Sunday, June 7, 2015

MUKTAMAR PAS 2015 – TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR........

            PAS di muktamarnya yang baru sahaja diadakan telah membuat keputusan yang amat drastik. Memutuskan hubungan dengan DAP tetapi masih mahu berada dalam Pakatan (aku tak faham apa maksudnya). Dan yang ‘hebat’nya keputusan itu telah dicapai tanpa perbahasan dan perdebatan. Maknanya para perwakilan tidak diberikan peluang untuk membahaskannya. Semacam keputusan yang tak boleh dibincangkan. Apa yang telah diptuskan oleh Ulama boleh dikira semuanya betul belaka.

            Dan ekoran daripada keputusan berkenaan Saudara Lim Guan Eng, selaku Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang dengan ‘senang hati’ menerima peletakan jawatan ahli PAS yang memegang berbagai jawatan kerajaan negeri berkenaan. Dan Tuan Haji Mat Sabu memulakan dengan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang Halal Hub. Ini merupakan tindakan yang amat terpuji dari seorang pejuang yang sentiasa memikirkan ‘perjuangan’ dan mengenepikan kepentingan ‘perut’ sepertimana yang diamalkan oleh kebanyakan pemimpin negara kini.

            Dan selepas terdengar ‘halalintar membelah bumi’ itu, maka
Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden berkata bahawa beliau menunggu laporan rasmi daripada DAP berhubung permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang supaya semua wakil PAS di negeri itu meletakkan jaawatan daripada agensi kerajaan negeri.Malah Presiden PAS itu juga menjelaskan usul memutuskan hubungan dengan DAP oleh Dewan Ulama itu hanya dipersetujui di peringkat muktamar.Katanya, usul berkenaan perlu dibawa pula ke Majlis Syura dan keputusan tidak dibuat dalam muktamar.

            Walau apa pun alasan diberikan menunjukkan kecetekan fikiran para perwakilan PAS yang tidak langsung memikirkan kesan baik dan buruknya keputusan yang diambil tanpa bahas itu. Ini yang selalu diingatkan oleh orang tua-tua kita bahawa ‘terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata buruk padahnya’. Persoalannya ialah mengapakan keputusan yang begitu penting itu langsung tidak mahu dibahaskan terlebih dahulu oleh Muktamar supaya dapat didengar oleh semua perwakilan yang hadir supaya dapatlah mereka membuat kesimpulan tentang baik buruknya. Dan apakah semua keuputusan yanag dibuat oleh Majlis Ulama itu betul belaka dan tidak perlu lagi diperbahaskan. Dan apakah tidak langsung difikirkan oleh mereka tentang buruk baik yang akan menimpa ke atas kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

            Kini Tuan Guru Presiden seolah-olah mahu meletakkan tanggungjawab ini ke atas bahu Majlis Syura yang memberi erti bahawa keputusan muktamar ‘tak boleh pakai’ dan hanya menjadi keputusan setelah dibincangkan oleh Majlis Syura. Itu betul. Dan sememangnya begitu peraturannya. Tetapi kelihatan semacam mahu ‘undur ke belakang’. Nampak semacam begitu setelah kelihatan dan kedengaran ‘dentuman dan ledakan halalintar’. Tindakan ‘undur ke belakang’ ini dibuat setelah dilihat dan kelihatan kesan buruk daripada keputusan yang timbul dari muktamar.

            Tindakan para perwakilan dalam muktamar yang mengenepikan golongan ‘bukan ulama’ menjadi perhatian umum dan mungkin juga ditertawakan. Sikap para perwakilan yang terus menerus meninggalkan golongan ‘bukan ulama’ yang berpengalaman dan yang pernah memberikan sumbangan yang begitu besar kepada parti dan perjuangan, menampakkan kedangkalan cara berfikir perwakilan PAS pada muktamar kali ini.

            Mungkin agaknya para ‘ulama’ merasakan diri mereka serba tahu dalam semua hal dan lantas tidak memerlukan lagi sumbangan daripada golongan yang bukan ulama untuk menerajui PAS. Dan tidak hairan rasanya jikalau akan berlaku ‘penghijrahan’ beramai-ramai sepertimana yang berlaku kepada masyarakat Rohingya dari Burma itu yang kini hangat diperkatakan di negara kita.

            Rakyat hanya dapat melaungkan slogan Si Luncai. “Biarkan….Biarkan…..”

abuhassanadam
7 Jun 2015


            

No comments:

Post a Comment