Monday, June 8, 2015

ULAMA PAS PASTI TIDAK AKAN MENGUBAH PENDIRIAN

            Hasil pemerhatian ke atas Muktamar PAS yang baru lalu memberikan gambaran bahawa Parti PAS kini adalah ‘milik’ golongan ulama. Yang bukan golongan ulama semacam  tidak layak untuk menjadi ahli parti berkenaan. Yang bukan dari golongan ulama adalah seperti ‘melukut di tepi gantang’. Ada pun tidak mencukupkan ‘segantang’ dan jikalau tidak ada pun tidak merugikan. Begitulah ibaratnya.

            Para perwakilan telah memberikan isyarat jelas bahawa golongan bukan pro-ulama tidak diperlukan. Ini dibuktikan dengan keputusan pemilihan kepimpinan yang telah mengenepikan hampir kesemua golongan bukan ulama dari majlis pimpinan. Dan yang menyedihkan ialah hampir keseluruhan golongan lama yang bukan sedikit jasa dan sumbangan mereka kepada perjuangan PAS juga ‘terpelanting’. Memberikan gambaran bahawa ‘habis manis sepah dibuang’.

            Kini PAS dikuasai oleh golongan ulama yang boleh dianggap sebagai golongan bijak pandai dalam segala hal apatah lagi ramai diantaranya yang terdiri dari para pemegang Phd. Sudah barang tentu sekali golongan ini dapat menerajui PAS dan membawa perjuangan ke suatu tahap yang tidak dapat dipastikan lagi ke mana arahnya. Pasti ke suatu tahap yang boleh dibanggakan oleh mereka.

            Majlis Ulama sebulat suara menolak kerjasama dengan DAP dan usul itu dibawa ke persidangan peringkat Muktamar. Juga diluluskan tanpa bahas. Bayangkan hebat tak hebatnya. Diluluskan tanpa dibahaskan isu yang sepenting itu. Bermakna golongan ulama sudah begitu yakin dengan keputusan yang dibuat oleh mereka. Sudah begitu yakin bahawa apa yang diputuskan di peringkat Majlis ulama adalah sesuatau yang tidak perlu dibahaskan.

            Kini kelihatan semacam sudah ada suara-suara yang merasakan bahawa ada sesuatu yang ‘tak kena’ mengenai keputusan Muktamar ia itu yang berkaitan dengan ‘memutuskan hubungan dengan rakan DAP dalam Pakatan Rakyat. Ada yang mempersoalkan tentang isu ‘tidak dibahaskan’ dalam peringkat muktamar. Yang menggelikan hati ramai orang ialah perkara sedemikian dibangkitkan apabila YAB Lim Guan Eng berkata bahawa, berdasarkan usul yang diluluskan tanpa sebarang perbahasan itu, wakil PAS di negeri itu tidak mempunyai pilihan melainkan meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri dan agensinya, termasuk anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti.

            Rakyat yang bukan ahli PAS juga tertanya-tanya tentang sikap setengah pemimpin PAS kini yang menampakkan sedikit ‘kelonggaran’ berkaitan dengan isu kerjasama PAS-DAP itu. Maksud aku sudah kelihatan agak ‘rasional’ cara berfikir setengah pemimpin PAS berkaitan dengan isu berkenaan.

            Mungkin yang  pemimpin PAS dari Selangor juga agak ‘bimbang’ dengan perkembangan sedemikian. Walaupun kedudukan ADUN PAS di Selangor agak kuat tetapi tidak sekuat di Pulau Pinang dan ADUN PAS pastinya tidak dapat ‘menggoncang’ kedudukan YAB Azmin di Selangor. Dan berkemungkinan juga YAB Azmin akan mengikut langkah sepertimana yang telah diambil oleh rakan seperjuangannya Saudara Lim Guan Eng.

            Walau apa pun akan berlaku, aku pasti para Ulama dalam PAS akan tetap berkegang teguh kepada pendirian yang telah mereka buat ia itu memutuskan perhubungan dengan DAP. Majlis Ulama telah membuat keputusan sebulat suara menolak kerjasama dengan DAP. Sekiranya mereka mengubah pendirian mereka maka keputusan golongan ulama ini juga akan dianggap sebagai keputusan Flip-Flop sebagaimana yang sentiasa ditujukan kepada keputusan Perdana Menteri kita.

            Melihatkan kehebatan dan kewarasan golongan ulama ini pasti mereka tidak akan mengubah pendirian – Memalukan!!

abuhassanadam
8 Jun 2015




No comments:

Post a Comment