Thursday, June 25, 2015

MENGKHIANATI MARA BERMAKNA MENGKHIANATI MELAYU

            YB Rafizi Ramli dalam kenyataannya berkaitan dengan pembelian hartanah Dudley di Melbourne Australia oleh pihak MARA mengatakan,   Pendedahan eksklusif yang dibuat oleh akhbar Australia The Age yang bertajuk “Corrupt Malaysia money distorts Melbourne market” bukan sahaja memalukan nama baik Malaysia tetapi juga menimbulkan persoalan integriti dan sejauh mana wang amanah rakyat MARA disalahgunakan. Menurut laporan tersebut, pembelian hartanah The Dudley yang sepatunya berlaku pada harga RM51.5 juta telah dibeli pada harga RM 65.4 juta yang mana lebihan RM 13.8 juta daripada nilai sebenar telah diselewengkan’

            Sehinggalah kenyataan ini dinafikan, maka rakyat Malaysia akan menganggap bahawa ini merupakan satu lagi penyelewengan ‘harapan dan impian’ orang Melayu yang dilakukan oleh pihak yang amat tidak bertanggungjawab yang kononnya menjaga harta dan maruah orang Melayu. Sama seperti peribahasa Melayu, ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’. Belum pun ‘kering’ airmata orang Melayu (miskin dan papa kedana) mengenangkan tentang nasib Tabung Haji yang semacam ‘disambil-lewakan’ pentadbirannya, kini telah muncul pula kisah  ‘pemimpin Melayu’ (kononnya) menghancur-leburkan harapan orang Melayu.

            Terlebih dahulu aku paparkan di bawah ini sebuah sajak nukilan SN Saudara Usman Awang mengenai MARA atau Majlis Amanah Rakyat.


Majlis Amanah Rakyat
Sebuah nama keramat Lahir dari percikan amarah suatu bangsa Yang mundur sosio-ekonominya Masih menadah tangan menjadi peminta Di tanah airnya yang hampir sepuluh tahun merdeka. Bermula di zaman penjajah dikenal dengan RIDA - Lembaga Kemajuan Kampung Dan Perusahaan Suatu bayangan tipis cara Inggeris melonggarkan Kritik tajam rakyat terhadap dasar penjajahan.  
RIDA yang berdetik pada tahun 1953 Ketika bara nasionalisma marak menyala Tidak mampu menampung ghairah rakyat merdeka Suara Bumiputera yang semakin keras bergema Kemunduran dan kemiskinan yang ketara. Tahun seribu sembilan ratus enam puluh lima Kongres Ekonomi Bumiputera Yang Pertama Merumuskan segala duka nestapa bangsa Bahawa kita memiliki telaga Mengapa masih memegang talinya Sedang orang mencapai timba Maka segala gaung amarah dileburkan  Menjadi sumpah amanah suatu wawasan      
Pada detik 1966 yang menentukan  RIDA pun dikerandakan dalam sejarah  Untuk sebuah nama baru yang keramat   Majlis Amanah Rakyat   Kini 25 tahun telah berdetik   MARA mencapai kedewasaan usia   Mungkinkah bakal tiba Kongres Ekonomi Bumiputera  Penyelarasan jalur wawasan dua ribuan    Menilai kembali keberkesanan   AMARAH dan Amanah Rakyat yang  dipahatkan.  


         Izinkan aku menyoal pihak-pihak yang ‘menderhaka’ kepada harapan dan ‘perjuangan’ orang Melayu ini. Sedarkah  saudara-sauadara bahawa saudara sekalian merupakan pengkhianat sebenarnya bangsa Melayu. Saudara-saudara semacam pura-pura tidak sedar dan tidak tahu bahawasanya perjuangan bapak-bapak kita dahulu sebenarnya amat ikhlas berjuang untuk memajukan bangsa dan negara dan bukan seperti perjuangan sebahgian besar saudara-sauadara yang sememangnya berjuang untuk kepentingan ‘perut’ sendiri  disamping ‘berjuang’ untuk menghancurkan bangsa Melayu. Sedarkah saudara-saudara sekalian terutama yang sentiasa mendabik dada mengatakan bahawa saudara pejuang bangsa Melayu, menjaga hak Melayu tetapi sebenarnya saudaralah pengkhianat bangsa Melayu sebenarnya.

            Saudara-saudara sentiasa menyalahkan orang bukan Melayu yang menyebabkan orang Melayu mundur tetapi sebenarnya para pemimpin seperti saudara-saudaralah yang menyebabkan orang Melayu masih mundur dan bangsa Melayu ketinggalan. Sepatutnya orang Melayu sudah tidak berada ditahap seperti hari ini. Sepatutnya kita sudah jauh berada dihadapan. Tetapi malangnya kita masih meratapi nasib seperti yang diratapi oleh Saudara Aminuddin Baki beberapa dekad yang lalu.

            Ayam mati di kepuk padi, itik kehausan di air tenang!

abuhassanadam
25 Jun 2015


5 comments:

  1. Salam Pak Abu
    Pembetulan
    "Harapkan pegar, pegar makan padi"

    ReplyDelete
  2. harap orang melayu sedar sekarang>>>>>

    ReplyDelete
  3. harap orang melayu sedar sekarang>>>>>

    ReplyDelete
  4. Pak Abu, mereka ni seperti semut dlm balang gula...mana tahan...

    ReplyDelete