PKR AKAN MENOLAK KERJASAMA DENGAN PAS
Yang
jelasnya kini ialah DAP telah memutuskan kerjasama dengan PAS. Tentang siapa
yang memulakan ‘penolakan’ itu bukanlah ‘tugas’ aku untuk menganalisisnya.
Pemimpin tertinggi PAS mengatakan bahawa
mereka belum membuat keputusan muktamad keluar dari Pakatan Rakyat walaupun
keputusan Muktamar dulu menegaskan bahawa PAS sebulat suara memutuskan hubungan
dengan DAP ekoran daripada keputusan sebulat suara dari Majlis Ulama.
TG
Haji Hadi menegaskan juga bahawa PAS tidak akan keluar dari Pakatan Rakyat. Sebagaimana
dinyatakan beliau bahawa "... PKR tidak membuat kenyataan yang
menunjukkan kami berpisah dan menunjukkan pakatan antara dua parti masih
ada...dan DAP setakat ini, kami tak dapat keputusan secara rasmi (cuma) kami
dapat melalui laporan media sahaja,"
Sebenarnya bak kata peribahasa
Melayu, ‘nasi sudah menjadi bubur’. Maknanya Pakatan Rakyat sudah tidak ada
lagi. Sebenarnya bagi aku Pakatan Rakyat sudah ‘hancur’ bermula daripada
peristiwa ‘Langkah Kajang’ lagi apabila kelihatan pertelagahan yang bukan kecil
tentang isu Menteri Besar Selangor yang mana nampk dengan jelas bahawa TG Haji
Hadi tidak begitu merestui pelantikan DS Wan Azizah sebagai Menteri Besar
berkenaan. Berbagai helah digunakan untuk menyatakan ketidak-setujuan itu.
Namun disebabkan malu alah dengan kepimpinan Saudara Anwar Ibrahim pada ketika
itu maka perkara sedemikian telah dapat dibendung. Agaknya.
Kini kumpulan ‘ustaz’ dalam PAS
merasakan bahawa mereka sudah cukup kuat dan boleh berdiri sendiri dan tidak
perlu lagi menyertai Pakatan Rakyat. Dengan demikian Majlis Ulamanya dan
Muktamarnya membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP tetapi
kepimpinannya mengatakan bahawa mereka masih berada dalam Pakatan Rakyat. Agak
pelik juga dengan kenyataan sedemikian. Mana lagi ada Pakatan Rakyat.
Sebagaimana ditegaskan Pakatan Rakyat sudah ‘mati’. Yang hanya ‘hidup’ ialah
Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS. Sebagaimana yang dikatakan oleh Rafizi
bahawa mereka sudah bercerai tetapi boleh ‘bertegur sapa’.
Agak pelik dilihat oleh rakyat
terbanyak tentang kenyataan TG Haji Hadi yang mengatakan bahwa PAS masih berada
dalam Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat yang mana pula?
Walaupun sentiasa dinafikan, namun
rakyat melihat bahawa kepimpinan ‘ustaz’ dalam PAS lebih condong untuk
bekerjasama dengan UMNO. Dan mungkin juga atas dasar sedemikianlah golongan
yang bukan ‘ustaz’ diketepikan kerana sentiasa ‘menghalang’ sebarang percubaan
untuk bergerak ke arah itu. Agaknya. Dan kini terbukti bahawa UMNO tidak akan
‘merestui’ hasrat PAS untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan, walaupun
tidak dinyatakan dalam bentuk penentangan. Untuk pengetahuan para ‘ustaz’ yang
berpolitik, tindakan UMNO sedemikian dinamakan ‘sepak-terajang’ politik. Dalam
bahasa politik yang agak tinggi dinamakan ‘Realpolitik’. Jikalau nak tahu lebih
lanjut tentang hal demikian terpaksalah baca buku ‘The Prince’ oleh
Machiavelli. Buku lama. Penulisnya seangkatan dengan Shakespeare.
UMNO akan hanya ‘memandang sebelah
mata’ kepada PAS kini. UMNO akan membiarkan PAS ‘kering dan layu’. Ibarat
kekasih yang ditinggalkan, PAS akan merana dan ‘merajuk lari ke hutan rimba’
sebab untuk apa lagi gunanya PAS pada UMNO. PAS bukan lagi merupakan ancaman
kepada UMNO. Jikalau dulu PAS mendapat sokongan daripada orang bukan Melayu adalah
disebabkan PAS bersama-sama dalam Pakatan. Kini PAS sudah bersendirian dan
berdasarkan pemerhatian ramai orang menunjukkan bahawa orang Melayu sendiri
yang dulunya berjuang dalam PAS sudah meninggalkan PAS. Apakah orang Melayu
yang menyertai UMNO akan menyokong PAS kini, ibarat ‘jauh panggang dari api’.
PAS tidak mampu menggugat UMNO lagi.
PKR yang mengamalkan ‘Realpolitik’ juga
pastinya akan terus bekerjasama dengan DAP. Banyak sebabnya jika mahu
diperincikan. Dan jelasnya PKR sudah awal-awal lagi menampakkan bersetuju
dengan DAP agar Hudud tidak perlu disegerakan pelaksanaannya memandangkan
suasana masyarakat dalam negara yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama.
‘Policy Framework’ yang telah dipersetujui oleh Pakatan Rakyat adalah
sedemikian. Tetapi PAS meneruskan juga hasrat sedemikian dengan ‘sokongan’ UMNO
konnnya.
Selagi PAS diperlukan oleh PKR, maka
PAS boleh mendabik dada bahwa PAS berkawan rapat dengan PKR. Mengikut kata TG
Haji Hadi ‘dalam Pakatan Rakyat’. Sekurang-kurangnya sehingga menjelangnya PRU
yang ke 14. PAS diperlukan di Selangor kini untuk menstabilkan kedudukan
politik di Selangor, demi kepentingan rakyat di negeri Selangor.
Tetapi PAS tidak diperlukan di Pulau
Pinang. Kedudukan PAS di Pulau Pinang adalah seperti ‘melukut di tepi gantang’.
Masuk pun tidak mencukupi segantang dan jikalau keluar pun tidak mengapa.
Kedudukan ahli PAS di Pulau Pinang adalah seperti peribahasa Melayu juga,’
hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’. Tindakan para penjawat PAS dalam kerajaan
negeri Pulau Pinang untuk meletak jawatan adalah tindakan terpuji.
Para ‘ustaz’ dalam PAS menyatakan
bahawa PAS akan menjadi sebuah parti yang akan menentukan arah tuju politik
negara. Aku tak berapa jelas. Mungkin agaknya.
abuhassanadam
20
Jun 2015
No comments:
Post a Comment