Monday, June 29, 2015

BERBUKA PUASA BERSAMA SAUDARA ANWAR IBRAHIM

            Sekurang-kurangnya sekali pada setiap Ramadhan mereka dijemput berbuka puasa bersama Menteri Pendidikan pada ketika itu – DS Anwar Ibrahim  di rumah kediaman beliau ia itu di Bukit Damansara. Rumah lama sebelum berpindah ke Segambut. ‘Mereka’ yang aku maksudkan itu ialah pemimpin-pemimpin kesatuan guru Malaysia. Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat akan diwakili oleh Cikgu Noordin Mahmood (kini dah Dato’), Cikgu Kassim Muhammad, Cikgu Mahbud. Sementara Kesatuan Guru-Guru Malaysia diwakili pula oleh Cikgu Siva Subramaniam (dah Dato’ juga), Cikgu Nallathamby dll. Dari Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab pula terdiri dari Cikgu Muhammad Mustafa, Cikgu Kassim Harun dll.

            Disamping beberapa kesatuan yang aku sebut disini, ada terdapat beberapa buah kesatuan guru lain yang dijemput juga untuk mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan dan berbukan puasa bersama. Aku tidak menyebutnya dalam artikel ini tidak bermakna bahawa mereka tidak penting dan tidak memberikan sumbangan terhadap perkembangan pendidikan negara. Tentulah mengambil ruang yang luas sekiranya semua nama-nama mereka dicatatkan di sini.

            Mereka adalah antara pemimpin-pemimpin kesatuan guru yang aktif pada ketika itu. Awal 1990an. Mereka diingati disebabkan sokongan mereka yang padu kepada dasar kerajaan (tentunya dasar yang menguntungkan bangsa dan negara) disamping memberikan kritikan-kritikan yang membina terhadap sebarang dasar yang hendak dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran, khususnya yang dirancang dan hendak dilaksanakan oleh DS Anwar Ibrahim selaku Menteri Pendidikan pada ketika itu.

            Pertama kali DS Anwar Ibrahim menyuarakan cadangan untuk mengadakan majlis berbuka puasa dengan pemimpin kesatuan ( yang bukan beragama Islam) telah menimbulkan keraguan banyak pihak tetapi tidak berani menyuarakan penentangan atas cadangan itu disebabkan segala keptusan yang diambilnya pasti beliau telah mengkaji dengan semasak-masaknya kesan baik dan buruknya.

            Tugas aku sebagai Pegawai Khas beliau ketika itu tentulah melaksanakan apa yang telah diarah. Walaupun dengan tidak membabi buta, namun aku merasakan bahawa langkah yang diambil oleh Saudara Anwar pada ketika itu amat sesuai dalam negara yang mengamalkan berbilang kaum dan agama. Amat kena dan sesuai dalam usaha untuk merapatkan jurang perkauman dan agama di negara ini. Dan mungkin tidak ramai yang melakukan tindakan sepertimana yang dilakukan oleh beliau pada ketika itu.

            Kami berbuka puasa bersama. Maksudnya menjamah makanan bersama sebelum menunaikan solat Maghrib. Siva, Nallathamby dan rakan-rakan lain ‘berbuka puasa’ bersama dalam erti kata mereka memulakan makan setelah masuk waktu berbuka puasa. Tidak kekok dan tidak janggal. Itu sebenarnya langkah pemufukan bangsa Malaysia sebenar dan bukan hanya sekadar cakap-cakap kosong untuk ‘menyedapkan hati’.

            Berani aku mengatakan banyak isu yang berkaitan dengan dasar pendidikan negara dapat diselesaikan dengan cara begini. Tidak terdapat walau sedikitpun ketegangan dalam menyelesaikan isu-isu yang kritikal yang membabitkan hubungan kaum atau menyentuh isu-isu yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Semuanya berjalan dengan lancar melalui rundingan atas semangat tolak ansur. Apatah lagi pada ketika itu kerajaan Malaysia sedang mengkaji semula Akta Pendidikan (jikalau aku tak silap) yang barang tentunya membabitkan hal-hal yang berkaitan dengan isu-isu perkauman.

            Mungkin agaknya Menteri Pendidikan Malaysia kini meneruskan apa yang telah dirintih dan dilakukan oleh Saudara Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan. Tetapi satu hal yang aku pasti ialah bahawa ketika teraju Kementerian Pendidikan ini dipegang oleh Dato Amar Dr. Sulaiman Daud, beliau meneruskan jamuan berbuka puasa dengan pemimpin kesatuan guru sepertimana yang dilakukan oleh DS Anwar Ibrahim itu.

            Satu kelainan juga yang dilakukan oleh Dato Amar Sulaiman Daud ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan Malaysia ialah kemurahan hatinya menghantar Daun Palas (untuk membuat ketupat) kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di United Kingdom setiap kali menjelangnya Aidilfitri. Aku masih ingat bagaimana ‘sebeban’ Daun Palas telah dihantar oleh beliau ke London melalui penerbangan MAS yang mana pada ketika itu aku telah bertugas di London menjaga hal ehwal pelajar disana.

            Dan beraya sakanlah para pegawai dan pelajar-pelajar Malaysia di London memakan ketupat Daun Palas hasil sumbangan YB Datuk Amar Sulaiman Daun (arwah). Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

abuhassanadam
29 Jun 2015

           





1 comment: