Saturday, June 27, 2015

MARA - SAMPAI BILA MELAYU DIMALUKAN

            Kadang-kadang aku tidak dapat memikirkan sampai bilalah agaknya orang Melayu seperti aku akan terus dimalukan oleh pemimpin bangsa sendiri. Dan yang menghairankan ialah bukannya orang lain, maksud aku bukannya orang bukan Melayu yang memalukan orang Melayu dan bangsa Melayu tetapi pemimpin Melayu sendiri. Lepas satu, satu kerenah yang dilakukan oleh setengah pemimpin kita yang betul-betul memalukan orang Melayu yang berketurunan Melayu. Bangsa Melayu.

            Disebabkan oleh bapa aku orang Melayu tulin keturunan orang asli (agaknya) dan ibuku juga berketurunan orang aslin tulin Tanah Melayu, maka tentulah aku juga orang Melayu keturunan orang asli juga. Melayu tulin. Kadang-kadang mahu rasanya aku mengakui bahawa diri aku bukan orang Melayu. Maksudnya aku berasa malu mengakui diri ku orang Melayu. Namun apa yang hendak dikatakan kalau sebenarnya aku berketurunan Melayu tulin.

            Sebenarnya sekiranya disusur-galurkan keturunan Melayu tidaklah hina sebagai ‘terhina’nya bangsa Melayu kini. Sejarah Melayu telah menceritakan tentang kehebatan budaya dan keagungan Kesultanan Melaka dengan sejarah gemilangnya yang dapat meluaskan jajahannya sampai ke kepulauan Melayu lain. Dan Islam juga dikembangkan oleh keturunan Melayu sehingga dapat bertapak dengan megahnya di kepulauan Melayu.

            Tetapi kini  seolah-olah bangsa Melayu itu dikenali sebagai satu bangsa dimana pemimpinnya hanya sentiasa mementingkan diri sendiri, pengamal rasuah, tidak bertanggungjawab untuk mentadbir negara sebagaimana sepatutnya dan berbagai-bagai keburukan lain. Seolah-olah ‘taraf’ orang Melayu kini sudah dapat disamakan dengan ‘taraf’ masyarkat Jahiliah sebelum Islam. Apa saja yang dinamakan ‘keburukan’ maka itu adalah kepunyaan orang Melayu. Agaknya begitulah.

            Mungkin ada orang Melayu yang tidak bersetuju dengan kenyataan yang sebegini. Sememangnya menyakiti hati orang Melayu sendiri kerana kenyataan itu dikeluarkan oleh orang Melayu seperti aku. Namun aku dapat merasakan bahawa itulah merupakan persepsi orang lain terhadap orang Melayu, khususnya terhadap setengah pemimpin negara yang berbangsa Melayu. Tentulah kita tidak dapat ‘memadamkan’ persepsi orang lain terhadap bangsa Melayu. Walaupun dengan apa cara dicubakan maka tentulah amat sukar untuk ‘memadamkan’ persepsi demikian.

            Aku tidak pernah hilang keyakinan tentang kemampuan orang Melayu menjadi satu bangsa yang hebat dan agung. Bangsa Melayu sebagaimana yang dikatakan tadi mempunyai sejarah kewujudan yang hebat bermula sejarah Kesultanan Melaka. Dan sejarah bagaimana kita mendapatkan kemerdekaan negara juga amat hebat bagi aku. Sejarah Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakannya mendapatkan kemerdekaan boleh dikatakan mendahului zaman. Apa tidaknya.

            Sedangkan negara-negara lain di Asia Tenggara mencapai kemerdekaan melalui pertumpahan darah, Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaan melalui rundingan dan perbincangan. Apakah itu tidak hebat namanya. Sedangkan trend yang diamalkan oleh negara dunia ketika itu menggunakan tenaga fizikal (peperangan, pemberontakan senjata) tetapi pemimpin Tanah Melayu menggunaka akal fikiran untuk mendapatkan kemerdekaan negara. Apakah itu bukan merupakan kehebatan orang Melayu yang disimbolkan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail yang dibantu oleh Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan. Dan ‘kehebatan’ Tunku menyatukan bangsa-bangsa di Tanah Melayu juga merupakan satu pencapaian yang bukan kepalang.

            Walaupun negara kita dikejutkan dengan Peristiwa 13 Mei 1969, namun atas kebijaksanaan pemimpin berbangsa Melayu, keadaan sedemikian dapat dipulihkan. Negara terus menerus aman dan rakyat terus bersatu untuk memajukan negara tercinta. Perbedaan kaum di Malaysia telah beransur-ansur dapat dilupakan. Tetapi malangnya keadaan sebegini kelihatan semakin luntur. Dan seolah-olah ada setengah pemimpin negara kita yang seolah-olah mahu mengembalikan semula keadaan dimana kaum-kaum di Malaysia sentiasa curiga dan mencurigai antara satu sama lain.

            Malaysia mengalami zaman keemasannya pada tahun-tahun 1980an dan 1990an ketika dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Muhammd yang dibantu oleh pemimpin negara lain seperti Tun Musa Hitam dan Saudara Anwar Ibrahim. Pada ketika itu sememangnya negara Malaysia dan bangsa Melayu dipandang begitu tinggi oleh bangsa-bangsa lain bukan sahaja di Asia tetapi oleh masyarakat dunia. Malaysia amat disegani. Kita berbangga dengan kepimpinan tokoh yang berbangsa Melayu.

            Malangnya kini dengan berbagai masalah negara yang wujud yang dicetuskan oleh setengah pemimpin negara ini yang kebanyakannya dicetuskan oleh pemimpin Melayu telah meletakkan negara kita di lembah yang ‘hina’. Peribahasa Melayu mengatakan, “disebabkan seekor atau dua ekor kerbau yang membawa lumpur hampir kesemua orang Melayu dan bangsa Melayu terpalit”

            Kadang-kadang aku terfikir juga tentang kekesalan aku menjadi orang Melayu. Mengapalah aku dilahirkan sebagai orang Melayu? Selama mana lagi agaknya ‘usaha’ memalukan orang Melayu ini dilakukan oleh setengah pemimpin yang berketurunan Melayu?

abuhassanadam

27 Jun 2015

No comments:

Post a Comment