PAS BERJAYA MEWUJUDKAN ‘GENG SURAU’
Kadang-kadang
kelihatan pemimpin-pimpin ustaz dalam PAS semacam bermimpi di siang hari dengan
kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan yang mereka keluarkan. Semacam mereka
tidak sedar tentang realiti masyarakat kini. Sungguhpun PAS adalah untuk
golongan ‘kaki angguk’ sedemikian namum PAS adalah juga untuk rakyat umum,
rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan. Apakah wadah perjuangan
PAS pimpinan golongan ustaz semata-mata itu bersesuaian dengan keadaan dunia
sedang berubah dengan pantas kini. Ini lah persoalan yang patut dihazamkan oleh
pemimpin PAS berkenaan.
Pemimpin
dari golongan ustaz juga seharusnya memikirkan apakah PAS yang ‘dilahirkan’ ini bersesuaian dengan keadaan masyarakat
Malaysia kini. Apakah dengan ‘menaja’ hukum Hudud itu saja sudah boleh
memajukan masyarakat Malaysia dengan mengenepikan isu-isu besar lain yang
sedang melanda negara, walaupun tidak dapat dinafikan yang Hudud merupakan
hukum Tuhan. Kelihatan skop pemikiran
PAS pimpinan golongan ustaz sudah semacam begitu sempit dan hanya layak
dipanggil sebagai ‘Geng Surau’ sahaja.
Meneliti
semula kesan muktamar yang diadakan baru-baru ini menunjukkan bahawa semacam banyak
resolusi yang tidak berapa kena mengenai keputusan muktamar berkenaan mengikut
perkiraan aku. Tindakan perwakilan PAS yang semacam mengamalkan ‘herd
mentaliti’ yang ‘menolak’ golongan bukan ‘ustaz’ dalam parti berkenaan
merupakan sesuatu yang amat luar biasa. Tindakan itu merupakan penolakan total
kepada golongan berkenaan dan pastinya menampakkan ada ‘tangan ghaib’ yang
mengarahkan perwakilan bertindak sedemikian.
Tidak
pernah lagi aku melihat tindakan perwakilan dalam parti politik lain di
Malaysia yang bersikap sedemikian rupa. Sekurang-kurangnya dikekalkan juga
tokoh-tokoh lama yang bukan golongan ustaz yang telah menaikkan nama PAS
seperti yang kelihatan kini. Bukan kecil peranan yang telah mereka mainkan
dalam memertabatkan parti yang mereka pimpin. Dengan bertindak sedemikian rupa
menampakkan bahawa ahli PAS amat mudah melupakan jasa dan sumbangan pemimpin
yang telah berjasa. Ringkasnya ahli PAS merupakan golongan yang tidak mengenang
budi.
Mungkin
kepimpinan PAS kini merasakan bahawa apa yang berlaku dalam PAS merupakan satu
tindakan yang boleh diterima oleh masyarakat. Mungkin begitu anggapan mereka.
Mereka lupa bahawa mengenepikan tokoh-tokoh (bukan ustaz) yang begitu
berpengalaman adalah sesuatu yang amat merugikan parti berkenaan.
Memperlihatkan tidak peka dan tidak rasionalnya kepimpinan PAS dalam menerajui
parti yang sebelum ini disayangi oleh bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi
juga oleh bukan Melayu. Pemimpin PAS terdahulu khususnya TG Nik Aziz telah
begitu berjaya menukar persepsi masyarakat Malaysia terhadap PAS. Tetapi
malangnya ramai di Malaysia kini hanya melihat parti PAS sebagai ‘Geng Surau’
Tentulah amat rugi kepada parti ini apabila
tokoh-tokoh berpengalaman ‘terpelanting’ begitu sahaja disebabkan kejahilan
setengah ahli yang merasakan bahwa kehadiran golongan bukan ustaz tidak
diperlukan. Sedarkah golongan ini bahawa PAS telah menjadi buah mulut dan
‘diminati’ oleh golongan bukan Melayu ketika hayat TG Nik Aziz. Kepimpinan TG
Nik Aziz telah berjaya menarik bukan sedikit jumlah pengundi bukan Melayu untuk
menyokong perjuangan PAS. Jikalau tidak masakan Pakatan Rakyat dapat memenangi
banyak kerusi yang sebahgian besar pengundinya terdiri dari pengundi bukan
Melayu. Kerusi Parlimen Temerloh misalnya sudah hampir pasti ‘terpelanting’ ke
tangan calon lain apabila pilihan raya diadakan sekiranya keadaan dalam PAS
kini tidak diperbetulkan.
Terus
terang aku katakan rakyat Malaysia dari semua keturunan yang sudah mula ‘jatuh
hati’ dengan PAS amat terkilan dengan keputusan Muktamar yang baru diadakan.
Bukan bermakna bahawa mereka tidak menghormati proses demokrasi yang berjalan
dalam pemilihan tetapi terkilan disebabkan ada antara ahli yang tidak berpandangan jauh. Mungkin
ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan ahli PAS yang terdiri dari golongan
‘ustaz’ bertindak demikian. Mungkin. Tetapi mereka harus melihat semula
peribahasa Melayu yang berbunyi ‘ jangan marahkan nyamuk maka kelambu dibakar’.
Janganlah disebabkan marah kepada segelintir menyebabkan ‘kesemua’ dimarahi.
Kini
perpaduan yang telah tercipta itu ‘lenyap’ sekelip mata, dilenyapkan oleh
sebahagian besar ahli PAS yang cetek pemeikirannya . Tindakan golongan ini
betul-betul menghiris hati kebanyakan rakyat Malaysia. Mereka sepatutnya
mengkaji sedalam-dalammnya tindakan mereka sebelum bertindak dan mengenepikan
golongan ‘bukan ustaz’. Apakah golongan ustaz dalam PAS ini sudah betul-betul mengkaji
baik buruknya tindakan yang mereka
lakukan itu.
Hampir
pasti golongan bukan ustaz yang tidak terpilih dalam muktamar lepas akan
meninggalkan PAS. Sudah hampir pasti. Hati mana yang tidak remuk redam
sekiranya diperlakukan sedemikian apatah lagi telah ‘dikecam’ dan kadang-kadang
‘dihina’ dengan berbagai-bagai tuduhan yang amat menyedihkan. Dan ada ura-ura
yang mengatakan bahawa golonga ini akan menubuhkan parti baru menggantikan
perjuangan PAS yang lama.
Ada yang
mengatakan bahawa sekiranya mereka berbuat demikian maka mereka akan
‘tenggelam’. Mungkin. Tetapi melihat dan mendasarkan kepada sambutan rakyat
Malaysia terhadap perjuangan mereka, maka sebenarnya ada ‘hikmah yang
tersleindung’ sebagaimana yang dikatakan oleh setengah pemimpin PAS yang bukan
ustaz itu. Cakap-cakap diluar khususnya dikalangan rakyat Malaysia dari semua
kaum merasakan bahawa rakyat memerlukan kesinambungan dalam usaha untuk
memenangi PRU14 nanti, menentang BN dan melahirkan kerajaan baru yang lebih
adil dan effisen.
Dan
‘perancangan’ yang sedang diatur itulah sebagai jawapannya.
abuhassanadam
24 Jun 2015
Prestasi semua parti politik akan ditentukan oleh rakyat dlm pilihanraya, jadi tunggu PRU ke 14
ReplyDelete