RAMADHAN DI E.T.S.
Kebetulan
pula kursus yang perlu aku hadir di Educational Testing Service (ETS) di
Princeton New Jersey pada musim Summer tahun 1979 jatuh pada bulan Ramdhan.
Pertama kali aku berada di luar negara dan pertama kali jugalah aku akan berpuasa
di negara yang mengalami empat musim. Tidak pula aku diberitahu bahawa musim
panas siangnya amat panjang sedangkan malamnya pendek. Oleh itu terpaksalah aku
menahan lapar dalam waktu yang panjang sebelum berbuka puasa.
Ini
merupakan pengalaman baru bagi aku dan Rick Halil, rakan sebilik aku ketika di
ETS. Rick memanglah rakan sepejabat dan kami dihantar ke ETS untuk memperdalami
lagi ilmu yang berkaitan dengan ‘testing and measurement’ yang berkaitan dengan
hal bersangkut paut dengan peperiksaan awam. Lebih kurang sebulan. Disebabkan
kami bertugas di Lembaga Peperiksaan Malaysia, maka seharusnya kami
memperdalami kepakaran berkenaan dan di ETS lah merupakan tempat yang paling
sesuai.
Banyak
sangat ‘rahsia’ yang tersimpan antara aku dan Rick Halil. Dan pernah juga aku
kisahkan sebelum ini bagaimana kami menempuh pengalaman pertama kali kami
berada di kota London sekembali dari New York dan singgah sebentar di London.
Dan telah aku ceritakan bagaimana, disebabkan ‘kejakunan’ kami berada dalam
bilik rumah tumpangan telah meriuh-rendahkan seluruh rumah tumpangan
berkenaan. Puncanya adalah disebabkan
‘heater’ yang menyala ekoran daripada jari-jari Rick yang ‘gatal’ memetik ‘di
sana dan disini’ yang akhirnya terpetik switch ‘heater’ di bilik yang kami tumpangi
itu.
Aku
dan Rick bersedia juga dengan lauk-pauk untuk menghadapi bulan Ramadhan di
negara orang. Kami tahu juga bahawa kami akan menghadapi ’kesukaran’ di sana.
Kami sedar bahawa bukan ada ‘Pasar Ramadhan’ untuk kami membeli juadah berbuka
puasa dan kami tahu juga bukan ada dijual Ayam Percik ataupun Rendang Tuk Perak
atau Serunding Daging di negara berkenaan. Atau bukan ada dijual kuih muih
seperti kuih ‘Anak Dara Dua Sebilik’ atau ‘Badak Berendam’ atau ‘Puteri Mandi’
seperti yang biasa di jual di Lembah di Kuala Kangsar berhampiran dengan Sungai
Perak.
Ketika
melalui pemeriksaan kastam di John F. Kennedy Airport di New York, perasaan aku
sentiasa berdebar disebabkan terdapat ‘Serunding Daging’ dalam beg aku. Aku
difahamkan bahawa barangan yang berkaitan dengan ‘daging’ merupakan barang
larangan masuk ke Amerika Syarikat ( pada ketika itu).
Beg
Rick dibuka dan mulalah pihak kastam di situ membelek-belek mencari barangan
larangan. Aku tahu dalam sebuah tin ‘Milo’ dalam beg Rick terisi Serunding Daging
yang dibekalkan oleh ibunya. Si Kastam terus ‘menerkam’ pada tin ‘Milo’
berkenaan dan meminta Rick membuka tin berkenaan. Lantas kastam berkenaan
bertanya Rick tentang apakah yang terdapat dalam tin berkenaan. Tergagap-gagap
Rick menjelaskan secara jujur dan ‘ikhlas’. Apabila si Kastam mendengar sahaja
perkataan ‘meat’, terus dia mengambil tin berkenaan dan membalingkan dalam tong
sampah yang tersedia. Rick hanya melihat dengan ‘linangan air mata’.
Tentulah
aku semakin bimbang mengenangkan ‘nasib’ yang akan menimpa diriku selepas
‘malapetaka’ yang menimpa Rick. Aku disuruh membuka beg aku. Apabila terbuka
sahaja beg aku, dengan tidak disangka-sangka seluruh beg aku dikotori oleh
serunding yang ‘meletup’ akibat dari kebocoran plastik yang digunakan oleh
isteri aku untuk membungkus serunding berkenaan. Apabila melihat keadaan
sedemikian, si kastam langsung tidak mahu menyentuh beg aku dan lantas menyuruh
aku beredar dengan segera dari situ. ‘Terselamat’ serunding aku. Itulah yang
dikatakan hikmah terselindung. Walaupun peristiwa itu menjadi bahan ketawa
untuk beberapa bulan, namun kesedihan tetap ada kerana Rick tidak dapat
menikmati Serunding Daging yang dibekalkan oleh emaknya.
Oleh
itu sepanjang bulan Ramadhan di ETS, Rick menumpang ‘ration’ yang dibekalkan
oleh isteri ku. Agak bernasib baik kerana bungkusan plastik yang berisi
Serunding Daging itu pecah bertaburan. Hanya dapat ‘bertahan’ untuk beberapa
hari sahaja. Selepas itu kami terpaksalah bergantung kepada makanan-makanan
‘orang Amerikan’ yang halal yang terdapat disekeling bandar Prinston.
Memang
terasa benar ‘siksanya’ berpuasa di tempat yang sedemikian. Ada terdapat
penduduk yang tinggal di Princeton New Jersey itu yang langsung tidak tahu
tentang budaya berpuasa yang diamalkan oleh orang Islam. Dan hampir tidak
bertemu dengan orang Islam di kawasan itu. Dan tidak pula kami berjumpa
walaupun dengan sebuah masjid di situ untuk kami sama-sama menunaikan solat
terawih.
Dalam
keadaan sedemikian aku dapat melengkapkan puasa aku selama berada di Princeton.
Begitu juga Rick Halil. Syukur….
abuhassanadam
19 Jun 2015
No comments:
Post a Comment