalau tidak masakan ada peribahasa yang mengatakan,’ terlajak perahu
boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya……” jikalau ada pun ahli PAS yang
merasa agak kecewa dengan keputusan demikian, maka peribahasa Melayu ada juga
mengatakan…
“Nasi
sudah menjadi bubur”
abuhassanadam
9 Jun 2015
Salam pak abu
ReplyDeleteAter telan je la bubur tu beramei ramei..sian demer..